• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • Archives

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Kehidupan dalam dunia yang mencabar ini amat memeritkan. Kekuatan fikiran dan perasaan amat penting bagi menghadapi segala cabaran dan dugaan dalam kehidupan. Tanpa kekuatan iman manusia boleh melakukan apa saja demi memenuhi segala keperluan dan kehendak duniawi. Hasad dengki, cemburu, irihati, khianat adalah contoh-contoh penyakit hati yang makin menular di kalangan umat manusia di dunia ini dan lebih ketara rasanya di kalangan orang Melayu dan beragama Islam. Semua orang punya keinginan untuk berjaya, memiliki barangan yang mewah dan cantik serta banyak lagi dan untuk mencapai segala keinginan itu kita di nasihatkan supaya bekerja keras dan bersabar sementara ia berhasil. Namun ada usaha cepat berhasil dan berkeuntungan dan ada juga usaha yang lambat hasilnya, di sini kesabaran dan kecekalan adalah segalanya. Berapa ramai pula di antara kita yang mampu menghadapi dugaan dan cabaran yang datang satu persatu sebelum kejayaan di raih? Tidak kira apapun pangkat dan darjat, kita terdedah kepada bermacam cabaran dan dugaan selagi kita bernama manusia dan ujian Allah datang dalam berbagai bentuk dan keadaan. Bagi kita orang biasa yang tidak di kenali ramai, baik atau jahatnya seseorang individu tidak akan di pertikaikan kecuali muka dan apa yang kita hadapi terpampang di dada akhbar. Adalah sebaliknya kalau kita berada di dalam golongan yang di kenali seperti ahli-ahli politik, perniagaan dan juga tidak ketinggalan dunia hiburan segala pergerakan diri akan jadi perhatian semua. Wartawan hiburan adalah di antara individu yang amat sibuk sekali jika sebarang kejadian berlaku di kalangan artis.

Gossip, tohmahan dan juga fitnah akan di lemparkan kepada ahli-ahli dunia hiburan, perniagaan dan juga politik membuat saya sering bertanya; kenapa segala cerita ini tersiar atau di lemparkan? Yang lebih menariknya hanya segelintir sahaja penyanyi atau pelakon yang selalu jadi bahan gossip dan yang anehnya juga pelakon atau penyanyi yang betul-betul membuat perkara yang tidak senonoh ini tidak pula di kutuk dan di kecam atau di gossip. Teringat pula pada peribahasa “Kalau tiada angin masakan pohon bergoyang”. Namun sejauh mana kebenaran di sebalik semuanya ini? Melalui pengalaman sedikit sebanyak sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini, majalah, akhbar dan sekarang dunia cyber menjadi punca utama rakyat di dunia ini mendapatkan berita semasa dan terkini. Jualan terhebat dan highest google akan berlaku bila ada cerita-cerita artis yang sensasi dan menjadi kegilaan semua walaupun tidak di nafikan perkara yang sama berlaku bila perkara yang baik di hebahkan. Adakah ini strategy pihak pengeluar media cetak dan cyber untuk meraih jualan tertinggi dan keuntungan atau terselit segala penyakit hati yang di nyatakan awal tadi? Sesetengah artis menggunakan gossip sebagai jalan untuk menaikan nama mereka dan ada juga golongan yang terperangkap dalam gossip kerana fitnah yang di buat oleh rakan artis sendiri demi untuk menjatuhkan maruah mereka. Kebenaran dan kesahihan cerita adalah milik tuan empunya diri. Kita yang di kurniakan akal dan fikiran oleh Allah ini sepatutnya mampu berfikir serta melihat keadaan yang berlaku dengan sebaik-baiknya dan akhirnya akan membuat tafsiran sendiri. Maka timbul kembali pertanyaan kenapa orang berkata? Pasti setiap yang berlaku ada pencetusnya samada di sedari ataupun tidak. Kadang-kadang kita berada di satu keadaan secara kebetulan atau demi memenuhi ajakan rakan lalu kita di panggil mangsa keadaan namun tahukah kita niat atau hajat rakan yang membawa kita ke tempat itu. “Kerana kerbau seekor terpalit lumpur habis semua kena” akan tetapi pernah atau tidak kita bertanya diri sendiri sebelum kita berkata ya…samada tempat yang di tuju itu elok atau tidak, baik untuk diri sendiri ataupun tidak dan sebagainya? Memang benar kita mangsa keadaan tapi orang tua selalu berkata dan berpesan segala apa yang berlaku ke atas diri adalah dari keputusan yang di ambil sendiri…sejauh manakah betul perkara ini? Namun yang pasti pengalaman mendewasakan kita dan juga mengajar kita untuk berhati-hati di lain kali seandainya kita ingin dan mahu mengambil iktibar dari segalanya.

Beberapa minggu yang lalu kita semua pasti mendengar, membaca dan bergossip juga perkara yang menimpa Tiz Zaqyah dan tuduhan yang di lemparkan kepadanya oleh “kawan sendiri”, Fasha Sanda yang dalam dunia hiburan memang terkenal dengan hati busuk dan perangai buruknya (mengikut apa yang saya baca dan juga komen-komen yang ada) dan tiba-tiba semalam kata Fasha No Comment and semua dah selesai. Orang yang terlibat sama dalam perkara ini adalah teman lelaki Fasha yang di kenali sebagai Jejai. Selain daripada kes ini banyak lagi kes-kes yang di alami oleh pelakon dan penyanyi tanahair. Apakah semudah itu Fasha menyelesaikan segalanya? Di mana maruah diri di letakan sebelum, sedang dan sesudah rencana di tulis? Bukan saya hendak memihak kepada Tiz Zaqyah namun penampilan diri, latar belakang keluarga, minat serta citarasa, kawan-kawan yang di dampingi, tutur bicara yang sopan sedikit sebanyak mempengaruhi fikiran umum tentang dirinya. Walaupun baru berjinak dengan dunia hiburan Tiz mampu berfikir dengan matang apa yang baik untuk dirinya ataupun sebaliknya. Kematangan fikiran juga tunggak utama dalam kita menjalani kehidupan. Ada orang yang beruntung dalam hidup dan ada juga tidak dan kita tidak boleh memilih siapa ibubapa kita namun dengan akal yang di kurniakan oleh Allah kita sepatutnya tahu hala tuju hidup walaupun dalam keadaan yang amat perit dan derita. Sesetengah daripada kita terpaksa berlawan arus, ombak dan badai untuk mendapat apa yang di inginkan dan kejayaan yang hadir pasti satu kebahagian dan ada juga menggunakan jalan pintas dalam hal begini dan kebahagian yang ada cuma sebentar sahaja. Jalan pintas yang paling senang dan mudah adalah menabur fitnah dan menyakinkan semua apa yang di katakan adalah benar sebenar-benarnya. Siapakah yang bersalah? Yang menabur fitnah atau yang menerima fitnah yang di taburkan? Kedua-duanya bersalah kerana penyakit hati memang bersarang dalam diri sehingga kita tidak mampu menilai atau mengkaji logik dan reality dengan cerita atau berita yang di sebarkan. Yang terkena fitnah dengan berkat kesabaran dan rajin mencuci hati Insha’Allah kehidupan mereka akan lebih berkat, rezeki bertambah, wajah yang bersih, ceria, bahagia dan kebenaran pasti berpihak padanya jua.

Kita memang tidak boleh lari dari perasaan hasad dengki, cemburu, iri hati dan sebagainya namun ia akan menjadi perkara yang baik kalau dengan cemburu yang ada kita gunakan untuk memperbaiki diri dan berusaha ke arah kejayaan tapi sejauh mana kita mampu menggunakan cara ini? Memang benar lama-kelamaan kes Fasha dan Tiz akan senyap begitu saja tapi adakah ini membawa keinsafan dalam dirinya (Fasha), kita sebagai pembaca dan pendengar serta orang sekeliling, kerana apa yang saya lihat hari ini setelah tersebarnya berita ‘no comment’ itu hampir keseluruhan media cyber dalam bentuk forum mengutuk Fasha habis-habisan. Apakah ini akan meninggalkan kesan dalam dirinya yang telah terlalu biasa dengan gossip dan menyebar cerita palsu. Apakah kita mampu mendidik orang seperti Fasha dan seangkatan dengannya untuk meyembuh penyakit hati yang bersarang dan bertapak dalam diri? Seorang ustazah yang saya kenali mengaku yang dirinya tidak mampu berkata yang dia tidak pernah rasa cemburu atau iri hati namun dengan sedikit bekalan yang ada beliau mendidik hati dan jiwa untuk bersyukur dengan nikmat yang di beri. Banyak yang mesti kita berterima kasih dengan Allah dari nafas yang kita sedut, udara yang segar, hujan dan matahari yang tidak pernah kita fikir besarnya sumbangan kepada kehidupan setiap insan di dunia ini namun berapa ramaikah bilangan yang mengucapkan syukur setiap pagi semasa bangun dari tidur dan juga sebelum kita melelapkan mata. Yang sentiasa kita fikir adalah rancangan esok dan segala sumpah seranah dalam diri untuk orang-orang yang kita benci dan mulakan strategi bagaimana untuk menghapuskan mereka ini. Amat malang bagi mereka yang mempunyai penyakit hati yang tidak boleh di ubati oleh mana-mana pakar perubatan, ia hanya akan sembuh dengan selawat, istighfar, wirid serta zikir. Bacaan bismillah sebagai pembuka kata pada setiap pekerjaan yang hendak kita lakukan, Alhamdulillah setelah ia selesai dan Allah Hu Akhbar mengangkat syukur kehadrat Allah dan minta di ringankan segala bebanan. Ada juga orang berkata dan bertanya apakah sama doa dan permintaan kita kepada Allah ketika dalam kesusahan dan mengucapkan syukur ketika doa dan permintaan di makbulkan?

Adakah penyakit hati merupakan penyakit keturunan? Telah saya bertanya kepada ramai namun jawapan ini amat payah di temui. Untuk saya membuat andaian sendiri memang tidak wajar tapi sekali lagi pengalaman membuktikan ia berlaku dalam salasilah keluarga walaupun tidak semua ahli keluarga mewarisinya. Terhimpit di antara keadaan ini menjadikan saya belajar perkataan baru iaitu pura-pura. Kadang-kadang keadaan memaksa kita berpura-pura bila berada di dalam kelompok orang yang ada penyakit hati dan jiwa ini kerana cara mereka amat halus yang mungkin tidak dapat kita rasakan dan lihat dengan mata kasar. Dalam diam dan halus mereka menyakiti orang lain dan merasa puas bila melihat orang lain menangis ataupun menahan marah. Ini juga merupakan satu lagi penyakit hati yang tidak kita sedari atau sukar untuk kita mengenalinya. Sewaktu zaman saya anak-anak dulu yang sering terdengar cerita, adalah seperti orang sebelah beli TV 14 inci orang sebelah sana pulak beli TV 16 inci dan yang paling saya ingat bila surirumah megah menunjukan gelang emas yang sampai sekerat lengan banyaknya dan nenek saya berkata baguslah nanti beli pulak rantai yang tebal dan besar macam tali ikat lembu. Bila di kenang dan di ingat perkara ini memang dah lama cuma trend penyakit hati berubah mengikut zaman. Sekarang adanya teknologi tak perlu lagi nak singgah di rumah jiran tetangga, kalau dulu emas sekati sepikul jadi cerita, sekarang ambil suami orang pula dan jumlah wang ringgit juga jadi berjuta-juta. Bilakah nak berakhir semuanya ini? ataupun tanda-tanda akhir zaman kian hampir di mana perempuan ingin jadi lelaki, lelaki ingin jadi perempuan, perempuan dah tidak ada adab sopan kerana itu bila ada seorang bintang baru yang bersinar penuh dengan ciri-ciri ketimuran lalu menjadi tarikan ramai, ramai pulalah yang berhati dengki dan mulalah segala perang di sana sini.

Dari manakah punca penyakit hati? Adakah kerana didikan yang ada tidak cukup untuk kita membuka hati menerima segala dugaan dengan kesabaran atau ia memang tertanam dalam jiwa setiap insan? “Hanya Jauhari Yang Mengenal Manikam”

*************************************************************************************
TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID
SELURUH NEGERI MELAKA

TAJUK: HAWA NAFSU DORONG PENYAKIT HATI
TARIKH: 5 JANUARI 2001

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Ketinggian dan kemuliaan seseorang manusia menurut Islam bukan diukur berdasarkan kekayaan, pangkat atau keturunan yang dimilikinya.

Akan tetapi ia dilihat dari sudut ketakwaannya kepada Allah subhanahua ta’ala disamping melihat kepada kesucian hatinya yang bebas daripada segala sifat mazmumah.

Rasulullah s.a.w. menjelaskan perkara ini ketika ditanya oleh seorang sahabat ‘’ wahai Rasulullah s.a.w. siapakah manusia yang terbaik ?’ jawab baginda s.a.w. orang mukmin yang bersih hatinya ? tanya sahabat lagi ‘ apakah maksud orang yang bersih hatinya itu? ‘ jawab baginda s.a.w. ialah yang bertakwa, bersih yakni tidak ada kederhakaan, pengkhianatan , dendam dan kedengkian ‘ riwayat Ibnu Majjah.

Seseorang yang tipis dan tidak kuat imannya akan mudah dihinggapi penyakit hati, kerana penyakit ini muncul dari dorongan hawa nafsu yang jahat dan hasil dari godaan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia .

(1) Hasad Dengki

Islam sangat mencela sifat dengki atau hasad. Sifat ini biasanya lahir dari seseorang yang tidak menyenangi sesuatu kelebihan atau nikmat yang ada pada orang lain. Golongan ini akan berusaha untuk mendapatkan kelebihan orang itu supaya nikmat itu berpindah kepadanya. Sifat dengki ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja samada mereka yang kaya dan kukuh ekonominya atau mereka yang kurang berada. Bagi yang kurang berada, kemampuan mereka terbatas dan kadang-kadang tidak memungkinkan untuk mereka mencapai sesuatu yang dihajati.

Lantaran apa yang dicita-citakan untuk menjadi seperti orang lain tidak tercapai, maka yang timbul ialah menaruh sifat irihati dan dengki terhadap mereka yang lebih beruntung dari mereka, sifat ini juga boleh menjangkiti golongan yang berada. Mereka tidak mahu kekayaan diperolehi kepada orang lain yang kadang-kadang jiran atau saudara mara mereka sendiri. Lebih membimbangkan lagi ialah sifat dengki ini boleh membawa seseorang kepada perlakuan tidak adil atau berlaku zalim terhadap sesama manusia. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : ‘ jauhkan diri kamu dari hasad dengki sesungguhnya hasad merosakkan amalan kebaikan sebagaimana api memakan kayu kering ‘.

(2) Sifat Khianat

Sifat khianat boleh dianggap sebagai teman akrab dengan penyakit dengki kerana kedua-duanya lahir dari hati manusia yang kotor lantaran sangat lemah keimanannya. Wujudnya sifat khianat dalam masyarakat disebabkan oleh cuainya individu dalam menjaga amanah orang lain. Ia timbul disebabkan rasa tidak senang apabila orang lain dianugerahkan nikmat atau rezeki oleh Allah subhanahua ta’ala. Khianat ialah satu sifat yang sangat berbahaya kerana boleh berlaku dalam pelbagai aspek kehidupan, khianat-mengkhianati boleh timbul di antara suami isteri dalam kehidupan rumahtangga, boleh berlaku di antara adik-beradik, jiran tetangga, teman sekeluarga, juga wujud dalam hal perdagangan, politik dalam aspek kehidupan yang lain.

Perbuatan khianat ini juga boleh berlaku baik secara terang-terangan mahupun secara sembunyi. Kita sering mendengar istilah seperti musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, pagar makan padi ‘ yang mana semua itu ditujukan kepada orang yang melakukan pengkhianatan secara sembunyi atau rahsia. Apa yang jelas ialah sifat khianat ini sangat dimurkai Allah subhanahua ta’ala. Orang yang memiliki sifat ini sesungguhnya tidak memberi apa-apa keuntungan pun. Apa yang pasti hanyalah kerugian kerana tidak menemui ketenangan dan kedamaian hidup sebaliknya sentiasa resah gelisah. Juga ia termasuk dalam golongan orang munafik seperti sabda nabi yang bermaksud : ‘ tanda orang munafik ada tiga apabila berbicara ia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, apabila diamanahkan dia khianat ‘.

(3) Riya’

Riya’ adalah sifat yang juga sangat merbahaya kerana boleh menghapuskan segala kebajikan atau amal soleh yang telah dikerjakan oleh seseorang sehingga tidak bernilai disisi Allah subhanahua ta’ala. Orang yang riya’ membuat ibadah atau apa sahaja amalan bukan untuk mengharapkan keredhaan Allah subhanua ta’ala bahkan kerana mengharapkan pujian dan penilaian dari manusia.

Firman Allah ta’ala : maksudnya ; maka celakalah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berkeadaan riya’

Dalam mengerjakan apa jua bentuk amal soleh atau beribadat kepada Allah subhanahua ta’ala jika didasarkan kepada riya’ maka akan sia-sialah ibadat itu. Sesungguhnya Allah subhanahua ta’ala memerintahkan hambanya agar beribadat dengan penuh ikhlas.

Firman Allah subhanahua ta’ala :-

Maksudnya :’ pada hal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadanya (ikhlas) dalam menjalankan agama dengan lurus dan supaya mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus ‘ maka jelaslah, amalan yang didasarkan kepada riya’ itu tadi tidak akan mendapat pahala. Apa yang nyata ‘ riya’ tidak akan meninggalkan kesan positif kepada pelakunya. Orang riya’ yang tidak ikhlas biasanya amalannya atau budinya tidak kemana. Apabila tiada manusia yang memuji atau tidak mendapat pujian, orang yang riya’ itu akan berhenti dari beramal.

(4) Sifat Takbur

Takbur dan sombong adalah sifat yang sangat tercela dan dibenci oleh Allah subhanahua ta’ala. Ulama’ tasawuf menggolongkan sifat ini sebagai syirik kecil. Ini adalah kerana orang takbur itu merasa dirinya terlalu tinggi atau lebih hebat dari orang lain. Seseorang yang memiliki sifat takbur dan sombong akan membuat dirinya terlupa sebagai makhluk Allah subhanahua ta’ala yang serba lemah lagi banyak kekurangan. Perlu kita memahami, kalau sekiranya kita mempunyai ada kelebihan zahiriah pun, ia adalah diberikan oleh Allah subhanahua ta’ala dan hanya untuk kehidupan yang sementara sahaja di atas muka bumi ini.

Pada asalnya sifat sombong adalah sifat iblis yang dahulu tidak mahu sujud kepada nabi Adam di dalam syurga. Hal ini lantaran iblis beranggapan dirinya memiliki sifat kemuliaan iaitu iblis dijadikan dari api manakala Adam dari tanah.

Sifat-sifat tercela ini apabila wujud dalam sesebuah masyarakat bukan hanya akan membawa kerosakan dalam masyarakat tersebut, malah orang yang bersifat demikian pun turut menerima padahnya. Mudah-mudahan semua para muslimin terhindar dari sifat-sifat ini.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud : ‘ …Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu bahaya kebinasaan dengan sikap bakhil, dan baikilah dengan sebaik-baiknya segala usaha dan perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya’

Sumber: Al-Azim.com

*****

From : myMetro 29th June 2010
(Bimbingan/Tazkirah Remaja)

Penyakit hati lebih bahaya

TUAN ada penyakit ke? Kalau ada tanda demam yang kuat cepat-cepatlah pergi berjumpa doktor. Mana tahu ada apa-apa, boleh bertindak awal kerana bimbang juga dengan kedatangan gelombang kedua H1N1 sekarang.

Hari ini ramai yang sanggup berbelanja besar demi kesihatan, sebab kesihatan sangat berharga. Bila ada saja yang sakit, pasti ramai yang bersimpati. Semakin moden dan canggih dunia, semakin cepat kita dapat penyakit dan semakin cepat juga kita mengesan penularan sesuatu penyakit.

Pun begitu, semakin canggih dan prihatin manusia terhadap kesihatannya, manusia masih lupa memberi perhatian terhadap penyakit hati yang jauh lebih bahaya daripada penyakit fizikal. Penyakit hatilah yang akan merosakkan keharmonian rumah tangga. Mengganggu suami isteri orang, maka berlakulah kecurangan dan lupa tanggungjawab.

Tidak memberi nafkah akhirnya berkecai rumah tangga. Anak jadi tidak keruan dan hilang kasih sayang. Bila hati sudah berpenyakit maka akan hilang rasa takut kepada Allah, merosot serta comot integriti, tidak lagi rasa diperhati, depan orang alim tetapi di belakang menjadi “maling”. Itu sekadar contoh kesan akibat penyakit hati yang terlalu banyak keburukannya. Siri kali ini penulis mahu bincangkan antara tanda penyakit hati. Kalau sudah ada tanda maka kena berhati-hatilah. Antara tanda penyakit hati tidak boleh dikesan sesiapa pun adalah:

1) Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan.
Malas menjalankan ibadah, bahkan meremehkannya pula. Contohnya melakukan solat bukan dengan “sengaja’ tetapi dengan tidak sengaja dan terpaksa.

Kalau buat pun tidak khusyuk dan ada kesungguhan. Mereka merasa berat untuk menjalankan ibadah sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.” (Surah at-Taubah ayat 54). 2) Tidak tersentuh ayat al-Quran
Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, maka tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyu atau tunduk dari membaca al-Quran dan mendengarnya.

Sedangkan Allah memperingatkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut kepada ancaman-Ku.” (Surah Qaaf ayat 45). 3) Tidak tersentuh dengan ayat kauniyah
Tidak tergerak dengan adanya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran seperti kematian, sakit, bencana. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai sesuatu yang tidak kaitan dengannya. Nabi bersabda yang bermaksud: “Cukuplah kematian itu sebagai nasihat dan peringatan”. 4) Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat
Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata. Segala sesuatu diperhitung, dikira berasaskan dunia. Cinta, benci dan hubungan dengan sesama manusia hanya untuk urusan dunia saja seolah hidup hanya untuk dunia dan berakhir di dunia . 5) Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat
Ini salah satu sebab terbesar yang mempengaruhi kerasnya hati seseorang. Orang yang hidupnya di tengah gelombang kemaksiatan dan kemungkaran, bergaul dengan manusia yang banyak berkubang dalam dosa, banyak bergurau dan tertawa tanpa batasan, banyak mendengar muzik yang melalaikan serta menghabiskan harinya untuk tujuan maksiat. 6) Kemaksiatan berantai
Penyakit hati lahir dari kemaksiatan baru akibat kemaksiatan yang dilakukan sebelumnya sehingga menjadi lingkaran syaitan yang sangat sukar bagi seseorang itu melepaskan dirinya. 7) Meremehkan dosa kecil
Memang ada dosa kecil dan besar, tetapi perlu diingat semua dosa akan membawa ke neraka. Seperkara lagi, kita perlu faham dosa besar bermula dengan dosa kecil, banjir besar bermula dari titis hujan. 8) Tidak peduli sumber makanan
Orang yang hatinya berpenyakit dan keras ini biasanya kurang prihatin dengan sumber makanan, halal atau haram. Begitu juga dengan syubhat, yang dia kira sedap dan enak, selera kena tinggi. Makan di mana pun tidak kira kedai orang Islam atau bukan Islam yang penting kaw dan kaw. Begitu juga dengan punca pendapatan, sudah tidak peduli lagi sumber rezeki datang dari mana kerana yang pasti dapat banyak, hidup kaya raya. Rasuah, curi, seludup, ampu ke semua dibedal.

Itu antara beberapa tanda yang sempat dibicarakan dalam ruangan ini dan harapnya ia dapat menambah maklumat kita semua. Mengenai cara mengatasi dan merawatnya Insya-Allah pada masa akan datang.

*****

Tujuh kaedah mengenali orang yang sombong dan bongkak

Oleh Mohd Zakuan Tak

SOMBONG bererti terasa kelebihan dan kehebatan yang ada pada diri sendiri, kemudian ditambah dengan sifat suka menghina dan merendahkan orang lain. Orang sombong memandang rendah manusia lain kerana berasakan sesuatu kelebihan yang ada pada diri mereka.

Begitulah sombongnya Iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam. Tidak cukup dengan kesombongannya kepada Allah, lalu ia menempelak: “Mana bisa aku bersujud kepada manusia, kerana aku dijadikan dari api yang mulia, sedangkan Adam dijadikan dari tanah yang hina.

Penyakit sombong akan menyerang sesiapa saja, baik lelaki atau perempuan, golongan bangsawan atau bawahan, berjawatan tinggi ataupun pengemis di jalanan.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Aku akan belokkan dari keterangan-Ku, orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi, di luar kebenaran.” (Surah al-A’raf, ayat 146)

Sombong yang paling keji ialah bersifat sombong terhadap Allah. Tercatat dalam al-Quran, antara manusia yang pernah sombong terhadap Allah ialah Namrud yang ingin memerangi tuhan, keduanya Raja Firaun yang pernah mengaku dirinya Tuhan.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya, orang yang menyombongkan dirinya dari menyembah Aku, akan masuk neraka jahanam dengan kehinaan.” (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Sombong yang kedua ialah bersifat sombong kepada Rasul dan ajarannya seperti tidak mengiktiraf rasul yang diutus Tuhan kerana kemiskinan dan kehinaan keturunan, seperti Firaun yang mengaku dan menganggap dirinya tuhan, tidak mengaku Nabi Musa rasul utusan Allah.

Begitu juga Abu Lahab serta kaum Quraisy yang enggan menerima Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.

Oleh itu mari kita memeriksa diri, apakah kita sudah dijangkiti virus sombong ini atau tanpa diketahui kita adalah salah seorang penghidap serius penyakit itu selama berpuluh tahun.

Iman Al-Ghazali menyimpulkan ada tujuh cara untuk mengenali seseorang yang sedang dan sudah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini :

* Pertama, kelebihan seseorang kerana pengetahuan ilmunya, baik ilmu dunia atau ilmu akhirat. Apabila ilmu sudah penuh di dada dia menganggap semua orang lain jahil belaka, semua orang buta dan jika ada pandangan yang bernas tetapi tidak diterimanya.

Orang sombong seumpama ini, menghendaki dirinya selalu dihormati oleh orang lain terutama ketika di khalayak ramai, oleh anak muridnya dan orang bawahannya serta sentiasa meminta diberi layanan mulia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidak akan masuk neraka, orang yang di dalam hatinya ada seberat sebiji sawi darinya iman, dan tidak akan masuk syurga yang di dalam hatinya ada seberat biji sawi darinya sombong.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

* Keduanya kerana kelebihan beribadat seseorang. Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka.

Sedangkan mereka terpedaya dengan tipu daya syaitan. Rasulullah SAW mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud:

“Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal salih, bererti sudah tersesat daripada mensyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya.”

Jika kita bersifat seperti ini, menghina orang yang tidak bersembahyang atau apabila orang mengerjakan maksiat, lantas menggelengkan kepala dan terdetik di dalam hati, “Apa nak jadi dengan kamu semua. Mengapa tidak alim dan warak seperti aku,” maka kita adalah dalam kategori orang yang berpenyakit sombong. Oleh itu, bersegeralah bertaubat atas kejelekan akhlak.

* Perkara ketiga yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego memperkasakan keturunan, bangga kita berketurunan mulia lagi bangsawan, suka menyebut nama datuk nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat atau hebat.

Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum Bani Israel yang dilaknat Tuhan, seperti termaktub dalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi nabi ikutan, konon keturunan mulia dikasihi tuhan.

Mereka rakus melakukan apa saja termasuk membunuh golongan lemah kerana keegoan menganggap orang lain tidak semulia mereka. Seandainya kita zalim, bangga dengan status keturunan, maka kesombongan itu sama dengan kesombongan kaum Bani Israel yang dilaknat tuhan.

* Perkara keempat menjadikan kita beroleh sombong ialah kerana berasa diri cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan hina, seperti merendah-rendah ciptaan Allah hingga sanggup menyindir atau memberi gelaran tidak baik seperti pendek, berkulit hitam atau gemuk.
* Sifat sombong kelima berpunca daripada kelebihan harta diberi Allah membuat kita lupa daratan, berbangga dengan kekayaan yang ada, rumah besar, kereta mewah hingga memandang rendah orang yang kurang berada.
* Keenam, sombong kerana kekuatan dan kegagahan diri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca seperti mengunyah. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh dihempap badan dengan batu dan besi.
* Akhirnya yang ketujuh kata Imam Ghazali, ialah sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia di belakang diri, sepertinya orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid yang tidak lut ditetak dan dijilat api.

Justeru, hendaklah memeriksa diri sama ada tujuh perkara yang membawa kepada penyakit sombong ada pada kita atau tidak. Penawarnya ada di tangan sendiri kerana penyakit sombong hanya akan memakan diri.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)

Written and compiled by : Sanaa 02/07/10

3 Responses

  1. tq so much kak…..

  2. Salam San,

    Terima kaseh atas sumbangan di atas.

    Semoga kita dapat memelihara hati yang sekeping ini dan mendapat keredhaanNya…

  3. San,

    Terima kasih kerana berkongsi ilmu.. semoga kita sama2 dapat memperbaiki diri. Insyaalah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: