• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • June 2011
    M T W T F S S
    « May   Jul »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    27282930  
  • Archives

Diari Seorang Wanita

Kelahiran kita di dunia tiada siapa yang mengetahuinya. Kita terlahir dari pencatuman lelaki dan wanita dalam ikatan perkahwinan. Tidak mengenali dan mengetahui siapakah ibu bapa kita sebelumnya. Tidak juga mengetahui apakah kelahiran kita memang diharap atau dinantikan. Dari tangisan pertama hinggalah kita dewasa dan mengenali erti kehidupan sambil cuba memahami setiap yang berlaku membawa kita ke penghujung usia yang belum tentu.

Ahli kaji fikir, pujangga serta falsafah mengatakan pengalaman mendewasakan kita dan pengalaman membawa perubahan. Dalam mencari pengalaman ada derita dan sengsara dan tidak semuanya bahagia. Dari manakah datangnya bahagia andai setiap detik dan masa harus mengharungi derita? Lalu timbul peribahasa untung sabut timbul untung batu tenggelam. Apakah itu bermakna percaturan yang terjadi salah sendiri? Apakah langsung tiada simpati? Akhirnya Allah Yang Maha Mengetahui setiap perjalanan hidup hambaNYA di bumi ini. Namun sejauh mana kekuatan insan dapat bertahan dalam dunia yang penuh onak dan ranjau.

Diari Seorang Wanita membawa kita menjejak langkah kehidupan seorang wanita yang lahir dari sebuah keluarga sederhana. Kelahirannya disambut baik oleh ibu dan bapa serta kaum keluarga yang lain. Sebagai anak sulung tentunya segala tumpuan diberi padanya. Waktu berlalu dengan begitu pantas sehinggalah dia perolehi 3 adik lelaki dan 2 perempuan. Sejak kecil dia bukanlah anak yang pintar tapi amat rajin berusaha. Apa saja disuruh oleh ibu dan bapa atau datuk dan nenek tidak akan terabai. Dari menjaga adik-adik hinggalah membantu ibu dan nenek di dapur. Hari dan masa berlalu dan bermulalah putaran hidup yang penuh sendu apabila dirinya mula dibeza-bezakan dengan adik-adik yang lain. Perbezaan berlaku hanya kerana pencapaian akademik yang kurang berbanding yang lain. Kelulusan pangkat 3 di dalam SPM hampir 30 tahun yang lalu membolehkan dia mendapat kerja di sebuah firma guaman sebagai seorang kerani. Dengan tulang empat kerat yang dikurnia Allah dia menjalankan kerja dengan tekun. Selama tiga tahun bekerja tidak pernah sekali diabaikan tanggungjawab kepada keluarga. Tetap menjalankan kerja rumah seperti biasa sebelum dan selepas pulang dari kerja.

Ikutilah sedikit sebanyak jalan yang dilaluinya.

Berbekalkan SPM dan sedikit simpanan yang ada, aku membawa diri ke rantau orang dengan harapan dan hasrat untuk mengubah nasib diri. Jauh kaki aku melangkah sehingga ke benua Eropah. Dari satu destinasi ke satu destinasi sehinggalah aku menjejakkan kaki di kota London. Di sini nasib menyebelahi diri ku kerana seorang kawan tolong mendapatkan pekerjaan dan tempat berlindung. Tulang empat kerat yang dikurnia Allah aku gunakan dengan sebaik-baiknya. Bekerja di sebelah siang dan menyambung pelajaran di sebelah malam supaya dapat berada di kota ini dengan lebih lama dan bukan sebagai pendatang haram. Aku berazam memperbaiki kehidupan dan berjanji pada diri tidak akan sia-siakan peluang yang ada.

Langkah diatur dengan teliti semoga impian terlaksana dan tercapai. Keghairahan neon kota London tidak mengubah pendirianku. Selama tiga tahun dengan berbekal semangat yang membara akhirnya kelulusan dalam bidang bahasa Inggeris diperolehi membolehkan aku mengajar di mana-mana sekolah antarabangsa. Di samping itu aku memahirkan diri mempelajari masakan Inggeris dengan harapan untuk menjadikan perniagaan satu hari nanti. Setelah keputusan di perolehi, tawaran datang dari sebuah institusi sebagai tenaga pengajar. Dengan peluang yang diterima serta bayaran gaji yang setimpal, taraf kehidupan makin terjamin membuatkan aku mampu merancang untuk masa depan dengan baik. Dari bayaran gaji pertama sebagai pengajar aku sudah mula menghantar wang kepada mak dan abah. Walaupun hati masih tersayat pilu tanggungjawab sebagai seorang anak tidak akan aku abaikan.Itulah janji yang aku beri sebelum meninggalkan keluarga dan tanahair empat tahun yang lalu.

Tugas sebagai tenaga pengajar aku laksanakan dengan sebaik-baiknya. Aku juga masih terus mengikuti kelas masakan di waktu lapang. Setiap malam aku tatapi lampu neon yang bergemerlapan di kota London. Tidak sedikitpun menimbulkan keghairahan untuk sama-sama hilang dalam arus kota yang serba mencabar ini. Aku ingat kembali tujuan aku ke mari, matlamat hidup yang ingin dan mahu aku ubah dan perolehi. Tapi entah di mana silapnya huluran tangan seorang jejaka mat salleh membuat tembok pertahanan aku musnah. Jejaka tersebut yang bekerja sebagai tenaga pengajar di institusi yang sama mula menegur aku ketika kami sama-sama menghadiri kem pelajar semasa cuti musim panas. Sebelum ini kami hanya berselisih dan berbalas ucapan selamat pagi. Dari teguran pertama terbitlah bibit-bibit cinta yang mekar di hati. Setelah menyulam cinta selama dua tahun ikatan pernikahan di meterai tanpa keluarga di sisi. Aku bahagia kini bergelar seorang isteri. Setelah hampir enam bulan mendirikan rumahtangga dan dalam bahagia yang dirasa hatiku melonjak-lonjak untuk pulang bertemu keluarga. Sudah tiba waktunya juga untuk aku memperkenalkan suami kepada mak dan abah, adik-adik dan juga ahli keluarga yang lain.

Ketika membuat segala persiapan, aku tidak putus-putus berdoa semoga kepulanganku nanti akan menjernihkan sedikit kekeruhan yang ada. Itu saja doaku sepanjang masa sehinggalah tiba masa untuk kami pulang. Kepulangan ku tidak disambut girang oleh mak. Entah macam mana memang telah aku jangka sambutan dingin dari mak tapi aku ingatkan kerana bertahun tidak berjumpa adalah sedikit perubahan namun mak tetap sama seperti dahulu. Segala harapan dan impian yang aku sulam menjadi sia-sia. Terasa amat pedih hati ini akan tetapi perubahan abah membuat aku menyabarkan diri. Abah terlalu gembira menyambut kepulangan aku dan suami. Dari minit pertama nampaknya mereka dapat menyesuaikan diri masing-masing. Adik-adik tidak banyak hal. Mereka terima seadanya sehingga adik lelaki ku yang nombor tiga merayu supaya jangan pergi lagi, kesian abah sambungnya. Kenapa dengan abah? aku bertanya. Dia hanya tunduk membisu. Setelah seharian bersama tahulah aku kini yang abah disahkan mengidap penyakit jantung dan juga kanser hati. Mengikut lapuran doktor tiada apa yang boleh di buat lagi selain memberi ubat menahan sakit. Walaupun begitu abah tidak terlantar dan tidak juga mengadu sakit. Wajahnya memang kelihatan uzur tapi masih mahu berbual dan tersenyum.

Aku rapati dirinya malam itu. Memegang tangan dan menggenggam jari jemarinya. Dengan deraian airmata aku memohon maaf atas segala kesalahan. Tiba-tiba abah minta aku berhenti berkata-kata. Abah memohon maaf padaku kerana selama ini tidak berlaku adil kepadaku, sering membezakan diriku dengan adik-adik tapi hakikatnya pemergianku meninggalkan luka yang dalam di hatinya. Aku menjadi lebih hiba bila abah kata waktunya tidak lama lagi, mungkin ada hikmah disebalik kepulangan ku. Airmata ku terus bercucuran ketika abah berkali-kali memohon maaf. Aku memeluk abah dalam esak tangisku, terasa begitu lama dakapan ku. Tangan abah mengurut-ngurut belakangku, memujuk serta menenangkan diriku dalam tangis. Abah juga berpesan berkali-kali supaya menjadi isteri yang baik dan didiklah suami untuk mengenal Islam dan mempelajarinya juga. Malam pertama kembali berada dirumah mak dan abah setelah sekian lama aku tinggalkan, akhirnya aku terlena dalam esak dan tangis. Patutlah hatiku melonjak untuk pulang, rupanya lonjakan itu mempunyai makna yang tersimpan. Selain rindu yang bersarang ia mungkin dari doa abah juga mahu bertemuku. Aku pujuk hati untuk tidak menjadi sayu kerana abah tidak sedikitpun menunjuk tanda-tanda muram dan bersedih. Aku berusaha menyediakan makanan kegemarannya setiap hari sejak aku pulang. Abah masih ada selera untuk makan walaupun sedikit ia tetap menggembirakan hatiku. Aku berusaha untuk tidak menangis setiap kali menatap wajah abah. Suamiku pula suka melayan abah berbual. Tidak pula aku bertanya apa yang mereka bualkan. Kini sudah hampir dua minggu aku pulang dan rutin harianku dipenuhi bersama abah.

Aku terjaga dari tidur kerana terdengar ketukan di pintu. Rupanya adik lelakiku memanggil kerana abah sudah mula sesak nafas. Abah merayu pada semua untuk tidak membawanya ke hospital. Abah meminta kami adik beradik hanya membaca Yassin untuknya. Setelah sejam berlalu abah tertidur kembali namun tiada seorangpun dari kami bergerak dari sisinya. Bacaan Yassin diteruskan sepanjang malam itu dan tanpa kami sedari rupanya abah telah pergi meninggalkan kami. Abah pergi dengan tenang dan aman dalam tidurnya. Ketika adik lelaki ku menghampirinya abah sudah tiada. Mungkin abah pergi di antara subuh dan sebelum fajar. Abah pergi buat selamanya ketika baru dua minggu bersua setelah berpisah hampir enam tahun lamanya. Pemergian abah aku ratapi sendiri. Terlalu payah untuk airmata ku berhenti. Susah untuk aku gambarkan dengan kata-kata akan tetapi yang nyata abah meninggalkan kesan di hatiku walaupun marah dan herdiknya bagai masih bernyanyi di telinga. Kerana abah aku kenal hidup ini dan kerana abah aku menangis lagi.

Setelah selesai segalanya dan setelah amanat arwah abah dibacakan oleh peguam peribadinya, aku sekali lagi dipersalahkan kononnya abah pergi sebab terlalu menanggung derita dek perbuatanku. Aku jadi buntu kerana kata-kata nista itu datang dari mak sendiri. Tidak habis-habis mak mengungkit kisah dulu dan pemergian abah yang kuburnya masih merah. Aku pujuk hati kerana mungkin mak juga masih tidak dapat menerima kehilangan suaminya namun ia terlalu kejam untuk terus didengari. Hanya suami yang setia berada di sisi dan seorang adik lelaki cuba memujuk untuk membiarkan mak begitu. Adik-adik yang lain tidak henti-henti memujuk supaya tidak pergi lagi. Tapi apakan daya kerana tugas dan tanggungjawab yang ada, aku mesti kembali semula ke kota London. Kemarahan mak masih bersisa tapi tetap disabarkan hati kerana mengingatkan aku seorang anak. Percutian yang pendek itu meninggalkan kesedihan yang amat sangat di hatiku. Oleh kerana leteran mak yang tidak berhenti sejak abah pergi, timbul pula perbalahan di antara mak dan suamiku. Ini adalah gara-gara suamiku yang sendiri sudah tidak tahan dengan leteran dan kata-kata kesat mak. Walaupun ada perbezaan bahasa namun mereka bagai tahu apa yang dicurahkan. Antara pelik, geram, marah dan sakit hati ia mampu membuat aku ketawa dengan perangai dua manusia ini. Pemergian abah yang dikasihi masih amat dirasa kini ditambah pula dengan perbalahan di antara suami dan ibu sendiri. Ya Allah berilah aku kekuatan, itu saja yang mampu diucapkan, aku bermohon. Hanya pada Allah aku berserah.

Aku jalani kehidupan seperti biasa walaupun ada kalanya kenangan kepada arwah abah datang menggamit. Rumahtangga yang dibina aman bahagia dan setelah dua tahun lamanya berita gembira di terima. Doktor mengesahkan aku berbadan dua. Berita yang amat dinanti oleh kami suami isteri. Alhamdulillah aku tidak punya banyak masalah ketika mengandung. Makin hari kandungan aku membesar dengan sihat dan sekali lagi ada lonjakan yang mengejutkan diriku sendiri. Aku amat mahu melahirkan anak yang dikandung di Malaysia. Keinginan dan hasrat hatiku disampaikan pada suami. Sudah tentu suamiku tidak mengizinkannya. Puas dia memujuk aku untuk tidak pulang ke Malaysia semata-mata mahu melahirkan tapi aku tetap berdegil. Kedegilan ku membuat suamiku hilang punca. Hendak tak hendak mahu tak mahu akhirnya dia memberi keizinan. Aku mula membuat perancangan untuk pulang pada usia kandungan berusia enam bulan. Hanya selewat itu usia kandungan masih di benarkan oleh pihak penerbangan. Dalam pada itu aku tertanya-tanya juga pada diri sendiri kenapa aku beria-ia mahu pulang. Aku bukan anak emas mak tapi aku tetap mahu pulang. Ketika usia kandungan menginjak lima bulan aku memohon cuti dan balik ke Malaysia seorang diri. Suamiku akan menyusul kemudian kerana masih terikat dengan jadual persekolahan yang masih berjalan.

Tibalah masa yang di nanti-nantikan, lahirlah seorang puteri buah hati cinta sepasang suami isteri. Kelahirannya disambut baik oleh nenek dan ahli keluarga yang lain. Hilang sementara rasa perit melahirkan apabila melihat mak begitu gembira. Antara sedar dan tidak airmata mak turun di pipi. Sukar untuk aku jangka perasaan mak di saat ini kerana anakku bukan cucu pertamanya. Mak sudah punyai empat org cucu dari adik-adik yang lain.

Dalam kegembiraan yang di rasa saat perpisahan berlaku lagi apabila tiba masa untuknya aku kembali menyambung tugas. Selama hampir 6 bulan duduk dengan mak sebenarnya tidak banyak yang berubah. Mak masih lagi seperti dahulu. Angin dan leterannya memang mengguris hati. Namun entah macam mana aku mampu mengharunginya dari saat aku sampai ke tanahair hinggalah aku kembali meninggalkan mak kembali.

Rutin seharian hidupku berubah kini dengan kehadiran cahaya mata. Kalau dulu selepas mengajar aku masih mampu untuk berjalan-jalan di kota tapi sekarang ini sebaik saja tamat waktu sekolah aku mahu bergegas pulang. Aku gembira melihat perkembangan sihat puteri ku. Dari langkah pertama. gigi pertama dan juga perkataan pertama adalah pelajaran bagiku setiap hari. Melihat kegembiraannya hatiku berdetik semoga kami dikurniakan seorang lagi cahaya mata secepat mungkin.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun. Rezeki kami suami isteri bertambah apabila aku disahkan mengandung anak yang kedua. Anak ibarat pengikat kasih suami dan isteri begitulah juga yang diharapkan dengan kehadiran cahaya mata yang kedua setelah adanya sedikit perselisihan di antara aku dan suamiku suatu masa dahulu. Terasa duniaku amat bahagia dan berita kandungan disambut baik oleh suami. Dalam masa yang sama aku berjanji kali ini akan melahirkan anak kami di London. Namun tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi, tatkala kandungan berusia empat bulan sekali lagi hati aku terlonjak-lonjak mahu melahirkan anak di Malaysia juga. Perkara ini menimbulkan kemarahan di hati suami apabila di utarakan hajat untuk sekali lagi pulang ke Malaysia. Pertengkaran demi pertengkaran menyusul selepas itu. Aku amat tertekan, tapi pada siapa boleh aku mengadu. Setiap pertengkaran akan membawa suamiku keluar dari rumah dan pulang di awal pagi. Kalau ditanya pasti akan mencetuskan perbalahan lagi.

Kelainan mula aku rasa. Aku jadi rindu pada tanahair yang telah aku tinggalkan lebih kurang dua belas tahun dahulu. Amat dirasakan kehilangan ketika berada di perantauan. Bukan lagi sekadar mahu pulang untuk melahirkan tapi ingin kembali menetap di tanahair sendiri. Kelulusan yang di perolehi pasti tidak akan menyukarkan kami untuk mendapat pekerjaan nanti. Itulah yang diharapkan. Akan tetapi kali ini tentangan hebat dari suami mesti aku dihadapi. Aku pasti suamiku tidak akan bersetuju sama sekali dengan cadangan dan keinginan aku ini. Tiba-tiba saja aku merasakan membawa perwatakan arwah abah dalam diri. Degil. Kedegilan mengatasi segala. Aku tidak peduli lagi. Biarpun kami asyik bercakaran aku tetap dengan keputusanku. Akhirnya suamiku kecundang dan menurut segala kemahuanku. Hatiku melonjak riang kerana harapan mahu pulang kepangkuan keluarga dipenuhi. Tanpa berfikir apa lagi dengan seorang puteri yang makin membesar dan kandungan juga yang makin membesar, aku membuat persiapan untuk pulang ke tanahair untuk selama-lamanya.

Berita ini aku sampaikan kepada adik lelaki bongsu. Berita yang disambut baik oleh ahli keluarga kecuali hati mak memang aku tak tahu. Apapun kepulangan ku menampak keriangan di wajah adik-adik yang lain. Selain itu ada juga bapa saudara dan ibu saudara yang menyokong. Ini adalah kerana kepentingan anak-anak yang menjadi kebimbangan mereka. Maklumlah aku bersuamikan bangsa asing. Selang tiga bulan selepas itu lahirlah seorang lagi puteri menyerikan rumahtangga yang dibina atas dasar cinta.

Kelahiran puteri kedua disambut gembira oleh semua namun mendung yang pernah ada tiga tahun dahulu di antara mak dan aku rupanya tidak berarak pergi. Perangai mak masih tetap tidak berubah. Mak bagai berdendam denganku. Kali ini perangai mak lain macam pula. Anak sulungku diajak bermain dan bercerita dengannya. Bayi yang baru lahir tidak kenal apa-apa kalau menangis hampir keras perutpun tak dipeduli. Perangai mak makin keterlaluan sejak akhir-akhir ini. Mak masih tidak menyejukan hati anak dan menantunya. Walaupun tinggal berasingan mak tidak habis-habis datang mengganggu. Kesabaran seorang lelaki bergelar suami tergugat kini. Berlainan adat resam dan budaya menjadi keadaan lebih meruncing kerana kedua-duanya tidak mahu mengalah. Apabila kesabaran hilang dan tidak mahu berfikir panjang, keretakan yang dahulu menuju belah. Cinta yang pernah terlafaz bagai tiada makna apabila sang suami melangkah pergi tanpa menghirau pujukan aku sebagai isteri dan tangis sang puteri. Puteri kedua masih tidak tahu apa-apa, masih terlalu bayi untuk menyelami kedukaan hati ibu yang ditinggal suami serta tangisan kakak yang bakal kehilangan ayah. Perpisahan yang tidak dirancang dan tidak pernah dibayangkan sekarang ini mesti ditempuh. Panas terik mentari yang pernah menyinari rumahtangganya kini dilanda badai yang tidak bertepi. Deritanya tidak berakhir. Pemergian suami dengan meninggalkan dirinya keseorangan bersama dua orang anak yang masih kecil. Segala pahit dan getir yang ada terpaksa ditelan sendiri. Lebih menyakitkan kata-kata kesat dan nista ibu kandung mesti didengar dan diterima.

Hari demi hari dilalui dengan linangan airmata. Tangis anak-anak adalah tangisnya. Telah dua tahun berlalu namun tiada berita dari suami yang telah pergi. Ikatan yang ada terputus begitu saja. Kekuatan yang masih bersisa aku gunakan untuk membesar dan mendidik dua orang puteri yang masih kecil. Tiada satu haripun dilalui tanpa mengharapkan kepulangan suami untuk melihat cahaya mata mereka. Makin cuba ditabahkan diri makin tercengkam dek kata-kata nista dari ibu sendiri. Puas sudah dipujuk hati untuk terus bersabar. Airmata adalah teman setiaku. Andai dulu tangisnya sebagai anak yang dibezakan kini tangisnya mengenang nasib kedua puteri yang tidak lagi mengenali bapa kandung. Harapan tinggal harapan, usaha untuk berhubung dengan suami dan bapa kepada anak-anaknya sia-sia saja. Hidup mesti di teruskan demi masa depan anak-anak. Akhirnya dengan bantuan seorang kawan dapatlah dia membeli sebuah rumah sebagai tempat berteduh mereka anak-beranak jauh dari ibu dan keluarga. Sekali lagi bermulalah hidupnya dirantau orang. Berada jauh di utara tanahair, keadaan makin aman. Bertugas sebagai tenaga pengajar di salah sebuah sekolah antarabangsa, aku membangunkan semula hidup bersama dua orang puteri yang dikasihi.

Kehidupan sebagai ibu tunggal menduga segala kesabaran apabila segala keperluan anak dan diri mesti diuruskan sendiri. Adakalanya letih jiwa mengharungi ini semua. Senyuman sang puteri sahaja yang menguatkan semangat untuk meneruskan kehidupan. Semakin hari anak-anak semakin membesar, tanggungjawab yang mesti dipikul di atas bahuku bertambah begitu juga dengan soal perbelanjaan. Kenaikan kos kehidupan memaksa aku membuat kerja tambahan. Dengan menggunakan bilik bawah di rumah, aku membuka kelas tambahan kepada murid-murid yang memerlukan bimbingan setiap petang dan juga hujung minggu. Keadaan ini tidak meninggalkan ruang yang cukup untuk diri aku berehat dan menjaga dua anakku. Walaupun mereka tidak terbiar akan tetapi waktu bersama mereka agak berkurangan sehingga ke satu tahap menguji kesabaran aku sebagai seorang ibu dan wanita. Hanya kesedaran bahawa anak-anak adalah amanah Allah kepada suami isteri, membuatkan aku tabah mengharungi. Bila malam melabuh tirainya sekali lagi airmata menemani sebagai pengubat duka di hati yang masih terasa di tinggal pergi.

Tahun-tahun yang berlalu membawa anak-anak tadi ke alam remaja dan menyambung pelajaran adalah matlamat yang aku pegang. Walau apapun yang terjadi tidak mungkin dipersia-sia peluang yang sudah ada dengan harapan mereka nanti mampu mengorak langkah dalam hidup ini. Ketika bantuan kewangan tidak mencukupi dan tiada tempat untuk mengadu lagi hanya rumah satu-satunya harta yang dimiliki, menjualnya pasti akan dapat membantu menampung perbelanjaan anak-anak semasa berada di menara gading. Nasihat teman-teman supaya jangan dijual tidak diendahkan. Pada aku yang penting buat masa ini supaya anak-anak tidak kandas dalam pelajaran, itulah keputusan yang aku ambil. Memang perit kalau nanti terpaksa menyewa ataupun kembali ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama mak. Namun kadang-kadang sesuatu keputusan diambil, kebaikan ataupun kepentingan hanya untuk masa itu sahaja. Apabila rumah dijual dan duit diperolehi masalah selesai buat seketika. Akan tetapi dalam jangka masa yang panjang keputusan yang diambil dan dibuat mungkin akan disesali. Ketika anak-anak berada di menara gading, keadaan kesihatan mak yang tidak mengizinkan membuat aku sekali lagi mengambil keputusan untuk kembali bersama tinggal dengannya. Bagaikan telah diketahui sejak awal perkara ini akan berlaku, aku telah mempersiapkan diri untuk mendengar segala leteran atau cacian yang dikeluarkan. Usia ibu yang sudah tua tidak menghentikan segala tabiat buruknya. Adik beradik yang lain hanya mampu minta aku bersabar, lebih-lebih lagi usia mak yang makin tua.

Beberapa bulan kemudian ketika anak sulong pulang bercuti semester, aku dua beranak duduk berbincang sama ada mahu terus berada di rumah mak atau pindah saja. Berpindah bermakna ada perbelanjaan tambahan iaitu sewa rumah yang perlu dibayar dan perbelanjaan lain seperti bil air dan electrik. Pendapat si anak tidak pula dibuang begitu saja kerana susah senang eloklah berada di rumah sendiri. Adik beradik yang lain menghalang kerana tidak mahu melihat aku dibebani masalah kewangan yang berat. Lagipun rumah mak masih cukup bilik untuk kami tiga beranak. Akan tetapi kesabaran manusia ada juga hadnya. Sekali lagi atas bantuan kawan-kawan serta seorang adik lelaki, aku menyewa sebuah flat 3 bilik untuk diriku dan anak-anak. Tidak berapa jauh dari rumah mak serta mudah berulang alik ke tempat kerja. Setiap pagi sebelum pergi kerja aku singgah menjenguk mak. Kali ini lain pula leteran dan aduannya. Ada saja yang tidak kena dengan pembantu rumah serta seorang jururawat yang datang setiap pagi untuk menguruskan dirinya. Bukan mak tidak boleh berjalan tapi kehadiran jururawat memudahakn tugas pembantu rumah untuk memberi ubat dan makan. Dalam apa jua keadaan aku dan adik-adik amat bersyukur yang pembantu rumah amat sabar dengan kerenah mak. Menurut katanya mak tidak pernah herdik atau marah walaupun kadang-kadang lambat tiba bila dipanggil cuma pembantu menjadi hairan apabila anak-anak datang hampir kesemuanya tidak kena.

Dalam pada itu aku dilanda kerinduan. Kerinduan pada puteri kedua yang melanjutkan pelajaran di seberang laut. Puas ditepis rasa rindu itu. Tahun ini genap dua tahun mereka tidak bersua muka. Hanya doa diiring supaya puteri selamat dan berada dalam lindungan Allah hendaknya.

Sememangnya kita sebagai manusia asyik mengejar waktu, bahkan semuanya terkejar-kejar. Kadang-kadang kita tidak menyedari waktu yang berlalu. Akhirnya setelah berpenat lelah menjaga, mendidik dan mengasuh puteri berdua, kedua mereka berjaya menggenggam segulung ijazah. Puteri sulong kini bekerja sebagai perunding kewangan di salah sebuah institusi kewangan dan puteri kedua sebagai pegawai tadbir di bursa saham. Dalam keperitan yang melanda kini beliau mampu menarik nafas lega. Airmata yang dulu sering mengalir kini berhenti buat seketika. Luka yang pernah ada walaupun sudah hilang tapi masih ada parut yang berbisa. Gurauan kawan-kawan sekeliling tentang anak gadisnya menyentuh perasaan. Dari dahulu hingga sekarang kawan-kawan sering menasihatkan untuk mencari pasangan diri sendiri supaya bila tua nanti setidak-tidaknya ada juga teman berdiskusi. Nasihat hanya didengari tapi tidak aku ambil peduli. Cukuplah sekali pengalaman yang begitu meninggalkan kesan yang terlalu menyedihkan. Kebahagian menghadiri majlis konvo kedua puteri adalah kebahagian yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Apakah adanya bahagia sepanjang masa? Langit biru nan cerah pasti ada awan kelabu menjengah. Kalaupun tidak ribut yang melanda, hujan tetap turun jua. Seringkali memberi nasihat pada anak-anak supaya berjimat dan ada simpanan untuk bekalan hari tua tapi tidak pernah terlintas difikiran anak-anak akan menemui jodoh mereka. Sudah adatnya manusia setiap orang tentu ada jodoh mereka. Ketika pertama kali puteri sulong meminta izin memperkenalkan jejaka idaman hati, aku jadi gemuruh. Tiba-tiba hatiku luruh bagaikan daun-daun kering yang berserakan. Baru semalam rasanya aku memegang bayi comel dalam dukungan dan tanpa persiapan diri kini terpaksa diserahkan ditangan orang. 25 tahun yang dahulu, beliau bermati-matian mempertahankan haknya sebagai seorang ibu namun di hari ini realiti menampil diri. Jodoh yang hadir tidak mampu di ketepi. Kini bergelarlah sang puteri seorang isteri. Tempat isteri adalah di sisi suaminya kerana tidak ada siapa yang boleh mengubah hukum yang ada. Berpisahlah anak dan ibu kerana mengikuti suami bertugas. Tiada lagi senyum manja dan gurau senda mereka bersama.

Kesunyian yang melanda terisi dengan pekerjaan yang masih ada bersama anak muridnya serta puteri bongsu. Namun setiap kali anak itu pulang dari kerja setiap kali hatinya berdetik dan tertanya-tanya, bilalah agaknya ledakan bakal diterima. Itu saja yang bermain di benak fikirannya sejak setahun lalu. Rutin harian mengajar di sekolah serta masih menjaga ibu yang tua di buat seperti biasa. Suatu hari ketika orang ramai sibuk dengan sambutan hari ibu, dengan tidak disangka-sangka jambangan bunga terletak di atas meja. Ditoleh kanan dan kiri apakah bunga untuk semua guru-guru di sini tapi hanya satu untuk aku. Tidak berapa mahu menyakini kad yang terselit diusik dengan jari. Tertera dengan jelas dialah penerima yang mutlak. Ketar ditangan amat dirasai kerana ia bukanlah nota tapi bagai sekeping kad jemputan.

Penghantarnya adalah misteri dan perjumpaan yang diatur juga misteri namun hati terlonjak-lonjak mahu pergi. Lalu dihubungi sang puteri ajak menemani. Dengan berbesar hati pelawaannya tidak ditolak oleh sang puteri walaupun ada terlintas dalam hati apakah ini permainan sang puteri? Kata-kata penafian sang puteri amat menyakinkan. Sepanjang masa sehingga hari yang dijanjikan hidup aku berada dalam keadaan berdebar-debar.

Tibalah waktu yang dijanjikan. Sepanjang perjalanan ke tempat yang dituju hatinya amat berdebar-debar, tidak tahu kenapa dirinya terlalu berani melangkah. Telah terlalu lama perkara begini tidak terjadi dan di malam ini bagai mimpi di siang hari. Ketika bangunan hotel lima bintang berada di hadapan mata, debarannya makin menjadi-jadi, sejuk tangan dan kaki amat dirasa. Sang puteri ketawa geli hati melihat keadaan ibu yang hampir pucat lesi. Diurut belakang aku dan dipegang tangan untuk berganding sama masuk ke dalam. Dalam debaran bibirnya meniti senyum kerana telah lupa bila kali terakhir berada ditempat yang begini indah.

Langkah mereka dua beranak terhenti apabila seorang pemuda datang menghampiri lalu membisik sesuatu kepada sang puteri. Senyuman pemuda tadi amat menarik bisik hati kecilku. Mulalah fikiran melayang mengatakan pertemuan ini bakal memberi kejutan. Anak muda itu hilang dari pandangan dan mengikut kata sang puteri mereka diminta tunggu sebentar. Penantian memang satu penyiksaan. Lama atau sekejap ia tetap menyiksakan. Anak muda itu muncul kembali bersama sekuntum bunga di tangan. “Selamat Hari Ibu” diucapkan sambil menghulur kuntuman beriring senyuman. Dengan hormat anak muda itu mempersilakan kami berdua ke arah pintu yang masih tertutup. Dari ekor mata tidak syak lagi adanya jeling-jelingan di antara anak muda itu tadi dengan sang puteri di sisi lalu langkah bagaikan mahu berhenti. Sebelum sempat bertindak pintu dibuka, terdapat ramai rupanya di dalam bilik itu. Dihias indah dengan belon dan bunga-bunga segar. Masih lagi terpinga-pinga seorang wanita yang hampir sebaya dengan dirinya datang menegur dan memperkenalkan diri.

Setelah keadaan terkawal tahulah dirinya kini bahawa sambutan di buat dari idea sang puteri. Teringin benar sang puteri meraikan hari ibu dengan meriah sekali lalu perancangan di buat bersama teman lelaki. Bagi memenuhi impian sang puteri, pemuda kacak yang menyambut mereka tadi berbesar hati membantu sama lalu mengajak seluruh kaum keluarga turut serta dan mengenal sesama. Bagi keluarga anak muda menyambut hari ibu adalah tradisi dan mereka menyambutnya secara besar-besaran setiap tahun. Tahun ini mereka memeriahkan lagi bersama seorang ibu yang melahirkan puteri yang kini menjadi kekasih hati. Hasrat yang kini tersirat sudahpun tersurat. Dalam kekalutan, aku menerima seadanya kerana tidak mampu menunjuk sebarang reaksi.

Kegembiraan sang puteri tidak mahu dinodai. Biarlah dipendam rasa sendiri kerana senyuman yang menguntum dibibir puteri bongsu sebaik mungkin tidak mahu direntap. Ingin juga ditanya perihal anak muda yang berjaya mencuri hati puterinya tapi dibiarkan dahulu. Sememangnya diri tidak bersedia untuk semua itu. Apa yang berlaku tadi adalah kejutan yang amat sangat. Setahun yang lalu puteri sulong dilepaskan apabila jodohnya tiba dan kini tiba pula giliran puteri bongsu tatkala diri belum berapa bersedia. Lagipun puteri sulong tidak memberi kejutan, dia datang bertanya dengan baik boleh atau tidak diperkenalkan tapi yang ini merupakan kejutan yang amat sangat. Bagai nak terputus nyawa dari badan rasanya tadi, entah dari mana kekuatan datang hingga mampu tersenyum terus di hadapan semua. Pertanyaan sang puteri sama ada dirinya bahagia atau tidak masih belum mampu di jawab, hanya yang terluah adalah senyuman kelat dan yang dibuat-buat. Sekali lagi di malam yang sunyi airmata menemani.

Anak-anak sekarang memang mudah membuat keputusan sendiri walaupun merasakan sebagai ibu sudah cukup memberi pendidikan dan teguran. Selang beberapa minggu dari perjumpaan yang mengejutkan, keluarga pemuda datang bertandang. Kedatangan mereka dengan hajat untuk mengenali keluarga dengan lebih dekat lagi kerana di malam itu secara tidak langsung kami anak beranak sudah mengenali hampir kesemua ahli keluarga anak muda. Walaupun kedatangan tidak rasmi, perbincangan mengenai anak-anak menyusuli. Mereka ingin segerakan pernikahan kerana kata mereka anak teruna sudah lama mengenalkan gadis kepada keluarga. Sebagai ibu hatiku tersentap lagi. Bila dan sudah berapa lama? ringan saja mulutku untuk bertanya mereka pada masa itu juga kerana aku sendiri tidak pernah mengetahui dan tidak pernah diberitahu. Perangai siapa yang diikut anak ini? berdetik hatiku. Oleh kerana sudah terlalu lama aku hampir lupa siapakah dia dalam kehidupan kami. Mahu tidak mahu aku terpaksa akur dan menerima kenyataan bahawa perangai ayah memang tebal dalam diri puteri bongsu. Sememangnya suka membuat sesuatu perkara dengan sendiri tanpa mahu berkongsi. Hakikat yang mesti aku terima dan telan kerana darah yang mengalir dalam tubuh puteri bongsu adalah sebahagian miliknya. Dalam kesunyian malam aku berfikir lagi sepatutnya aku merasa amat bersyukur kerana pilihan sang puteri seorang pemuda yang datang dari keluarga berada, bersopan santun, berpelajaran tinggi serta banyak lagi kualiti diri yang baik-baik. Tapi entah kenapa hati ini menjadi terlalu sayu. Adakah anak gadis masih terlalu muda atau diriku sebagai ibu belum bersedia melepaskannya? Sudah hampir seminggu kedatangan keluarga anak muda berlalu namun sehingga hari ini aku masih berdiam diri. Leteran ibu juga menjadi-jadi kenapa aku masih bertangguh memberi jawapan pasti.

Jika dah sampai jodohnya tak baik tangguh-tangguh, itulah pesanan dan nasihat kawan-kawan. Terimalah hakikat bahawa anak-anak hanya pinjaman Allah kepada kita, bila sampai masa kita kena lepaskan mereka dengan apa cara sekalipun yang telah Allah tentukan. Nasihat-nasihat yang diberikan menambah juraian airmata akan tetapi aku lentur jua. Setelah sebulan berlalu lamaran diterima. Majlis berlangsung dengan meriah sekali. Pertunangan yang paling singkat dalam sejarah keluarga kami. Pihak lelaki meminta tiga bulan sahaja namun aku merayu untuk dijadikan enam bulan supaya persiapan rapi dapat di buat. Pujukan pihak lelaki amat menyakinkan bahawa aku dan keluarga tidak perlu bimbang apa-apa. Mereka juga memujuk untuk mengadakan majlis persandingan bersama, tidak perlu ada di pihak perempuam ataupun lelaki. Cuma di hari ijabkabul bolehlah di adakan kenduri doa selamat dan kesyukuran. Baiknya mereka ni, detik hatiku. Kawan-kawan amat mensyukuri segalanya apabila mendengar cerita. Adik beradik juga memberi nasihat yang sama, jangan terlalu prasangka, tak baik kata mereka padaku.

Sebagai seorang hamba Allah yang lemah dan kerdil aku menyembahkan diri kepadaNYA di dalam kesunyian malam. Sesungguhnya hati masih gundah dan gelisah, akhirnya menerima ketentuan Yang Maha Esa, itulah rasa yang terbit dari hati setelah hampir sebulan tercari-cari jawapan pasti. Dengan janji pada diri, hujung minggu ini aku akan pergi menemui keluarga bakal besan dan menerima segala cadangan mereka. Sebenarnya hatiku masih berat tapi itulah yang akan dilakukan.

Setelah selesai bersarapan di pagi itu, aku mengumpulkan ahli keluarga yang hadir ke rumah mak. Bagaikan mengerti tujuan berkumpul kesemua yang hadir bagai berdebar-debar mendengar setiap butiran kata yang keluar dari mulutku. Tidak di nafikan mereka menduga dan mengagak bahawa aku nekad untuk tidak melepaskan anak perempuan ku buat sementara. Andaian ini hadir dari pengalaman yang lepas-lepas.Namun sangkaan mereka meleset apabila aku umumkan bahawa aku akan menemui keluarga lelaki dan bersetuju dengan segala cadangan dan permintaan mereka. Aku bermohon kepada semua yang hadir untuk sama-sama berdoa akan kesejahteraan dan kebahagian anak sedara mereka. Semua yang hadir menarik nafas lega kerana aku tidak bertangguh lagi.

Kini tinggallah aku seorang diri menemani seorang ibu tua yang makin uzur dan bagai seorang bayi. Begitulah putaran hidup yang aku lalui di mana penghujungnya belum pasti. Yang pasti bila sampai waktu aku pasti menemui Ilahi. Dalam penantian itu aku tidak aku apakah lagi putaran yang akan aku lalui. Ketika ini kedua-dua puteriku tidak ada di sini. Seorang berada di Sabah dan seorang lagi berada di Australia mengikuti suami masing-masing.

Owned and written by : Sanaa 02/05/11

My special thanks to ZA for the inspiration. Thank you dear friend and I salute your courage and determination till now. Wish you all the best and till we meet again. Take care.

With love

Sanaa 25/06/11

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: