Bagaikan batu di titisan hujan
Akhirnya ada lekuk-lekuk yang kelihatan
Begitu juga sebuah perjalanan
Tidak semua indah dan kesampaian
Seperti kata bidalan dahulu
Janji diikat saksi berpadu
Hukum agama jangan dipandang lalu
Adat pula jangan dibuang tak tentu
Namun hidup putaran roda
Maju manusia hilang budi bicara
Agama sebagai hiasan semata
Adat pula mencermin budaya
Sang pencerita sedih dihati
Membaca kabar di sana sini
Cerai putus bersilih ganti
Apakah salah silap dalam diri
Pasangan kurang hamba kenali
Baru bernikah isteri membawa diri
Kini anak lahir tiada huraian lagi
Aib diri semua orang ketahui
Putus ikatan jadi tumpuan
Kerana mereka nama sanjungan
Sudah tiada jodoh dan keserasian
Itulah alasan yang dikabarkan
Hamba terima alasan diberi
Namun terselit sedih di hati
Majlis indah lagi berseri
Bukan alasan bahagia kini
Dunia cyber terus diteroka
Yang tiada boleh jua di ada
Interactif diberi nama
Segala data ada di sana
Agama dan adat tidak selari
Teknologi kini mengatasi
Manusia hilang harga diri
Tiada lagi berbincang berdiskusi
Memang sungguh lidah tidak bertulang
Tapi hati dididik berterus terang
Walaupun perit hadapilah dengan tenang
Jangan sesekali tidak berpandang
Bukan hamba seorang dewa
Memberi nasihat bagaikan sempurna
Cuma terasa sedih adanya
Anugerah Allah dipersia-sia
Teringat hamba sebaris pesanan
Andainya ingin dimarah pasangan
Fikirkanlah orang yang keseorangan
Tiada suami atau isteri tempat sandaran
Pesanan disambung dengan saranan
Andai hubungan perlu bantuan
Berkongsilah dengan adab dan sopan
Penyelesaian melalui perbincangan
Bila sudah tiada persetujuan
Jalan akhir adalah perpisahan
Namun janganlah diaibkan pasangan
Sana sini lapuran dikeluarkan
Hamba tahu kerja wartawan
Setiap hari mencari bahan
Sehingga mungkin berantakan
Bila cerita jadi tontonan
Mungkin hamba yang ketinggalan
Inilah hidup dunia metropolitan
Adab dan sopan yang dibicarakan
Tidak lagi perlu dalam kehidupan
Tulisan hamba sekadar luahan
Dari apa yang diperhatikan
Segalanya bermula di dunia hiburan
Tatkala semuanya pelakon handalan
Sebelum kisah jadi keterlaluan
Hamba mohon untuk meninggalkan
Laman tulisan curahan perasaan
Sehingga bertemu di lain siaran
Selamat berbuka nanti adanya
Kepada muslimin muslimat di mana berada
Teman-teman yang dikasihi semua
Semoga puasa kita diberkati dan diterima
Owned and written by : Sanaa 07/08/11
semoga retiz juga tabah…dalam menghadapi dugaan dan cabaran yng mendatang =)
Insha’Allah….semoga dgn iringan doa ikhlas peminat semua mrk mampu mengharungi dan mrk juga kena membina kekuatan diri…selamat menjalani ibadah puasa dan terima kasih kerana sudi singgah kemari…salam