• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • December 2012
    M T W T F S S
    « Nov   Jan »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  
  • Archives

Lukisan Kenangan (Bab 1)

Gemerlapan neon di Eiffel Tower memberi seribu macam rasa. Waktu masih awal namun di penghujung musim luruh pukul 4 petang sudahpun gelap. Orang ramai masih mengunjungi menara indah ini. Melewati kawasan ini sejak semalam membuat Ain Adawiyah mengingati seseorang. Seseorang yang pernah hadir dan bertapak di hatinya untuk sekian lama. Setelah sekian lama juga, baru di hari ini Ain menyedari bahawa selama ini dia tidak pernah mencari jawapan kepada perpisahan mereka dan tidak pernah juga Ain bertanya kenapa dan mengapa ia terjadi. Kejernihan neon Eiffel Tower tidak semena-mena mengusik ruang hati Ain berkali-kali.

“Di manakah dia”?, terpacul saja pertanyaan itu dari mulut Ain.

“Arif Idlan”, satu nama yang indah, seindah budi pekerti pemiliknya. Bermaksud ‘yang bijak lagi adil”. Ain membiarkan rasa itu datang walaupun Ain mencurigai kehadiran kenangan itu. Ain mengakui tidak pernah melupakan nama itu dalam sedarnya cuma Ain merasa kelainan di hari ini. Dingin angin malam ini seakan membisikan dan membuai angin rindu kepada pemilik nama itu. Sudah hampir 5 tahun mereka tidak bersua muka. Kesibukan kotaraya Kuala Lumpur tidak pernah menemukan mereka walaupun sekadar terlanggar bahu. Sesungguhnya keindahan malam terus membawa Ain hanyut dalam kenangan yang ternyata masih terlukis di dalam hatinya.

Langkah yang Ain susun amat perlahan. Dadanya terasa ketat dengan kenangan itu. Sebak di hatinya juga makin mencengkam. Andainya air-air jernih mula menuruni pipinya nanti, pasti ia akan menarik perhatian orang sekeliling. Demi mengawal rasa dan keadaan keluhan kecil Ain lepaskan. Lalu Ain menarik nafas sedalam-dalamnya bagi meredakan perasaan yang makin mencengkam.

Setelah lama berperang, Ain kalah jua akhirnya. Titik-titik jernih itu menuruni pipinya tanpa dapat ditahan lagi. Bukan Ain meminta kehadiran itu, akan tetapi ia datang. Rasa sebegini yang tidak pernah datang sebelum ini, mengundang hiba yang amat dalam di hati Ain.

“Terima kasih Arif, terima kasih untuk kenangan ini”, kata Ain penuh sendu.

“Alhamdulillah”, lafaz syukur Ain ucapkan dengan segala keindahan, pengalaman, kenangan serta perhatian dan kasih sayang yang pernah Arif berikan. Hanya Allah saja yang mengetahuinya dan kenapa mengaturkan segalanya begini. Ain percaya hikmahnya akan hadir suatu hari nanti.

*****

Riuh rendah suasana di ruang pejabat Arif membuatkan Arif menjenguk ke luar. Patutlah kakitangannya gembira semacam, rupanya ada orang belanja KFC untuk makan tengahari. Arif membiarkan saja mereka dengan dunia mereka, memandangkan sekarang waktu makan tengahari. Pelawaan mereka untuk turut sama Arif tolak dengan baik dengan alasan perut dan kepalanya rasa tak tentu sejak pagi.

Sememangnya dari tadi fikiran Arif terganggu oleh satu rasa yang datang tidak semena-mena dan mendadak. Rasa itu amat kuat namun Arif gagal memastikan resah yang hadir. Berkeluh sudah, memikirkannya juga sudah, akan tetapi Arif buntu dengan rasa serta debaran yang masih belum berhenti. Tumpuannya juga makin kurang. Demi melegakan gelodak hati, Arif menalifon Juliana, teman wanitanya bertanya jikalau ada yang tidak kena. Pelik dan hairan dengan pertanyaan Arif, teman wanitanya pula berkata yang Arif buang tabiat.

Arif Idlan seorang lelaki berusia awal 30an. Seorang yang bercita-cita tinggi. Kekurangan yang dihadapi oleh keluarga semasa kecil, menghalang Arif untuk menyambung pelajarannya. Bagi menampung kehidupan Arif membuat berbagai kerja termasuk menjadi buruh kasar di pasar borong. Di samping berusaha menampung hidup, Arif juga menyambung pelajaran dengan mengikuti kelas malam untuk tingkatan 6. Arif tidak pernah penat untuk mencuba dan berusaha.

Berkat tekun, sabar serta semangat yang tinggi, kini Arif mempunyai rantaian kedai makan ala kopitiam serta stesen minyak. Sekarang ini pula Arif sedang berusaha untuk melebarkan sayap perniagaannya kepada makanan halal dingin beku untuk pasaran Eropah dan negara sekitarnya. Dengan usahasama bersama rakan kongsi yang menetap di United Kingdom (UK), kebelakangan ini membuat Arif semakin sibuk. Arif kerap ulang alik ke UK demi melaksanakan hasratnya dan mungkin akan ke sana lagi pada penghujung bulan hadapan.

Sekilas pandang Arif memang seorang pembengis. Raut wajah yang tegas serta rambut yang berikal sedikit membuat ramai yang gerun untuk mendekatinya. Arif juga seorang yang pendiam. Akan tetapi ada sesuatu yang amat istimewa dalam diri Arif. Senyuman Arif amat menawan. Yang pasti apabila Arif tersenyum ramai wanita yang akan tergoda dan jatuh cinta dengannya kerana senyuman itu.

Arif mempunyai sepasang mata yang kuyu dan romantis. Itulah usikan kawan-kawannya. Tidak berapa lama dahulu sepasang mata itu juga telah menangkap bayang seorang gadis. Tidak mungkin Arif melupakan saat itu. Di antara ribuan gadis yang lalu lalang setiap hari di hadapan kedainya, mata Arif sentiasa tertumpu kepada gadis tersebut. Gadis itu pula pasti datang ke kedai Arif bekerja walaupun hanya sekali dalam seminggu. Selama ini gadis tersebut tidak pernah datang ke kedainya pada hari bekerja. Seingat Arif memang tidak pernah selama dia bekerja sambilan di kedai itu. Kelibat gadis itu sentiasa dilihat hanya pada hujung minggu sahaja. Setiap kali datang hanya carnation putih dan ros merah menjadi pilihannya, walaupun dipujuk untuk membeli warna-warna lain, gadis itu tetap menolak.

Pernah sekali Arif bertanya apakah tidak minat kepada warna-warna lain, tiada jawapan yang Arif terima sekadar senyuman dan gelengan kepala sahaja. Semenjak dari itu Arif berazam untuk mendapatkan jawapan dari pertanyaannya. Berputus asa tidak pernah ada dalam kamus hidup Arif.

Sepasang mata milik Arif hanya mampu memandang. Gadis ayu berkulit kuning langsat serta rambut melepasi bahu sekadar menghulurkan senyuman kepada Arif setiap kali mereka bersua. Suaranya hanya dapat Arif dengar jikalau dia sendiri yang melayani gadis itu ketika membeli bunga. Sepatah kata yang terkeluar nanti adalah ‘terima kasih”. Selepas itu dia akan beredar. Itulah rutin pertemuan Arif bersama gadis itu untuk sekian lama.

Untuk sekian lama juga hati Arif sentiasa meronta-ronta mahu bertanyakan nama gadis tersebut, akan tetapi mulutnya sentiasa terkunci. Setiap kali itu juga Arif akan teringat gurauan kawan-kawan serumah, yang mulut Arif sebenarnya menyimpan intan permata yang dikhuatiri tercicir apabila bersuara. Gurauan kawan-kawan itu Arif ambil sebagai cabaran untuk mengetahui nama gadis itu, tidak kiralah berapa lama masa diambil. Arif akan buktikan kepada kawan-kawannya bahawa berlian yang ada di dalam mulutnya amat berharga, hanya gadis itu yang akan memilikinya. Semakin kuat tawa kawan-kawan semakin tinggi semangat Arif. Minggu berganti minggu bulan juga sudah berganti, hajat Arif masih jua belum tercapai.

Seperti selalu Arif pasti menanti kedatangan gadis itu. Arif tetap bersabar dan menanti saat yang sesuai untuk memberanikan diri bertanya nama gadis tersebut. Sepanjang perjalanan dari rumah hinggalah sampai ke kedai, hati Arif memang bergendang-gendang untuk merapati gadis itu hari ini. Arif nekad untuk bertanya nama tuan empunya diri hari ini. “Tak kiralah apapun yang terjadi, aku mesti dapat namanya hari ni”, Arif bertekad dan berazam bahawa dirinya tidak akan gagal nanti. Berkat sabar, doa Arif termakbul pada pagi yang penuh berkat dan bersejarah ini. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. suatu suara memanggil membuat gadis itu menoleh.

“Ain Adawiyah ke nie”? bertanya seorang pelanggan di kedai itu dengan nada ceria bercampur terkejut dan terperanjat. “Betul kan”? “Ini Ain Adawiyah”?, bertanya lagi pelanggan tersebut.

Di pagi itu Arif menjadi pemerhati setia kepada pertemuan dua sahabat lama yang terpisah sejak menamatkan persekolahan. Bualan mesra mereka berdua yang bersulam riang tawa membuat Arif mekar dalam senyuman. Tanpa menunggu lagi Arif merapati mereka dan menghulurkan sekuntum mawar putih kepada keduanya. Tergaman dua gadis tersebut melihat perlakuan Arif.

Sudah tentunya kedua gadis itu kehilangan kata-kata sehingga pandangan mereka tertumpu kepada Arif untuk beberapa ketika. Kekok Arif rasakan bila dipandang begitu, lalu tanpa berlengah Arif berkata dengan amat berhati-hati, bahawa setelah sekian lama mereka berdua menjadi pelanggannya baru hari ini hatinya tergerak untuk bertanyakan nama mereka. Hatinya bertambah girang oleh kerana hajat yang tersimpan lama telah terurai di awal pagi yang indah ini dengan tiada sebarang kesulitan. Sejuk tangan yang dirasa sendiri oleh Arif dek kerana teruja membuatkan mereka bertiga berkenalan.

“Arif Idlan”, Arif menghulurkan tangannya. “Ain Adawiyah”, huluran tangan Arif bersambut mesra.

“Kartika”, kata seorang lagi dengan iringan tawa kecil. Ain terasa janggal dengan tawa Kartika lalu memberikan jelingan. Dengan tawa yang masih belum reda, Kartika memberi pandangan kepada Arif dan membawanya kepada Ain. Ain tertunduk malu dan Arif pula memalingkan mukanya ke arah bunga-bunga di situ. Arif pura-pura menyusun kembali bunga-bunga tersebut. Fahamlah Ain bahawa tawa Kartika itu berpunca dari lirikan mata Arif kepadanya yang diperhatikan sejak tadi oleh Kartika. Ain percaya dan pasti yang Kartika salah faham dan saja hendak mengusiknya.

“Aa..inn”!!! tergagap Arif menyebut nama itu.

Sepantas kilat nama itu terluncur dari bibir Arif, sepantas itu juga nama itu menggegar segenap ruang fikiran Arif dan seperti pantulan terus bergema di setiap penjuru bilik pejabatnya. Arif merasakan jantungnya bagaikan diragut dan terus terhenti. Terbantut segala rasa yang ada dalam diri Arif serta merta. Arif hilang dan tenggelam dalam kenangan yang tidak terduga. Aroma jasmine dan mawar yang tersembur dari alat penyembur wangian membuat Arif terasa lemah seluruh anggota. “Kenapa dia”? Arif menyoal dirinya sendiri.

Aroma jasmie dan mawar sekali lagi menusuk hidung Arif. “Apakah kerana semburan itu”? Arif mengeluh. Tidak mungkin!!!, Arif masih menafikan kehadiran nama itu. Sudah terlalu lama Arif menggunakan wangian tersebut di dalam bilik pejabatnya, akan tetapi nama itu tidak pernah datang. “Kenapa di hari ini”? bentak hatinya lagi.

“Apakah selama ini aku berada di luar sedar”? Arif makin tidak tenang. Sememangnya selama ini Arif tidak menyedari bahawa wangian itu adalah kegemaran Ain. Sudah berkali setiausaha dan pembantu peribadinya memohon untuk menukar kepada aroma yang lain, Arif tetap menegah. Di hari ini dalam resah yang datang barulah Arif sedar kenapa dia berkeras dengan wangian tersebut sejak dulu lagi.

Suatu masa dahulu, nama itu memang agung di dalam hatinya. Nama yang sentiasa mekar dan mampu membuat Arif senyum sepanjang waktu. Nama yang mengajar Arif erti rindu, nama yang menerbitkan cinta dan menguntum kasih. Detik-detik yang dilalui bersama membenih harapan yang menggunung tinggi di hati Arif bahawa suatu hari gadis itu bakal disunting sebagai suri hidupnya.

Bak kata pepatah bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak dipukul gelombang, tidak terkecuali buat Arif dan Ain. Mereka gagal melawan gelombang yang datang dan sedikit demi sedikit nama itu hilang, nama itu makin pudar dan akhirnya nama itu Arif kuburkan. Tidak mampu untuk terus menuding jari dan menuduh, Arif juga senarai hitamkan nama itu. Hilang dan ghaibnya tidak Arif ketahui dengan pasti akan tetapi hadirnya di hari ini teramat pelik dan terlalu aneh. Angin tidak ribut pun tiada, mendadak pula nama itu muncul di hari ini. Terlepasnya nama itu dari bibir Arif sebentar tadi telah membuat Arif terperosok di kerusi empuk ruang pejabatnya sekarang.

“Kenapa dia datang”? Arif bertanya lagi. Hatinya dibalut pilu. Seluruh hatinya diselubungi pilu. Bertakafur Arif sejenak kerana satu nama. “Apakah aku sering mengingatinya tanpa sedar”? Arif masih tidak berpuas hati.

Nama itu membawa fikiran Arif jauh. Jauh dan lama Arif memikirkan bilakah kali terakhir nama itu diingati dan dikenang. Lama sungguh Arif diragut kenangan. Semenjak hari hitam itu sememangnya Arif menafikan kewujudan dan kehadiran nama itu dalam hidupnya. Arif mengharamkan dirinya mengingati nama itu. Tidak pernah walaupun seminit Arif mengakui bahawa nama itu selama ini mekar dan segar dalam sanubarinya. Hari ini Arif tercabar, hari ini juga Arif rasa amat tersiksa. Sekilas rasa yang datang memaksa Arif menerima hakikat bahawa sejauh mana Arif melangkah, sejauh mana Arif mahu melupakan, sejauh mana tekun Arif bekerja, bayangan dan nama itu sebenarnya tetap ada.

Oleh kerana peritnya perpisahan Arif keraskan hati untuk tidak mengenangnya lagi. Namun tiada siapa dapat menduga dan Arif sendiri tidak menyangka bahawa resah yang datang sebentar tadi membawa Arif meniti kenangan dalam sekelip mata. “Sihatkah dia”? “Di manakah dia sekarang”? “Apakah dirinya dalam kesusahan”? Bermacam soalan melingkari fikiran Arif serentak. Arif digamit kebimbangan.

Sambil menyandarkan badannya di kerusi dan mendongakan kepala, Arif mengeluh dalam kelesuan. Arif buntu.

*****

Ain merenung keluar jendela. Sebaik saja tingkap dibuka, tiupan angin di penghujung musim luruh menangkap segala sendi-sendinya. Sudah hampir 3 tahun Ain berseorangan di kota London. Kota yang dipilih sebagai tempat menyahut cita-cita dan impiannya selama ini. Hanya tinggal beberapa bulan saja lagi Ain bakal menamatkan pengajian peringkat awalnya di sini. Keluhan kecil jelas kedengaran dari bibir Ain, ‘betapa cepatnya waktu berlalu’ bisik hati kecilnya.

Ain seorang gadis yang lincah. Di zaman remajanya, Ain banyak menghabiskan masa bersama kawan-kawan yang tidak tentu haluan. Ain tidak punya cita-cita yang tetap. Ain lebih senang menghabiskan masa dengan kawan-kawan lepak di sana sini selepas waktu kerja dan di hujung minggu. Teguran dari ibunya tidak pernah Ain hiraukan oleh kerana hubungan mereka tidak begitu erat. Ain lebih rapat dengan neneknya dan sangat dimanjakan kerana Ain dibesarkan oleh nenek dan bersatu kembali di bawah satu bumbung dengan ibunya ketika Ain berusia 12 tahun. Setelah kematian ayahnya, nenek terus tinggal bersama Ain dan ibunya.

Keadaan sekitar Ain banyak mempengaruhi kehidupannya. Sebagai anak tunggal Ain sentiasa keseorangan. Hanya kawan-kawan saja yang menjadi peneman Ain sepanjang masa. Budaya lepak bersama kawan-kawan sudah sebati dengan hidup Ain sejak sekolah lagi. Boleh dikatakan Ain tidak pernah berfikir panjang tentang masa depan dan cita-cita. Segala apa yang Ain lakukan bersama kawan-kawan tidak sesekali dianggap mensia-siakan waktu remajanya. Setiap kali ditegur oleh ibu, setiap kali itulah Ain akan naik berang dan sering meninggikan suara bahawa dia tidak punya cita-cita. Ain sekadar mengikut arus kehendak hatinya dan rentak kawan-kawan. Oleh itu setelah tamat tingkatan 5, Ain terus bekerja. Ain memilih untuk bekerja di sebuah agensi pelancungan dan penerbangan.

Dunia pekerjaan yang mencabar sepatutnya mampu mengubah Ain, akan tetapi tiada apa yang benar-benar berubah. Kelincahan dan sikap mesra yang Ain miliki dan tunjukan di dalam pekerjaaan adalah tiket untuknya mengenali ramai pelanggan serta menemukan Ain dengan berbagai ragam manusia, akan tetapi tidak ada seorangpun yang dapat memberi atau membuat Ain mengambil contoh baik dari mereka jauh sekali mengikut jejak mereka untuk berjaya. Di antara pelanggan yang datang untuk membeli tiket penerbangan, ramai di antara mereka ahli perniagaan ataupun ahli korporat yang berjaya. Ain masih dengan dunianya. Dunia melepak dengan kawan-kawan tidak kira masa. Kelemahan Ain paling ketara adalah amat mudah serta senang terpengaruh dengan ajakan kawan-kawannya. Amat payah dan amat sukar untuk dirinya menolak ajakan mereka untuk berpesta. Kawan-kawan adalah segalanya bagi Ain.

Hampir setiap hujung minggu, Ain pasti akan memenuhi ajakan kawan-kawannya untuk berparti dan menghabiskan masa di kelab malam. Duit gaji yang Ain terima habis begitu saja. Kepintaran Ain dalam menggendalikan para pelancong membuat Ain menerima banyak tips dari mereka. Wang bagaikan tiada masalah buat Ain. Kalaupun dia kesempitan wang, bekerja lebih masa dan menjadi pemandu pelancung kemana-mana destinasi dalam negeri sudah memadai untuk Ain mendapat bayaran lumayan sebagai upah untuk kerja lebih masa. Akan tetapi wang itu juga tidak kemana, bak kata pepatah “senang dapat…senang juga habisnya”, kerana kawan-kawan sudah sedia menunggu untuk bergembira dan berhibur. Sudah jenuh dan berbuih mulut ibunya menasihati untuk menyimpan serta beringat masa ada, namun Ain tetap pekakkan telinga dengan nasihat tersebut. Lagi kerap nasihat diberikan, lagi tegang hubungannya dengan ibu sendiri. “Simpan”? adalah perkataan yang amat asing dalam hidup Ain.

Kehidupan juga ibarat roda, sentiasa berubah dan bertukar. Angin perubahan mula nampak dalam diri Ain apabila dirinya mengenali Arif. Seorang anak muda yang berjiwa kental dan bersemangat waja. Bagaikan langit dengan bumi bezanya perangai Ain dan Arif. Sebagai seorang yang sudah, sentiasa dan masih melalui perit getir kehidupan, Arif amat berhati-hati dengan duit. Arif begitu teliti dengan perbelanjaannya walaupun 5 sen. Bukan sebab Arif kedekut akan tetapi Arif amat menghargai setiap sen yang diterima. Arif sentiasa ingat dan sedar kepayahan hidupnya dan betapa susah untuk mendapatkan wang. Ini amat berbeza dengan Ain yang selalunya tidak tahu wang ringgit kemana dibelanjakan.

Ain tidak punya simpanan kira-kira seperti Arif. Perbelanjaan yang paling Ain sedar dan tahu adalah sejumlah RM20 yang dibelanjakan di kedai Arif untuk membeli bunga. Ini adalah kemestian setiap minggu buat Ain demi membahagiakan neneknya. Itupun bila dihitung hanyalah RM100 sebulan. Tidak banyak mana kalau hendak dibandingkan gaji yang Ain terima setiap bulan.

Bermula dari seorang pelanggan tetap di kedai Arif, hinggalah mereka menjadi kawan sedikit demi sedikit Ain mula memberanikan diri berkongsi hal peribadinya dengan Arif. Ain bertambah yakin dan selesa bersama Arif dari hari ke hari. Arif adalah pendengar setia kepada segala rungutan dan sungutannya. Setiap curahan rasa dan bebelan Ain tidak pernah Arif tolak ke tepi. Ada saja nasihat yang Arif beri, sokongan serta galakan. Arif tidak pernah mencemuh Ain walaupun kadang-kadang Ain merasakan telah membebankan Arif dengan cerita dan kisahnya.

Suatu pagi Ain sudah terpacak di hadapan kedai bunga Arif sebelum kedai dibuka lagi. Hatinya sakit dan hatinya kecewa. Ain sendiri tidak tahu kenapa memilih untuk berjumpa dengan Arif
di pagi buta macam ni. Jam baru saja menunjukan 7 pagi.

“Manalah pulak mamat ni’? gertu Ain seorang diri. Selama ni kalau lalu pukul 6.30 pagi pun bunga dah siap bersusun, ini dah lebih 7 pagi. “Eh, tak kerja ke dia hari ni”? Tanya Ain lagi sendiri.

Mungkin Arif terlewat, kerana itu dari kejauhan lagi Ain melihat Arif berlari-lari kearah kedai. Apabila Arif makin menghampiri, langkah anak muda itu menjadi amat perlahan. Besar kemungkinan Arif terperanjat melihat figura seseorang di hadapan kedai dari jauh. Sememangnya Arif terperanjat. Mana tidaknya, Ain Adawiyah sudah ada di kedai sebelum dia sampai lagi.

“Awak buat apa kat sini”? Tanya Arif dengan kerutan seribu di dahi dan yang masih termengah-mengah.

“Tunggu awaklah”, jawab Ain dengan agak kasar. Ain menyedari akan hal itu, akan tetapi Ain buat-buat tak reti saja apabila Arif memandangnya dengan seribu pertanyaan.

Tanpa bercerita panjang kenapa dirinya berada di situ, Ain sekadar memberitahu Arif bahawa dia perlukan tempat untuk menenangkan fikirannya waktu ini. Ain juga berkata bahawa dia nak duduk di kedai Arif sehingga Arif menutup kedai petang nanti.

“Saya janji tak ganggu awak”, kata Ain apabila Arif memandangnya meminta kepastian. Ain pasti itu yang Arif inginkan darinya. Sebelum sempat Arif berkata, Ain menyambung lagi…’jangan risau hal saya, cuma bagi saya satu kerusi saja sudah memadai, saya janji akan duduk diam”, kata Ain sambil mengangkat tangannya seperti membaca ikrar.

Kata-kata Ain mengundang tawa besar Arif di pagi hari. Bergema tawa itu di setiap ruang kedai dan juga luarnya. Lalu Arif mengambil sebiji kerusi dan diletakan dihujung meja tempat Arif membuat kerjanya. “Silakan”, kata Arif sambil menepuk-nepuk kerusi plastic berkenaan.

Jari-jari halus Ain berlari-lari di atas sehelai kertas sambil memerhatikan itik-itik berenang di tepi kolam universiti tempat dia menuntut. Oleh kerana ada sedikit matahari di pagi ini, Ain bercadang duduk di luar. Perasaan gemuruh mula meliputi seluruh hati dan jiwa raganya. Hanya tinggal beberapa minggu saja lagi pameran sulungnya akan dibuka. Apalah tuah yang ada pada dirinya, seorang pelukis muda yang baru bertapak di alam lukisan potret dan pemandangan diberi peluang yang amat besar untuk pameran solo. Bukan mudah untuk mendapat peluang yang sebegini. Masih ramai lagi rakan-rakan senior yang masih belum dapat menembusi pameran solo.

Selama hampir 3 tahun ini, Ain dan rakan-rakan yang lain telah membuat pameran bersama dan ia amat menggalakan. Hasil jualan lukisan itulah Ain guna untuk menampung hidupnya sehari-hari serta wang gaji yang diterima sebagai pekerja sambilan di sebuah pasaraya. Baru sekarang Ain sedari dan terasa amat takut jikalau kesempitan wang kerana Ain sudah tiada tempat untuk mengadu nasib serta berada di perantauan. Berada di UK mengajar Ain berjimat dan menghargai setiap sen yang diperolehi dan dibelanjakan.

Kekecewaan yang hadir dalam hidupnya juga mengajar Ain untuk terus berdikari dan berusaha keras bagi mencapai impiannya menjadi seorang pelukis terkenal satu hari nanti. Selama ini Ain tidak berfikiran begitu. Hidupnya hanya kawan-kawan dan seorang ibu juga nenek Sememangnya Ain tidak memikul tanggungjawab menjaga kebajikan ibu dan neneknya kerana harta peninggalan arwah atok dan juga arwah ayahnya memadai untuk menampung kehidupan mereka.

“Go for your dream Ain, kejar sejauh manapun ia berlari”, sebaris kata yang amat tegas dari Arif setiap kali melihat lukisannya. “Kenapa payah sangat ni!!! untuk Ain meneruskan cita-cita”? Pertanyaan Arif itu rasanya kalau dihitung sudah menjadi jutaan kali sepanjang perkenalan mereka. “Apa yang menghalang Ain”?, itulah yang Arif tanyakan tanpa jemu sehingga Ain naik rimas dengan pertanyaan-pertanyaan tersebut. Seringkali Ain mendengus apabila Arif bertanyakan begitu.

Arif memang tak jemu-jemu berpesan bahawa apapun dalam hidup ini kita kena belajar berdikari. Tidak boleh sentiasa mengharapkan bantuan orang lain, begitu juga dengan membuat keputusan. Orang lain seperti kawan-kawan hanya boleh memberi pandangan, nasihat dan contoh-contah terdekat, akan tetapi keputusan muktamad mesti ada dalam tangan kita. Apabila kita yakin dengan keputusan yang kita buat pasti tidak akan ada kekesalan dalam hidup ini. Setiap hujah Arif akan ditutup dengan “Insha-Allah” dan perkataan itu juga yang sering membuat Ain kalah ketika mereka berhujah pendapat dan bertegang urat.

Semua itu sudah berlalu, kini Ain hidup dalam kenangan dan kenangan itu telah membawa Ain jauh melangkah ke negara Eropah seorang diri. Bermula dari permohonan untuk mendapat tempat di The Ruskin School of Drawing and Fine Art sehinggalah menguruskan tempat tinggal dan mencari pekerjaan sementara untuk menampung hidup.

Pemergian ninda yang dikasihi hampir 6 tahun yang lalu dan diikuti ibu yang disayangi 3 tahun kemudian menjadikan Ain sebatang kara. Terlalu berbeza keadaannya ketika Ain kehilangan nenek, kerana semasa itu Arif sentiasa menemani sehingga Ain pulih semangat sepenuhnya. Arif tiada bersama Ain ketika meratapi pemergian ibunya. Ain tergapai-gapai mencari arah di waktu itu, tiada teman disisi yang mampu menemaninya, jauh sekali menangis bersamanya mengharungi keperitan hidup ini. Kesedaran timbul sikit demi sedikit dalam diri Ain selepas itu lalu Ain mendidik diri untuk menjadi tabah dan kuat mengharungi hidup.

“Haihh..shuh shuh”, Ain menghalau itik angsa yang datang tanpa disedari mengambil makanannya. Terperanjat Ain dibuatnya, lalu membuat beberapa pelajar di situ datang menolong.

Ain masih terkebil-kebil memandang kanvas yang berukuran 8 kaki x 6 kaki dihadapannya. Putih dan bersih kanvas yang terbentang. Ligat kepala Ain memikirkan apa yang hendak dibuat kepada kanvas tersebut. Sudahlah semalam Ain hanya tidur beberapa jam saja, malam ini juga Ain gagal melelapkan mata kerana asyik memikirkan apa yang boleh dan patut dilukis atas kanvas sebesar itu. Ain benar-benar sudah ketandusan idea untuk melukis.

“Kalau tak ada mood jangan melukis..tengok ni lukisan tak ada jiwa..hambar”, komen Arif selamba. Senggeh Arif tidak ketinggalan.

Arif menjadi pengkritik setia dan tidak bertauliah Ain untuk sekian lama. Komen begitu selalunya mengundang pergaduhan kecil di antara mereka kerana apabila Ain meminta Arif mengulas kenapa dia suka cakap macam tu..Arif pasti akan berkata..mata dia yang kata tak ada jiwa dan diiringi tawanya yang riang sebab dapat mengusik.

Mundar-mandir Ain di rumah sewanya. Mencari, berfikir, berilusi dan terus berfikir lagi namun usahanya sia-sia. Bangun..duduk…bangun..duduk..mencapai majalah hiasan rumah, majalah tentang alam sekitar semua telah Ain belek akan tetapi segalanya gelap. Gelap bagaikan kicap yang dicurah ke atas telor goreng yang dimakan sebentar tadi. Cuaca sejuk dan idea yang makin jauh membuat perut Ain kembali berkeroncong.

“Tarik nafas, lepaskan”, pinta Arif dengan berhati-hati. Dengan perlahan Arif menarik pensil dari tangan Ain. Arif sekali lagi meminta Ain membuat perkara yang sama. Ain mengikut bagaikan dipukau oleh permintaan Arif tadi. Setelah dua tiga kali berbuat demikian Arif menghulurkan tanganya kepada Ain.

“Jom”, kata Arif sepatah. Ain memang mudah kalah dengan renungan mata Arif . Renungan itu memang tidak mampu untuk Ain tenung lama-lama. Arif memang pandai memujuk. Sibuk macam mana sekalipun Arif tetap akan luangkan masa melayan kerenah Ain yang kadang-kadang tu bertiup macam taufan Katrina. Tak ada tanda-tanda ribut nak datangpun, Ain meletup bagaikan Karakatua.

Arif akan membawa Ain dengan motonya keliling kota sambil meminta Ain melihat keadaan yang ada. Arif amat peka dengan kehidupan. Kehidupan jalanan adalah minatnya yang terakam melalui lensa kameranya sejak dari awal perkenalan mereka. Gambar-gambar yang Arif ambil adalah cerita-cerita kehidupan. Walaupun ketika itu gaji Arif kecil dan tidak seberapa yang tinggal setelah ditolak sewa rumah dan belanja harian, Arif tetap berjaya mencapai cita-citanya membeli sebuah kamera Canon digital yang baru diperkenalkan masa itu. “Aneh”, kata hati Ain. Bagaimanalah Arif dapat semangat untuk segala apa yang diidamkannya.

Sepanjang setahun perkenalan mereka, tidak ada satu haripun Ain terdengar atau mendengar Arif bersungut tentang duit. Dari awal lagi sudah Ain tahu yang Arif mahu mencari pekerjaan yang lebih stabil dan pendapatan yang lebih namun nasib masih tidak menyebelahi hidupnya. Cita-cita Arif besar dan Ain sering takut mendengar impian Arif. Arif begitu cemburu dengan kejayaan taukeh-taukeh Cina yang pernah memberi pekerjaan kepadanya. Hidup Arif penuh dengan pertanyaan. Macam mana? Bagaimana? Kenapa mereka boleh…aku tak boleh? Dan bermacam-macam lagi. Dunia Arif juga penuh dengan kertas kerja. Positif dan negative serta timbang tara semuanya tercatit.

Doa dan hasrat Arif dimakbulkan suatu hari oleh pemilik kopitiam dan kedai serbaneka di hadapan kedai bunga Arif. Taukeh itu memerlukan seorang pengurus lalu menawarkan kerja tersebut kepada Arif. Tanpa berfikir panjang, Arif terus merebut peluang berkenaan. Sememangnya Ain kagum dengan usaha dan semangat Arif.

Ain singgah di kedai serbaneka berdekatan dengan rumahnya setelah 3 kali tawaf kawasan tersebut. Cuaca yang dingin tidak Ain hiraukan. Waktu yang menjelang tengah malam juga Ain ketepikan. Penat sudah Ain berjalan sejak tadi namun segalanya masih kosong. Bagaimana mungkin aku menghadap kanvas itu lagi? Bisik hati Ain sendirian.

Sebaik saja pintu ditolak, adalah dua tiga orang pelajar Malaysia membeli barangan. Mereka saling berbalas senyuman dan berbisik sendiri. Besar kemungkinan wajah Ain mereka kenali dari pameran-pameran kecil yang diadakan di kampus sejak tiga tahun ini. Ain meniti dari satu rak ke satu rak sehingga menimbulkan syak wasangka budak yang menjaga kedai tersebut.

“Can I help you miss”, tegur cashier yang berbangsa India itu dengan pelat yang tersendiri.

“No, thank you”, jawab Ain pula. “I’m just looking”, sambung Ain lagi sebelum cashier itu menyedari Ain sebenarnya yang mundar-mandir dalam kedai tersebut.

“Oh…it’s you”? “You scare me”, katanya sambil mengurut dada.

“Yeah..it’s me and sorry for scaring you”, balas Ain dengan tawa kecil kerana gelihati melihat cashier tersebut sudah pucat wajahnya. Lalu mereka berdua tertawa kecil.

Sebelum beredar Ain mencapai sebungkus chewing gum sambil bernyanyi kecil. Entah apa irama yang keluarpun Ain tak tahu akan tetapi yang pasti Ain menghiburkan hatinya sendiri yang tidak keruan dek ketandusan idea. Mulut Ain berkumat-kamit mengikuti lirik dan irama lagu yang sedang berkumandang di dalam kedai tersebut.

“Alangkah eloknya kalau Arif ada, tentu ada idea yang tercetus”, keluh Ain lagi lalu melangkah kaki untuk pulang. Tiada apa yang boleh dibuat lagi kecuali rehatkan dirinya untuk malam ini dan mungkin esok akan menjanjikan sesuatu.

*****

Arif makin menyedari sesuatu yang tidak kena dengan dirinya sejak akhir-akhir ini. Setelah resah yang melanda beberapa hari yang lalu, Arif menerima kehadiran Ain kembali. Nama itu tidak lekang dan terus berlegar di ruang fikirnya tanpa henti. Hari ini pula Arif meredah setengah Kuala Lumpur hanya untuk menikmati sepinggan kueh teow goreng di Jalan Petaling. Selalunya apabila Arif teringat hendak ke sana dia akan mematikan langkah dengan segera.

“Kenapa I rasa ada sesuatu yang tak kena”? tanya Juliana agak keras setelah mendiamkan diri sejak tadi.

Arif hanya biarkan soalan itu berlalu. Silap Arif juga mengajak Juliana bersamanya meredah Kuala Lumpur di awal pagi.

Juliana teman wanita istimewa Arif sejak dua tahun yang lalu. Juliana dan Arif bertemu atas urusan kerja. Seorang gadis berada dalam lingkungan usia 28 tahun diperkenalkan kepada Arif sewaktu permohonan lesen perniagaan dan ubahsuai kedai serbaneka yang Arif usahakan. Juliana terbabit dalam hiasan dalaman kedai yang ada. Sejak dari situ hubungan mereka bermula dari seorang rakan kerja kepada teman istimewa.

Walaupun Arif gembira mendampingi Juliana, akan tetapi sesekali Arif masih merasakan ada yang kosong. Masih ada jarak yang memisahkan mereka. Mereka tidak kongsi banyak persamaan. Berkemungkinan besar latar belakang hidup yang membezakan mereka. Arif tetap bersyukur dan bahagia dengan segala apa yang dimilikinya. Arif sedar dengan segala rasa yang mengetuk pintu hatinya sejak lama, cuma selama ini Arif biarkan saja. Tidak pernah Arif hiraukan. Entah mana silapnya sejak akhir-akhir ini Arif pandai memberi tumpuan kepada bisikan hatinya.

Hari demi hari Arif makin menyedari sesuatu yang dia cuba lupakan selama ini. Apakah Arif membohongi diri dan hatinya selama ini? Telah lama Arif kuburkan segala yang boleh dikuburkan termasuk hobi yang paling digemari iaitu fotografi. Perit jerih Arif mengumpul wang dahulu hanya untuk membeli sebuah kamera yang boleh di upgrade bila-bila masa saja, akan tetapi Arif lepaskan tanpa berfikir panjang.

Arif bekerja tanpa mempedulikan diri sendiri. Siang dan malam sama saja bagi Arif asalkan dia mampu membuang sakit dan pedih di hati. Arif bangkit dalam peritnya sebuah cinta dan perpisahan. Lama kelamaan Arif yakin cinta lamanya telah luput dengan hadirnya cinta baru. Namun sesekali Arif tetap mengatakan bahawa Juliana bukan cintanya. Arif tidak menafikan yang mereka akrab akan tetapi sesekali Arif merasakan wujudnya ruang-ruang kosong di antara mereka. Puas sudah Arif berfikir dan puas juga Arif berusaha mencari sebab terbinanya ruang-ruang kosong di antara dirinya dengan Juliana, namun masih belum berhasil. Lalu Arif biarkan saja dan meneruskan hidup mengikut arus.

Kini Arif kembali sibuk dengan rancangan terbarunya untuk mengembang sayap perniagaan ke negara Eropah dengan makanan halal dingin beku. Arif bakal terbang ke kota London tidak lama lagi atas urusan perniagaan baru itu. Walaupun demikian kesibukan itu tidak sama sekali menghalang Arif untuk meniti kenangan. Ada kalanya pula Arif merasakan kenangan yang datang membuat dirinya lagi tekun berusaha.

Sejak merancang pembukaan sebuah restoran halal bersama rakan kongsinya yang bakal bertapak di Paris, Arif sering berulang alik ke kota tersebut. Dalam pada itu Arif memilih kota London sebagai pusat pengantara. Pelik dan aneh menjadi pertanyaan silih berganti rakan kongsinya setahun yang lalu kenapa London menjadi pilihan.

“Why London”? tanya Mark yang ternyata terperanjat dengan pilihan Arif.

“Oh well….no specific reason”, jawab Arif sambil mengangkat bahunya bersama senyuman.

Sekelip mata yang berlalu Arif sendiri dapat merasakan senyumannya makin melebar apabila mengingati perbualannya bersama Mike dahulu. Sehingga hari ini Arif sebenarnya masih tertanya-tanya kenapa London jadi pilihan sebagai tapak permulaan di negara Eropah. “Kenapa ya”? sambil Arif melepaskan keluhan dalam kesesakan jalanraya. Secara tidak sengaja hari ini Arif bertanya diri sendiri dengan pilihan tersebut.

“Ain kah”? terlepas pantas dari bibir Arif.

“Ain”? tanya Juliana yang duduk disebelahnya.

Tersentak Arif ketika Juliana menyebut nama itu., lalu menoleh. Tidak Arif sangka bahawa Juliana mendengarinya. Kelihatan jelas kerutan di dahi Juliana dan secara spontan airmukanya berubah mencuka.

“Siapa Ain”? tanya Juliana garang. Mungkin rasa cemburu tiba-tiba datang kerana tidak pernah terdengar Arif menyebut nama wanita lain sejak bersamanya.

Arif melepaskan keluhan yang berat kerana tersedar yang dia telah jauh dibawa kenangan.

Arif menoleh kearah Juliana seketika. Pandangan yang Juliana berikan kepada Arif amat tajam. Arif sama sekali tidak memperdulikan pandangan tersebut, hanya terus menumpukan arah panduannya.

Serentak itu antara mereka terus diam membisu.

*****

Bagaikan halilintar Ain terjaga dari lena. Terpinga-pinga di kesamaran lampu biliknya, Ain cuba mengingati kembali rasa yang datang. Rasa itu amat kuat dan tajam sehingga mengejutkan Ain dari nyenyak tidurnya. Sekilas pandang melihat jam di tangan menunjukan dua pagi. Ain masih mamai dari kejutan tersebut lalu duduk termangu di katilnya.

Dengan segala daya Ain berhempas pulas memikirkan suara yang datang dalam tidurnya. “Apakah aku bermimpi”? tanya Ain sendiri. Ain beristighfar lalu mengosok mukanya. Berdegup kencang jantungnya dek kejutan itu tadi. Tidurnya juga baru sejam yang lalu. Ain masih tercari-cari jawapan apabila dia terasa seperti ada kuasa yang menariknya. Ain terus meluru keluar dari bilik. Pandangan pertama Ain tertumpu pada bentangan kanvas yang masih belum terusik.

“Thank you Arif”, bisik Ain dalam hatinya.

“Eh…nama itu lagi”? Ain tersedar nama Arif juga yang disebut akan tetapi tidak dihiraukan. Tanpa berlengah Ain mula menconteng warna-warna indah di atas kanvas supaya idea yang ada tidak hilang. Tidak seminitpun Ain berhenti. Idea yang datang bagai arus sungai yang mengalir deras. Sambil menyanyi kecil Ain meneruskan lukisannya.

Setelah hampir 4 jam menumpukan perhatian, Ain mula terasa letih dan perutnya lapar. Jam menunjukan pukul 6 pagi. “Hmm dah pukul 6”, detik hatinya. Ain meletakan berus lukisan dan mengamati kanvas yang sudah terisi dengan pandangan yang puas. Sambil menggenggam dan memusingkan jari jemarinya yang sudah terasa kebas, Ain tidak lupa mengucap syukur ke hadrat Ilahi dengan segala pemberianNYA. Berkali-kali rasa syukur Ain panjatkan, tanda terima kasihnya kepada sang Pencipta.

Tatkala Ain berdiri untuk meluruskan badan sambil memerhatikan kanvas itu, hati Ain terusik kembali. Cukuplah sedetik cuma perasaan itu datang untuk Ain mengingati kembali nama itu. Nama yang mampu membuat airmatanya mula bergenang. “Kenapa dia”? tanya Ain kembali penuh kecewa dan berkali-kali.

Ain tidak mampu lagi untuk berfikir dek kerana perut yang lapar dan keletihan melanda. Ain berlalu untuk ke dapur dan membiarkan lukisan itu sementara. Ain membawa langkahnya terus ke peti sejuk dan mengeluarkan sebotol susu. Sebaik saja Ain mahu menuangkan susu ke dalam gelas, bisikan halus bergetar di telinga nya…“Panaskan sikit susu tu”. Tidak terdaya lagi Ain untuk melawan lalu Ain terjelupuk di sudut dapur kecilnya dengan deraian airmata yang deras linangannya.

Terlalu lama Ain melayan perasaan sehingga rasa berkeroncong di perutnya kembali meminta perhatian. Ain menyeka airmata yang bersisa…bermohon kekuatan dari Allah yang maha esa untuk meneruskan perjalanan hidup ini.

“Tolonglah aku Ya Allah”, ucap Ain. “Berilah aku kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi arus kehidupan ini, sesungguhnya Kaulah yang maha mengetahui betapa berat penderitaan yang aku tanggung. Bertahun lamanya aku cuba bangkit dari kegelapan ini namun aku masih gagal mengawal rasa yang datang…tolonglah aku Ya Allah”, doa Ain pinta bertali arus.

Perlahan-lahan Ain mencari kekuatan semula di pagi itu. Bertemankan secawan koko panas dan beberapa keping roti, Ain bersandar di sofa ruang tamu rumahnya dan memerhatikan kanvas yang sudah dipenuhi warna-warna alam. Ain perlukan sedikit masa lagi untuk memenuhi sebahagian kanvas yang masih kosong dan juga untuk final touch-up. Dalam tangis yang masih bersisa, senyuman Ain lemparkan kepada kenangan yang datang. Pahit dan manis sebuah kenangan memberikan Ain sebuah harapan walaupun kini Ain keseorangan meniti perjalananan kehidupan yang belum pasti.

“Meow…meow”, suara halus Tompok datang dengan menggeselkan mukanya di dada Ain minta dibelai dan dimanja, Ain terus saja mengusap leher Tompok kesayangannya. Tompok adalah pemberian jiran Ain sebelum mereka berpindah dahulu. Loceng dan rantai yang tergantung di leher Tompok juga adalah tinggalan tuan Tompok yang dahulu.

“Apalah aku nak buat tanpa kau Tompok”? keluh Ain kepada kucing kesayangannya. Dua tahun sudah Tompok menghiasi hidup Ain dalam sunyinya. Tompok makin merapatkan dirinya kepada Ain seperti mengerti isihati Ain sekarang ini. Membelai Tompok membuat Ain terlena. Lena Ain dalam keletihan.

Tidak Ain tahu berapa lama dirinya terlena akan tetapi waktu memang sudah terlambat untuk Ain menghadiri sessi perjumpaan dengan pelajar senior dan juga syarikat yang bakal menaja pameran solonya nanti. Tidak tentu arah Ain menyiapkan diri dan dalam nada yang termengah-mengah Ain menghubungi pensyarahnya bahawa dia pasti akan datang walaupun lewat. Tawa yang didengar Ain di hujung talian meredakan gelisah Ain sejak tadi. Penaja Ain juga secara kebetulan baru menghubungi pensyarahnya yang mereka juga lewat untuk temujanji di pagi ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakan.

“Alhamdulillah”, sepatah kata dari Ain untuk semua yang diperolehi hari ini, hari-hari sebelumnya dan hari-hari yang bakal mendatang. Berkali-kali kata syukur itu Ain lafazkan. Sebaik saja selesai pertemuan dengan penaja, pensyarah dan rakan senior Ain terus bergegas pulang. Dalam fikiran, Ain hanya mahu terus menyiapkan lukisannya yang masih belum selesai. Waktu makin singkat dan Ain perlu menyiapkan 3 lukisan yang seakan sama besarnya. Ain tidak putus-putus berdoa semoga diberikan kekuatan tenaga dan fikiran untuk menyiapkan lukisannya mengikut jadual.

Kali ini Ain nekad membiarkan rasa itu datang ke dalam hatinya.

Langkah Ain percepatkan dan gembira bersarang di hati kerana “Arif” menemani.

Ilham Cipta : Ally

Tulisan bersama : Sanaa dan Ally

Disclaimer: Hakcipta terpelihara. Cerita ini hanya rekaan semata-mata. Nama dan tempat juga adalah khayalan penulis dan tiada sangkut paut kepada sesiapa yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Sebarang cetak di luar blog ini adalah dilarang. Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: