• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • September 2011
    M T W T F S S
    « Aug   Oct »
     1234
    567891011
    12131415161718
    19202122232425
    2627282930  
  • Archives

Syahdu Aidilfitri

Dalam 365 hari setahun, hari raya aidilfitri sememangnya meninggalkan banyak kesan di hati umat Islam sedunia. Sedih, gembira, pilu, sebak serta berbagai rasa bermula dari fajar menyinsing di bulan Ramadhan hinggalah terbitnya fajar di aidilfitri. Keinsafan hadir di waktu begini dek sayunya suasana dek indahnya berpuasa. Namun apakah keinsafan hanya perlu timbul di bulan ini dan dilupakan bila bulan berlalu pergi? Amat sukar menyelami perasaan manusia sejagat akan tetapi itulah hakikat yang berlaku. Tatkala meniti usia berbagai perkara telah terjadi dan pelbagai ragam manusia telah saya temui. Dalam setiap pertemuan atau perjumpaan pasti ada terselit kenangan. Indah, pahit, baik atau buruk adalah proses yang dilalui. Setiap proses yang dilalui akan menjadi lebih perit, hiba dan sedih andainya ia berlaku dalam keluarga sendiri seperti adik beradik, ipar duai dan saudara mara yang lain.

Tiada seorangpun di antara kita yang sempurna walaupun setinggi mana kejayaan yang diraih. Kegagalan dan kesilapan dalam kehidupan juga bukanlah kayu pengukur untuk kita menilai seseorang baik dan jahatnya. Walaupun tidak dinafikan sedikit sebanyak kegagalan hadir adalah dari kesilapan diri sendiri dalam membuat perancangan. Namun demikian ketika fajar aidilfitri menjelang sebahagian dari kita boleh dan dapat melupakan pangkat serta kedudukan di pagi yang mulia ini. Pasti ada titisan airmata tatkala suara sayu berkumandang bersama takbir raya. Suara yang mendayu-dayu seakan pasti merobek hati yang mendengarkannya. Ketika ini segala kenangan hadir di depan mata yang selalunya airmata tidak dapat mengubah keadaan. “Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata tanggung derita”.

Banyak yang telah saya pelajari dan amati sepanjang hidup ini. Pelajaran hidup yang di lalui oleh manusia adalah pelbagai. Oleh itu ada yang di bukukan sebagai panduan kepada kita dalam mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah ataupun perkara yang berlaku. Akan tetapi ia bukanlah jalan penyelesaian yang mutlak bagi setiap individu kerana berbezanya keadaan dan tempat. Pengalaman adalah pelajaran yang tidak dapat dicedok dari mana-mana institusi pengajian tinggi ataupun dari bijak pandai merata dunia. Pengalaman sudah tentu mengubah pendirian seseorang, membuatkan kita lebih peka dan berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan. Sama ada pengalaman pahit ataupun manis ia tetap menjadi panduan dan pedoman dalam meneruskan perjalanan kehidupan. Ada jua pengalaman tidak meninggalkan kesan sehingga diulang kesalahan yang sama berkali-kali.

Setiap manusia yang lahir ke dunia ini akan melalui proses kehidupan yang sama, tidak kira kaya atau miskin, bijak pandai ataupun kurang upaya. Dari bayi, meningkat remaja, menjadi dewasa dan tua tidak terkecuali hanya kerana kita kaya atau miskin, pandai ataupun kurang cerdik. Yang membezakan kita semua adalah bagaimana sekeping hati yang diberi Allah kita didik dengan sebaik-baiknya dan gunakan dengan sempurna. Allah juga tidak membezakan kita dari pangkat dan rupa. Allah melihat amal ibadat dan nilai murni hamba-hambaNYA. Itulah ajaran yang kita terima sejak azali dan itulah juga janji Allah kepada semua.

Sikap bongkak, sombong, meninggi diri, tamak haloba, penuhi hati dengan perasaan cemburu serta hasad dengki ada dalam diri setiap insani di dunia ini. Perasaan atau sikap negative ini hanya akan hilang setelah kita melatih diri dengan menanamkan sifat-sifat terpuji, menjaga lidah dari tutur kata yang kurang sopan, buang rasa tamak, dengki dan irihati serta banyak lagi. Terbitnya sifat-sifat negative dan positive ini juga datang dari sumber-sumber yang berlainan. Latar belakang keluarga sering di jadikan alasan dan menuding jari menjadi amalan apabila timbul sesuatu yang tidak elok berlaku di kalangan ahli keluarga dan juga masyarakat. Satu lagi tabiat buruk manusia apabila gagal mengawal lidah ketika berbicara, ikut sedap mulut sahaja nak berkata apa. Melepaskan kata yang menyakitkan hati serta menghiris perasaan orang lain akibatnya tidak kita ketahui hari ini esok atau lusa, kerana itu pepatah menyebut “jangan sampai kata makan tuan” ataupun “kerana pulut santan binasa, kerana mulut hidup merana”. Begitu halus cara orang dahulu berbicara.

Walaupun tidak semua kata orang terdahulu dari kita itu betul akan tetapi cubalah duduk sebentar dan merenung sejenak kata-kata nasihat yang telah diberikan. Adat dan adab orang dahulu dalam berbicara, pantun seloka indah bunyinya namun tidak difahami generasi muda lalu menjadikan kita insan yang hilang tamadunnya.

Selingan di atas sering terjadi ketika Aidilfitri. Tidak saya ketahui kenapa dan mengapa tapi itulah yang saya alami sepanjang kehidupan ini. Di antara mak dan abah pasti nanti timbul cerita dan kisah lama mengenai adik beradik mereka. Menziarahi seorang saudara tua yang makin uzur juga pasti akan ada cerita lama yang terkeluar ataupun luahan hati antara ahli keluarga. Itulah yang terjadi lagi di tahun ini dan yang menambah kehairanan seorang ahli keluarga yang terkenal dengan tegas dan kata-katanya sering diterima pakai serta keputusan darinya adalah muktamad meluahkan rasa hati. Terperanjat, terkejut, hairan, aneh dan banyak lagi bermain di kepala. Suara hati terasa amat pilu di hati saya, bukan kerana siapa dirinya yang dahulu ataupun sekarang yang masih memegang jawatan tinggi tapi kerana luahan hati dari seorang yang tidak pernah mengungkit cerita atau kisah lama. Terkilan di hatinya tidak pernah di suarakan kepada ramai. Selama ini dengan berhemah beliau akan menegur kami andainya kami mula bercerita hal adik beradik atau saudara mara yang lain dengan berkata tak baik bercerita nanti jadi mengumpat lebih-lebih lagi di hari raya. Anak sulong dari tujuh beradik yang sejak dari bangku sekolah memang tidak banyak cakap. Renungan beliau saja sudah cukup untuk buat orang kecut perut dan sehingga kini berupaya merapatkan ikatan adik beradiknya. Kami saudara sepupu memang amat berbangga dengan cara beliau menjaga keluarga setelah pemergian ayahanda tercinta.

Air dicincang tidak akan putus, itulah ibarat ikatan persaudaraan akan tetapi dalam dunia yang mengejar kebendaan ini semua itu tidak berguna lagi. Wang ringgit intan berlian mengukur segalanya. Bagaikan tiada lagi keikhlasan walaupun ziarah menziarahi di hari raya. Ini kerana saya terdengar sendiri bahawa mesti pergi ke rumah sipolan sipolan sebab sipolan sipolan dah bagi projek ataupun akan bagi projek nanti. Hidup yang bagai putaran roda tidak kita ketahui di mana kita akan berada suatu hari nanti. Mungkin di hari ini ada di antara adik beradik kita yang susah lalu kita sisihkan tetapi apabila dari kesusahan itu telah nampak kesenangan ia bagaikan satu kesalahan jua. Kesenangan yang hadir setelah menempuh berbagai kesulitan dan kesusahan dicemburui dan didengki pula. Tafsiran yang dapat saya buat adalah manusia tidak puas dengan apa yang ada. Harta pusaka adalah salah satu penyebab pergeseran di antara keluarga. Melihat apa yang terjadi di dalam keluarga mak dan abah, besar kemungkinan retak-retak yang ada akan menjadi belah antara kami adik beradik setelah mereka tiada. Apakah ini juga akan saya lalui satu masa nanti?

Untuk ketika ini kami adik beradik masih lagi berkumpul di hari raya kerana abah dan mak masih ada. Rumah milik mak dan abah pasti bising dengan suara anak-anak serta cucu di malam raya tapi apakah mungkin dapat diteruskan bila tiba masa mak dan abah menyahut panggilan Ilahi. Sedikit sebanyak saya akui ikatan kami adik beradik makin longgar. Ini adalah kerana tradisi yang ada. Mak dan abah memang membezakan kami sejak dari kecil. Walaupun ribuan kali mak berkata tidak pernah membezakan anak-anak tapi kenyataannya tidak sama. Sehingga hari ini keadaan membezakan masih ada, lebih-lebih lagi di antara anak lelaki dan anak perempuan. Setiap kali terasa terguris saya ingatkan diri bahawa mak dan abah dah tua, esok lusa bukan di tangan saya. Dengan segala daya yang ada saya cuba tidak guriskan hati mereka dengan bercanggah pendapat ataupun membangkang kehendak dan kemahuan mereka berdua. Akan tetapi saya juga manusia biasa, tidak mungkin dapat bersabar dalam segala keadaan. Sikap membezakan ini juga membuat saya rasa pasti timbulnya rasa bongkak, sombomg, bangga diri dan berkata sesuka hati kerana individu itu merasakan dirinya berada lebih tinggi dari yang lain.

Setelah meniti kehidupan ini saya berpendapat peranan ketua keluarga amat penting dalam menyatukan anak beranak. Dari kecil hingga dewasa selalunya ibu dan bapa dijadikan contoh tauladan dalam mengharungi liku-liku hidup. Ketegasan tanpa kasih sayang tidak akan membawa erti tanpa panduan dan tunjuk ajar dari mereka. Begitu juga sebaliknya. Kasih sayang yang melebihi had tanpa ada sekatan dan rasa curiga terhadap perkembangan atau perjalanan hidup anak-anak juga akan membawa anak-anak jauh tersasar dari realiti. Pengalaman juga mengajar saya bahawa kemewahan wang ringgit tidak di bawa kemana. Yang pasti hanyalah kesenangan duniawi tapi ikatan kekeluargaan amat longgar dan akhirnya membawa kepada kemusnahan. Keinsafan hadir ketika usia meniti titian usang apabila menyedari tiada sanak saudara, adik beradik atau ipar duai yang datang menziarah atau menjengok bertanya kabar. Ketika usia usang menghampiri berapa banyak wang yang ada juga tidak dapat membeli kasih sayang kerana kasih sayang tidak dipupuk dengan wang ringgit sejak azali lagi. Walaupun begitu saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak memulihkan keadaan yang sedikit sebanyak sudah mula hinggap di dalam keluarga sendiri. Sebagai insan yang lemah hanya mampu memohon doa kepada Allah Yang Maha Esa agar ikatan yang ada tetap utuh dan kukuh hingga penghujung usia.

Coretan ini sekadar untuk renungan bersama dan luahan rasa. Masih terasa kenapa ramai yang beria-ia benar memohon maaf di pagi raya akan tetapi bila berpaling belakang bermula semula sengketa. Kesedaran hadir sekelumit cuma, berakhir takbir berulang sengketa. Oleh itu andainya ada pedoman dan panduan yang boleh diterima pakai gunakanlah dengan sebaik-baiknya dan andainya ada yang menyinggung mana-mana pihak saya menyusun jari sepuluh memohon berbanyak ampun dan maaf.

Owned and written by : Sanaa 31/08/11

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: