• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • July 2011
    M T W T F S S
    « Jun   Aug »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    25262728293031
  • Archives

Hanya Sebuah Karya

Sudah terlalu lama saya tidak menulis tentang drama ataupun pelakon drama. Sejak Nur Kasih tulisan saya banyak menyentuh hal berkenaan cerita dan juga pelakon utamanya iaitu Remy Ishak dan Tiz Zaqyah. Kehebatan mereka sebagai pelakon drama siri berkenaan masih diperkatakan hingga sekarang walaupun telah 3 tahun berlalu. Setelah lama berlalu Remy dan Tiz bertemu kembali dalam sebuah drama yang tidak kurang hebatnya diperkatakan sekarang. Tahajud Cinta yang mula ditayangkan pada 8hb Julai yang lalu telah menerima berbagai kritikan dan juga sanjungan. Walaupun Remy dan Tiz tidak berganding di dalam drama ini, kehadiran mereka membuat peminat teruja untuk terus menonton. Walaupun begitu penonton sudah mula kecewa setelah 3 episode berlalu Remy belum muncul dilayar.

Tahajud Cinta berlatarbelakang kisah hidup wanita dalam dunia mereka yang berbeza secara keseluruhannya. Emelda watak yang dipegang oleh Tiz Zaqyah merupakan seorang isteri yang masih mencintai suaminya walaupun asyik didera dan masih merasa belas apabila suami merayu. Empat orang wanita yang hidup bermadu dan bersuamikan Ustaz Shauki lakonan Eman Manan. Watak-watak dipegang oleh Erma Fatima sebagai isteri tua,Ziela Jalil sebagai isteri kedua, Melissa Saila dan Dira Abu Zahar sebagai isteri ketiga dan keempat. Citra dan Seri pula adalah merupakan dua pelajar undang-undang syariah yang ingin membela nasib kaum wanita yang teraniaya. Watak ini dipegang oleh Fazura sebagai Citra dan Fouziah Ghaus sebagai Seri. Setakat ini hanya lakonan Azizah Mahzan sebagai isteri kepada seorang Tan Sri lakonan Yang Berbahagia Tan Sri Jins Shamsudin merupakan seorang wanita yang beruntung dan hidup mewah tapi bagai lupakan agama. Aduhh memang stress tengok cerita ni.

Kesemua pelakon dalam drama ini adalah nama-nama yang amat di kenali dalam industri hiburan. Ada yang lama dan ada yang baru. Nama-nama yang terkenal seperti Tan Sri Jins Shamsudin, Azizah Mahzan, Eman Manan serta Ahmad Tarmimi Siregar sudah menunjukan wajah dan karakter masing-masing. Namun adakah nama-nama ini dapat membangkitkan semangat cerita yang hendak disampaikan? Seperti kata pelakon-pelakonnya baru saja 3 episode dan masih terlalu awal untuk membuat andaian tapi tahukah mereka tahu dan sedar minit pertama serta episode pengenalan adalah penentu keseluruhan cerita.

Perjuangan dalam tiga episode pertama adalah di antara empat wanita yang menjadi isteri kepada Ustaz Shauki, Seri, Citra dan Emelda. Walaupun belum berapa jelas perjuangan yang hendak di sampaikan namun ia adalah sebuah drama yang membuat saya rimas untuk menontonnya. Jalan cerita yang mendatar, dialog yang terlalu panjang dan masih ada kebodohan orang Melayu dalam menjadi pak turut.

Cerita ini menggambarkan asalkan kaya saja lupa pada agama, asalkan terima budi sibuk nak balas segalanya, asalkan beragama mesti ada isteri empat lima dan duduk jauh dari pembangunan dan tanpa keperluan asas yang lain walhal agama tidak begitu. Tiga episode yang pertama sudah ada garis-garis stereo type cerita Melayu. Cerita berlandaskan agama memang baik tapi ia tidak semudah yang di sangka. Walaupun naskah seorang karyawan terkenal sensitiviti orang keliling dan penonton mesti diambil kira.

Tidak dinafikan kehidupan seperti keluarga Emelda dan Citra wujud didunia ini dan begitu juga kumpulan orang seperti Ustaz Shauki dan kehidupan keluarga Seri. Watak Emelda adalah di antara watak yang memang penuh di dunia ini, kerana cinta sanggup biar diri disiksa. Asas cerita adalah cerita kehidupan biasa akan tetapi olahan cerita yang menentukan daya penarik sesebuah naskah belum dapat dilihat dalam 3 episode pertama. Salahkah sekali sekala kita melihat kemewahan yang dimiliki seseorang itu diserikan dengan nilai-nilai agama yang tinggi? Bersyukur dengan setiap pemberian dan rahmat yang Allah beri. Ini tidak…sambut anak balik dari overseas dengan parti dan minuman keras (seolah-olah digambarkan) bukan dengan kenduri kesyukuran.

Watak Ustaz Shauki adalah watak seorang lelaki beriman dan menguruskan sekolah agama pondok namun masih gagal mengawal nafsu. Oleh kerana itu beliau ada empat orang isteri untuk memenuhi nafsunya dan kini tidak lagi mengikut giliran di antara isteri-isteri berempat. Dalam episode 3 saya jadi geli geleman bila dua kali di sebut Ustaz memanggil isteri keempat, watak yang dipegang oleh Dira Abu Zahar ke pondoknya. Ini menimbulkan cemburu di hati isteri ke3, watak yang dipegang oleh Melissa Saila lalu menyebut Ustaz tidak adil kerana tidak mengikut giliran. Di sini bukan giliran yang membuatkan saya seram dan geli geleman akan tetapi dialog yang dilontar. Pesanan diberi kepada isteri kedua bahawa Ustaz nak jumpa isteri keempat dipondoknya dan sebelum itu isteri keempat kata Ustaz memanggilnya dan isteri ketiga kata malam ini sepatutnya gilirannya tapi kenapa isteri keempat yang dipanggil? Saya mohon maaf kerana tidak dapat mengingati nama-nama isteri Ustaz Shauki dalam drama ini selain dari Sharifah (watak yang dipegang oleh Melissa Saila). Kesemua nama mereka enak-enak belaka tapi saya gagal mengingatinya. Apakah keterlaluan jika saya katakan bahawa ia sudah mirip bagai “pelacur” isteri-isteri ini sebagai pemuas nafsu Ustaz Shauki?

Ketidakpuasan hati isteri kedua dan ketiga di tunjukan dan perkara ini ditegur oleh isteri pertama lakonan Erma Fatima sendiri selaku pengarah dan penulis skrip. Di sini saya melihat bahawa lakonan Erma sebagai isteri tua amat redha dengan nasib dirinya sehingga tidak langsung meninggikan suara kepada isteri-isteri yang lain. Bab agama memang tidak layak bagi saya untuk menyentuhnya tapi adakah patut Ustaz Shauki melayan isteri-isterinya begitu? Kenapa isteri-isteri duduk serumah dan dirinya ada pondok lain? Kenapa pula bila Sharifah di kata imannya masih nipis senipis kulit bawang Ustaz Shauki minta isteri pertama memberi nasihat? Bukankah kewajipan Ustaz Shauki membimbing dan melentur isterinya? Kenapa juga isteri-isteri memanggil suami dengan panggilan Ustaz? Apakah tidak boleh ada panggilan manja di antara suami dan isteri? Setahu saya dalam bimbingan rumahtangga kita sering dinasihatkan berkasih sayang di antara suami dan isteri dan salah satunya melalui panggilan mesra atau manja kepada pasangan. Isshh entahlah….

Dari episode pertama sudah wujud bantahan terhadap drama ini yang di mulakan oleh pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Jordan melalui laman facebook. Sehingga hari ini bilangan pengikut telah mencecah hampir 3500 orang. Hampir keseluruhan komen yang ada menyentuh tentang adab dan sopan di antara bukan mahram dan juga soal agama yang lain. Sekali lagi saya tekankan bahawa saya tidak mahu menyentuh tentang agama, hukum hakam dan melontar kritikan tentang bacaan Al Quran di dalam drama ini kerana ia adalah isu yang sensitif dan saya juga bukan pakar berkenaannya, namun cerita-cerita bercorak keislaman sekarang memenuhi hampir kesemua saluran televisyen yang mungkin menimbulkan riak di antara penulis skrip, penerbit dan juga pengarah sesebuah karya untuk menandingi dan berlumba di antara satu sama lain. Walaupun perlumbaan itu bagus akan tetapi akan ada satu tahap yang terselit di dalam hati untuk menandingi cerita-cerita sebelumnya seperti yang terjadi kepada Tahajud Cinta di mana pengarahnya pernah berkata semoga ia dapat menandingi populariti drama Nur Kasih yang berjaya menarik penonton melekap di kaca tv tidak lama dahulu.

Melissa Saila berpendapat bahawa cerita-cerita yang bercorak keagamaan atau apa saja cerita yang berlatarbelakang perkara yang sama adalah tuntutan masa kini. Oleh kerana mungkin kejayaan sebuah karya terdahulu, lalu adanya permintaan oleh stesen-stesen television maka cerita-cerita begini terus di buat. Besar kemungkinan suatu hari nanti cerita begini akan dilupakan lalu satu fenomena baru akan tiba untuk menggantikan fenomena sekarang. Namun apakah kerana tuntutan-tuntutan ini kita boleh buat atau reka apa saja demi memuaskan hati sebagai seorang penulis ataupun pengarah. Ada satu perkara yang dibangkitkan oleh seorang pembaca mengenai Tahajud Cinta dengan soalan “susahnya nak berkarya di Malaysia ini”. Saya berpendapat soalan itu salah kerana tidak susah nak buat sesuatu di Malaysia ini kerana semuanya ada trend atau ikutan lalu akhirnya menjadi persaingan tidak sihat. Nur Kasih adalah permulaannya, diarah oleh Kabir Bhatia dengan sentuhan skrip oleh Mira Mustaffa bersama rakan-rakan.

Apa rahsia kejayaan Nur Kasih? Apakah kerana para pelakonnya? Apakah kerana olahan dan jalan cerita? Apakah kerana skrip yang berkesan? Apakah juga kerana cinematography yang memukau pandangan? Banyak lagi yang boleh ditanya tentang Nur Kasih tapi pada awal siri tersebut pastinya masih ada yang tertanya-tanya siapakah Remy Ishak dan Tiz Zaqyah? Dua nama yang pernah didengar tapi masih tidak melonjak dipesada seni drama tanahair telah memukau penonton dengan emosi mereka menjiwai watak Adam dan Nur Amina. Drama bersiri 26 episode ini berjaya membuat makcik-makcik, abang-abang, kakak-kakak serta adik dan pakcik juga menantikan siarannya setiap Jumaat sehingga episode akhir meraih 19.2 juta penonton. Tetap ada yang kurang tapi dari episode pertama hinggalah akhir hari Jumaat amat dinanti-nantikan oleh peminat mereka. Sejak dari itu resipi ini diguna oleh ramai penulis skrip dan penerbit tapi bagaikan tidak cukup bahan menjadikan adunannya batat, tidak naik gebu, garing dan menyelerakan.

Kenapakah begitu?

Owned and written by : Sanaa 25/07/11

******

DRAMA bersiri Tahajud Cinta yang ditayangkan di saluran TV3 pada setiap Jumaat pukul 9 malam kini menjadi bual bicara ramai.

Bagai tidak lengkap jika tidak menonton Tahajud Cinta berikutan ia sebuah naskhah yang dikatakan hebat apatah lagi melihat kepada barisan pelakon yang mantap.

Baru bermula tiga episod, angin panas menerpa naskhah sentuhan sutradara Erma Fatima yang sememangnya sarat dengan kontroversi.

Terbaru, gerakan ‘Kami Pelajar Jordan Bantah Tayangan Drama Tahajud Cinta’ yang menggunakan rangkaian sosial Facebook setakat semalam sudah berjaya meraih lebih 2,500 penyokong.

Mereka membantah jalan cerita dan gaya lakonan yang jelas menghina muslimat berpurdah. Itu kata pelajar sewaktu habis menonton episod pengenalan karya dengan suntikan kerohanian tersebut.

Mendekati srikandi-srikandi yang sedang membawa bunga rohani dalam drama ini, mereka punya pendapat tersendiri terhadap cetusan polemik ini.

Komentar kalian apabila Tahajud Cinta muncul dengan dua impak. Ada golongan yang sangat menyukai dan muncul pula satu golongan yang membenci siri drama ini.

MELISSA SAILA (MS): Apa jua subjek yang diberikan, pasti ada yang suka dan sebaliknya. Sangat susah untuk memuaskan hati semua pihak terutama dalam soal keagamaan. Saya tidak ada hak untuk menyatakan hal ini salah atau betul.

Sebagai contoh kalau dilihat realitinya sekarang, ramai yang bertudung tapi dengan bermacam sebab. Sama juga dengan naskhah ini, ia sangat subjektif. Drama komersial pun ada menerima nasib yang sama.

DIRA (D): Saya sendiri baru dapat tahu tentang hal berkenaan. Agak terkejut kerana saya melihat Erma Fatima selaku penerbit, pengarah dan pembikin cerita tersebut cuba memberi sebuah karya yang bagus dan baik.

Jalan cerita Tahajud Cinta menarik kerana ada perkara yang mahu disampaikan. Saya tidak tahu niat kumpulan pembantah tersebut. Perkara itu tidak sihat bukan hanya untuk Tahajud Cinta tetapi untuk industri seni sendiri.

Kalau tidak suka sekali pun jangan sampai mewujudkan bantahan menerusi Facebook sebegitu. Mengajak orang ramai untuk membenci sesuatu yang mereka tidak suka adalah tidak sihat.

FOUZIAH GOUS (FG): Itu hak masing-masing. Tapi secara peribadi, saya rasa terlalu awal untuk mereka menghukum drama berkenaan. Baru tiga episod ditayangkan. Penonton perlu lihat betul-betul.

Contohnya, saya ada dialog, ‘buang tabiat’ kepada Wahdi ketika dia mahu membuka hijab saya, itu semua bersebab. Perlu faham dan jangan ikut emosi.

Kalau dilihat dalam-dalam, kami menyampaikan dengan dialog yang jelas dan bukan gerak tubuh semata yang boleh dimanipulasikan. Jika ada yang tidak kena, saya minta maaf. Berilah peluang kepada naskhah ini dan fahami dahulu. Jangan terlalu merumitkan keadaan.

Adalah realiti Tahajud Cinta yang kalian rasa bertepatan dengan kalian?

D: Saya melakonkan watak Umairah, seorang wanita yang hidupnya bermadu. Saya tidak pernah menyelami kehidupan orang yang dimadukan. Tetapi saya percaya bahawa ada yang hidup dalam suasana begitu.

Begitu juga dengan kewujudan Ustaz Shauki, ada individu seperti dia. Ada golongan yang hidup dalam dunia yang tidak ada televisyen dan radio serta memutuskan hubungan dengan dunia luar.

Saya percaya kehidupan sebegitu wujud. Begitu juga dengan kehidupan karakter Tan Sri yang begitu duniawi. Ia wujud.

FG: Realitinya, saya belajar banyak perkara melalui drama ini. Contoh seperti kaum Hawa yang terpaksa reda dengan kemahuan ibu bapa, ayah yang terlalu taksub dengan tok guru. Saya belajar tentang pengorbanan seorang anak dan semangat kaum hawa .

Naskhah Islamik mengisi kekosongan genre atau membentuk kesedaran khalayak tempatan kini?

MS: Saya melihat hal ini seperti satu trend. Bila negara luar bermula dengan pengisian naskhah Islamik, kita juga bergerak dengan naskhah sebegitu. Itu yang saya nampak sebab sebelum mereka memulakan, saya tidak nampak ada yang mahu buat.

Tapi ini berbalik kepada permintaan juga. Sudah ada stesen televisyen yang mahukan produk sebegini. Bila ada permintaan maka datanglah peluang untuk membikinnya.

D: Semuanya berbalik kepada kandungan sesebuah naskhah. Ini merupakan salah satu cara untuk berdakwah.

Mungkin anak remaja sekarang kurang gemar pergi melihat dan mendengar ceramah, jadi mereka boleh melihat program atau drama sebegini untuk pengisian tersebut.

Saya cuma berharap agar ia disampaikan dengan cara yang betul dan semoga pembikin naskhah Islamik menggunakan kaedah yang betul dalam penyampaian. Jangan sampai terpesong.

FG: Islam itu indah dan apa yang saya lihat, Tahajud Cinta banyak mengajar. Malah saya juga belajar dan mendapat ilmu melaluinya.

Segala yang berlaku dalam drama datangnya daripada realiti kehidupan manusia. Ada baik dan buruknya.

Sejauh mana keterbukaan khalayak terhadap naskhah Islamik yang tulen?

MS: Saya melihat dalam konteks budaya. Budaya orang kita, apabila orang luar buat mereka boleh terima.

Bila orang tempatan buat, mereka tidak boleh terima. Orang kita sebenarnya tidak terbuka untuk kritikan baik pembikin mahupun penonton.

Contohnya kalau kita buat cerita tentang pegawai kerajaan atau polis, kita tunjuk sisi hitam, khalayak menuduh kita memperlekehkan pekerjaan mereka walhal itu realiti.

Itu semua tentang kehidupan. Tapi bila mereka melihat karya luar, mereka tidak kritik. Ini semua berbalik kepada mentaliti dan kesedaran.

D: Soal agama sangat subjektif. Harapan saya agar masyarakat boleh menerima dengan hati terbuka.

Saya tidak berani bercakap lebih tetapi secara terbuka, saya harap khalayak dapat terima dan bersifat terbuka.

FG: Segala komentar tidak semestinya salah. Masing-masing ada hak untuk bersuara tetapi janganlah terus menghukum.

Konflik sebenar hanya akan bermula pada episod keempat. Ini baru pengenalan. Kalau ada kekurangan, tegur dengan cara yang baik dan bukan mengutuk.

Filem sekarang banyak menampilkan aktor-aktor sebagai ‘hero’ dan aktres sekadar bunga. Sejauh mana kalian melihat kekuatan aktres kini dalam sesebuah naskhah?

D: Saya sedar situasi itu. Kenapalah susah sangat untuk ada sebuah naskhah untuk perempuan dan saya tidak suka apabila karakter aktres diwujudkan hanya sebagai bunga.

Tapi memikirkan kembali, ini berbalik kepada suntikan minda tentang aktres yang harus kelihatan cantik sepanjang masa. Rambut panjang itu mahkota dan kulit licin itu satu faktor pelaris.

Mungkin itu sebab situasi ini terjadi. Hakikatnya, aktres hanya digunakan sebagai patung cantik dalam filem dan tidak ada yang mahu menggali bakat aktres. Saya rasa masih banyak pelakon wanita yang masih belum digali bakatnya.

FG: Ada juga naskhah yang hanya mahu menumpukan kepada karakter lelaki. Ini terpulang kepada pembikin filem.

MS: Saya sangat bersetuju dan melihat sekarang ramai aktor yang berkualiti. Jujurnya, pelakon sekarang ramai yang mahu mengejar anugerah dan populariti.

Bagi mereka, mendapat anugerah popular itu seperti mendapat anugerah Oscar. Bila terjadi pemikiran sebegini, itu memberi kesan kepada persembahan bakat mereka.

Ramai yang lebih menitikberatkan kecantikan sahaja dan bakat sudah jadi faktor kedua dalam berkarya.

Compiled by : Sanaa 25/7/11

Credit : Kosmo Online

2 Responses

  1. I concur with u.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: