• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • November 2010
    M T W T F S S
    « Oct   Dec »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    2930  
  • Archives

Hubungan Insan

Hubungan insan adalah suatu hubungan yang mutlak secara langsung ataupun tidak. Kehidupan harian tidak boleh lari dari hubungan insan ini. Terlalu lama saya ingin menulis tentang ini namun tidak punya kekuatan kerana topik yang amat luas dan kajian juga perlu dibuat. Banyak risalah saya baca mengenainya, namun keputusan saya ambil untuk menulis berdasar pengamatan kasar saya dan sedikit sebanyak pengalaman sendiri. Hubungan insan terbahagi kepada banyak bahagian dan sebahagian darinya adalah seperti berikut:-

1. Hubungan diantara anak/ibubapa dan sebaliknya
2. Hubungan guru dengan anak murid
3. Hubungan seorang peniaga dan pelanggan
4. Hubungan majikan dan pekerja
5. Hubungan jiran tetangga
6. Hubungan di antara lelaki dan perempuan yang di ambang percintaan

Di atas adalah sebahagian daripada hubungan insan yang kita lalui hampir setiap hari. Dalam sesetengah keadaan hubungan insan ini adalah mesti. Tidak boleh kita lari daripadanya seperti jiran tetangga dan yang paling ketara ketika adanya majlis kenduri ataupun kematian. Tidak boleh tidak kita perlukan hubungan insan untuk memastikan keramaian yang di buat berjalan lancar. Bila berlaku kematian pula kita memerlukan ahli qariah masjid dan bantuan jiran tetangga sehingga jenazah selamat disemadikan. Menjadi kewajipan pada kita yang masih hidup menjalankan tuntutan ibadah fardhu kifayah ini. Bila berlaku kematian tiada yang membezakan kita. Ketika ini bukan wang ringgit jadi ukuran. Ia menjadi tuntutan dan kewajipan. Kita tidak dapat mengenepikan hubungan ini. Oleh kerana itu di katakan hubungan insan adalah sesuatu yang mutlak.

Setiap hari andainya kita seorang peniaga kita akan berjumpa dengan pelanggan. Cara kita melayan pelanggan dengan budi bicara yang sopan dan harga dagangan yang berpatutan membuat pelanggan akan kembali lagi. Senyuman juga adalah satu sedekah dan kadang-kala senyuman yang membuat hari kita bermakna. Ucapan salam kepada saudara sesama Islam adalah doa yang baik dalam hubungan insan. Seandainya kita bertemu dengan seorang peminta sedekah lalu menghulurkan sedikit wang atau sepinggan nasi, tidak kita ketahui sejauh mana diri kita di rahmati sepanjang hari itu. Banyak lagi contoh-contoh yang membawa kita kepada hubungan insan dalam kehidupan seharian.

Namun dalam arus kemodenan dan juga status kehidupan di mata manusia, membuatkan ramai di antara kita tidak lagi mempedulikan hubungan insan ini. Selain dari orang yang kita kenali, orang-orang di sekeliling seperti tidak berfungsi atau tidak membawa erti. Jiran tetangga tidak lagi bertegur sapa. Keadaan hidup di bandar yang amat tertekan juga menyukarkan hubungan insan ini terjalin dengan ikhlas. Tekanan kerja, kesesakan lalu lintas, menguruskan anak-anak dan keluarga membuatkan ramai yang kesuntukan waktu untuk mengambil tahu hal sekeliling.

Apakah yang membuat hubungan insan ini menjadi semakin renggang dan hambar? Apakah ini hanya terjadi kepada jiran, rakan dan teman sepejabat? Apakah mungkin ia juga menyelubungi dalam sesebuah keluarga? Perkara pertama yang saya kenal pasti di sini adalah status ataupun kejayaan yang ditempa oleh seseorang individu dengan seorang lagi. Begitu juga perasaan pilih kasih ibu bapa kepada anak-anak mereka. Anggapan dan tanggapan masyarakat tentang status kehidupan juga menjadikan hubungan insan tidak lagi menerap unsur-unsur kewajipan akhirat. Semuanya duniawi sehingga kita bagai lupa satu hari semua yang kita ada akan ditinggalkan. Saya juga pasti sebahagian dari gejala sosial yang makin meningkat sekarang ini di sebabkan oleh perasaan tamak haloba, hasad dengki serta cemburu hati. Contoh di atas adalah sebahagian dari faktor-faktor yang menyumbang kepada gagalnya hubungan insan pada pandangan dan pendapat saya.

Kerana kesibukan yang terlalu ibu bapa kini banyak menghabiskan masa di luar rumah sebagai langkah untuk mengeratkan hubungan dengan anak-anak. Ibu bapa jarang sekali membawa anak-anak bertemu kaum keluarga, contohnya adik beradik sebelah ibu dan bapa serta saudara mara yang lainnya di hujung minggu. Pertemuan atau berkumpulnya saudara mara hanyalah sekali sekala juga. Kita selalunya bertemu ketika hari raya, kenduri kahwin ataupun kematian. Waktu pertemuan begini amat singkat dan kadang-kala tidak sempat untuk beramah mesra.

Oleh kerana zaman yang bergerak pantas, kaum ibu tidak lagi mengajak anak gadis menolong di dapur. Besar kemungkinan juga ramai di antara ibu moden tidak memasak untuk keluarga, kerana lebih mudah makan di luar. Begitu juga dengan kaum bapa yang tidak lagi mengajak anak lelaki membasuh kereta dan mengemas kawasan rumah bersama-sama. Aktiviti-aktiviti riadah di antara ayah, ibu serta anak-anak jarang dapat dilakukan, seperti bersama-sama bermain di padang. Lebih mudah masa di habiskan di pusat-pusat membeli belah dan makan di luar. Apabila berada di rumah pula anak-anak sibuk dengan permainan komputer, ayah baca suratkhabar dan ibu pula sibuk membelek wajah dan badan. Jarang benar sekarang ini saya melihat ayah dan ibu menonton televisyen bersama anak-anak, bermain board game dan bercerita bersama mereka.

Kekerapan makan di luar membuat anak-anak lebih mengenali nasi goreng di warung dari nasi goreng di rumah. Kata orang tua-tua air tangan ibu dan isteri akan menambah erat kasih dan sayang. Jadi apabila ibu dan isteri tidak lagi menyediakan makanan untuk keluarga, hubungan kekeluargaan lama kelamaan akan menjadi renggang. Apakah benar kenyataan orang tua-tua dahulu? Walaupun kehidupan manusia telah moden saya yakin kenyataan di atas masih lagi berguna dengan melihat apa yang berlaku di sekeliling kita. Anak-anak yang tidak lagi mendengar kata, pandai berdalih, menipu dan gejala sosial yang lain. Keadaan juga mungkin akan bertambah rumit kadang-kala apabila keluarga yang ada pembantu rumah. Boleh dikatakan hampir kesemua urusan rumah pembantu yang uruskan dan lakukan sehingga membawa beg sekolah anak-anak ke dalam kereta. Pada pandangan saya, akhirnya kita mengajar anak-anak yang pembantu itu adalah orang suruhan, hamba atau kuli, kerana kita tidak menerapkan unsur-unsur tanggungjawab dalam diri anak-anak. Maka dengan itu secara tidak langsung ataupun langsung akan wujud jurang diantara hubungan insan, yang dibezakan melalui taraf kedudukan atau status dalam masyarakat.

Pilih kasih juga adalah di antara faktor yang mendalangi hubungan insan. Memang tidak dapat dinafikan dalam sesebuah keluarga, pilih kasih memang berlaku. Kejayaan anak-anak menjadi kebanggaan ibu bapa. Namun seringkali kejayaan seorang anak dari seorang lagi menjadi titik tolak renggangnya hubungan. Anak yang berjaya dibanggakan dan kurang berjaya diketepikan. Di peringkat awal mungkin kesan dilihat tidak begitu ketara, tapi apabila riak mula merasuk pihak yang berjaya dan sering pula diberi perhatian maka tentu dengan sendirinya ada hati hati yang tercalar luka. Lama kelamaan hubungan adik beradik bertambah renggang dan besar kemungkinan juga membawa kepada perpecahan keluarga. Keretakan dan perpecahan ini akan berlarutan sehingga kadang-kadang ke hujung usia. Kesedaran dan keinsafan hubungan insan selalunya hadir ketika di hari tua. Ini adalah kerana sewaktu kita sihat, berduit dan kawan-kawan pula ramai, kita merasa gagah dan kuat. Tidak perlu sokongan keluarga dan saudara-mara kerana wang boleh menguruskan segalanya lalu mengenetepikan saudara-mara yang kurang berada. Ketika berada di puncak jaya dengan kemewahan yang melimpah ruah, ramai di antara kita lupa apa pula yang akan berlaku andainya kesenangan ditarik balik dan kawan-kawan meninggalkan kita? Berkemungkinan juga anak, isteri atau suami akan meninggalkan kita.

Di usia yang begini sedikit sebanyak aturan hidup telah saya lalui dan melalui pengalaman sendiri tiga orang ahli keluarga sebelah ayah meninggal dunia seorang diri. Hubungan ayah dengan mereka bertiga sekadar cukup untuk mengetahui ikatan abang dan adik, yang lahir dari ibu bapa yang sama. Keadaan ini sudah lama berlaku namun tidak saya ketahui punca dan penyebabnya. Saya juga tidak berapa pasti sudah berapa lama ayah saya dan mereka tidak berbual atau bertegur sapa sebelum mereka menyahut panggilan Illahi. Saya pernah bertanya namun tiada jawapan yang pasti saya terima, kerana pergeseran itu telah terlalu lama dan amat dalam. Setelah mengumpul sedikit fakta, saya dapati ayah dan mereka punyai ego yang tinggi dan tidak ada siapa di antara mereka yang mahu mengalah. Masing-masing menuding jari sesama sendiri dan membawa saya kembali menafsir hubungan insan itu sendiri. Apakah perlu bersikap begini? Apakah mungkin pergeseran yang berlaku di antara keluarga ayah berpanjangan kepada kami? Apakah ada hukum “karma” di dalam hubungan insan? Retak-retak yang ada masih kekal di situ dan apakah ada nanti hukum “karma” dari masa silam?

Walaupun begitu, hubungan insan tidak selalunya kejam dan di saat-saat kita memerlukan nasib rezeki menyebelahi mereka, dan pasti ada satu keinsafan menyelinap dalam diri bila berhadapan dengan keadaan begini. Masih ada kawan-kawan yang bersimpati dan membantu di saat akhir dengan memberitahu kami dan bersama kami hingga segala urusan selesai. Di antara bertiga hanya seorang sahaja berumahtangga, punyai tujuh orang anak namun akibat perceraian di usia tua membuat anak-anak terpaksa membahagi hujung minggu di dua rumah yang berasingan. Di hari minggu ketika semua berkumpul tidak pernah disangka yang itu adalah hari terakhir mereka bersama. Di saat tidak nampak bayang di awal pagi, jiran sebelah terus menalifon anak sulong arwah untuk datang melihat. Yang ditemui hanyalah sekujur tubuh yang telah kaku dan sejuk. Bila mengingatnya kembali ,saya terbayang apa akan terjadi andainya tiada hubungan insan yang begini. Kita tidak pernah akan tahu bila ajal menjemput kita, di mana dan bagaimana. Saya pasti dan yakin setiap amalan yang baik semasa hayat kita pasti memberi ganjaran yang amat bermakna setiap masa. Oleh itu biarlah berbudi walaupun tidak dikenang orang, tapi buat jahat jangan sesekali.

Bahasa pertuturan juga sudah beralih arah. Ramai anak-anak muda sekarang berbahasa kurang sopan dan susah serta payah untuk menerima pandangan dari orang yang lebih tua. Apabila nenek, datuk, makcik, pakcik dan sebagainya memberi nasihat dikatakan mereka membebel lalu terus angkat kaki. Mungkin juga pemerhatian saya silap dan cetek namun inilah hakikat yang kita hadapi sekarang. Pada pandangan yang lain, ada juga di antara kita yang menganggap hubungan insan ini kronik lebih-lebih lagi apabila kita menyayangi seseorang atau mengambil berat hal mereka. Apabila perasaan kasih, sayang serta cinta ini timbul, apakah mesti kita mengongkong atau mengikat orang yang kita sayang? Pernah di satu tahap saya mendengar sehingga tidak boleh keluar untuk berjumpa kawan ataupun membeli belah bersendirian. Disini agak sukar untuk saya mengerti dan mendapat tafsiran yang tepat. Setahu saya dan yang sering saya dengar dalam konteks ikatan suami isteri kita dinasihatkan serta sering diberi peringatan untuk saling percaya mempercayai, faham memahami saling bantu membantu dan dalam dunia yang serba mencabar ini tugas dan tanggungjawab isteri banyak; dari menguruskan hal rumahtangga, anak-anak dan menjalankan kewajipan sebagai seorang pekerja, andainya seorang isteri itu bekerja. Lalu saya bertanya pada diri apakah salah andainya isteri atau suami, keluar untuk bertemu rakan sekali sekala sebagai melepas penat lelah di rumah dan di pejabat? “Time off” seperti orang berkata, bukan sehingga mengabaikan tanggungjawab isteri atau suami. Mungkin saya perlu membuat kajian yang lebih terperinci dengan hubungan insan yang ini untuk mendapat tafsiran yang tepat dan bererti.

Terdapat satu lagi hubungan insan di dalam dunia yang moden ini. Hubungan insan yang pada awalnya tidak mengenali di antara satu sama lain, iaitu hubungan di alam cyber. Saya tergolong juga di dalam kategori ini. Dengan melayari laman-laman web kita berkenalan dengan seorang insan yang lain melalui nama yang tertera. Kawan-kawan yang kita temui di sini kebanyakannya mempunyai minat yang sama dengan tujuan untuk bertukar-tukar pendapat dan juga bersembang. Samada sengaja atau tidak sengaja hubungan begini akan membawa kita ke satu peringkat yang tidak juga kita ketahui. Sejauh mana hubungan sebegini hendak dibawa bergantung kepada keadaan dan keinginan masing-masing. Begitu juga dengan laman web yang di khususkan kepada muda-mudi yang mahu berkenalan bagi tujuan mencari pasangan hidup. Terdapat juga laman-laman web yang di khususkan untuk mencari kawan-kawan lama serta saudara mara yang telah lama terpisah.

Walaupun sering dikatakan permulaan hubungan begini punyai risiko yang tinggi, seperti penipuan, namun ada juga hubungan yang bermula di sini membawa kebahagian dan seribu rahmat. Ada di antara pasangan yang memulakan perkenalan di alam cyber ini mendirikan rumahtangga dan ada juga menjadi sahabat baik seperti yang saya temui. Jadi memang tidak dapat disangkal lagi walau dalam keadaan apa sekalipun hubungan insan tidak dapat dinafi dan dielakan.

Dari itu janganlah kita persia-siakan anugerah yang amat bermakna ini. Saya akui hidup dalam dunia yang moden ini semuanya terkejar-kejar dan mencuri waktu, namun janganlah kita terlalu bongkak dan taksub dengan keduniaan sahaja. Berada di tengah-tengah keadaan yang perlu mengimbangi segala keperluan kehidupan, saya akui ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Keinginan dan tanggungjawab perlu berjalan selari dan apabila kita gagal mengimbangi keadaan ini maka berlakulah pergeseran hubungan insan yang mungkin membawa retak terus kebelah. Kata-kata nasihat, kata-kata mutiara dan buku panduan banyak untuk kita teliti namun akhirnya diri kita sendiri yang menentukannya. Ambillah panduan dan nasihat yang boleh kita ikuti dan jangan juga jadikan nasihat sebagai jalan terputusnya hubungan insan kerana tidak semua nasihat yang diberi memberi munafaat kepada kita yang melalui dan merasai.

Owned and written by : Sanaa 02/11/10

One Response

  1. i’ve found you my frenn….may god bless u always…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: