• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • October 2011
    M T W T F S S
    « Sep   Nov »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  
  • Archives

Dari Perhatian

Menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman seawal pukul 10 pagi di hari Sabtu bukanlah kebiasaan. Hari ini adalah hari yang luar biasa apabila seorang kawan minta ditemani ke sana. Dah terlanjur keluar saya juga menghubungi seorang dua kawan yang lain untuk sama-sama bersarapan pagi. Sambil minum saya asyik memerhati sedikit demi sedikit jalanraya dipenuhi kenderaan dan penghuni kota mula keluar dengan tujuan masing-masing.

Dari secawan kopi kami bercerita lalu melakar sebuah sketsa. Bukan sketsa kesesakan jalan di awal pagi Sabtu namun drama di TV3 yang baru saja berlalu. Kami berempat memang bukan peminat cerita Melayu. Akan tetapi selepas Nur Kasih, hati kami terpaut dan terpikat lalu jatuh hati dengan Remy Ishak serta Tiz Zaqyah membuat kami menjengah sedikit sebanyak drama-drama lakonan mereka. Di antara kami berempat, saya saja yang menonton hampir kesemua episode Tahajud Cinta, yang lain-lain sudah mula bosan di awal lagi. Mereka bertambah bosan dengan watak Citra yang dipegang oleh Fazura dan Seri yang dipegang oleh Fouziah Ghous. Walaupun tidak menunggu tayangannya di kaca TV adalah sekali sekala menonton kembali di website TV3. Marah, benci, meluat, tak logic, entah apa pengajaran yang hendak ditunjukan serta banyak lagi menjadi soalan sehingga mereka berkata bagaimana saya boleh menontonnya. Lagak semua bagai pengkritik filem terkenal diikuti deraian tawa bersahut dengan deruan kereta.

Sesungguhnya sketsa terhasil apabila ramai yang mencurah perasaan tidak puas hati dan bagaimana boleh kita melonjak akal dan fikiran dengan cerita yang begini. Tahajud Cinta berlatarbelakangkan kisah ahli agama dan pondok pengajiannya. Sebuah cerita yang bergenre Islamik seperti kata penulis dan pengarah cerita iaitu Erma Fatima. Para pelakon terdiri daripada pelakon-pelakon yang dikenali ramai serta pendatang baru Neelofa yang menjadi sebutan sekarang. Namun sayang seribu kali sayang penggarapan cerita yang longgar dan mesej yang bagaikan menyimpang serta adegan-adegan yang terlalu terbuka membuat penonton rasa geli ketika menontonnya. Melalui bicara terdahulu, Erma mengatakan bahawa Tahajud Cinta adalah untuk memberi kesedaran kepada kaum wanita dan hak asasi mereka serta perjuangan menegak keadilan. Akan tetapi entah di mana keadilan ditegakan apabila yang hanya kedengaran suara sumbang Citra untuk membantu Seri tidak memberi hasil yang menyakinkan. Akhirnya yang menyelamatkan Seri adalah Hamani, ibu kepada Solahudin dan isteri tua kepada Ustaz Shauki. Citra hanya “mengutip” mereka di tepi jalan dan memberi perlindungan sementara.

“Aku akan tolong kau Seri” “Saya tengah sibuk sekarang ni, ada kes yang hendak diselesaikan” “Aku akan tolong kau Seri” “Nanti bila kerja saya sudah selesai, saya akan datang kesana” adalah di antara dialog yang dikeluarkan oleh Citra dalam drama ini setelah Seri terpaksa menerima pinangan Ustaz Shauki. Namun hingga ke akhir cerita, tiada langkah-langkah yang jitu dan padu untuk menyelamatkan Seri. Cerita bermula asal, untuk memenuhi impian dan cita-cita serta melayar bahtera nafsu yang membuak-buak, Ustaz Shauki menceraikan salah seorang isterinya dengan alasan bahawa isteri itu telah membawa fitnah. Gadis sunti bernama Seri menjadi idaman. Seiring itu suara Citra beralun bersama derita Seri yang akhirnya menjadi seorang isteri juga. Bagaimana hendak selamatkan Seri kalau hanya suara gah yang kedengaran tanpa aksi yang mantap. Berbahasa kasar dan menggugut tidak mengubah keadaan. Tiadapun sebarang tindakan dari pergerakan suara wanita yang menjadi impian Citra datang menyerbu pondok At Taqwa bersama dengan badan bertindak majlis agama bagi membenteras kesesatan fikiran yang dikatakan menguasai hati dan fikiran Ustaz Shauki.

“Strategy without tactics is the slowest route to victory. Tactics without strategy is the noise before defeat.” – Sun Tzu (544 BC – 496 BC), Chinese Military Commander and Author.

Ternyata hanya suara Citra yang kedengaran tanpa strategi dan taktik untuk mengalahkan musuh. Di manakah perjuangan yang cuba Erma ketengahkan di sini?

Di dalam Tahajud Cinta hampir kesemua babak ada hadis dan ayat Al Quran yang dibacakan bagi menguatkan cerita bahawa hidup ini berlandaskan Al Quran dan hadis. Sememangnya hidup berlandaskan Al Quran dan hadis tetapi tidak dipratikkan oleh Ustaz Shauki dan isteri-isterinya juga bagai kerbau dicucuk hidung. Selama 13 episode cerita ini bersiaran saya cuba mencari pengertian yang paling nyata dan konkrit tapi yang saya temui hanyalah derita kaum wanita. Keempat-empat atau lima isteri Ustaz Shauki, ibu Seri, Emelda dan kesemua klien Citra sehingga Citra pernah diugut adalah mangsa kaum lelaki. Yang bahagia, mewah harta dan kasih sayang cuma punyai masalah anak dan menantu adalah ibu kepada Citra dan Emelda yang watak dipegang oleh Azizah Mahzan. Sesungguhnya memang ramai wanita teraniaya di luar sana dan nasib mereka yang tidak terbela kerana kerakusan lelaki akan tetapi dalam Tahajud Cinta tidak dapat untuk saya katakan imbangannya. Umairah ditunjukan bangkit di episode 12 setelah adanya perbalahan dan lancangnya Citra bersuara tapi masih tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Secara tiba-tiba Umairah di pondok Ustaz menggodanya dan cuba membunuh pula. Aduhai confuse confuse…

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah
nasib sesuatu kaum sehingga mereka
mengubah keadaan yang ada pada diri mereka
sendiri
Surah Ar-Ra’d (ayat 11)

Masalah yang di ketengahkan dalam Tahajud Cinta adalah masalah global. Penderaan dan perkosaan terhadap kaum wanita dan kanak-kanak juga terjadi dalam masyarakat dunia yang lain. Begitu juga dengan agama, termasuk agama Kristian yang juga telah menyimpang dari asalnya. Namun cara penyelesaian tidak akan sama dari satu kes ke satu kes yang lain. Bantuan yang diberikan juga berbeza kerana setiap kejadian yang berlaku, penerimaan mangsa amatlah berlainan dari seorang ke seorang. Begitu jugalah imbasan yang hendak ditunjukan dalam Tahajud Cinta apabila isteri-isteri Ustaz Shauki bertelagah sesama sendiri dan timbul cemburu di hati. Setiap kali mereka bertelagah datanglah Hamani untuk menasihati mereka dan setiap kali itulah dia akan berkata syaitan mana yang telah merasuk fikiran mereka. Bagaimana nak maju kalau begitu? Islam menegakan kebenaran dan setiap hambaNYA punyai hak sendiri ke atas hamba yang satu lagi seperti taatnya anak kepada ibubapa, taatnya isteri kepada suami, tanggungjawab suami kepada isteri, anak-anak dan rumahtangga semuanya telah tertulis. Akan tetapi yang ada di sini adalah kelemahan wanita itu sendiri hanya kerana perkataan TAAT sehingga tidak tahu hak mereka di sisi agama Islam. Ustaz Shauki akan menyemburkan segala hadis dan surah Al-Quran sebagai mentarbiahkan isteri-isterinya supaya tunduk kepada kemahuannya bukan mengikut hukum yang telah sedia ada. Teringat saya pada satu ceramah bahawa salah penggunaan hadis dan Al Quran juga boleh menyesatkan kerana kita tidak mencari intipati dan kelebihannya untuk digunakan setiap hari.

Menghayati ayat-ayat Al Quran dan memahami setiap ayat serta kupasannya berjalan selari. Ini adalah sesuatu yang rumit, bukan sehari dua tapi kajian sepanjang hayat dan tidak mungkin dapat di selesaikan seperti dalam Tahajud Cinta.

Di dalam episode yang ke 13, Seri isteri paling muda Ustaz Shauki sudah tidak mampu lagi melayani nafsu buasnya. Seri telah dipukul, ditendang dan dipijak oleh Ustaz Shauki kerana masih berhubung dengan Citra. Ketika dalam kesakitan Seri merangkak ke pondok Ustaz Solah dan ketika Ustaz Solah mengangkat Seri lalulah Suraya lakonan Neelofa. Permintaan Ustaz Solah kepada Suraya adalah untuk memanggil ustazah ke pondoknya akan tetapi Suraya terus ke pondok Ustaz Shauki dan memberitahu bahawa Seri berada bersama Solah. Sudah tentu harimau mengaum. Esoknya hukum hudud dijatuhkan kepada Seri dan Solah di mana mereka ditanam setengah ke dalam lubang untuk direjam. Tiada bicara, tiada siasatan hukuman hendak dijalankan. Seketul batu dalam tangan Ustaz Shauki dihulurkan kepada ibu Seri untuk memulakan lontaran. Tidak upaya seorang ibu hendak merejam anaknya oleh kerana sejak awal lagi hatinya memang telah hiba mengenang nasib anak yang dikasihi. Yang menjadi kehairan apabila batu diserahkan kepada Hamani beliau juga tidak sanggup untuk melontar akan tetapi memeluk kaki Ustaz Shauki dan merayu supaya mereka diampunkan. Kenapa Hamani bertindak begitu? Adakah kerana Ustaz Solah dan Seri benar-benar bersalah? Saya sedar dan tertanya-tanya juga kenapa Seri tidak ke pondok isteri-isteri Ustaz Shauki? Kenapa pulak Seri ke pondok Ustaz Solah? Jawapan mudah…dah namanya cerita. Adegan seterusnya kepala Seri dan Solah sudah berdarah, lalu kita diminta menganggap bahawa hukuman telah dilaksanakan.

Adegan seterusnya menunjukan Hamami melepaskan Solah dan Seri. Pada awalnya saya menganggap Hamani melepaskan Solah dan Seri atas dasar simpati namun hampir ke penghujung cerita Hamani melakukan kerana mahu Ustaz Shauki kembali kepangkal jalan. Akibat dari itu Hamani telah dipukul. Dalam masa yang sama Suraya telah berada di pondok Ustaz Shauki dengan niat dan tujuan asal untuk menggoda. Adegan ini jelas menunjukkan bahawa akhirnya Ustaz Shauki gagal menahan gelodak nafsu dengan rayuan serta pujuk rayu Suraya. Renggekan Suraya untuk mengurut kaki dipenuhi oleh Ustaz Shauki. Sewaktu jari jemari kasar Ustaz Shauki menjalankan tugas terhadap Suraya, kembalilah Solah bersama orang kampung serta penduduk At Taqwa ke pondok Ustaz Shauki. Cerita berakhir di sini di mana Solah sendiri tidak mampu untuk memandang wajah ayahnya dan Suraya berada di belakang. Sekali lagi bersama deraian ketawa, kawan-kawan mengatakan bahawa apa senang benor tertangkapnya Ustaz Shauki? Dengan segala hadis dan bacaan Al Quran kesimpulan yang diambil dan pengajaran yang sebenar hendak diketengahkan adalah walaupun setinggi mana agama yang dipelajari nafsu seorang lelaki akan tertunduk kerana seorang wanita dan kebodohan wanita adalah kerana seorang lelaki. Benarkah begitu?

Seorang kawan berkata andainya bangsa asing melihat drama ini adakah mereka mampu menghayati Islam sebenarnya atau adakah mereka akan berkata bahawa agama Islam adalah agama penindasan? Tahajud Cinta jauh dari kehidupan asas walhal Islam tidak pernah melarang umatnya mengejar dan menempa kejayaan. Saya merasakan sudah tiba masanya drama dan filem kita fokus kepada keseimbangan tuntutan agama dan kehidupan.

Mungkin saya salah menafsir. Akan tetapi tulisan ini saya buat setelah membaca segala curahan hati penonton yang lain dan juga teman-teman yang mencari kekuatan sesebuah cerita. Kelemahan ada di mana-mana termasuk juga diri saya. Berbekal kesedaran yang ada, nasihat kawan-kawan serta buku yang saya baca, saya akan terus berusaha untuk mengatasinya dengan mengisi hati mengajar diri erti sabar dan tabah. Melalui cerita juga kadang-kala kita boleh dapat ikhtibar kerana dikatakan bahawa media adalah salah satu cabang untuk mencorak masa depan yang lebih cerah. Namun amat malang sekali cerita kita lebih menjerumus kepada keadaan yang extreme tanpa ada huraian lalu menjadikan sebuah karya bagai mencurah air ke daun keladi.

Saya masih percaya bahawa tidak akan ada yang baru tanpa yang lama. Kemodenan juga bukan landasan untuk kita menjual maruah diri dan agama. Setiap dari kita punya tanggungjawab yang besar terhadap diri, keluarga, masyarakat dan yang paling utama adalah agama. Begitu juga dengan karyawan. Saya pasti salah satu dari tugas karyawan adalah untuk mendidik anak bangsa melalui hasil karyanya. Allah menjadikan umatnya berbilang kaum dan bangsa serta tidak ada dua atau tiga. Kita adalah kita dengan keunikan yang tersendiri namun dengan matlamat yang serupa.

Owned and written by : Sanaa 15/10/11

*****

Perkahwinan dan hak suami ke atas isteri serta hak isteri ke atas suami

Perkahwinan merupakan fitrah yang Allah anugerahkan ke atas manusia, baik lelaki mahupun perempuan. Menurut Islam perkahwinan bukanlah atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama. Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan syahwat tetapi untuk memenuhi kehendak tujuan kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah. Kerana itu setiap Muslim mahupun Muslimah perlu merancang agar perkahwinan mereka tergolong di dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah (taqarrub ila Allah).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda;
“Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya; kerana keturunannya; kerana kecantikannya; kerana agamanya. Pilihlah olehmu wanita yang beragama nescaya kamu berbahagia”. [HR Bukhari dan Muslim]

Hadis di atas menerangkan pedoman dari Rasulullah bahawa asas perkahwinan mestilah didasarkan kepada ketakwaan. Muslimin dan Muslimat di sarankan agar memotivasikan diri untuk menjadikan perkahwinan itu sebagai rangka mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Perkahwinan merupakan pangkal, sementara berbagai-bagai hubungan lain hanyalah cabang dari adanya hubungan perkahwinan. Dengan kata lain, jika tidak ada perkahwinan, tidak mungkin muncul status suami, isteri, anak, bapa, ibu dan sebagainya.Islam telah menganjurkan kaum Muslimin untuk melangsungkan perkahwinan. Ibnu Mas’ud radhiallahu anhu menuturkan bahawa Rasulullah bersabda sebagai berikut:
“Wahai para pemuda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu memikul beban, hendaklah ia segera bernikah, kerana hal itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Sebaliknya siapa sahaja yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa, kerana hal itu dapat menjadi perisai.”

Seorang Muslim atau Muslimah yang baik selalu berharap kepada Allah agar mendapatkan pasangan yang dapat menjaga kehormatan dirinya, keluarganya dan kedekatannya kepada Allah Subhanahu wa Taala. Ia akan bersyukur jika ia berhasil memiliki pasangan yang soleh/solehah. Sebab ia telah mendapat keberuntungan yang paling besar. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.” [HR Muslim]

Seorang Muslim tidak dianjurkan menikahi seseorang kerana kecantikannya, kekayaannya mahupun darjatnya, tetapi dianjurkan agar memilih yang bertaqwa. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda;
“Janganlah kalian menikahi perempuan itu kerana kecantikannya, mungkin kecantikannya itu akan membawa kerosakan bagi mereka sendiri. Janganlah pula kalian menikahi mereka kerana mengharap harta mereka, mungkin hartanya itu akan menyebabkan mereka sombong. Akan tetapi, nikahilah mereka dengan dasar agamanya. Sesungguhnya hamba sahaya yang hitam lebih baik, asalkan ia beragama.” [HR Ibnu Majah]

Hadis di atas menuntut agar seseorang berkahwin kerana agama dan bukan kerana selainnya. Apa yang penting, setiap perkahwinan itu mestilah berdasarkan cinta kasih pasangan kerana Allah. Jika setiap pasangan berkahwin atas cinta kerana Allah, nescaya mereka akan beroleh rahmat dari perkahwinan tersebut sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antara kalian rasa kasih dan sayang.” [TMQ ar-Rum (30):21]

Kehidupan suami isteri
Pada dasarnya, hubungan suami-isteri adalah hubungan yang didasarkan pada prinsip persahabatan yang akrab, saling mengerti dan saling memerlukan. Hubungan suami isteri ini akan menjadi lebih bermakna jika suami isteri itu tahu menjalankan tanggung jawab masing-masing. Dengan ini syariat Islam telah menjelaskan apa yang menjadi hak isteri atas suaminya dan hak suami atas isterinya. Sebagaimana Firman Allah:
“Para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.” [TMQ al-Baqarah (2):228]

Ertinya hak yang dimiliki oleh seorang isteri atas suaminya sama seperti hak suami atas isterinya dari sudut masing-masing mesti mematuhi perintah dan larangan Allah. Oleh sebab itu Ibn Abbas pernah bertutur demikian,
“Sesungguhnya aku suka berhias untuk isteriku, sebagaimana ia berhias untukku. Aku pun suka meminta agar ia memenuhi hakku yang wajib dia tunaikan untukku, sehingga aku pun memenuhi haknya yang wajib aku tunaikan untuknya.”

Dan kata-katanya lagi;
“Para isteri berhak merasakan suasana persahabatan dan pergaulan yang baik dari suami mereka, sebagaimana mereka pun berkewajiban untuk melakukan ketaatan dalam hal yang memang diwajibkan atas mereka terhadap suami mereka.”

Antara hak dan kewajiban suami ke atas isterinya ialah:
(1) Suami berkewajiban memberi nafkah kepada isterinya seperti makanan, minuman, pakaian mahupun tempat tinggal dengan cara yang baik. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam:
“Engkau (suami) harus memberinya makan jika engkau makan dan memberinya pakaian jika engkau berpakaian. Janganlah engkau menempeleng wajahnya, janganlah engkau menghinanya, dan jangan pula membiarkannya kecuali di dalam rumah.” [HR Ahmad, Abu Dawud, Ibn Hibban]

(2) Suami berkewajiban memenuhi keperluan seksual isterinya, walaupun hanya sekali dalam masa empat bulan, yakni jika keadaan tidak mengizinkan. Keadaan ini ditetapkan berdasarkan Firman Allah Subhanahu wa Taala:
“Kepada orang-orang yang hendak bersumpah untuk menjauhkan dirinya dari isteri-isterinya, bagi mereka ada masa tangguh sampai empat bulan. Kemudian jika mereka kembali kepada isterinya maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ al-Baqarah (2):226]

(3) Minimum tidur bersama isteri sekali dalam setiap empat hari. Pada masa Umar bin al-Khatthab ketetapan semacam ini pernah dilakukan. Ketetapan Umar ini diambil dari firman Allah;
“Nikahilah wanita-wanita yang kalian senangi dua, tiga, atau empat.” [TMQ an-Nisa’ (4):3]

Ini bermaksud, jika seorang suami itu mempunyai empat orang isteri (maksimum) maka jarak giliran antara setiap orang isteri adalah empat hari. Jadi, berdasarkan mafhum ayat, empat hari adalah had maksimum bagi suami melayani hak tidur isteri, walaupun isterinya adalah seorang.

(4) Berbuat adil dalam pembahagian jika suami mempunyai isteri lebih dari seorang. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
“Siapa saja yang mempunyai dua orang isteri, kemudian dia lebih cenderung kepada salah satunya, maka orang itu pada hari kiamat akan dipapah oleh seseorang kerana jatuh atau tertatih-tatih.” [HR at-Tirmidzi]

(5) Jika isterinya seorang gadis, maka si suami hendaklah tinggal bersamanya selama tujuh hari dari permulaan pernikahannya dan tiga hari (dari tarikh pernikahan) jika isterinya seorang janda. Ini di ambil dari sabda Rasulullah yang ertinya:
“Bagi gadis tujuh hari, sedangkan bagi janda tiga hari, kemudian barulah ia kembali kepada isterinya yang lama.” [HR Muslim]

(6) Suami disunnahkan memberikan izin kepada isterinya jika ingin melihat saudaranya yang sakit atau menziarahi jika ada yang meninggal dunia.

Di antara hak suami atas isterinya ialah:
(1) Isteri wajib mentaati suaminya dalam hal kebaikan, bukan dalam kemaksiatan kepada Allah. Namun demikian, seorang suami hendaknya tidak memberatkan atau menyusahkan isterinya. Ketentuan semacam ini diambil dari Firman Allah:
“Jika isteri-isteri kalian mentaati kalian maka janganlah kalian mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.” [TMQ an-Nisa’ (4):34]

Rasulullah juga bersabda:
“Sekiranya aku dibolehkan menyuruh seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang isteri bersujud kepada suaminya.” [HR at-Tirmidzi]

(2) Seorang isteri wajib menjaga harta kekayaan dan rahsia suaminya. Ia juga tidak boleh keluar rumah kecuali atas izin suaminya. Ketentuan ini diambil dari sabda Rasulullah:
“(Sebaik-baik wanita adalah) yang membahagiakan suaminya jika ia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika ia memerintahnya, dan yang tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya” [HR an-Nasa’i]

(3) Berpergian bersama suaminya jika diajak. Sebab, berpergian bersama suami merupakan hak suami yang wajib ditaati oleh isterinya.

(4) Isteri wajib melayani suami jika suami mahu bersamanya. Ini kerana, melayani keperluan seksual suami merupakan kewajipan isteri dan hak bagi suami. Dalam sebuah hadis disebutkan:
“Jika seorang suami mengajak isterinya untuk tidur bersama, kemudian isterinya menolaknya, hingga suaminya marah, maka malaikat akan melaknatnya hingga pagi hari.” [Muttafaq ‘alaih]

(5) Seorang isteri wajib meminta izin suaminya jika ia hendak mengerjakan puasa sunat. Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah:
“Tidak halal bagi isteri untuk melakukan puasa ketika suaminya menyaksikannya, kecuali berdasarkan izinnya.” [Muttafaq ‘alaih].

Apa yang diterangkan di atas hanyalah sebahagian dari hak dan tanggungjawab di antara suami isteri di dalam kehidupan rumah tangga. Jika suami tidak menunaikan hak isterinya, suami tersebut telah melakukan kesalahan. Begitu juga, jika seorang isteri tidak memenuhi hak suaminya ia telah melakukan nusyuz.

Nusyuz
Nusyuz adalah pelanggaran isteri terhadap perintah dan larangan suami secara mutlak. Hukum nusyuz berlaku apabila si isteri melanggar perintah dan larangan suami semasa berada di dalam hayatul khas/kehidupan khusus (rumah tangga) seperti di dalam rumah. Adapun jika seorang isteri melanggar perintah suaminya di luar kehidupan khusus itu, ini tidak dinamakan nusyuz.

Syariat Islam telah menetapkan beberapa hak suami yang perlu dijalankan oleh seorang isteri. Antaranya menguruskan rumah tangga. Apabila seorang suami menyuruh isterinya membancuh teh, membasuh pakaian, memasak, memandikan anak-anak dan menggosok pakaiannya, jika isterinya tidak mahu melakukannya, ini bermakna isterinya itu telah melakukan nusyuz terhadap suaminya.

Begitu juga, jika seorang suami melarang isterinya bertabarruj (berhias diri) atau tidak memakai tudung di hadapan tetamunya di dalam rumah, jika isterinya melanggar larangan suaminya itu, maka isteri tersebut telah melakukan nusyuz.

Sebaliknya jika suami tersebut melarang si isteri keluar rumah bertabarruj atau tidak memakai tudung (di luar rumah – hayatul am), jika si isteri tersebut tidak mengikut larangan suaminya itu, ini tidak dinamakan nusyuz kerana perbuatan itu bukanlah di dalam hayatul khas. Isteri tersebut telah melakukan keharaman kerana melanggar perintah Allah, cuma perbuatan tersebut tidak termasuk kategori nusyuz kerana berlaku di dalam hayatul am.

Contoh yang sama adalah jika si suami melarang isteri dari mencuri. Namun isteri melanggar perintah suami dan tetap mencuri (contohnya mencuri di pasar raya), maka isteri tersebut telah melakukan dosa dan keharaman. Namun ini tidak termasuk di dalam kategori nusyuz. Dan dari segi hukuman, isteri tersebut wajib dipotong tangannya oleh negara (Khilafah) dan bukannya dikenakan hukuman nusyuz oleh suami.

Ketika syariat Islam telah menetapkan hak suami secara umum untuk memerintahkan isterinya melakukan sesuatu, atau melarangnya, syariat juga telah membenarkan beberapa hal dari keumuman tersebut. Misalnya, syariat membolehkan seorang wanita untuk menjalankan perniagaan, mengajar, menghubungkan silaturrahim, pergi ke masjid, menghadiri ceramah ataupun seminar dan sebagainya. Seandainya si isteri melanggar larangan suaminya ini, maka si isteri tersebut tidak jatuh nusyuz kerana ini merupakan hak di dalam kehidupan umum yang dibenarkan oleh Allah ke atas wanita. Namun si isteri mestilah meminta izin kepada suami untuk keluar rumah dan mesti mentaati keputusan suaminya selama mana tidak melanggar syarak.

Syariat Islam juga telah mewajibkan wanita untuk berdakwah dalam masyarakat. Ini bermakna wanita/isteri juga wajib berdakwah, sebagaimana lelaki/suami. Seandainya si suami melarang si isteri untuk keluar berdakwah, ini adalah satu kesalahan bagi pihak suami. Meski demikian, jika di rumah ada kewajipan lain seperti menguruskan anak-anak, menyiapkan pakaian, makan dan minum suami, maka hal ini hendaklah dilakukan terlebih dahulu oleh si isteri.

Hukuman nusyuz.

Hukuman nusyuz telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Taala sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
“Wanita-wanita yang kalian khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidurnya, dan pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak membekas), jika mereka mentaati kalian, janganlah kalian mencari-cari alasan untuk menghukum mereka” [TMQ an-Nisa’(4):34)

Jadi bentuk hukuman tersebut (dan mesti dilakukan menurut urutan) adalah:
1. menasihatinya dan memberi peringatan kepadanya.
2. mengasingkan tempat tidur.
3. memukulnya dengan pukulan yang tidak membekas.

Semua hukuman tersebut ditetapkan sebagai cara agar seorang isteri mentaati suaminya. Jadi, apabila isteri melakukan nusyuz, maka penyelesaiannya mestilah mengikut hukuman di atas.

Di samping itu, satu hal yang semestinya diperhatikan adalah bahawa kehidupan suami isteri harus merupakan bentuk kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan rahmat (mawwadah wa rahmah ). Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan akulah orang yang terbaik di antara kalian terhadap keluargaku.” [HR Muslim]

Wallahu a’lam bi sawab.

credit to : http://www.mykhilafah.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: