• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • December 2012
    M T W T F S S
    « Nov   Jan »
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31  
  • Archives

Lukisan Kenangan (Bab 2)

Ruang legar dewan pameran dipenuhi oleh para pengunjung. Di antara ramai yang datang, ada yang datang atas jemputan khas, ada juga yang datang dari mendengar pengumuman di radio dan siaran televisyen dan juga dari flyers yang disebarkan. Tidak kurang juga yang datang secara kebetulan ketika melalui dewan pameran ini.

Sudah hampir 2 jam pameran berlangsung. Sesekali Ain mula terasa penat kerana tidak henti melemparkan senyuman kepada semua yang berada di dalam dewan ini. Bersalaman dan beramah mesra dengan mereka serta berkenalan dengan para pengumpul lukisan di kota London dan kawasan sekitar. Ain turut menemani beberapa pengumpul lukisan melewati lukisan-lukisan yang tergantung bagi menerangkan cerita di sebalik setiap lukisannya.

Debaran Ain semakin reda apabila mendapat lebih banyak keyakinan dengan setiap waktu berlalu. Setiap pujian dan kritikan Ain terima dengan senang hati. Kritikan amat bermakna bagi Ain untuk terus memperbaiki mutu lukisannya. Pujian pula menaikan semangat Ain untuk terus berjuang demi cita dan cintanya kepada seni. Walaupun dahulu Ain melukis sekadar hobi akan tetapi semenjak keputusan Ain ambil untuk melangkahkan kaki ke UK semuanya berubah. Ain sudah menanam azam bahawa lukisan akan menjadi sumber rezekinya untuk terus menampung hidup sehingga tiba masanya nanti. Oleh itu Ain tidak akan lagi menoleh ke belakang. Peluang di hari ini adalah pembuka jalan baginya untuk meneruskan cita-citanya.

Mata Ain tidak berhenti memerhati dan berlegar di segenap ruang dewan itu andainya masih ada para pengunjung yang mahu mengetahui lebih lanjut tentang hasil lukisannya. Dalam Ain sibuk memerhati dan sesekali tenggelam dalam angannya sendiri, Edward datang merapati dengan siulan dan bernyanyi kecil. Senyum lebar Edward amat jelas kelihatan.

“Give me 5 my darling”, kata Edward sambil mengangkat tangannya. Ain membalas tepukan tangan itu tanpa mengetahui apa di sebalik kegirangan rakannya ini.

“Congratulate me”, pinta Edward pula.

“Why”? tanya Ain selamba dengan acuh tak acuh kerana memikirkan Edward sekadar bergurau dengannya. Ain memerhati Edward yang terus bersiulan semasa membuka invois jualan dan resit pembelian yang telah dilakukan.

Ketika Ain masih lagi melihat telatah Edward yang keriangan, Ain berpaling sedikit memerhati ruang legar dewan kembali. Sebaik sahaja Ain berpaling, matanya terus terlihat seorang pemuda yang asyik memerhatikan lukisannya yang berasaskan kehidupan dicelah-celah kota. Ada sesuatu yang menarik perhatian Ain semasa melihat pemuda tersebut dari tempat dia berdiri. Terselit juga lonjakan rasa dalam diri Ain untuk menghampiri pemuda tersebut.

Tanpa berlengah dan dengan lafaz “Bismillahirrahamnirrahim”, Ain membawa kakinya melangkah ke arah pemuda tersebut. Pergerakan badan dan lenggok lelaki itu membuat Ain tertanya-tanya apa sebenarnya yang hendak dilihat oleh beliau. Belumpun sempat Ain berada disisi dan menegurnya, terdengar di telinga Ain pemuda itu berkata sesuatu. Ain menoleh kiri dan kanan untuk memastikan bahawa pendengarannya tidak silap kerana tiada orang yang berdiri di sisi lelaki tersebut.

“Hmm cantik…tapi apa yang kurang ya”? kata lelaki itu sambil mengiring kepalanya lagi ke kiri dan kanan.

“Oh…orang melayu rupanya”, bisik hati Ain spontan.

Ain terus mematikan langkah serta hajat di hati untuk menegur lelaki tersebut yang sejak tadi asyik saja memerhatikan lukisannya. Ain menanti penuh minat sekiranya lelaki itu akan bersuara lagi.

“Apakah pelukis ini kesunyian”? berkata lagi lelaki itu.

Ain menumpukan perhatian kepada setiap patah perkataan yang keluar dari mulut lelaki berkenaan. Dalam diam Ain mengharapkan lelaki itu terus berkata-kata.

Lama kemudian terkeluar keluhan dari lelaki tersebut sambil dia meletakan jari di bibirnya. Ain masih sabar menanti kerana dari apa yang Ain dengar bagaikan lelaki ini amat kenal dengan pelukis. Terdetik satu nama di hati Ain, namun Ain padamkan secepat kilat. Ain tidak mampu berharap. Kesabaran Ain sudah terbatas, apabila lelaki tersebut terus mendiamkan diri. Namun Ain masih belum mahu berganjak dari situ. Beberapa pengunjung yang datang telah melewati lukisan tersebut dan telah berlalu pergi juga.

Ain masih menunggu. Penantian Ain sia-sia kerana lelaki itu terus mendiamkan diri dan tidak juga berganjak dari tadi. Ain bertambah hairan apabila pemuda itu masih lagi menatap lukisannya dengan penuh minat. Ain mengerling jam di tangan dan kalau tidak silap sudah hampir 15 minit lelaki tersebut tidak berganjak dan dia juga tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Ain pasti pemuda itu sudah tenggelam dalam emosinya sendiri.

“Hmm..positif, pelukis ini sememangnya kesunyian”, tutur pemuda itu. Kata-kata itu terdengar jelas di telinga Ain.

Ain sudah merasa letih menanti dan sudah dua kali dia menangkap perkataan kesunyian dari pemuda tersebut. Ain tidak mampu lagi menahan diri.

“Kenapa awak kata pelukis ini kesunyian”? terus sahaja Ain bertanya lalu membawa langkahnya merapati pemuda tersebut. Pertanyaan Ain tidak membawa lelaki tersebut menoleh kepadanya. Sebaliknya lelaki itu amat teruja untuk terus memberikan pendapat beliau.

Ain mendengar hujah-hujah pemuda tersebut dengan teliti. Setiap kata Ain beri perhatian kerana semakin banyak yang diperkatakan semakin membuat Ain rasa gelisah. Dari lubuk hatinya Ain dapat rasakan bahawa pujian serta kritikan pemuda ini seolah-olah amat mengenali dirinya. Gelisah dan resah Ain yang terkawal menjadi porak peranda dalam diri Ain apabila pemuda itu berkata ““setiap garis adalah luka, setiap bengkok adalah kecewa dan setiap bintik-bintik hitam adalah sejarah hidupnya yang kosong dan gelap”.

“Siapakah pemuda ini”? “Apakah yang pemuda ini tahu tentang sejarah hidup aku”? “Apakah pemuda ini tahu pahit getir kehidupan yang aku tempuhi”?

Soalan demi soalan silih berganti dalam kotak fikiran Ain. Ain menelan air liurnya dengan kelat menerima hakikat dan akur bahawa sedikit sebanyak terjemahan pemuda ini amat menepati. Ain mesti bersabar, walaupun dalam hatinya mula terselit rasa marah yang tidak berapa jelas. Ain pasti pemuda ini tidak tahu sejarah hidupnya. Tidak tahu pahit getir yang telah dilalui.

“Kenapa aku mesti marah dengan ketulusan terjemahan yang diberi”? Ain menyoal pula dirinya.

Ain masih menunggu lagi, manalah tahu masih ada komen-komen yang bernas hendak disampaikan. Ain turut memberanikan diri memberi sekilas pandangan sisi kepada pemuda yang berdiri disebelahnya. Degup jantung Ain kencang tatkala merasakan iras wajah pemuda itu seperti Arif. “Tidak mungkin”. “Aku berhalulinasi kut”, Ain menafikan dengan segera. Ain mengalihkan kembali pandangannya ke hadapan, mencari kekuatan bagi melegakan degup jantungnya. Pemuda tersebut masih tidak menoleh. Perhatiannya tertumpu dan terlekat kepada lukisan Ain. Sesaat dua yang berlalu, Ain merasakan berada dalam dunia asing, hanya pemuda itu dan dirinya. Sekelip mata juga seperti ada kuasa yang menarik Ain untuk memulakan bicara semula.

“Awak kenal dengan pelukis ini”? Ain memberanikan diri dengan bertanya. Sebaik saja soalan Ain lepaskan, terasa degup jantungnya semakin laju lantas tidak berani untuk menoleh. Di dalam berani mengutarakan soalan, jari jemari Ain serasakan beku.

“Tak”, jawab pemuda itu sepatah. “Akan tetapi ada sesuatu di dalam lukisan ini membuatkan saya merasakan seperti amat mengenalinya”, sambung pemuda itu lagi.

Ain menoleh ke arah lelaki tersebut selari dengan jawapan yang diberi. Mereka berpandangan kini. Ain tidak perlu waktu yang lama untuk menyedari dan mengetahui siapakah pemuda yang berdiri disisinya. Detik jam sudah terhenti. Degup jantung Ain menjadi makin kencang. Mereka memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Semuanya jelas di mata Ain siapakah pemuda itu dan kenapa dia begitu lantang memberikan pendapatnya sebentar tadi.

Senyap dan sunyi. Hanya kedengaran bunyi tapak kaki dan suara-suara pengunjung yang masih berada di dalam dewan tersebut. Mata Ain terjegil luas. Kaki, tangan dan badannya menggigil tanpa diminta. Pucat yang kelihatan di wajahnya sudah dapat dirasakan sendiri. Tiada perkataan yang mampu diungkap dengan kejutan ini. Segala urat saraf dan nadi sudah terhenti menyalurkan darah ke seluruh anggota badannya. Tidak ada sepatah kata yang terkeluar. Bicara mereka sebentar tadi sudah tidak wujud. Mata mereka bertentang. Ain sememangnya tidak percaya dengan anugerah ini. Sebentar tadi sudah Ain nafikan rasa yang hadir. Ain pasti pemuda yang dihadapannya juga tidak percaya dengan pertemuan ini.

Mereka kaku…

Kedua mereka dikejutkan kembali ke dunia nyata oleh Edward yang datang merapati untuk memberikan pemuda tersebut invois dan resit jualan. Tiada suara yang Ain dengar dari Edward kecuali permohonan maaf kerana mengganggu dalam nada yang tergagap. Barangkali Edward merasakan sesuatu di antara mereka, apabila Edward mengambil masa untuk bersuara kembali. Ain sekadar meneka.

“Oh wonderful, you have met the artist”, kata Edward dengan girang.

Kegirangan Edward menambah ketidakselesaan Ain. Spontan dua pasang mata memberikan pandangan kepada Edward. Edward terpinga-pinga kerana tidak mengerti maksud pandangan itu. Dari sudut matanya, Ain sedar Edward mengalihkan pandangan selari kepadanya dan pemuda itu secara bergilir. Tarikan nafas dan helaan nafas yang Ain lepaskan menambah kekeliruan di mata Edward apabila Ain tersenyum, tertunduk, terdiam, menggeleng kecil sehingga dua pasang mata itu bertemu kembali.

“Errr”….Edward terus terdiam apabila Ain menghulurkan tangan kepada pemuda tersebut dengan senyuman paling lebar begitu juga dengan pemuda itu.

“Apa kabar Arif Idlan”, huluran tangan Ain disambut kemas oleh Arif. Ternyata Ain gugup dan suaranya bergetar semasa menyebut nama itu. Sudah terlalu lama nama itu tidak Ain sebut dihadapan tuannya.

“What a small world, Ain Adawiyah”, Arif mengeratkan genggaman tangannya. Ain tidak mampu berhenti tersenyum dan melepaskan tawa kecil bagi meredakan gelodak rasa. Makin Ain berdebar makin erat genggaman tangan Arif. “Apa kabar”? tanya Arif pula.

Ain memberikan senyuman kepada Arif sebagai balasan kepada pertanyaan tersebut. Tidak berdaya rasanya untuk Ain berkata, lebih-lebih lagi dengan renungan yang Arif berikan. Ternyata 5 tahun tidak mengubah apa-apa, Ain masih belum terdaya untuk melawan renungan mata Arif. Renungan itu masih mampu membuat Ain terpaku, resah gelisah dan hanyut dalam kenangan lalu. Suasana senyap seketika dan waktu seakan terhenti. Bohong kiranya kalau Ain mengatakan tidak kekok bertemu Arif dalam situasi yang begini. Siapa sangka, seluas-luasnya dunia ciptaan Allah ini, kota London menemukan mereka kembali. Keluhan kecil Ain lepaskan semasa mereka sama-sama hilang kata untuk berbicara. Dengan perlahan juga genggaman tangan Arif lepaskan.

Mereka masih memandang satu sama lain. Senyuman yang meniti seakan tidak mampu berhenti. Terdetik di hati Ain berbagai rasa dan ingin pula terus mencungkil apa yang Arif rasa saat ini. Berbagai perasaan menyinggah di hati Ain. Ain terasa aneh, pelik, ajaib, hairan serta bermacam lagi rasa timbul dalam satu masa. Bagaimana pertemuan yang tidak disangka-sangka itu tidak mengundang rasa sedih, hiba ataupun marah dalam diri Ain? Itu yang membuat Ain terasa amat pelik. Hati Ain sekarang ini bagaikan digeletek dek kerana gembira.

Pada mulanya Ain menyangka bahawa Arif akan marah dan terus berlalu dari situ sebelum sempat Ain bertanya kabar. Akan tetapi aura positif terlalu kuat barangkali di antara mereka sehingga mereka teruja yang amat sangat. Ain amat gembira dengan pertemuan yang tidak disangka ini dan Arif juga bagai mengiyakannya apabila tidak berganjak dari tempat mereka berdiri. Sudah tentu kegembiraan membuat mereka masih memandang satu sama lain, cuma tidak terucap kerana gembira yang amat sangat.

Kisah pilu yang pernah menjadi sejarah hidup di antara mereka terus terkubur dengan sendirinya. Ain seolah-olah berada di langit tujuh apabila Arif mula mengangkat keningnya dan bermain mata dengannya. Terlepas tawa dari bibir Ain membuatkan beberapa pengunjung menoleh ke arahnya. “Opps..sorry” lalu Ain menekup mulutmya dan Arif menurunkan tangan Ain semula beberapa minit kemudian dan melepasnya dengan perlahan. Berderau darah Ain dengan perlakuan Arif.

“ Apakah benar semuanya ini”? Ain menduga hati dan dirinya sendiri dengan tindakan spontan Arif itu.

Sepasang mata milik Ain sempat memerhati gaya dan penampilan Arif. Secepat mata yang mengukur sepantas itu juga Ain akui penampilan Arif sudah banyak berubah. Gaya Arif tidak ubah seperti lelaki korporat. Arif segak bergaya dengan kot hitam, kemeja putih dan lengkap bertali leher. “Mesti dia datang ke London atas urusan perniagaan. Tapi apa kerja dia ya’? Otak Ain ligat meneka. “Hmm…makin handsome”, sambil Ain terus mengagumi penampilan Arif.

“Excuse me”, kata Edward memohon maaf.

Edward berdehem pula apabila permohonan maafnya seolah tidak didengari oleh Ain dan Arif. Perasaan teramat gembira di antara Arif dan Ain sehingga terlupa akan kehadiran Edward disamping mereka.

Arif menoleh kepada Edward lalu mengambil invois serta resit jualan yang dihulurkan. Secara tidak langsung Ain mengetahui bahawa Arif telah menjadi pemilik kepada dua lukisannya. Arif mencapai apa yang dihulurkan oleh Edward tanpa mengalihkan pandangannya daripada Ain. Pandangan itu sekali lagi membuat Ain tidak keruan.

“Jadinya jualan Edward tadi kepada Arif”? tanya Ain di dalam hati. “Ohhh…” terlepas dari mulut Ain akan tetapi cepat-cepat dia menoleh ke arah lain dengan harapan Arif dan juga Edward tidak menyedari kesilapannya itu.

“I’m so sorry”, kata Ain sambil menoleh kepada Edward. “Edward…this is Arif Idlan…an old dear friend of mine”, Ain memperkenalkan Edward kepada Arif. Ain juga masih gagal mengalihkan pandangannya kepada Arif.

“Ohh splendid..you both know each other”, ujar Edward lalu berjabat tangan dengan Arif. “This is really a small world and I guess it is getting smaller”, sambung Edward dengan mata nakalnya memandang Ain sebelum mengundurkan diri.

Ain dan Arif tenggelam dalam emosi masing-masing untuk beberapa ketika sehinggalah Arif kembali menarik perhatian Ain kepada lukisan yang berada di hadapan mereka. Seminit yang berlalu tadi memaksa Ain bertanya diri apakah perasaan Arif sekarang ini. Mata Ain tercari-cari signal yang mampu Ain tafsir melalui body movement dan body language Arif. Pemerhatian Ain membuahkan kecewa. Ternyata Arif amat berhati-hati selepas pertembungan empat mata mereka sebentar tadi. Arif tidak seperti sebelumnya. Ain yakin Arif berusaha mengawal keadaan diri.

Mereka menyepi kerana Arif tekun kembali kepada lukisan yang berada di hadapannya. Tidak banyak yang dibualkan lagi mengenai lukisan selepas itu kerana dalam sunyi yang melanda Ain menerima kenyataan mengejut.

“I bought two of your paintings today”, suara Arif mendatar saja bunyinya. “Dan sebuah lukisan yang saya beli secara paksa daripada seorang kawan kira-kira setahun yang lalu di Kuala Lumpur”, sambung Arif lagi dengan perlahan dan penuh berhati-hati. Butir bicara Arif terlalu dikawal.

“Hah”?, Ain terkejut. “Secara paksa”? Ain bertanya dengan nada yang masih terkejut dan keliru. Malangnya Arif tidak memberi sebarang reaksi, walaupun pandangan mereka bertemu. Terlalu sukar untuk Ain mentafsir pandangan Arif serta raut wajahnya di kala itu.

“Tetapi…kenapa AS”?, tanya Arif. “Kenapa tidak Ain atau AA”? Arif menyambung pertanyaannya.

Pengakuan Arif benar-benar buat Ain terkejut dan lebih mengejutkan Arif sudah memiliki satu lukisannya sebelum ini. “Dari mana Arif dapat lukisannya sebelum ini”? “Siapakah yang ada lukisan aku”? ligat otak Ain memikirkan pengakuan Arif itu.

“Apakah sebelum ini Arif tahu siapa “AS”? Ain tertanya lagi sendiri. “Aduhh…bagai nak pecah jantung ni”, bisik Ain kepada dirinya.

Keluhan kecil Ain lepaskan dan sebelum sempat Ain bersuara, Arif terus menyambung dan mengaku pernah, sering dan masih tercari-cari siapakah “AS”.

“Pencarian saya bertemu jawabnya hari ini”, ujar Arif kembali memandang Ain. “Walaupun penantian itu terlalu menyiksakan dan kesabaran saya sering terduga”, tambah Arif lagi dengan pandangan redupnya ke arah Ain.

Serba tak kena Ain dibuatnya dengan pengakuan Arif itu apatah lagi dengan pandangan yang Arif berikan. Ain gagal mengawal rasa apabila fikiran Ain dibawa kepada sejarah mereka. Pandangan redup itulah yang Arif berikan tatkala memohon penjelasan kenapa mereka perlu berpisah dan Arif tidak henti-henti bertanya apakah salah dirinya. Di masa itu Ain tidak punya jawapan kepada pertanyaan Arif. Seandainya Arif bertanya lagi Ain masih jua tidak punya jawapan.

Suara lembut Arif tetap sama. Tidak ada satupun yang berubah dipendengaran Ain. Kini giliran Ain pula untuk mengawal perasaanya yang makin terusik. Arif tidak patut tahu sedihnya sekarang namun kata-kata Arif seterusnya mampu membuat Ain kaku. Arif turut mengakui setiap kali terpandang lukisan Ain yang tergantung di rumahnya, Arif akan terus mencari di internet siapakah “AS”. Walaupun setiap kali jawapan yang diterima hampa, Arif tetap yakin bahawa satu hari nanti dia akan bertemu jawapan yang dicari.

Berkerut-kerut muka Ain mendengar penjelasan Arif. Seperti dahulu juga perkataan kecewa dan mengalah tidak ada dalam kamus hidup Arif. Ain ingat benar dengan dua perkataan itu. Sekarang ini hendak dipotong percakapan Arif bimbang timbul di hati andainya Arif bertanya lebih lagi. Lantas Ain mendengar saja sehinggalah soalan yang Ain nanti-nantikan tergelincir dari bibir Arif.

“So…who is “AS” and why “AS”? tanya Arif penuh minat. “Siapapun “AS” mesti initial tu istimewakan”, Arif meneka.

Sudah kesekian kali Ain melepaskan keluhan dan sebelum sempat Ain menjawab soalan yang sama buat kali kedua muncul.

“Siapa AS”? tanya Arif sekali lagi. “Awak dah tahu kan, puas saya google siapakah “AS” ni”, sambung Arif diiringi tawa kecil.

Apabila soalan kedua Arif kemukakan, Ain memandang Arif. Separuh dari hatinya mahu berkata benar dan separuh pula mahu membohongi saja. Mungkin semasa hati Ain berkata-kata ada perubahan diwajahnya. Perubahan airmuka Ain membawa perubahan kepada airmuka Arif juga apabila menatap wajah Ain. Tidak dapat Ain pastikan perubahan wajah Arif berkenaan apa cuma sekadar mengagak.

“I’m sorry”, Arif memohon maaf lalu memegang tangan Ain. “Maafkan saya Ain, andainya pertanyaan itu menyinggung perasaan awak”, sambung Arif lagi beria-ia.

Ain menggelengkan kepalanya, mengambil nafas dan masa untuk menjawab keraguan Arif.

“Tak mengapa”, jawab Ain ringkas. Setelah beberapa ketika Ain memberitahu bahawa “AS” adalah mengingati kesemua orang yang pernah hadir dalam hidupnya. Dari raut wajah Arif terpancar soalan lagi, begitulah telahan Ain.

“Eh tak mungkin awak tak tahu”? tanya Ain kepada Alif dengan nada ceria. Intonasi suara sengaja Ain ubahkan bagi mengurangkan ketegangan di antara mereka.

“Bukankah tadi awak kata..awak ni peminat lukisan saya”? “Macam mana tak tahu pulak”? Ain bertanya kepada Arif diiringi senyum nakal dan tawa kecil.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa pertemuan mereka sememangnya penuh dengan aura positif. Jelas kelihatan apabila Arif menyambut tawa Ain sehinggalah mata mereka bertemu. Pandangan itu adalah alahan paling teruk kepada Ain. Tenungan, renungan, pandangan, jelingan atau apa saja yang bermula dengan mata Arif adalah kelemahan dan kelalaian Ain. Sepantas kilat Ain mengalih pandangannya dan sekali lagi Ain menarik nafas sedalam mungkin bagi melegakan resah di hati. Secepat itu juga Ain membawa pandangan Arif kembali kepada lukisan di hadapan mereka.

“Don’t try to change the subject, Ain”, pintas Arif keras dan pantas.

Ain dapat merasakan pandangan Arif terlekat kepadanya akan tetapi Ain pura-pura tidak mengerti apa yang baru saja Arif ucapkan. Sejujurnya Ain tidak pernah menerangkan di mana-mana ruangan sekalipun tentang “AS” kepada umum. Ia adalah rahsia peribadi Ain dan initial itu sudah sebati dengan dirinya sejak awal Ain menjinakkan diri dengan alam lukisan. Lebih tepat lagi apabila Ain mula memikirkan lukisan sebagai punca rezekinya. Setelah menjejakan kaki ke negara Eropah ini, Ain lebih merasakan perlu untuk terus menggunakan nama itu. Sebagaimana indahnya lukisan yang Ain hasilkan, sebegitu indah jua “AS” di hati Ain.

Dalam mereka masih memerhati lukisan yang besar itu, hati Ain meronta-ronta mahu mencungkil sebanyak mungkin komen dari Arif. Sewaktu Ain melukisnya Arif segar dalam ingatan. Arif adalah orang yang bertanggungjawab ke atas lukisan tersebut. Tidak mungkin Ain lupakan malam itu apabila Ain tersedar dari tidur lalu terus menumpukan perhatian kepada kanvas kosong yang terbiar sepi beberapa hari sebelumnya. Setelah lukisan itu siap dan setiap kali Ain memandangnya, tidak dapat Ain nafikan bahawa ada sesuatu yang hilang di dalamnya. Puas Ain cuba mencari rasa yang “kosong” itu namun tidak berjumpa. Sedikit bayangan dan kenangan lalu datang silih berganti di saat-sat akhir Ain menyiapkannya.

“Kekosongan” yang Ain sedari sewaktu di dalam proses “final touch-up” Ain biarkan. Rasa itu sebenarnya membawa Ain kepada dua lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya. Kehadiran kedua mereka meninggalkan kesan yang berbeza sehingga sekarang. Arif Idlan dan Suffian Yusoff; seorang yang telah Ain sakiti dan seorang lagi menyakiti hati Ain hingga ke akar umbi. Mungkin itulah balasan kepada Ain yang pernah dan telah mengecewakan impian Arif dan juga mendustai janji yang dibuat bersama Arif.

Fikiran Ain kembali berlegar-legar kepada butir bicara mereka sebentar tadi. Entah apalah yang menggeletek hatinya, tawa Ain lepaskan tanpa disedari. Tawa itu berpanjangan apabila Ain memandang Arif. Berkerut-kerut kening Arif dan menjadi resah apabila Ain tidak dapat berhenti dari tawanya.

“Eh…kenapa ni”? tanya Arif dalam kebuntuan.

Ain cuba menahan tawanya namun gagal. Ain tetap berusaha lalu sekali lagi menarik nafas sedalam mungkin dan menekup mulutnya pula kerana bimbang tawa yang lebih besar akan kedengaran.

“Kosong…sunyi…kecewa…hmm bukankah itu yang awak cakapkan tadi…betul tak”? tanya Ain kepada Arif. Hatinya sudah digeletek oleh komen Arif sebentar tadi dan makin cuba dihentikan makin panjang pula tawanya.

“Yes”, jawab Arif sepatah. “Memang itu yang saya cakapkan dan itu adalah kebenaran…admit it”, sambung Arif tegas. Kali ini nampak raut muka Arif yang tegang. Matanya memandang Ain tidak berkelip.

“Jadi…kenapa awak beli lukisan yang tak berjiwa”? “Lukisan yang kosong”? “Apakah awak merasakan kekosongan yang sama seperti lukisan yang awak beli tadi”? bertubi soalan Ain kepada Arif dan tawanya makin memanjang. Sudah hampir terkeluar airmata Ain dalam tawanya dan makin merah muka Arif menahan geram dan marah barangkali. Ain sedar semua itu dan makin Arif cuba menahan marah makin galak Ain ketawa.

“Excuse me”, kata Ain kepada Arif dalam tawanya yang masih bersisa apabila terdengar seseorang memanggilnya di sudut kiri dewan. Ain berlalu pergi meninggalkan Arif termanggu di situ. Seketika Ain menoleh, pandangan mereka bertemu dengan seribu rasa dan pertanyaan. Ain sudah menghampiri pengunjung yang ingin bertemu dengannya dan dengan menahan nafas sementara untuk menghentikan tawanya. Ain tidak mampu membiarkan Arif lalu dia menoleh sedikit. Ain pasti tidak tersilap pandang, Ain pasti Arif mengeyitkan matanya. Perasaan Ain dilambung gelombang dan pastinya kini Arif tahu kelemahan Ain masih tetap sama.

Arif menguasai seluruh ruang fikirnya dan hatinya sepanjang melayan tetamu tadi. Sesekali matanya liar mencari-cari Arif di ruang yang besar itu. Kelibat Arif tidak lagi kelihatan. Sudah diduga perasaan itu akan datang. Perasaan bersalah kerana terlalu galak mentertawakan Arif tadi. Ain hanyut dibawa perasaan bersalah. Dirinya berdiri di tengah-tengah ruang yang dikelilingi oleh lukisan-lukisannya, namun hatinya yang satu diragut bak sembilu atas kesalahan sendiri. Apakah peluang akan ada lagi? Tanya Ain di hati yang menanggung hiba. Kesal yang dirasa sudah tidak berguna lagi.

Sejak pagi Ain diselubungi rasa resah, berdebar, takut dan akhirnya jantung yang berdegup kencang reda dengan tutupnya ruang pameran untuk hari ini. Berkali-kali Ain mengucapkan syukur kerana lukisan-lukisan yang berukuran kecil dan sederhana banyak yang terjual. Hanya tinggal lukisan-lukisan yang berukuran besar masih belum terjual. Tiada satupun lukisan besar terjual hari ini. Mungkin rezeki ada esok pulak, kata Ain sendiri. Senyuman meniti di bibirnya bersama kaki melangkah untuk pulang.

Ain mengambil keputusan untuk berjalan kaki saja pulang ke rumah. Ain mahu menikmati cuaca malam itu dan memerhati gelagat manusia. “Walk of Life” adalah siri lukisan Ain kali ini. Bertuah Ain kerana penganjur juga membenarkan Ain mempamerkan beberapa keping gambar dari koleksi fotografinya. Ada yang baru dan ada yang lama. Ain sedar dan teramat sedar detik yang berlalu tidak mungkin akan kembali lalu Ain mengutip kisah lama untuk dijadikan memori hidupnya. Melalui lukisan dan gambar Ain curahkan isihati.

Ain berkongsi dengan semua penggemar lukisan dan juga fotografi detik-detik kehidupan manusia sejagat. Ini juga merupakan salah satu cara Ain menghormati dan menghargai kasih sayang yang pernah diterima dan dicurahkan kepadanya. Kealpaan dalam menilai membuat Ain tersasar akan tetapi kealpaan itu juga menjadi benteng semangatnya sekarang. Setiap orang pasti ada kenangan, setiap orang pasti ada sejarah dan semua tahu yang pergi tetap pergi dan yang tinggal harus meneruskan sisa-sisa perjalanan hidup ini. Bagaimana kita mencorakan kehidupan selepas kegagalan adalah penentuan dalam mengharungi segala dugaan dan cabaran yang akan datang.

Pada awalnya Ain tidak pasti bahawa lukisan dan seni akan menjadi sesuatu yang indah dalam hidupnya. Pengalaman lalu membawa Ain kemari, hampa dan kecewa menjadi penawar yang paling mujarab dalam membentuk jati diri. Kesedaran dalam diri Ain lewat datangnya namun Ain tetap bersyukur kerana Allah memberinya peluang untuk mengecapi kebahagian ini.

“Thank you Arif”, sekali lagi nama Arif terucap. Keluhan terlepas lagi di remang senja itu.

Seram sejuk pulak tengkuk Ain dek kerana bunyi tapak kasut yang dirasakan terlalu dekat dengannya. Ain memandang kiri kanan tetapi enggan menoleh. Orang ramai masih sibuk dengan urusan masing-masing, akan tetapi kenapa Ain terasa ada orang mengikutinya terlalu dekat. Tanpa bertangguh lagi Ain melajukan langkahnya.

“Hi, lajunya jalan…boleh berkenalan”? satu suara menegur Ain diiringi tawa. Besar kemungkinan tidak mampu menahan lawak yang dibuat sendiri. Ain teramat pasti suara yang didengarnya dan terus saja menoleh. Hati Ain kembali berbunga riang. Arif berdiri terlalu dekat dengannya bersama jambangan mawar merah dalam pelukan. Jambangan mawar bertukar tangan sebaik saja Ain membetulkan keadaan dirinya.

“Sejak bilalah pulak Arif Idlan menjadi kasanova”, tutur Ain selamba bersama senyum nakalnya. Ain menyambut jambangan bunga yang Arif hulurkan. “Terima kasih”, ucap Ain pula.

Sejumlah 24 kuntum mawar dipeluk kemas oleh Ain lalu mencium bunga mawar yang cantik tersusun. Ain menyedari Alif memandang gelagatnya dan semasa Ain mengangkat mata, Arif memberikan Ain senyuman sama seperti waktu-waktu dahulu.

“Masih tak berubah rupanya”, komen Arif.

“Apa yang tak berubah”, balas Ain garang. Sengaja Ain memasamkan mukanya dan menjegilkan biji matanya juga sebagai tanda geram dengan kenyataan Arif itu.

“Ewah…nak tunjuk garang pulak”, kata Arif lagi lalu menarik tangan Ain.

“Err…saya minta maaf banyak-banyak dengan kejadian siang tadi”, tutur Ain. Arif sudah mendahuluinya sebelum sempat Ain menghabiskan ayat seterusnya.

“Jom”, sepatah kata dari Arif tanpa menghiraukan permohonan maaf dari Ain. Arif menarik tangan Ain dengan lembut dan mereka terus saja menyeberang jalan yang makin sunyi. Jam juga telah menunjukan hampir 8.30 malam, kebanyakan kedai sudahpun ditutup. Tanpa bertanya Ain mengikut saja Arif dan terbeliak lagi biji mata Ain apabila Arif menghulurkan topi keledar kepadanya. Lelaki mat salleh yang ada di situ tidak Ain kenali dan mereka tidak diperkenalkan. Melihat cara Arif bersama lelaki tersebut seperti mereka kenal rapat. Setelah berjanji akan memulangkan motosikal itu nanti Arif melompat naik untuk beredar.

“Cepatlah naik…macam tak biasa pulak”, pinta Arif dengan senggeh yang memanjang. “Kan saya ini your dear old friend, so for old time sake”, sambung Arif apabila melihat Ain masih teragak-agak untuk membonceng motosikal yang disewa Arif barangkali.

Entah berapa kali dalam beberapa jam hari ini Ain terkejut. Pertemuan dengan Arif sudah cukup memeranjatkan dan sekarang tingkah laku Arif makin membingungkan. Tanpa menanti reaksi Ain, Arif mengambil jambangan bunga dari tangan Ain lalu diletakan di bakul hadapannya dan menepuk tempat duduk belakang motosikal tersebut.

“Silakan”, kata Arif dengan huluran tangan.

“Kerja gila”, getus Ain pula.

Makin lebarlah senggeh Arif oleh kenyataan Ain itu. “Let’s walk down the memory lane”, kata Arif dalam nada paling perlahan dan penuh makna.

Berkocak kencang jantung Ain dengan kata-kata Arif. Ain masih lagi teragak-agak di antara warasnya akal dan naluri hati yang kerinduan. Namun seakan seperti ada suara-suara di dalam diri Ain yang menyuruhnya untuk mengikut saja. Memang telah lama Ain tinggalkan perkara begini, semenjak perhubungannya dengan Arif putus di tengah jalan. Saat-saat yang Ain rindukan terhidang di hadapan mata. Tepuk dada tanya selera, suara itu menduga Ain lagi.

Angin malam kota London terasa nyaman walaupun cuaca siang tadi memang dingin. Ain tidak mahu leka dengan bisikan hatinya. Arif pastinya bukan seperti dahulu. Hampir 5 tahun tidak berjumpa dan tidak mendengar kabar berita sudah tentu ada perubahan dalam diri Arif. “Entah-entah Arif sudah berpunya…sudah berumahtangga dan bapa kepada beberapa orang anak”, Ain berfikir sendiri.

Ain sendiri tidak tahu kenapa pertemuan siang tadi seolah-olah tiada apa yang menyekat mereka. Walaupun agak janggal pada mulanya akan tetapi perbualan mereka yang tertumpu pada sekeping lukisan yang diterjemahkan ‘kosong’ oleh Arif membawa bahagia. Mereka gelak, mereka senyum, mereka bergurau dan Arif menghabiskan masa yang lama di ruang pameran itu. Tidak Ain sangka dan tidak Ain duga sekarang ini dirinya membonceng motosikal yang dipandu Arif, seperti waktu-waktu dahulu.

“Kita kat mana nie”, tanya Ain ketika Arif memperlahankan motor yang dipandunya.

“How long have you been in London”, tanya Arif pula.

Ain menoleh sekeliling kawasan tersebut. Hanya samar-samar lampu saja yang ada sekaligus tidak dapat Ain pastikan di mana dirinya berada. Ain terus memandang keliling.

tower of london

“Ooii awak dah mereng ke”? jerit Ain kepada Arif, sambil memukul kecil lengan Arif. Meremang bulu romanya tiba-tiba dan terperanjat lagi apabila tersedar yang mereka sedang berdiri di hadapan Tower of London.

london-2

“Sshhh…” kata Arif lalu meletakan jarinya di bibir Ain. “Jangan bising-bising, hantu semua nak tido”, senggeh Arif dalam tawa yang ditahan-tahan. Samar lampu yang ada mengundang cerita lama antara mereka. Cerita mereka yang Ain tanam sedalam mungkin jauh dilubuk hatinya sekian lama. Tarikan nafas Ain membawa mereka kembali ke alam nyata. Ain memang tidak suka tengok cerita seram. Arif adalah sebaliknya, cerita seram dan misteri menjadi kegemarannya. Mereka sering bertelagah dahulu semasa hendak menonton wayang.

Ain bingung memikirkan kenapa mereka berada di sini dalam malam yang makin pekat. Makin menyakitkan hati apabila terdengar Arif tertawa kecil seolah memperli diri Ain yang sudah merasa seram. Tatkala Arif membuka mulut mahu saja Ain menjerit geram dengan perangainya yang tak sudah-sudah mengusik.

“Awak kan suka benda hitam dan gelap”, perli Arif. “Saya bagi warna merah, kuning ,hijau, biru semuanya awak tak suka…hitam jugak yang jadi pilihan, so eloklah kita ke mari”, tambah Arif lagi dengan ketawa girangnya.

Terbungkam lagi Ain dalam kenangan apabila Arif mengingati warna kegemarannya. Arif memang marah setiap kali Ain mengenakan pakaian berwarna hitam. Ada saja komen Arif dan becok juga mulutnya berleter kepada Ain. Tabiat yang susah untuk Ain kikis tapi lama kelamaan Ain cuba menyesuaikan keadaan. Dari teguran dan leteran Arif, sikit demi sedikit Ain mula memberi perhatian kepada warna-warna lain lebih-lebih lagi bila keluar berjumpa dengan Arif.

“Betulkan”?, suara Arif menyedarkan Ain dari lamunannya.

“Aduhh…”, jeritan kecil terdengar dari Arif kerana pantasnya tangan Ain mencubit lengannya. “Sakit tau”, kata Arif lagi sambil menggosok-gosok tempat cubitan Ain.

Ain memberikan jelingan kepada pertanyaan Arif dan reaksi Arif selepas dicubit. Arif makin seronok mengusik dirinya dan Ain pula mula resah apabila sedar yang dirinya hampir lupa diri. Malam itu berlalu dengan cerita-cerita lama mereka. Lama mereka berbual sehingga tidak sedar waktu berlalu.

Setelah meninggalkan kawasan Tower of London, mereka menyusur Tower Bridge pula. Penghuni London mungkin sudah lama dibuai mimpi apabila Ain mengerling jam di tangan. Big Ben juga sudah berdenting sebelas kali bermakna malam makin larut. Keletihan yang tadi Ain rasakan hilang kerana spontannya Arif mengatur rancangan.

Tower_Bridge_London_England_03

“Kenapakah waktu selalunya singkat”? detik hati Ain disaluti tangis yang tidak mungkin dilepaskan. Apapun yang terjadi malam ini Arif tidak mungkin menjadi saksi kepada tangisnya. Demi menahan segala rasa sekali lagi Ain menarik nafas yang dalam. Keluhan juga terdengar dan terus saja menarik perhatian Arif.

“Penat”? Arif bertanya perlahan.

Tiada jawapan dari bibir Ain, sekadar gelengan kepala diberikan. Kedinginan malam mula meresapi seluruh anggota tubuh Ain tetap ditahankan jua. Dengan perlahan Ain menyedari Arif merangkul bahunya. Langkah mereka menjadi perlahan…siulan kecil Arif seperti menyatakan resah di hatinya..mungkinkah begitu? Tanya lagi Ain di hati. Ain tidak mengelak sedikit pun ketika Arif merangkul bahunya. Keyakinan dan kepercayaan yang Ain letakan kepada Arif suatu masa dahulu berulang kembali. Ain tahu walau sebesar zarah sekalipun Arif tidak akan menyakiti dirinya.

****

Arif tidak pulang ke tanahair seperti yang di jadualkan. Kelewatan Arif serta gagalnya Juliana menghubungi menimbulkan keresahan di hatinya. Tanpa berlengah esok paginya Juliana membawa langkah ke pejabat Arif. Segala bentuk sistem perhubungan yang ada tidak mendapat balasan dari Arif.

Semasa memandu di dalam kesesakan jalanraya pagi itu, terbit rasa kelainan dalam diri Juliana. Kenapa aku resah semacam saja ni? Bisiknya sendiri. Semalaman dia cuba menalifon Arif namun hanya peti simpanan suara menjawab panggilannya.

“Kemana pulak perginya Arif ni”? gerutu Juliana di hadapan setiausaha Arif.

Zulaikha sekadar mendiamkan diri dengan perlakuan Juliana yang masih tidak berpuas hati. Telah diberitahu bahawa mereka di pejabat sememangnya tidak menghubungi Arif sejak dua hari yang lalu kerana tiada apa urusan mustahak hendak disampaikan. Desakan Juliana yang memaksa Zulaikha membuka pintu pejabat bilik Arif mengundang ketegangan di awal pagi.

“Saya tidak akan membukanya”, bentak Zulaikha. Merah padam muka Zulaikha menahan marah dan masih cuba mengawal keadaan. “Kalau Cik Juliana masih mendesak, saya akan panggil sekuriti”, akhirnya Zulaikha mengugut.

Juliana berlalu pergi. Hatinya sakit dengan perbuatan Arif dan juga keengganan Zulaikha menurut kehendaknya. Ada satu nama yang berputar di kepala Juliana. Nama yang terpacul dari mulut Arif beberapa minggu sebelum Arif berangkat ke London. Arif tidak pernah menukar jadual penerbangannya kepada lewat. Selalunya Arif pulang lebih awal dan tidak akan memberitahu sesiapa. Akan tetapi kali ini berlainan sekali. Seharian Juliana tidak dapat menghubungi Arif. Pesanan ringkasnya tidak berjawab dan Arif tidak pulang seperti yang di jadualkan.

Rambutnya yang melepasi bahu dikuak dengan rasa marah. Tidak pernah dalam hubungannya bersama Arif selama dua tahun ini menimbulkan rasa marah yang teramat sangat. Kereta yang dipandu tambah menyakitkan hati Juliana dalam kesesakan jalanraya di pagi itu.

“Siapa dia”? adalah pertanyaan bertali arus dalam fikiran Juliana. Belum pernah juga terbit rasa cemburu di hatinya hingga begini. Namun kehilangan Arif dengan tiba-tiba menghantui setiap ruang fikirnya.

Juliana mundar mandir di bilik pejabatnya. Sememangnya Juliana tidak dapat lagi menahan rasa marah yang ada. Pihak penerbangan tidak akan sesekali melepaskan informasi penumpang. Telah Juliana cuba mendapat bantuan rakan-rakan, akan tetapi gagal.

Mengenakan warna kuning lembut polos, skirt di paras lutut serta jaket menampakan kematangan Juliana. Sebagai seorang pereka dan juruhias dalaman sememangnya Juliana menemui ramai pelanggan. Walaupun Arif adalah teman istimewa, mereka tidaklah berjumpa sekerap manapun. Paling tidak hanya 2 kali dalam seminggu. Selebihnya Juliana gunakan untuk bertemu dengan pelanggan walaupun hingga larut malam. Antara dirinya dengan Arif sudahpun diikat janji bahawa hubungan peribadi tidak dicampuradukan dengan pekerjaan.

Menyedari sedikit sebanyak perubahan diri Arif sejak kebelakangan ini membuat Juliana sedar bahawa selama mereka berkenal dan berkawan Arif tidak pernah sekalipun bercerita kisah hidupnya dan masa silamnya. Juliana juga tidak pernah bertanya. Hubungan mereka terjalin kerana pekerjaan dan berjumpa sekali sekala untuk makan malam, tengok wayang dan membeli belah. Pertemuan mereka bagaikan sekadar perlu sahaja.

Juliana sememangnya seorang yang berdikari. Juliana telah dididik begitu sejak kecil oleh kedua ibu bapanya. Sepanjang usia menempuh dewasa, Juliana hanya memikirkan status dan kejayaan dalam bidang yang diceburi. Kegagalan dalam perhubungan yang pertama membuat Juliana merasakan tidak perlu lelaki dalam hidupnya, akan tetapi kehadiran Arif merubah pandangan Juliana. Namun begitu hubungan mereka bukanlah seperti pasangan lain. Besar kemungkin faktor umur yang matang menjadikan mereka bukan pasangan kekasih seperti belangkas. Juliana lebih senang begitu dan Arif juga amat menyenanginya. Di kalangan kawan-kawan hubungan Juliana dan Arif dikatakan sebagai “convenient relationship”.

Hari ini buat pertama kalinya Juliana sedar yang dia resah dan gelisah mengenangkan Arif. Kenapa Arif tidak menghubunginya ataupun pejabat atas kelewatan ini? Selama ini Juliana tidak pernah hiraukan tentang Arif. Arif tidak menghubunginya seminggu pun tidak menjadi soal buat dirinya. Akhirnya Juliana kepenatan berfikir lalu melabuhkan dirinya di kerusi berdekatan. Kali ini baru dia benar-benar terasa “kehilangan” Arif.

“Apakah mungkin sudah terlambat”, bisik Juliana sendiri di dalam kesunyian ruang bilik pejabatnya. “ Atau rasa cemburu mula menguasai”? pertanyaan aneh yang muncul secara tiba-tiba dalam dirinya. Begitupun tiada jawapan pasti yang ditemui sepanjang hari itu.

*****

“Kenapa senyap saja ni”? Arif memecah kesunyian di antara mereka. “Mana hilangnya kepetahan Ain Adawiyah”? usik Arif dengan tawa kecil dan menarik-narik bahunya.

Ain masih menyepi. Entah kenapa Ain lebih senang berdiam diri dan berharap Arif yang bercakap dan bercerita. Jauh di sudut hatinya ingin benar mengetahui kenapa dan mengapa Arif berada di London. Apa yang Arif buat sekarang? Apakah Arif sudah ada perniagaan sendiri seperti yang diimpikan? Apakah Arif sudah berumahtangga? Bermacam soalan menghentak lubuk hati Ain, akan tetapi mulutnya terkunci untuk bertanya. Hatinya sudah lama melonjak-lonjak untuk bertanya sejak tadi akan tetapi ditahankan juga.

Arif seorang yang pendiam. Arif hanya akan bercerita jika Ain bertanya dan mendesak. Jikalau Arif dilanda masalah, berdiam diri adalah caranya. Memendam perasaan adalah keistimewaan Arif. Hanya sesekali Arif melepaskan rasa, dan apabila ia berlaku itu adalah saat paling indah dan bahagia Ain rasakan.Selalu juga Ain terfikir, apakah orang yang bernama Arif Idlan ini tidak ada masalah atau tidak pernah ada dendam dan juga marah kepada sesiapa. Senyap Arif adalah ketakutan buat Ain semasa mereka berkawan dahulu.

Hubungan antara Ain dan Arif terjalin agak luar biasa, Ain salah seorang pembeli bunga yang setia di kedai Arif bekerja. Lama kelamaan mereka menjadi kawan sehinggalah terjalin bibit-bibit cinta dan kuntuman kasih yang mekar setelah setahun lebih berkenalan. Detik waktu berlalu juga pantas. Setelah tiga tahun perhubungan mereka, entah di mana silapnya Ain tersasar jauh apabila bertemu dengan seorang kawan lama.

Tempoh tiga tahun perkenalan mereka berakhir dengan perpisahan yang Ain cipta sendiri. Sedikit demi sedikit Ain membohongi Arif apabila menolak pelawaan Arif untuk berjumpa. Kesibukan yang mula mempengaruhi kehidupan Arif sebagai pengurus di kedai rantaian itu juga Ain jadikan alasan untuk mereka bergaduh setiap kali berjumpa. Mereka sudah berlainan arah. Ain mengimpikan kembali zaman keseronokannya bersama kawan-kawan manakala Arif pula sibuk mengatur rancangan untuk mencapai cita-cita dan impian hidupnya.

Tanpa ucapan selamat tinggal dan berakhirnya pujuk rayu dari Arif, bermulalah kehidupan baru Ain bersama lelaki lain. Beberapa bulan sebelum itu pertemuan mereka tidak ada lagi gurau senda dan gelak tawa. Hampir setiap pertemuan dipenuhi dengan pergaduhan. Tuduh menuduh dan ungkit mengungkit menjadi rencah perbualan.

Dua tahun lamanya Ain hanyut dalam dunia khayalan yang tidak menjanjikan apa-apa. Mengakui dirinya dilayan bagaikan seorang puteri, menghadiri majlis-majlis rasmi lalu bertemu dengan orang-orang ternama. Ain merasa bangga waktu itu, lebih-lebih lagi apabila gambarnya menemani Suffian ke majlis pernikahan dan perkahwinan rakannya terakam di beberapa buah majalah. Siapa yang tidak kenal Ain Adawiyah masa itu? Mendampingi Suffian bagaikan “ticket to heaven”.

Terhenti Ain dari lamunan apabila dengan tiba-tiba saja Arif memberhentikan langkahnya. Dengan perlahan dan amat berhati-hati Arif memusing badan Ain untuk bertentang dengannya. Ain hanya mengikut gerak tangan Arif. Dalam kesamaran lampu di Tower Bridge mata mereka bertembung. Tertunduk lagi Ain dengan pandangan itu. Tanpa membuang masa tawa kecil Arif kedengaran. Itulah yang sering terjadi dahulu. Kedua belah tangan Arif masih terlekat di bahunya. Ain resah dalam penantian.

Di fikirannya sudah tercetus rasa bahawa saat perpisahan telah tiba. Malam makin larut. Penghuni alam sudah lama dibuai mimpi. Hanya mereka dan pekerja bandaraya saja yang menghiasi tebing sungai berdekatan Tower Bridge. Keluhan dan desahan nafas Arif jelas di pendengaran Ain. “Apakah Arif juga merasa sukar mengeluarkan kata-kata”? tanya Ain sendiri. Ain sekadar menoleh kiri dan kanan melawan apa yang tidak tentu di hatinya.

“Ain”, panggil Arif sayu. Itu yang Ain rasakan saat itu. Suara Arif sayu memanggil namanya dan jari Arif kini menongkat dagunya supaya mata mereka bertemu kembali. Tanpa Ain sedari airmata sudah bergenang. Sejak tadi Ain mengawal alirannya namun tumpas jua.

Tiap patah perkataan dari Arif adalah pengubat kerinduan yang telah lama Ain simpan. Nasihat dan pujukan Arif sememangnya Ain rindukan selama ini. Andainya dulu Ain menolak segalanya akan tetapi sekarang Ain mengharapnya kembali.

“Tak mungkin…tak mungkin”, jerit hati Ain. Pasti kini hati Arif sudah dimiliki oleh orang lain. Hampir 5 tahun lamanya mereka terpisah, sudah tentu Arif mempunyai pengganti dirinya. Lagipun perpisahan mereka berpunca dari kecurangan Ain. Ain yang mengkhianati perhubungan mereka.

Hari ini adalah hari yang amat indah dan pertemuan ini amat bermakna untuk Ain. Tidak mungkin Ain akan mempersiakan pertemuan ini. Besar kemungkinan tidak akan ada pertemuan lain lagi selepas ini. Tidak pernah Ain menjangka akan bertemu Arif dan pertemuan mereka berada dalam keadaan paling harmoni.

Gelak tawa dan gurauan rencah paling manis dalam pertemuan ini mengiringi mereka sejak tadi. Ain berjanji dalam diam bahawa dia akan melepaskan Arif dengan tenang. Andainya dulu tiada ucapan selamat tinggal dan terima kasih, akan Ain pastikan ia tertutur dari bibirnya kali ini. Biarlah pedih dan perit kisah dulu terkubur dengan sendirinya selepas ini. Tetap akan Ain kenang kemanisan perkenalan, persahabatan dan percintaan mereka sepanjang menempuh pelayaran hidupnya nanti. Itu janji Ain.

“Ain”, sekali lagi Arif memanggil namanya. Arif menarik nafas lagi, Suasana senyap di antara mereka. Antara desiran angin malam dan kata-kata Arif, hanya airmata yang menjadi teman. “Masa untuk kita semakin singkat, mungkin ini saja masa yang kita ada”, tersekat-sekat Arif untuk menghabiskan ayatnya.

Ain menanti dengan sabar untuk Arif meneruskan bicaranya. Keluhan demi keluhan Arif lepaskan. Akhirnya Arif meletakan dahinya di ubun-ubun Ain dan cuba sedaya upaya barangkali untuk mengawal emosi dirinya.

“Kenapa ia terjadi”, itu yang Arif lafazkan setelah beberapa lama berdiam diri. Arif ingin tahu kenapa ia terjadi membuatkan hati Ain terus diragut pilu. Arif kembali memegang dagu Ain. Penuh berhati-hati dan menyeka airmata yang tidak putus-putus mengalir. Jujurnya Ain sendiri tidak punya jawapan kukuh kepada pertanyaan Arif. Tidak tahu bagaimana dan dari mana hendak dimulakan. Sesungguhnya Ain tidak tahu.

Pandangan redup Arif di kesamaran malam itu tidak mampu lagi Ain tatap. Tindakan spontan Ain dan mungkin di luar sedarnya terus menyembamkan mukanya di dada Arif. Tangisan Ain bergema bersama ucapan maaf yang bertali arus. Usapan lembut jari jemari Arif di rambutnya menambah pilu di hati Ain. Ain tetap berusaha mencari kekuatan untuk lari darinya. Namun ternyata Ain lemah. Dakapan itu adalah pengubat rindunya dan usapan itu adalah pengubat pilu hatinya.

Di suatu waktu dahulu, dada Arif juga pernah menjadi tempat Ain melepas rasa. Menangis sepuas-puas hatinya. Di hari yang terlalu gelap Ain rasakan. Kehilangan nenek yang tersayang membuat Ain terasa kosong. Ain merasakan hari-harinya terlalu gelap. Hanya Arif menjadi peneman setianya dan Ain percaya hanya Arif sahaja yang faham keadaan dirinya masa itu.

Setelah puas melepaskan tangis dan di dalam sedarnya, langkah Ain amat lemah dan longlai ketika menaiki tangga satu persatu untuk ke tingkat dua rumahnya. Bukan Ain sengaja melambatkan langkahnya, akan tetapi Ain cuba mencari kekuatan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Arif sebentar lagi.

Seperti dahulu Arif setia menemani hingga sampai di pintu hadapan rumahnya. Sepanjang jalan tadi Arif menyatakan kerisauannya melihat keadaan Ain. Dalam kepayahan Ain menyakinkan Arif yang dirinya baik-baik saja dan meminta, memohon dan merayu agar Arif jangan risau hingga keterlaluan dengan keadaan dirinya.

“Jangan risau, Ain ok saja”, tutur Ain perlahan. “Dah 3 tahun Ain seorang diri di sini kan, pandailah Ain jaga diri”, sambung Ain lagi.

Berbagai mimik muka rasanya telah Ain buat supaya Arif yakin dengan dirinya. Apapun yang berlaku hari ini dan malam ini, Ain mahu Arif tahu bahawa dirinya gembira dengan pertemuan mereka. Arif tidak perlu bimbang apa-apa lagi. Dari awal lagi Ain sudah berjanji dan bernekad akan melepaskan Arif tanpa bertanya apa yang membawa Arif ke kota London ataupun pekerjaan Arif sekarang.

“Call me or email me if you need anything…apa saja”, pesan Arif sambil menghulurkan sekeping kad kecil. Sekali pandang Ain sudah tahu ia adalah business kad. “Masuklah dulu…rehatkan diri tu jangan fikir yang bukan-bukan ok”, pujuk Arif lagi. Ain sekadar menganggukan kepalanya lalu berpaling untuk membuka pintu.

Tiada ucapan yang terlepas dari mulut mereka, sekadar lemparan senyuman Arif hulurkan sebelum Ain menutup pintu. Ain tersandar di balik daun pintu yang tertutup. Beberapa saat berlalu Ain melakukan tindakan mengejut dan membuka pintu kerana terlupa mengucapkan terima kasih kepada Arif. Alangkah terperanjatnya Ain bahawa Arif masih tercegat di hadapan pintu rumahnya. Ain terkejut yang amat sangat, sebab niat sebenarnya hendak mengejar Arif. Arif juga tergaman sebaik saja Ain membuka pintu.

Lalu kedua mereka terkaku seketika.

Ilham Cipta : Ally

Tulisan bersama : Sanaa dan Ally

Disclaimer: Hakcipta terpelihara. Cerita ini hanya rekaan semata-mata. Nama dan tempat juga adalah khayalan penulis dan tiada sangkut paut kepada sesiapa yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Sebarang cetak di luar blog ini adalah dilarang. Terima kasih.

*****

For reading pleasure :-

http://resources.woodlands-junior.kent.sch.uk/customs/questions/london/tower.htm

http://resources.woodlands-junior.kent.sch.uk/customs/questions/london/attractions/tower.html

Compiled by : Sanaa 28/12/12

3 Responses

  1. Ttg kisah sepasang kekasih sewaktu ketika dulu..🙂 Wlupun ia adalah wildest dream sang pencerita, tp still boleh imagine berdasarkan sdikit sbyk info dlm citer tu. Teruskan kesinambungannya ye. Akan baca sehingga ke penghujung cerita.

  2. Salam,

    Penulisan yang amat baik. Bila baca, mengingatkan ttg sesuatu…

    • Wassalam…

      Terima kasih kerana sudi membaca….mengingatkan tentang apa tu ya? Apapun ia adalah wildest dream of sang pencerita. Tunggu ya sambungannya di minggu hadapan. Terima kasih sekali lagi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: