• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • August 2012
    M T W T F S S
    « Jul   Sep »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  
  • Archives

Sekali Air Bah

Sekali air bah…sekali pantai berubah. Indah sungguh bidalan Melayu akan tetapi amat jarang digunakan oleh generasi kini. Begitulah yang terjadi kepada saya dan keluarga. Air bah yang melanda 8hb April, 2012 merubah susun cara kehidupan yang selama ini sebati dengan kami. Segala-galanya perlu dirombak, diterima, ditelan dan juga diluah dalam masa yang amat singkat. Pastinya orang yang paling merasa perit akan perubahan ini adalah seorang wanita yang bergelar isteri selama 49 tahun. Pemergian suami memaksa dirinya akur dengan kehendak anak-anak dan memandang jua pada usia dimamah tua. Kami anak-anak pula berhadapan dengan kenangan yang ditinggalkan. Sama ada hitam mahupun putih, perit dan juga manis ada terpahat kebaikan di dalam semuanya. Ramadhan kali ini juga merubah keadaan hidup saya sendiri.

Beberapa hari sebelum Ramadhan setelah lebih tiga bulan pemergiannya, hakikat mesti diterima untuk mengemas barang-barang peninggalan dan seterusnya diagih-agihkan diantara kami adik beradik ataupun disedekahkan. Andai dihitung barang yang ditinggalkan terlalu berharga untuk kami serahkan kepada orang lain akan tetapi mengambil ikhtibar mungkin orang lain lebih memerlukan dan akan memberikan kebaikan kepada yang menerima. Dalam meneliti segala, kami masih tertanya-tanya kepada siapakah layaknya buku-buku yang ada diserahkan. Patutkah kami menyimpannya lagi? Apakah akan kami gunakan juga suatu hari nanti? Berbagai pertanyaan singgah dalam diri kami adik beradik. Sudah adatnya mengemas pasti ada yang dibuang dan ada yang disimpan kembali akan tetapi yang disimpan itu juga entah bila akan digunakan.

Arwah abah bekas seorang guru yang ketika hayatnya terlalu menyayangi profession itu. Kehidupannya sehari-hari bersama dengan anak-anak murid di sekolah dan juga di rumah apabila kelas tambahan Bahasa Inggeris diberikan kepada anak-anak murid yang lemah dalam pertuturan dan penulisan. Mengajar 3 matapelajaran iaitu Sejarah, Geography dan English Language membuatkan hidupnya dikelilingi buku sebagai bahan bacaan dan juga rujukan. Minat yang mendalam terhadap sastera Inggeris mengenalkan kami kepada Shakespeare. Sejarah hidup Shakespeare menjadi salah satu pendorong utama kepada kami adik beradik supaya menyambung pelajaran ke United Kingdom sekali gus mengikut jejak langkahnya. Di zaman anak-anak, kami garu kepala dan selalu jugalah mengadu kepada arwah Wan dan Tok, kenapa abah nak sangat kami ke England. Selepas itu tutur-tutur petikan kata dari Hamlet, Merchant of Venice, Romeo and Juliet, Macbeth dan macam-macam lagi menjadi halwa telinga kami. Biasalah kan, budak-budak macam kami ni bila dengar mulalah kata ehhhh abah nie tak habis-habis dengan Shakespeare…dan pernah sekali kami “terkantoi” bila merungut-rungut lalu arwah berkata “that is how you must speak English”. Itu adalah suatu waktu dahulu. Setelah air bah mengubah pantai, tidak akan kami dengar kata-kata itu berkumandang. Namun begitu hajat yang disimpan untuk anak-anaknya belajar dan melawat England tercapai. Tiga dari kami menyambung pelajaran di sana dan lainnya berada di sana untuk kursus jangka pendek. Setelah kami bekerja, berpeluang pula menjadi pelancong ke sana dan melawat tempat-tempat yang disyorkan. Dengan izin Allah sampailah kami ke Stratford-Upon-Avon tempat kelahiran Shakespeare. Cantik sungguh bandar Stratford-Upon-Avon yang disimpan dan dijaga rapi sebagai tempat kunjungan pelancong. Sebuah pekan kecil yang menyimpan khazanah paling besar. Benar bagai dikata…jauh berjalan luas pandangan…berada di Stratford-upon-Avon memberi peluang kepada kami untuk merasai dan menikmati lalu menghargai seni itu sendiri. Dari rumah yang dijaga rapi, panggung teater, pusat muzik, cafe, pemuzik jalanan dan juga pencinta sajak untuk mendeklamasikannya kepada pengunjung. Sajak (sonnets) tulisan Shakespeare dikabarkan sebanyak 154 kesemuanya dan setiap satu mengungkap kisah cinta dan tragedi yang tersendiri. Terselit juga rasa kesal kerana tidak pernah hendak mendalaminya dahulu, kerana amatlah payah untuk memahami baris-baris yang tertulis.

Meniti memori pasti tidak akan selesai kerja kami lalu keputusan diambil untuk membiarkan buku-buku tersebut di rak yang telah lama dihuni. Jari-jariku masih melalui buku-buku yang ada sehingga tiba di penghujung rak. Buku-buku kecil milik kami semasa kecil, kini menjadi bahan bacaan anak-anak saudara kami masih tersusun rapi. Begitu berharganya koleksi yang ada. Buku-buku yang tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, masih lagi dicetak sekarang seperti Robinson Crusoe, Wuthering Heights, Black Beauty dan juga siri Peter and Jane volume A, B dan C. Ketika zaman suratkhabar menyiarkan column Bahasa Inggeris masih juga tersimpan. Tulisan Adibah Amin, As I was Passing dan cerita bersiri kartunis Lat “The Kampung Boy” adalah salah satu dari permulaan kami membaca cetakan bahasa Inggeris karya tempatan. Keluhan kecil terlepas juga tatkala meniti zaman anak-anak. Ada yang masih segar dan ada juga yang telah kabur ditelan waktu. Terdetik juga di hati bahawa tiada di antara kami yang benar-benar mengikuti jejak langkahnya dari pembacaan, penulisan dan juga penghayatan. “Orang lama” itulah gelaran yang kedengaran sewaktu bersembang dengan rakan-rakan sebaya.

Himpunan-himpunan kertas yang makin usang menyimpan berbagai cerita mengenai dirinya. Keinginan, kehendak, cita-cita dan harapan yang tercapai dan juga berkecai. Sesetengah darinya kami dengar dari mulutnya sendiri ketika kami meniti remaja, sewaktu waktu dahulu apabila ada pergeseran antara mereka adik beradik. Di bilik kecil ini juga tempat kami membaca, mengeja dan juga memahami patah-patah perkataan lalu di buat susunan ayat. Bahasa Inggeris adalah bahasa yang susah, segala macam benda ada di dalamnya dan saya mengakui untuk menulis artikel pendek di dalam blog ini pun dah tak terkira berapa kali membuka dictionary. Semasa berada di sekolah rendah saya ingat lagi pelajaran Bahasa Inggeris diajar oleh gurubesar sekolah yang merupakan kawan karib arwah…aduhh bayangkanlah kalau kami gagal dalam penulisan, ejaan, struktur ayat dan penggunaan yg betul untuk “noun”, “pronounce”, “verb”, “adjective” dan banyak lagi.

Memerhati buku-buku yang ada tidak mungkin menghilangkan memori saya terhadapnya dan terdetik juga di hati “why didn’t I follow his footsteps“. Hmmm ia mungkin satu soalan yang tiada jawapan namun saya percaya Allah telah menurunkan sedikit sebanyak yang ada dalam diri seorang hambaNYA kepada tujuh orang anak yang dikurniakan. Melihat apa yang telah dicapai oleh kami adik beradik saya yakin bahawa apa yang pernah arwah impikan, apa yang pernah ingin dilakukan dan apa yang tidak kesampaian diisi oleh setiap dari kami kecuali sukan turun kepada cucu. Selain membaca, menulis dan mengkaji sejarah sastera arwah merupakan seorang ahli sukan. Sukan yang menjadi kegemaran adalah rugby dan kriket, diikuti oleh badminton, hoki dan bola sepak. Besar kemungkinan pekerjaannya sebagai seorang guru memerlukan beliau mempunyai sedikit sebanyak latar belakang dalam segala segi lalu peluang yang diberi untuk menjalani kursus jimnastik tidak ditolak lalu menambahkan pengetahuan yang sedia ada. Deretan buku mengenai kajian sukan yang diminati juga ada dalam koleksi. Berpegang kepada prinsip jika melakukan sesuatu jangan separuh jalan membuatkan dirinya bahagia untuk berada di sekolah dan bersama anak-anak muridnya sehingga bersara. Walaupun menyambung pelajaran dan membolehkan beliau mengajar di institusi pengajian tinggi tidak menjadi idamannya.

Di saat keuzurannya, cerita-cerita semasa muda dan remaja masih kedengaran ketika anak-anak murid yang mendapat kabar tentang kesihatannya datang menziarah. Menitis airmata mereka menandakan betapa besarnya tanda penghargaan mereka kepada seorang guru. Saya tidak merasakannya begitu kerana saya seorang anak barangkali akan tetapi dari cerita anak-anak murid ini menimbulkan berbagai pertanyaan dalam diri. Ada di antara mereka yang mengenali saya semasa masih anak-anak lagi yang selalu mengikuti arwah ke sekolah dan berlari di padang. Memang pantas masa berlalu dan dari detik pemergiannya kini sudah menjangkau 4 bulan.

Semua orang tahu menggunakan perkataan dedikasi, jujur, setia, ikhlas dan penuh hormat. Namun sejak akhir-akhir ini saya dapati ia adalah perkataan yang ditulis dan disebut tanpa ada makna dalam diri. Sebagai seorang yang bekerja dan punyai anak-anak buah dibawah pengawasan, saya dapati tahap dedikasi amat menurun dikalangan anak muda kita sekarang ini. Kalau hendak dibebelkan dah kering agaknya air liur, hendak dijerit dan diherdik kesemua mereka dah dewasa, hendak dilapurkan kepada pihak tindakan tata tertib mereka tidak melanggar undang-undang pejabat lalu apakah jawapan yang ada? Bersabar saja…apabila dinasihatkan dikatanya kita tidak memahami perasaan orang muda. Amat jauh bezanya dulu dan sekarang. Oleh kerana arwah seorang guru dan tahap disiplin yang tinggi diterapkan, rotan di tangan sentiasa ada ketika membuat inspection kawasan sekolah dan di rumah tidak kurang juga. Tergantung di dinding saiz rotan, dari yang sehalus-halus rotan sehinggalah kepada tali pinggang. Oh yang halus tu kalau dihayun pasti kesan seminggu tak hilang. Pernah jugalah kena sekali dua sebab lari mandi sungai tidak diketahui oleh Wan dan Tok serta penjaga kami. Lupa? Tidak sama sekali….akan tetapi itulah yang mengajar kami menghargai kehidupan hari ini.

Semasa kecil perasaan takut sentiasa bersarang di hati kami, sampaikan bila dengar bunyi kereta saja kami bagaikan tikus jatuh ke beras. Bukannya kena marahpun tapi masa tu lah baru teringat..eh kerja sekolah dah buat ke? Kasut sekolah dah basuh ke? Alahhh spelling tak buat tadi…hah mulalah buat-buat sibuk kat meja tulis, buat homework dan hafal ejaan sebab tepat jam 6.30 petang kami mesti mandi dan bersiap untuk solat Maghrib. Menunaikan solat Maghrib bersama-sama dan selepas itu mengaji dengan Tok. Mengaji pun satu hal jugak sebab Tok ada sessi mengeja dan menghafal ayat-ayat lazim atau anak-anak sekarang menggunakan “hafazan”. Seingat saya berlagu tu memang arwah Tok tak ajar tapi panjang pendek, dengung semua kalau tak betul kena jugalah tarik telinga, eehh jangan salah faham…itupun setelah tiga kali dibetulkan. Peluang semua tiga kali, tak betul kali ketiga siapkanlah diri. Kami mengaji beramai-ramai dengan anak-anak jiran sekali, sessi cuit mencuit pasti ada dan paling tak best bila Tok mengadu kat arwah abah yang kami nakal semasa mengaji. Hukuman budak nakal dahulu adalah ketuk ketampi. Seronok jugak tu…sebab siapa yang lenguh lutut mesti tak larat dan juga anak-anak yang terlebih comel nie…kena denda boleh ketawa lagi. Apabila anak-anak lain balik kerumah masing-masing kami pulak kenalah mengadap “court marshall” sebab selepas mengaji “court marshall” dah siap semak segala kerja rumah kami. Sekiranya angin “court marshall” baik, salah betulkan saja tanpa banyak soal tapi nak dapat jawapan percuma..oh oh I’m sorry. Kena jelaskan dulu macam mana boleh dapat jawapan yang salah tadi. Apabila dah puas hati barulah ditunjuk ajar dan diterangkan dengan terperinci.

Di zaman saya dan adik-adik bersekolah kami tidak pergi ke pusat tuition seperti anak-anak sekarang. Yang ada cuma kelas tambahan yang diberi oleh guru kelas ataupun yang dianjurkan oleh sekolah. Ulangkaji pelajaran semuanya dibuat di rumah dan bagi saya dan adik-adik pulak memang “court marshall” akan sentiasa ada. Kena marah tu perkara biasa, akan tetapi itulah caranya dahulu. Activiti luar dan di padang juga banyak. Di sekolah kami ada persatuan pandu puteri, persatuan lalu lintas, St. John, cadet dan berbagai lagi. Setiap dari kami mesti ada satu persatuan beruniform disertai selain dari sukan. Computer di masa itu bukanlah satu perkara yang menjadi bualan begitu juga dengan telepon bimbit. Usia kanak-kanak kami dihabiskan dengan activiti riadah di padang permainan dan kebetulan arwah abah ada sebidang tanah kebun buah-buahan dan sawah padi. Kami “tarzan” juga dulu dan kekuatan kami diuji dengan kebolehan memanjat pokok manggis, rambutan, jalan di atas titi sebatang menyeberang sungai,kalau salah imbangan…dushhh jatuhlah jawabnya. Kepada sesiapa yang terlebih berani boleh juga mencuba memanjat pokok kelapa. Kerengga adalah musuh utama pokok manggis di kebun. Membuangnya memanglah tidak mudah akan tetapi kami tetap berusaha untuk memetik manggis bagi mendapat duit poket dan penuhkan tabung. Setiap kali musim buah-buahan tiba kami pasti menanti di dapur menunggu arwah Wan membuang kulit dan lemak ayam ataupun lemak daging. Lemak serta kulit ayam itu nanti kami akan paku sedikit pada batang pokok sebagai umpan kerengga. Ketika kerengga berkerumun di lemak dan kulit ayam tadi kami ambil pelepah kelapa kering lalu dibakar untuk membunuh kerengga yang ada dan asap juga mampu membuat kerengga jatuh. Bila ini berlaku dapatlah kami memetik buah dengan selesa untuk seketika. Apabila asap mula reda kerengga pasti akan mencari mangsanya semula. Bagaikan terbayang di hadapan mata segala apa yang pernah dilalui semasa kecil dan meningkat remaja yang kini hanya kenangan. Seandainya anak-anak sekarang ghairah bercerita pasal Ben-10, Spiderman, Superman dan macam-macam lagi di sekolah, kami pulak akan bercerita segala activiti memanjat pokok rambutan dan manggis serta jualan buah di hujung minggu. Satu keseronokan apabila turun saja dari pokok sudah ada orang bertanya nak beli manggis dan rambutan. Amat besar wang seringgit dua yang kami terima, tabung penuh adalah target kami semasa itu bukan berapa jumlah yang ada di dalamnya. Apabila tabung penuh pasti mak dan arwah abah memasukan duit itu ke dalam akaun simpanan dan dengan berkat berbudi kepada tanah duit itulah juga yang menampung perbelanjaan sekolah kami. Sehingga masa nak kerja dulupun, sepasang dua baju permulaan datang dari situ kerana simpanan setiap kali musim buah arwah memang agihkan kepada kami adik beradik.

Kenangan tidak pernah lapuk kerana kenangan juga mampu membina azam dan iktikad. Melalui jalan-jalan kenangan membawa banyak tauladan. Keratan akhbar yang ada tetap disusun dan disimpan kerana ia membawa erti keiklasan dalam menjadi seorang yang dedikasi dan berseni. Besar kemungkinan di zaman arwah seni teater dan seni lakon tidak sehebat sekarang lagipun jiwanya adalah jiwa seorang pendidik lalu seni yang ada dicurahkan kepada anak-anak muridnya untuk membuat pementasan di sekolah. Ada juga beberapa pementasan ataupun dulunya lebih dikenali sebagai “concert day” saya dan adik-adik turut sama menjadi penonton. Tidak ada apa yang saya tahu mengenai seni semasa itu akan tetapi melihat kakak dan abang berada di atas pentas menari, menyanyi, berlakon dan juga berpantun serta bersajak adalah keseronokan dan setelah itu mereka menerima hadiah masing-masing.

Terjebaknya saya di sini di tahun 2009 adalah kerana sebuah karya dan beradanya saya di sini adalah kekuatan yang saya cari di sebalik sebuah karya. Kalau hendak dikatakan karya itu adalah yang terbaik, banyak lagi karya yang lebih baik, andai hendak dikata jalan ceritanya penuh dengan adegan sedih, suka, duka, derita, bahagia pasti akan ada jalan cerita yang lebih menggetar jiwa, mengocak emosi, berderai airmata menontonnya sudah pasti akan ada yang lebih hebat dan juga untuk dibandingkan gandingan pendukung watak yang mantap dan serasi, sekali lagi sudah pasti ada yang lebih baik dan menjadi calon pengarah dan penerbit. Sudah masuk tahun keempat, bagaimana berkocaknya hati pasangan bercinta, meruntunnya jiwa ibu dan bapa, betapa sakitnya cinta tidak berbalas, terbabasnya insan dari landasan agama karya ini tidak pernah ketinggalan dari sebutan orang yang meminatinya, lalu dibanding-bandingkan dengan karya yang sedang dipertontonkan atau yang akan dipertontonkan. Belum lagi ditayangkan ramai akan bertanya dan tertanya apakah naskah yang bakal ditayangkan mampu mengatasi rekod yang dicipta dan tercipta. Setelah episode demi episode ditayangkan tidak banyak tetap sedikit nama karya ini akan disebut dan menjadi perbandingan dan di antara orang yang berada di dalam kumpulan tersebut adalah saya. Sudah jemu mata membaca, bernanah jua agaknya telinga orang mendengarnya tatkala perbandingan saya buat. Besar kemungkinan tiada siapa yang mampu faham dan mengerti kenapa dan mengapa ia tetap menjadi rujukan seorang insan kerdil seperti saya yang tidak pernah ada latar belakang penulisan apatah lagi untuk menilai dan memberi komen terhadap sebuah karya dari seorang yang sudah bertahun-tahun berkarya, mempersembahkan karya yang terbaik dan diiktiraf serta kredibiliti yang tidak ternilai. Mencari dan terus mencari, meneruskan usaha belajar mengenai penulisan yang bagaimana akan meninggal kesan memdalam kepada pembaca ataupun penonton dan kenapa saya masih lagi menggunakan hanya satu-satunya penerbitan yang merubah diri saya. Pertanyaan tidak pernah henti dan masih belum juga berhenti barangkali oleh kerana masih ada lagi ketukan-ketukan tentang karya ini dikalangan penonton setia drama Melayu dengan perbandingan yang ada.

Di hari saya melewati barang-barang yang ditinggalkan, mungkin sedikit ataupun banyak saya temui kenapa dan mengapa. William Shakespeare seorang penulis yang dianggap agung dari zamannya. Tulisannya meruntun jiwa. Cerita cintanya yang penuh tragic masih lagi menjadi ilham ramai penggiat seni walaupun telah melalui berbagai perubahan dari skrip dan persembahan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Setiap cerita yang diolah oleh penerbit, penulis skrip dan pengarahan masih lagi mengekalkan ciri-ciri kekuatan yang ditulis Shakespeare. Sebut saja Romeo dan Juliet saya pasti ramai yang tahu nama dan kisah percintaan mereka. Beratus tahun dahulu, ia hanya dua nama yang dipenakan oleh Shakespeare. Saya juga pasti di masa itu Shakespeare tidak pernah tahu bahawa karyanya dan dirinya akan dikenang beratus tahun lamanya. Ratusan, ribuan ataupun mungkin sudah jutaan kali karya ini diolah dan dipentaskan pasti akan ramai yang berpusu-pusu untuk menontonnya bagi melihat sentuhan karya-karya orang sekarang berdasarkan cerita asal yang ditulis Shakespeare. Komen, kritikan, pujian dan sanjungan tetap ada. Tahun berganti tahun pasti akan ada orang baru mengambil ilham cipta Shakespeare untuk dipentaskan. Di benua Eropah pementasan sudah sebati dengan kehidupan masyrakatnya. Yang akan berubah adalah pelakon, pengarah, susunan muzik dan juga prop. Perubahan kepada jalan cerita mengikut selera sekarang pasti ada, akan tetapi kekuatan cerita tidak akan berubah. Karya-karya Shakespeare seperti Hamlet, MacBeth, Merchant of Venice serta banyak lagi tetap menjadi rujukan pelajar-pelajar seni di masa ini yang mengambil jurusan teater dan seni, karya-karya ini adalah wajib sebagai kajian. Begitu juga dengan pencipta muzik seperti Bach, Tchaikovsky, Strauss, Chopin, Beethoven dan ramai lagi pula adalah pencipta muzik classic di zaman dahulu. Muzik score ciptaan mereka berdendang serata dunia termasuklah negara kita sekarang ini. Beberapa lagu-lagu klasik ini digunakan sebagai muzik latar drama terbitan tempatan, iklan dan juga muzik selingan sementara menunggu azan waktu berbuka. Walaupun tidak banyak saya tahu mengenai mereka kecuali nama dan juga mengetahui serba sedikit ciptaan pemuzik ternama ini akan tetapi mereka bukanlah sesuatu yang asing dalam hidup saya. Sedikit pendedahan kepada dunia muzik membawa saya mengenali muzik klasik dan betapa mahalnya dan banyaknya belanja yang akan dikeluarkan oleh ibu dan bapa untuk menghantar anak-anak mempelajari seni muzik. Di Malaysia besar kemungkinan anak-anak Melayu amat kurang pendedahan berbanding dengan masyarakat Cina di negara ini. Mereka menjadikan muzik satu pelaburan di masa akan datang dan berada di pentas dunia satu hari nanti. Kebanyakan dari mereka berhijrah bagi mememuhi impian sebagai seorang pemuzik professional dengan bermain bersama dengan orkestra ternama di barat.

Terlalu lama saya di bilik kecil ini dikelilingi oleh buku-buku dan juga kertas-kertas yang berselerakan. Membaca baris-baris yang tertera di buku catatan membuat saya terfikir sejauh mana coretan ini membawa kesan di hati saya setelah saya dengan tidak sengaja cuba menulis. Kami tidak pernah berkongsi cerita mengenai apapun bentuk tulisan namun saya tahu arwah banyak bercerita dengan adik bongsu saya yang memenuhi sebahagian dari impiannya menjadi seorang pemuzik professional. Draf ucapan penghargaan dan juga terima kasih untuk acara persandingan saudara-mara pula membawa erti yang berbeza. Arwah abah amat diperlukan semasa hayatnya untuk majlis-majlis begini lebih2 lagi kalau acara persandingan di buat di hotel. Lawak jenaka yang diselitkan di baris-baris kata serta pantun menjadi selingan tawa para hadirin. Teringat saya di satu majlis yang belum luput dari ingatan dan merupakan di antara majlis-majlis terakhir yang arwah hadiri apabila wakil dari pengantin lelaki mengangkat bendera putih sebelum memberi ucapan. Riuh rendah kami dalam tawa apabila wakil tersebut berkata yang beliau sudah tidak mampu lagi membaca ucapan yang disediakan oleh kerana terpukau dengan pantun dan Shakespeare. Tidak pernah terfikir katanya bahawa keduanya itu mampu jalan beriringan.

Sekali Air Bah merubah segalanya. Yang tinggal hanyalah kenangan kerana bah di kali ini membawa dia pergi buat selama-lamanya. Melihat kerdilnya diri ini dan mengingati jua pesanan yang pernah diberi,

Bukan kaya mengukur adat
Bukan harta mengukur budi
Bukan nama di julang tinggi
Untuk kita mengenal seni.

Seni ada dalam diri
Seni jua boleh dipelajari
Namun hati jangan riaknya tinggi
Kerana berseni perlu ikhlas di hati

Sanaa 04/08/12

*****
JANGAN JADI ORANG SENI KALAU TIDAK JUJUR!

OLEH: SITI RUQAIYAH HASHIM.

Menonton filem Pierre Andre yang terbaru bertajuk Aku, Kau dan Dia penulis termenung panjang dan mula memikirkan tentang kekalutan dan kehodohan beberapa perkara yang semakin kerap berlaku dalam industri seni kita. Pun begitu, ini bukan masalah baru dan bukan masalah orang seni saja. Plagiarisme tidak berlaku dalam filem sahaja, di universiti tempatan maupun Harvard, Yale, Oxford dan Cambridge juga berlaku dan terus berlaku.Ada orang yang hingga hari ini tesis PHD nya tidak boleh diletakkan di perpustakaan kerana kualitinya yang cukup rendah dan banyak berlaku ketidak-jujuran dalam penulisannya. Bukan di mana perkara itu berlaku, tapi pokok pangkalnya ialah kejujuran dan integriti diri manusia yang melakukannya.

Begitu banyak persamaan antara filem Pierre kali ini dengan filem Sepi arahan Kabir Bhatia sedikit waktu lalu yang turut dibintangi oleh Pierre sendiri. Dalam filem Sepi, Pierre berlakon sebagai Khalil yang terbunuh dalam pergaduhan dan Imaan kekasihnya yang tidak dapat menerima kenyataan tentang tragedi tersebut melalui tekanan jiwa yang cukup hebat sehingga sampai ke taraf psikosis. Imaan sentiasa berimaginasi Khalil masih disampingnya dan tidak dapat menerima Ean teman sekelasnya yang berbuat macam-macam hal untuk memikatnya. Imaan jatuh koma oleh kemalangan dan Ean yang menemaninya menyedarkannya bahawa dia perlu ‘melepaskan’ segala kesedihan dan kenangannya tentang Khalil dan meneruskan kehidupan.

Aku, Kau dan Dia pula bercerita tentang Mia (lakonan pertama Zarina Jamalulail)yang kehilangan Ilhan tunangnya (lakonan Pekin Ibrahim) dalam satu kemalangan. Mia yang tidak dapat melupakan tragedi ini juga berada dalam keadaan sindrom penafian yang merasakan Ilhan masih ada disampingnya. Tetapi Mia bertemu dengan Izlan seorang pemuzik jalanan yang berbuat macam-macam untuk memikatnya dan membahagiakannya. Walau pun sebenarnya pertemuannya dengan Izlan hanya berlaku dalam imajinasi Mia terlalu banyak persamaan dan keselarian antara plot filem Sepi dan Aku, Kau dan Dia.

Apa sudah jadi dengan kreativiti orang seni kita? Lebih serius lagi, apa jadi dengan kejujuran berkarya dan integriti orang Seni kita? Penulis sering percaya, seni harus menjadikan manusia lebih baik. Bakat seni yang dianugerah Tuhan bukan diberi kepada semua orang, jadi tanggung jawab orang seni amat berat dan tidak boleh diabaikan sama sekali. Apalagi melakukan perkara tidak jujur (dalam apa bentuk sekalipun) ketika berkarya (juga ketika tidak berkarya) adalah sesuatu yang tidak kena dengan orang seni yang perlu punya integriti tinggi dan jujur dalam hidup. Jangan jadi orang seni kalau tidak dapat menjadi begitu.

Pun begitu, karya seni hebat mana pun tidak terlepas daripada pengaruh karya lain. Kita hidup dalam dunia yang semakin kecil dan sudah tidak ada dinding pemisah antara kita semua. Tapi sedikit serapan atau pengaruh intertekstual antara satu karya dengan yang lain adalah dibolehkan dan dapat diterima di mana pun. Yang tidak boleh adalah jika terlalu banyak persamaan dan keselarian plot dan tema dalam sesuatu cerita walau pun diubah sedikit . Ketulenan sesuatu karya harus ada originalitinya, harus segar dan banyak perbezaannya dengan karya lain walau pun ada sedikit persamaan di sana sini.

Sedikit waktu lalu, sebuah filem yang menang di Festival Filem Malaysia juga dipersoalkan kerana begitu banyak persamaan dengan sebuah filem berbahasa Inggeris yang masyhur. Pun begitu, kerana ianya dalam konteks yang berbeza dan watak-watak mitos dan sastera rakyat tempatan yang banyak dalam filem ini, ramai yang mendiamkan diri dan menerima keputusan juri FFM meski pun persamaan dalam filem ini dengan filem lain lebih daripada pengaruh intertekstual. Penulis risau, justifikasi menjadikan filem seperti ini sebagai pemenang FFM diinterpetasi sebagai plagiarisme adalah tidak mengapa dan bukan satu kesalahan yang serius dalam berkarya. Penulis khuatir implikasinya lama kelamaan boleh membawa kepada tragedi yang lebih serius dalam dunia seni kita. Jadi, jangan jadi orang seni kalau tidak jujur dan mahu mencari jalan pintas kepada kejayaan (atau kekayaan).

Pemilihan pendatang baru Zarina Jamalulail memegang watak Mia juga adalah suatu keputusan yang sangat berani tapi boleh dipersoalkan kebijaksanaannya. Watak Mia sangat berat dan kompleks untuk seorang yang tidak berpengalaman seperti Zarina. Apalagi bila digandingkan dengan pelakon berbakat besar dan berpengalaman di pentas teater seperti Pekin Ibrahim dan Remy Ishak. Keduanya mempamer lakonan yang cukup mantap dan meyakinkan dalam watak masing-masing. Akibatnya, Zarina kelihatan sedikit kaku dan ‘dibanting’ oleh kedua pelakon hebat Pekin dan Remy.

Watak yang dipegang oleh Zarina patut dipegang oleh pelakon wanita lain yang cukup berpengalaman. Zarina belum bersedia untuk memegang watak utama dan perlu banyak menimba ilmu terutama di pentas teater. Penulis percaya, pentas teater dapat membentuk pelakon yang tidak berpengalaman, maupun tidak terdidik dalam bidang lakonan jika mendapat seorang pengarah teater yang terlatih dalam pengarahan dan lakonan.Di Barat dan negara maju lain, seorang pelakon pentas yang baik sentiasa di intai oleh pengarah filem untuk filem mereka. Ini kerana pelakon pentas yang baik terdidik dengan perkara asas yang penting dalam lakonan sebelum mereka memasuki lakonan filem. Tidak ada hukum yang mengatakan pelakon filem tidak patut berlakon teater, jadi manfaatkan pentas teater untuk menimba ilmu.

Compiled :

2 Responses

  1. AlFatihah buat arwah daddy..semoga roh nya di cucuri rahmat dan di tempatkan kedalam syurga yang telah Allah janji kan…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: