• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • June 2011
    M T W T F S S
    « May   Jul »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  
  • Archives

Apa Orang Kata

Salam kepada semua rakan teman dan pembaca di blog ini.

Setelah hampir 3 minggu berlalu saya masih gagal mencari ruang waktu untuk mengulas lebih lanjut tentang Nur Kasih The Movie. Di dalam kepuasan menonton masih ada juga ruang untuk menyuarakan ketidakpuasan. Telah juga duduk bersembang dengan kawan-kawan tentang filem ini dan berbagai luahan rasa dicurahkan. Telah saya ambil nota dari segala kupasan dan curahan rasa yang diberi tapi masih lagi gagal memberi ulasan sendiri.

Dalam melayari Nur Kasih The Movie tidak kurang juga pendapat-pendapat yang diberikan di dalam akhbar serta blog persendirian. Setiap kali melayari internet dan terjumpa artikel-artikel berkaitan saya simpan untuk renungan sendiri dan mencari erti dalam setiap penulisan.

Seandainya ada ruang waktu saya akan tetap menulis ulasan sendiri untuk sama-sama dikongsi akan tetapi sebelum itu marilah kita sama-sama membaca artikel yang ada di bawah ini untuk kita meneliti kekurangan dan kelemahan Nur Kasih The Movie sebagai sebuah cerita yang telah dilabelkan sebagai fenomena. Saya menghargai setiap artikel yang ditulis kerana persepsi yang diberi berbeza di antara satu sama lain. Besar kemungkinan segala artikel yang berkaitan dapat memmbantu penulis-penulis skrip yang lain serta penerbit untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Kepada yang belum menonton silalah cuba mencari peluang menonton kerana masih ada lagi pawagam yang menayangkannya. Kepada yang sudah menonton mungkin boleh berkongsi sedikit sebanyak curahan rasa mengenainya. Sewaktu Nur Kasih The Series jujurnya saya pernah bersama Dodin bercerita dan ulang bercerita mengenainya ketika kami bercuti bersama. Dalam pada itu tidak kurang juga topik Nur Kasih mengisi perbualan seharian saya bersama Red dan sekali sekala dapat mengintai di sini dan juga email adalah Sup. Nur Kasih menemukan saya dengan ramai kenalan dan dalam apa jua keadaan sekalipun ia adalah cetusan idea dari seorang penulis yang pernah menghimpun keluarga dan membentuk silaturrahim sesama kita lebih kurang dua tahun yang lalu. Tahniah kepada Mira dan Kabir.

Nur Kasih adalah penyebabnya saya di sini, belajar merangkak dan menapak dalam hal penulisan. Walaupun ia tidak sejauh mana namun bagi orang yang tidak pernah mencuba seperti saya ia adalah kejayaan yang amat bermakna. Sokongan dan dorongan dari semua adalah penyuntik semangat untuk saya meneruskannya.

Seorang teman di sini pernah bertanya apakah blog ini juga akan berhenti setelah tamatnya kisah Adam dan Nur. Tiada jawapan yang mampu saya beri hanya Allah yang maha mengetahui. Semoga cahaya kasih yang ada tidak luntur hanya kerana cerita telah temui penamatnya.

Selamat menjamu selera kepada semua.

Salam kasih

Sanaa 09/06/11

*****

Kisah malang wanita bernama Nur

Yow Chong Lee
Jun 9, 11
9:48am

Hampir genap dua bulan saya tidak menjejak kaki ke panggung wayang untuk menonton filem tempatan. Perkara ini disebabkan oleh ketiadaan teman untuk menemani saya menonton filem tempatan.

Tidak sehingga kemarin, saya telah ditemani dua sahabat lain untuk menonton filem “Nur Kasih The Movie” (NKTM) yang sudah lebih dua minggu ditayangkan di panggung wayang.

Namun, sambutan terhadap filem ini amat memerangsangkan apabila melihat pawagam hampir dipenuhi penonton filem NKTM. Maka, tidak keterlaluan sekiranya seseorang itu meletakkan harapan yang tinggi terhadap filem yang telah mencatatkan kutipan hampir RM 4 juta setakat ini.

Pelbagai aspek filem ini telah menyumbang kepada kutipan panggung yang agak memuaskan ini. Antaranya, barisan pelakon sama ada pelakon utama ataupun pelakon sampingan yang arif membawa perwatakan mereka.

Kewujudan pelakon kanak-kanak yang memainkan watak Elias dan Mariam telah menambahkan unsur “feel-good-factor” kepada filem yang sudah memiliki barisan pelakon yang tidak asing daripada peminat filem dan drama tempatan.

Selain itu, cubaan pengarah untuk menggunakan cara penyampaian cerita yang agak berlainan dalam filem tempatan merupakan usaha yang harus diberi pengiktirafan. Contohnya, pengarah banyak mengaplikasikan unsur imbas kembali dan monolog pelakon turut membezakan filem ini dengan filem tempatan yang lain.

Bukan itu sahaja, terdapat beberapa babak yang menggunakan teknik kunjungan semula seorang watak pada masa silamnya telah menambahkan unsur saspens dan rasa ingin tahu kepada penonton.

Oleh sebab itu, saya berpuas hati dengan wang tiket yang telah saya belanjakan untuk menonton filem ini.

Memandangkan kutipan daripada penonton yang begitu lumayan adalah menjadi kewajipan kepada pengkritik filem untuk meneliti filem berkenaan dan bukannya setakat menyeru pembaca untuk menonton filem yang didakwa cukup merobek hati penonton itu.

Ramai yang sedar akan populariti drama bersiri “Nur Kasih” yang juga merupakan karya gabungan suami isteri (Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa) yang nama mereka tidak asing buat peminat filem tempatan.

Melalui NKTM, Mira Mustaffa yang merupakan penulis skrip filem cuba menyelitkan elemen kesedihan, kebahagian dan cabaran untuk menamatkan drama bersiri yang dikatakan tergantung sebelum ini.

Watak Malang Seorang Wanita

Namun begitu, saya kurang setuju dengan pendapat yang mendakwa filem ini mampu merobek hati penonton dengan menawarkan pelbagai babak yang memilukan penonton.

Hal ini kerana elemen kesedihan dan cabaran yang dimasukkan ke dalam filem ini sebenarnya dibentuk melalui watak malang seorang wanita yang bernama Nur Amina (Tiz Zaqyah).

Perkara ini boleh dilihat melalui plot-plot filem yang secara tidak langsung meletakkan kesalahan ke atas seorang wanita solehah yang banyak berkorban demi suami (Adam – Remy Ishak) dan ahli keluarganya.

Permulaan filem yang diisi dengan kebahagian keluarga kerana Nur yang dikurniakan cahaya mata telah ditamatkan dengan kejam oleh pengarah (ataupun penulis skrip) apabila kandungan Nur tergugur tanpa diberi penjelasan dalam filem ini.

Walaupun begitu, penonton harus diperingatkan akan babak-babak yang ditayangkan sebelum keguguran kejam ini berlaku. Sebaik sebelum keguguran bayi, Adam ditunjukkan seorang diri dalam bilik tidurnya lalu dikejutkan dengan keguguran bayi yang menimpa Nur.

Hal ini mungkin disebabkan oleh ketidakprihatinan Nur ke atas kandungannya sendiri, yakni terus (degil) melakukan kerja rumah walaupun beliau boleh meminta bantuan daripada Adam.

Sebelum ini, Nur ditunjukkan kurang prihatin akan kandungannya apabila beliau cuba mengambil bekas makanan yang diletakkan di dalam almari yang tinggi sebelum Adam menghentikannya lalu membantunya untuk mengambil bekas makanan tersebut.

Selepas itu, penonton dihidangkan beberapa babak yang menunjukkan Adam kelam-kabut membuat kerja rumah yang sebelum ini dilakukan oleh Nur.

Maka, secara tidak langsung, punca keguguran ini telah ditujukan ke atas Nur yang tidak mampu menjaga kandungannya. Disebabkan keguguran ini, Nur dan Adam telah diselubungi rasa sedih dan kecewa yang tidak mampu difahami oleh mereka yang tidak pernah kehilangan kurniaan cahaya mata daripada Tuhan yang maha Esa.

Ekoran daripada kekecewaan ini, mereka memulakan lawatan mereka ke Jordan untuk meredakan perasaan sedih yang sukar untuk diubati mahupun dipadamkan daripada memori mereka.

Di sini jugalah Nur dikisahkan sebagai pembawa malang kepada suami yang begitu menyayanginya itu. Dalam suatu kemalangan keretapi yang tidak disangkakan, nyawa Nur hampir tergugat akibat daripada kecederaan parah yang menimpanya.

Namun, Nur diberi peluang untuk meneruskan hidupnya selepas Adam berdoa kepada Tuhan. Doanya itu harus ditelitikan di sini – Adam sanggup dirampas segalanya selain Nur. Kerelaan Adam ini mungkin telah menyayat hati ramai penonton, namun ia telah mengundangkan malapetaka yang tidak jauh dahsyat ke atas dirinya, yakni nyawanya itu.

Nasib malang yang pada asalnya menimpa Nur telah beralih kepada Adam dalam susulan plot filem. Hal ini berlaku apabila Adam diserang kesakitan di jantungnya semasa perjalanan pulang ke hotel selepas mengalami kesulitan mencari cincin perkahwinan Nur.

Nur yang tidak berkeupayaan untuk menjaga cincin pemberian Adam telah kehilangan cincin itu dalam kemalangan keretapi yang meragut banyak nyawa. Nur bukan sahaja tidak mampu menjaga cincin berkenaan malah beliau ditunjukkan tidak sedar (kurang ambil berat) akan kehilangan cincin yang begitu bermakna buat Adam. Nur hanya tersedar akan kehilangan cincinnya itu selepas dipersoalkan oleh Adam.

Seperti yang disebut sebentar tadi, Adam telah diserang oleh kesakitan di jantung sebelum keretanya terbabas di kawasan gurun.

Kesakitannya itu disebabkan oleh bahan tajam yang termasuk ke dalam badannya sebelum ini (diceritakan dalam drama “Nur Kasih”).

Bermulanya dari sini juga, Adam mula menanggung kesulitan hidup yang amat sukar ditahani sesiapa jua. Beliau sentiasa mengalami kesakitan di jantungnya sehinggalah beliau redha dan bersedia akan kematiannya kerana beliau tahu tiada sesiapa pun yang boleh membantunya.

Bantuan perubatan yang diberikan oleh pihak hospital hanyalah mampu melanjutkan nyawanya dan bukannya mengubah keadaan.

Semasa Adam menanggung kesakitan dan bersedia dengan kematiannya itu, beliau telah diberitahu bahawa Nur kini sudah mengandung anak baru mereka.

Oleh itu, Adam perlu memikul tanggungjawabnya sebagai seorang ayah lalu “dipaksa” meneruskan kehidupannya dengan menanggung kesakitan yang tidak tertanding itu.

Di sebalik kesakitan Adam, Nur terpaksa memikul pelbagai tanggungjawab yang berat buat seorang ibu yang mengandung. Nur perlu mencari rezeki untuk menampung kos perubatan Adam dan pembelanjaan rumah yang amat tinggi di samping menjaga serta menemai suaminya, Adam.

Itulah situasi yang diberikan kepada seorang wanita bernama Nur dalam NKTM. Nur dikaitkan dengan dirinya yang merupakan pembawa malang kepada Adam lalu beliau dihukum dengan pelbagai bebanan dan tanggungan yang dirasakan berpatutan untuk berlaku ke atas dirinya.

Dengan kata lain, bebanan yang ditanggung oleh Nur telah dihalalkan hanya kerana Nur merupakan sumber kepada segala masalah yang berlaku ke atas Adam.

Nur: Sumber kepada Segala Masalah

Selanjutnya, Nur juga diberi perwatakan yang agak negatif yang boleh dibuktikan melalui beberapa babak yang amat segar dalam ingatan saya.

Antaranya, dalam suatu serangan pengganas bertopeng semasa Adam menemani Nur membeli belah di Jordan, nyawa Adam hampir diragut kerana cuba menyelamatkan Nur yang sudah diserang tembakan peluru.

Tindakan berani Adam menghadapi pengganas bertopeng itu cukup mengharukan penonton. Namun, semua ini dihentikan apabila penonton mengetahui keadaan sebenar bahawa aksi-aksi ganas tersebut hanya merupakan konstruksi mimpi Adam yang amat sayang dan prihatin terhadap Nur.

Oleh sebab itu, Adam terpaksa menanggung dan menghadapi kebimbangan, sekali lagi, akan kehilangan Nur yang merupakan bebanan kepadanya.

Bukan itu sahaja, kewujudan Ju – seorang remaja perempuan yang terjebak dalam masalah disiplin dan menghadiri kelas agama yang diadakan oleh Adam – turut menambahkan “dosa” (perwatakan negatif) ke atas Nur.

Hal ini amat jelas apabila Ju mematahkan keputusannya yang ingin berjumpa dengan Adam secara bersendirian apabila Nur mencampur tangan untuk menghalang Ju berbuat demikian. Di sebalik ajaran agama yang melihat tindakan Nur itu berpatutan, perkara ini perlu dikaji dengan lebih mendalam dengan melihat kesan-kesan tindakan Nur selepas itu.

Menurut kefahaman saya, Ju mempunyai masalah yang hanya ingin dikongsikan bersama Adam. Ju mengkin mempunyai perasaan sayang terhadap Adam dan mungkin lebih selesa untuk meluahkan masalahnya kepada Adam secara bersendirian.

Walau bagaimanapun, tindakan Ju telah dihalang oleh Nur apabila beliau cuba mendekati Ju. Oleh itu, masalah Ju tidak dapat diselesaikan dengan serta-merta malah berlanjutan sehingga tersebar ke atas Aidil, yakni abang kepada Adam.

Masalah ini jelas kelihatan melalui pertembungan darah di antara teman lelaki Ju dan Aidil. Dalam pertembungan darah tersebut, Mat (rakan sekelas Ju) tampil untuk menyelamatkan Aidil yang sudah mengalami cedera parah. Teman lelaki Ju yang hilang kawalan terhadap emosinya memukul Mat dengan pili besi sehingga Mat meninggal dunia.

Perkara ini berlaku kerana Ju membohongi teman lelakinya bahawa Aidil mempunyai hubungan sulit dengannya. (Sekali lagi, watak wanita diberi perwatakan yang negatif.)

Walaupun nyawa Mat, dan bukannya Aidil, yang tergadai di sini, penonton perlu sedar bahawa semua ini bermula dengan kemunculan Nur yang menghalang Ju untuk meluahkan masalahnya.

Masalah Ju mungkin dapat diselesaikan lebih awal dan malapetaka ini mungkin dapat dielakkan sekiranya Nur tidak menghalang Ju untuk berjumpa dengan Adam secara bersendirian.

Oleh itu, Nur bukan sahaja merupakan pembawa malang kepada Adam, beliau juga pembawa malang kepada Mat dalam perkara ini.

Mungkin ada sebilangan penonton yang berpendapat bahawa kematian Mat adalah berpatutan kerana pemergiannya telah membawa peluang hidup buat Adam yang mempunyai perwatakan yang jauh lebih baik berbanding dengan Mat yang bermasalah disiplin.

Meskipun begitu, penonton perlu memahami dua perkara, iaitu:

1) nyawa manusia adalah sama nilainya, tiada sesiapa yang patut didiskriminasi (atau diberi keutamaan) kerana perbezaan akhlak mahupun faktor lain (kekayaan, kaum, bangsa, agama ataupun pegangan politik);

2) kematian Mat yang menyelamatkan Adam (kerana Mat menderma jantungnya kepada Adam) juga boleh dibacakan sebagai “hukuman” kepada Nur sebentar nanti.

Sebagai “hukuman” kepada Nur yang merupakan sumber kepada segala masalah, beliau telah ditakdirkan hidup bersendirian tanpa Adam semasa usianya meningkat.

Pada masa itu juga, beliau kehilangan ingatan yang terbentuk sekian lama bersama suami yang disayanginya. Nur kelihatan nyanyuk dan kehilangan semangat serta matlamat hidup yang juah lebih baik semasa usia mudanya dulu.

Keadaan ini bertambah teruk lagi apabila penonton menjadi saksi kepada hubunga Nur dengan anaknya yang kelihatan kurang memuaskan apabila anaknya bagaikan kurang rapat dan tidak mengambil berat terhadapnya di penghujung filem.

Begitulah kisah malang seorang wanita yang bernama Nur. Persoalan utama di sini ialah, mengapakah Nur (wanita) selalu diberikan perwatakan negatif dalam filem?

Dalam filem ini, Nur ditunjukkan sebagai pembawa malang dan sumber masalah kepada watak lain, lalu, beliau “dihukum” oleh pengarah dan penulis skrip. Kita wajib memberi penekanan bahawa perkara seumpama ini tidak harus diulangi dalam filem yang menjadi sumber hiburan kepada hampir semua lapisan masyarakat.

Kesedaran sedemikian adalah penting agar filem tempatan tidak menyumbang kepada pengekalan subordinasi golongan tertindas (wanita dalam perkara ini) dalam masyarakat yang ingin memperjuangkan hak sama rata buat semua pihak.

Sehubungan itu, filem harus memainkan peranan dalam menyuarakan serta memperjuangkan hak-hak golongan subordinasi yang wujud dalam masyarakat dan bukannya menjadi alat mengaul keuntungan kepada pihak kapitalis.

Compiled by : Sanaa 09/06/11
Artikel Dari : http://www.malaysiakini.com

******
Tamatlah kisah Nur Kasih

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

SAYA perlu mengaku dengan jujur bahawa saya memang penggemar drama bersiri Nur Kasih yang pernah ditayangkan di TV3 sekitar dua tahun lalu.

Kekuatan Nur Kasih terletak kepada jalan ceritanya yang begitu menyentuh jiwa dan meruntun kalbu membabitkan tiga watak utamanya iaitu Aidil, Adam dan Nur Amina.

Ternyata, gandingan Kabir Bhatia dan isterinya, Mira Mustaffa masih lagi berbisa. Mereka juga telah membuktikan sekali lagi gabungan kreativiti pengarah dan penulis skrip telah meletakkan Nur Kasih di tahap paling tinggi.

Tiada siapa juga yang menyangka Nur Kasih telah mencetus fenomena luar biasa sehingga meletakkan satu tanda aras baru dalam penerbitan drama tempatan.

Malah, tidak pernah juga berlaku dalam sejarah apabila sebuah drama bersiri sebanyak 26 episod telah mencatatkan penontonan seramai 19 juta orang.

Benar, Nur Kasih telah membawa gelombang baru dalam industri hiburan sekali gus melonjakkan populariti tiga pelakon utamanya iaitu Fizz Fairuz, Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sehingga sebaris dengan pelakon ternama sedia ada.

Berbekalkan trek rekod yang cukup cemerlang itu, Kabir dan Mira tidak mahu membiarkan penonton dan pengikut setia Nur Kasih tertanya-tanya apakah kesudahan kisah Aidil, Adam dan Nur Amina.

Menyedari populariti Nur Kasih masih belum kebah dan permintaan yang cukup tinggi daripada peminat yang mahukan siri itu disambung, ia telah mendorong Kabir dan Mira untuk menamatkan segala-galanya dalam versi filem.

Saya akui begitu teruja untuk melihat hasil karya mereka kali ini sama ada ia mampu mencengkam jiwa dan naluri saya seperti mana impak daripada drama bersiri Nur Kasih.

Barangkali semua peminat Nur Kasih juga mempunyai perasaan dan keinginan yang sama seperti saya.

Kesilapan saya mungkin kerana telah meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat filem Nur Kasih the Movie (NKTM) menjadi sebuah filem terbaik tahun ini.

Semuanya kerana saya percaya dan yakin bahawa Kabir dan Mira mampu memberikan magis kerana mereka tidak pernah gagal membuat saya kecewa dengan karya mereka.

Namun, selepas menonton NKTM, perasaan saya bercampur-baur. Sukar untuk menetapkan keputusan sama ada saya suka atau tidak dengan karya Kabir dan Mira kali ini.

Saya mengharapkan sesuatu yang dramatik dalam filem ini, namun saya tidak merasainya seperti mana sewaktu menonton drama bersiri Nur Kasih setiap minggu.

Jalan ceritanya telah ‘disumbat’ dengan pelbagai plot sehingga ia menjadi kelam-kabut dan keliru. Mungkin ada yang tidak sependapat dengan saya, tetapi bagi mereka yang tidak menonton drama bersirinya, barangkali akan berasa sedikit ketinggalan.

Seperti mana yang saya katakan tadi, kesilapan saya mungkin terletak kepada pengharapan yang begitu tinggi terhadap hasil karya Kabir dan Mira kali ini.

Secara keseluruhannya, NKTM tidak berupaya merobek dan meruntun jiwa saya sepanjang satu setengah jam menontonnya kecuali untuk beberapa babak.

Salah satu yang memberikan impak kepada saya sehingga membuatkan air mata saya bergenang sewaktu Khadijah (lakonan Liza Othman) menziarahi Adam (Remy Ishak) di hospital dengan kata-kata azimat seorang ibu yang cukup luhur.

Namun, saya puji idea Mira yang mengambil pendekatan di luar kotak bagi menamatkan kisah Nur Kasih dengan begitu metaforikal.

Dari segi lakonan, setiap pelakon berjaya menghidupkan watak masing-masing termasuk dua pelakon cilik, Mohd. Ilyas Suhaimi dan Mia Sara Nasuha.

Begitu juga dengan aspek sinematografi yang masih mengekalkan identiti Kabir walaupun kali ini, NKTM tidak menggunakan khidmat Mohd. Nor Kassim yang sudah sinonim dengan karya Kabir.

Saya pasti tulisan ini akan mengguris hati beberapa pihak dan mungkin ada peminat fanatik Nur Kasih yang tidak akan sependapat saya.

Tetapi, ingin saya tegaskan ini adalah dari pandangan saya sebagai seorang penonton dan penggemar siri Nur Kasih.

Usah sesekali terpengaruh dengan tulisan ini kerana adalah menjadi tugas anda untuk menontonnya sendiri dan membuat penilaian sendiri.

Pendapat saya dan orang lain memang tidak sama kerana setiap daripada kita mempunyai persepsi serta pandangan yang berbeza-beza.

*****
Abang Nara dah pernah bagi review filem Nur Kasih yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam. Apa kata kita baca review daripada seorang pembaca BeautifulNara yang telah menonton filem ini. Oh ye, dengar ceritanya kutipan hari pertama filem Nur kasih ialah RM500,000. Tahniah Abang Nara ucapkan atas kutipan yang memberangsangkan ini.
Jom baca review filem Nur Kasih (tulisan pembaca ini tidak diedit langsung)

salam..
abg nara..saya fahana..
saya nk kongsi sedikit la pendapat saya tentang filem terbaru,NUR KASIH THE MOVIE (NKTM)..sy baru je g tengok tdi kat midvalley..jam 11.15pg,kira batch 1st la..saya pun bkn la pndai sgt nk kutuk ke komen ke mcm penggiat seni professional lain..kta2 ni lahir ikhlas dari hati,seorang penonton biasa..

Firstly,klau diberikan peluang untuk bgi mrkah,saya nk bagi 9.5/10 mrkah..klmhn dia cuma 1,ending dia agk kabur sikit..tentang siapa yg mati sebenarnya,coz memg jelas2 nmpak adam tak meninggal kerana ada penderma untuk dia dan penderma tu yang mati,tetapi bila scene yang aidil cakap,”sya snggup buat apa shja demi nur selagi sya masih hidup”..sya pelik,kenapa,adam da mati da ke?..tapi adam mati ketika usia tua..itu je la..

tapi yang lain superb..mmg best..dari segi lakonan,teknik gambaran,cara ambil shoot,semua ok..lawa pulak tu gmbar yang diambil..lgi 1,endingnya unik,dan sememangnya adalah penutup untuk rangkaian kisah nur kasih..mungkin pengarah mahukan begitu agar penonton tidak lagi meminta sambungan kisah cinta ni..
segala scene yang di ambil,semua ada mesej tersendri,dan terikat antra 1 sama lain,klau terlepas 1 scene,mka kita x fham seterusnya..jadi kena fokus..

jlan cerita tersusun,x ada cacat cela..dan boleh mmbuatkan penonton menangis..lakonan pra pelakon juga mntap dan natural(remy ishak,tiz,fizz fairuz dn lain2)..sya boleh bagi tepukan gemuruh..serius..terutamnya watak knak2 lakonan miasara dan seorng lagi knak2 lelaki yang memegang watak ilyas,natural dan selamba,watak ini la yang menceriakan disebalik kisah2 sedih yang dipaparkan..tabik spring..

lokasi yang dipilih juga cantik..jordan..
kira mcam real la lakonan para penduduk Jordan sana..rasa macam tengok cerita arab pun ada..siap ada scene tembak2 lagi..kira plot cerita dah diadun cantik.. lagu2nya juga disusun cantik sesuai dengan part dn jlan2 cerita..menyebabkan kita bleh terbuai dengan cerita dan emosi kita trut sama menyelami cerita ini..thniahh pengarah muzik,hafiz hamidun..

panggung tadi memang penuh..tak ada kerusi kosg pun..tu baru yang 11.15 pg punya part..belum lg yang 5 lagi tygn selpas 11.15pg pda hari ni..mmg sambutan luar biasa..rmai makcik2 yang g tengok..memang best tengok suasana tadi..meriah..

secara jujurnya,saya nak ucapkan tahniah kepada pengarah,kabir Bhatia,penulis skrip,mira Mustafa,para pelakon dan krew rangkaian NKTM,coz Berjaya mghasilkan cerita bermutu,dan memberikan kerjsama yg cemerlang untk cerita ini..syabas dan teruskan berkarya..

dan klau mau tahu,sya memilih menonton NKTM dari Pirates or Caribean yang baru,sebab, da lama sya menunggu sambungn cerita ini..saya hrap penonton lain dapat menonton filem ini dn nilaila sendiri..berbaloi tiket anda tu dengan cerita yg anda nak tengok ni..saya harap anda bersetuju dengan kata2 saya ni..sekian..~~fahana..

sumber dari beautifulnara

Compiled by : Sanaa 09/06/11

*****

Di Manakah Kehebatan ‘Nur Kasih The Movie’?

Ulasan WAHIDUZZAMAN (wahi@thestar.com.my)

Tiga tunggak utama Nur Kasih The Movie, Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Fizz Fairuz pada sesi pratonton media, baru-baru ini.

JIKA pengarah filem Kabir Bhatia mampu mengubahsuai beberapa elemen keterlaluan yang tidak perlu dimuatkan, tentu filem yang paling dinantikan Nur Kasih The Movie (NKTM)ini akan jadi filem malar hijau.

Lupakan saja elemen drama ‘cinta agung’ Adam pada Nur Amina, babak kemalangan kereta api dan mimpi ngeri, tentu filem ini mampu jadi lebih baik.

Sayangnya, filem ini dicelarukan oleh paparan elemen drama yang keterlaluan. Impaknya,NKTM menjadi sebuah naskhah yang hanya layak dipanggil sebuah kompilasi drama-drama Nur Kasih yang sepatutnya diangkat sebagai karya hebat di layar lebar.

Andai menerusi dua filem cinta sebelum ini iaitu Cinta (2006) dan Sepi (2008), gandingan Kabir bersama isterinya Mira Mustafa selaku penulis skrip mampu menyentuh jiwa tetapi kurang berkesan untuk kali ini.

Memang NKTM punya mesej yang baik dan diwarnai penyampaian yang menghiburkan, cuma ia disulami elemen dramatik yang keterlaluan.

Adalah mengecewakan apabila persembahan bermutu Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah dan Liza Othman dicemari kecelaruan plot filem ini.

Mungkin lakonan Remy hanya pada tahap sederhana berbanding Fizz dan Tiz tetapi secara keseluruhannya semua pendukung filem ini telah menepati standard yang diharapkan.
Cinta Adam lakonan Remy Ishak dan Nur Amina (Tiz Zaqyah) terus diuji dalam filem ini.

Begitu juga lakonan tiga pelakon muda yang menggalas watak remaja bermasalah iaitu Syafie Naswip, Sara Ali dan Muniff Isa.

Babak pergaduhan di dalam terowong antara tiga pelakon ini dengan Aidil (Fizz Fairuz) adalah antara paparan terbaik yang mengagumkan. Mereka dilihat cukup bijak mencuri ruang yang lazimnya didominasi oleh Remy, Tiz dan Fizz.

Seperti yang dijelaskan, momentum filem ini tidak konsisten dan penuh pasang surutnya. Bahkan, NKTM juga berakhir dalam kehambaran.

Mujurlah, gestur dan permainan emosi aktres veteran Afida Es sebagai Nur Amina versi tua di penghujung filem banyak menyelamatkan keadaan.

Dua aspek teknikal yang lemah adalah imej janaan berkomputer (CGI) yang kasar dan tidak realistik pada babak-babak kemalangan dan letupan dan solekan pada wajah para pelakon terutamanya Remy Ishak.

Entah kenapa, solekan Remy kelihatan tebal dan tidak sekata membuatkan aktor hitam manis itu tampak putih melepak dan pelik.Kalau sudah namanya filem Kabir, aspek sinematografi adalah sesuatu yang begitu dinantikan.
Fizz Fairuz mempamerkan lakonan yang lebih matang dan meyakinkan sebagai Aidil.

Untuk kali ini, syot-syot yang diberikan memang cantik dan menarik. Pun begitu, jika diamati kebanyakan syot dalam filem ini bukanlah sesegar mana pun.

Bagi yang mengikuti pelbagai filem mahupun drama-drama arahannya, pasti dapat menghidu stail syot yang lebih kurang sama diguna pakai kali ini.

Babak montaj Nur Amina dan Adam bergurau senda tika dilatari lagu Aizat iaitu Lagu Kitasegera mengingatkan kita pada babak kejar-mengejar dalam filem Sepi (2008) antara Adam lakonan Afdlin Shauki dan Ilyana (Vanidah Imran).

Bagaimanapun, masih banyak syot yang mengasyikkan. Adegan Nur Amina (Tiz Zaqyah) menangis di jendela selepas mengalami keguguran umpamanya, adalah antara syot terbaik yang punya jiwa.

Sememangnya kunjungan warga kerja NKTM ke Jordan tidak sia-sia. Syot dan panorama di bumi itu kelihatan memukau pada skrin, sekali gus menambahkan mood romantis filem ini.

Dalam pada Kabir dan Mira cuba membuai penonton dengan paparan dan dialog puitis, filem ini juga dilihat tajam pada sindirannya.

Antara yang paling menarik tentunya babak yang melibatkan seorang ustaz lakonan Beto Khusairy yang bersikap prejudis terhadap golongan anak muda yang compang-camping pada penampilan.
Tiz Zaqyah menterjemahkan emosi dan jiwa Nur Amina dengan baik dan berkesan.

Sejujurnya, tahap kepuasan menonton filem ini tidaklah sebesar jangkaan awal. Malah, tidak keterlaluan jika melabelkan plot drama bersiri yang menjadi fenomena dengan rating keseluruhan hampir 18 juta penonton ketika disiarkan di TV3 tidak lama dulu jauh lebih baik daripada versi filem.

Kita memahami kesuntukan masa dan keterbatasan ruang yang perlu dikompromi oleh Kabir untuk versi layar lebar ini. Namun, pengarah dari Mumbai, India ini sewajarnya lebih arif untuk menyusun NKTM agar sekurang-kurangnya tidak menjadi sebuah filem yang lemah.

NKTM yang berkisar pada kehidupan watak Aidil (Fizz Fairuz), Adam (Remy Ishak) dan Nur Amina (Tiz Zaqyah) selepas tujuh tahun daripada siri televisyen itu masih lagi memaparkan pelbagai ujian dan dugaan yang silih-berganti dalam hidup mereka bertiga.

Aidil yang kematian isterinya kini mengharungi hidup sebagai bapa tunggal untuk membesarkan dua anaknya, selain cuba membantu ujian dalam rumah tangga Adam dan Nur Amina.

Adam dan Nur Amina yang kian bahagia terus diuji dengan masalah keguguran Nur Amina dan penyakit Adam yang mengancam nyawanya.
Panorama indah bumi Jordan yang melatari percutian Adam dan Nur Amina membangkitkan lagi mood romantis dalam filem ini.

FILEM: Nur Kasih The Movie

ARAHAN: Kabir Bhatia

LAKONAN: Remy Ishak, Tiz Zaqyah, Fizz Fairuz, Liza Othman, Muniff Isa, Sara Ali, Syafie Naswip

GENRE: Drama

DURASI: 1 jam 30 minit

EDARAN: Grand Brilliance

TAYANGAN: Bermula 19 Mei 2011

Compiled by : Sanaa 09/06/11

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: