• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • February 2013
    M T W T F S S
    « Jan   Mar »
     123
    45678910
    11121314151617
    18192021222324
    25262728  
  • Archives

Cermin Diri

Sudah terlalu lama rasanya saya tidak benar-benar menulis sebuah artikel. Telah beberapa kali mencuba menulis namun keadaan kerja yang mendesak menjadikan ketandusan idea yang berpanjangan. Begitu jugalah dengan hari ini walaupun topic yang ada amat elok untuk dikupas dengan mendalam. Namun begitu demi meleraikan rasa yang terbenam di lubuk hati, sedikit sebanyak pembacaan dari blog-blog yang ada saya kepilkan di bawah ini untuk tatapan kita bersama.

Tajuk di atas sebenarnya telah berputar lama…tatkala terkenangkan hampir setahun pemergian ayahanda yang dikasihi. Teringat kembali saya ketika arwah sakit di bulan-bulan akhir hayatnya. Ketika dirinya kembali seperti anak kecil yang semua keperluan perlu diuruskan oleh orang lain. Tidak seharipun terlintas di fikiran saya bahawa suatu hari nanti saya menyempurnakan tugas tersebut. Namun tanggungjawab sebagai anak saya laksanakan walaupun seorang perempuan. Semasa arwah dirawat di hospital ada juga yang bertanya tidak ada saudara lelaki ke yang boleh menjaga arwah waktu itu. Saya sekadar membalas dengan senyuman.

Di minggu-minggu terakhir keadaan menjadi lebih sukar apabila suara dan butir bicaranya makin perlahan, sekadar angguk dan geleng serta menunjuk jari ketika memerlukan sesuatu. Setiap pagi, tengahari dan petang semasa membersihkan dirinya dan waktu diantaranya juga terdetik di hati saya, siapakah yang boleh saya harapkan andainya satu hari nanti saya terlantar begitu. Apakah nanti mampu anak-anak saudara yang dibelai waktu ini meluangkan masa dan tenaga menjaga seorang ibu saudara yang telah uzur? Apakah nanti diizinkan oleh suami ataupun isteri mereka? Sudah pasti diwaktu mendatang masing-masing punya tanggungjawab sendiri untuk dilaksanakan.

Saya teruskan pertanyaan kepada diri kerana teringat pula leteran ibu saudara yang mengatakan anak-anak mereka melebihkan kawan dari keluarga dan saudara mara. Ini adalah kebenaran kerana saya tidak bertemu dengan seorang sepupu perempuan telah agak lama. Setiap kali berada di majlis kesyukuran keluarga atau kenduri kendara, sepupu ini tidak datang. Pastinya kami tertanya-tanya. Keluh kesah ibu saudara saya kerana malu barangkali kepada anak-anak saudara serta ipar duai yang lain. Dah dinamakan kita ni manusia, sedikit sebanyak umpatan akan keluar juga. Apabila dah kerap sangat tidak datang bila dijemput, terlepas juga mengumpat dan mengata. Apabila itu terjadi mestilah kesalahan diletakan di bahu ibu bapa. Hmmm…pusing kot manapun tentu ibu bapa yang terkena.

Kawan…Sahabat…Rakan dan Kenalan datang dalam hidup kita dengan cara yang berbeza-beza serta niat dan hasrat yang berbeza jua. Di antara empat kategori ini, yang manakah nanti dapat menyempurnakan tanggungjawab menjaga kita semasa kita menderita sakit? Siapakah di antara empat ini yang mampu membasuh najis kecil dan besar kita nanti? Anak-anak juga belum tentu dapat melaksanakannya.

Oleh itu kita sebagai yang tua mengambil peranan untuk memberi nasihat dan pesanan kepada anak-anak muda ini, tidak kiralah sama ada darah daging sendiri, saudara mara ataupun jiran tetangga. Namun persoalannya berapa ramaikah yang mahu mendengar nasihat-nasihat begini sekarang. Alasan usia masih muda dan perlu keseronokan adalah paling popular kedengaran. Ada di antara mereka hingga lupa bahawa hidup ini adalah sementara. Kenapa sekarang ramai yang menggunakan alasan masih muda?

Saya dan kawan-kawan yang lain juga pernah muda namun alasan masih muda itu tidak kedengaran dahulu. Apakah mungkin dengan tanggungjawab yang terpikul di bahu kami tidak memberi ruang kepada kami untuk hanya mengejar keseronokan. Bukan kerana ibu bapa menghalang akan tetapi atas kesedaran bahawa kedua ibu bapa kami telah bersusah payah mengeluarkan wang belanja dan berdikit dalam semua perkara ketika kami menuntut dahulu. Di waktu usia lingkungan pertengahan 20’an saya tahu saya mesti bekerja dan menyalurkan bantuan pula kepada adik-adik yang masih belajar.

Di sini sekali saya bertanya…apakah tahap pendidikan yang diterima oleh golongan seusia saya dahulu membuatkan kami cepat dewasa dan kenakalan remaja yang kami lalui tidak memusnahkan diri serta memalukan keluarga dan masyarakat?

Kita digalakan berusaha keras dan gigih untuk mencapai kejayaan dan memperbaiki kehidupan dari masa ke semasa. Walaupun begitu janganlah kita lupa dan lalai kepada tuntutan-tuntutan sunat muakkad sebagai seorang mukmin. Jangan juga kita lupa apabila masuknya waktu, berhentilah seketika dari bekerja lalu tunaikan tanggungjawab kita sebagai hambaNYA dimukabumi ini.

Sedikit waktu yang kita peruntukan untuk menyempurnakan tanggungjawab kita kepadaNYA, mampu memberi kita kewarasan akal dalam memilih jalan kehidupan yang teratur dan berkat. Dugaan yang datang tanpa henti juga mampu kita tangani dengan kesabaran. Mungkin kita tidak punya wang berjuta akan tetapi kita punyai keluarga yang penyayang dan prihatin yang membentuk peribadi mulia. Tidak kira sama ada saudara mara ataupun kawan…sahabat…rakan dan kenalan nasihat yang sudah sebati adalah kata-kata ketika ada semua mengelilingi kita dan ketika kantung kita kosong berterbanganlah semua.

Besar kemungkinan kepada sesiapa yang belum mengalami atau melalui pahit getir begini, kesedaran ataupun keinsafan tidak terlekat di hati walaupun berbuih nasihat diberikan. Akan tetapi ingatlah anak-anak muda sekalian, usia bukan penentu segalanya. Sakit tidak menanti tua, ajal jua bukan di tangan kita. Walaupun adakalanya nasihat dianggap bebelan dan mencerobohi hak seseorang individu namun cubalah lapangkan hati, bersihkan minda serta duduk sebentar meneliti dan mengupas segala yang berlaku dikeliling kita. Janganlah angkuh dan sombong dengan kedudukan yang ada, kecantikan wajah yang dikurnia Allah, ketampanan dan kecantikan pasangan kita, kerana setiap yang hidup pasti akan ada cabaran masing-masing. Hanya dengan iman yang teguh dan keikhlasan hati menerima teguran dan nasihat dapat membantu kita menghadapi masa-masa mendatang.

Percayalah bahawa dengan iman yang teguh serta keikhlasan, kejayaan akan dapat diraih dan dikecapi dengan bahagia yang penuh erti. Jangan sesekali mengizinkan orang-orang disekeliling kita baik saudara mara serta empat kategori kawan yang ada bersama kita di kala senang sahaja. Didiklah mereka untuk menjadi sahabat sejati di mana masa ketawa mereka bersama dan di masa berduka airmata mengalir sama. Kekuatan fizikal yang kita miliki sekarang akan hilang tanpa kita sedari akan tetapi keimanan yang teguh menjanjikan senyuman sehingga kakunya sekujur tubuh.

“People say don’t judge the book by it’s cover BUT we are judged by friends we have and book we read”.

Seorang teman pernah berkata bahawa masyarakat adalah cermin kita dan setiap tingkah laku kita mempunyai “reflection” tersendiri di kacamata masyarakat. Baik ataupun buruk kehidupan kita, kitalah yang mencorakannya.

Alangkah indahnya dan berkat sungguh andai beroleh ‘RASA SENANG DI LUAR DAN RASA TENANG DI DALAM’ Tidak perlu ditunjuk-tunjuk…cahaya wajah mengiyakan segalanya.

Written by : Sanaa 18/02/13

*****

Perbezaan Maksud Antara Sahabat, Kawan, Rakan Dan Kenalan

Definisi kawan dan sahabat kadangkala dianggap mengelirukan bagi sesetengah individu. Berikut adalah definisi atau maksud bagi istilah sahabat, kawan, rakan dan kenalan.

Sahabat

Sahabat adalah orang yang memiliki rasa tanggungjawab terhadap diri kita, tetapi tidak memiliki hubungan darah. Dalam erti kata lain, sahabat bukan terdiri daripada adik-beradik tetapi berupaya mewujudkan hubungan yang mirip hubungan persaudaraan antara adik-beradik. Sahabat adalah orang yang banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada kita, dan kita juga begitu.

Sahabat adalah seorang yang setiakawan, boleh membantu apabila kita berada di dalam kesusahan, meredakan kesedihan ,menghilangkan kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan kita. Sahabat adalah orang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban kita. Mereka akan sentiasa melindungi kita.

Sahabat tidak semestinya memiliki minat atau pendapat yang sama dengan kita, tetapi mereka akan sentiasa ada apabila kita memerlukannya. Sahabat adalah orang yang membuatkan berasa selamat apabila mereka ada bersama-sama, sebab mereka adalah orang yang sangat setiakawan. Sahabat adalah orang-orang yang sangat menyayangi kita.

Sahabat kadangkala adalah penjaga, pelindung dan semangat mereka akan sentiasa ada bersama kita.

Kawan

Kawan ialah seorang yang boleh berkongsi lebih dari satu perkara seperti minat, hobi, perasaan, perjuangan dan sebagainya biarpun bukan dari organisasi yang sama. Kawan ialah orang yang selalu berinteraksi dengan kita dan mengenali beberapa fakta peribadi mengenainya.

Kami selalu memiliki masa untuk bersama, bergembira, berseronok dan sebagainya. Kawan biasanya terjadi apabila seseorang itu menemui individu yang lain, yang memiliki persamaan seperti hobi, minat, sikap, tabiat dan pemikiran yang sama dengan dirinya. Kita selalunya berasa seronok dan terhibur apabila berada bersama-sama kawan .
Kawan mungkin boleh berkongsi kesedihan dan kegembiraan, tetapi mereka selalunya tidak akan pergi lebih jauh daripada itu. Malah, sekiranya tidak sependapat, hubungan kawan mungkin boleh terputus.

Rakan

Rakan ialah perantaraan antara kawan daan kenalan. Rakan ialah orang yang berkongsi minat, kerjaya, hobi, permainan, guru, kelas, matlamat dan sebagainya dalam satu organisasi atau kumpulan seperti persatuan, kelab, syarikat, pertubuhan dan sebagainya. Contohnya, ada rakan satu tingkatan, rakan satu sekolah, rakan satu kelab dan sebagainya.

Rakan biasanya orang yang boleh mewujudkan kerjasama. Contohnya boleh belajar bersama-sama dengan rakan sekelas, boleh membuat tugasan berkumpulan bersama-sama rakan satu tingkatan, bekerjasama dengan rakan-rakan sepasukan untuk menewaskan pihak lawan dalam pertandingan bola sepak, dan rakan-rakan sekerja mengadakan mesyuarat untuk syarikat kami dan sebagainya.

Ada rakan yang rapat, ada pula rakan yang boleh dianggap sebagai sahabat, ada pula rakan yang boleh dianggap sebagai kawan, dan ada pula rakan yang hanya boleh dianggap sebagai kenalan.

Kenalan

Kenalan mungkin wujud sebagai rakan. Contohnya rakan chatting, rakan siber dan rakan blogger. Apabila mengenali seseorang itu dalam bentuk atau identiti tertentu, maka dia adalah kenalan. Kenalan adalah orang yang pernah berinteraksi dengan kita tetapi tidak dapat mengesahkan identiti atau kewujudan sebenarnya. Kita perlu berwaspada dengan kenalan-kenalan siber kerana, di luar alam siber, mereka tidak semestinya orang yang sama seperti yang kita pernah kenal di internet.

Kenalan boleh meluahkan perasaan mereka, masalah mereka kepada menerusi ruangan komen, e-mel dan kemudahan-kemudahan interaksi yang lain di internet, tetapi tidak 100% boleh dipercayai. Kenalan kadangkala wujud sebagai satu hiburan, tetapi kadangkala tidak mustahil mereka boleh memberi kebaikan kepada menerusi perkongsian pendapat, idea dan penyelesaian masalah.

Sumber Asal : http://www.gelagatkita.com/

Di petik dari : http://www.gempak.org/forum/showthread.php?t=86438

*****

A friend is someone who understands your past, believes in your future and accepts you just the way you are.

True friends are very hard to come by, but when you recognize someone as being a true friend then you should do you best to hold on to them. Just because someone has been in your life for a long amount of time does not necessarily mean that they are a true friend. Someone who is accepting of your past and that believes in your future will create a positive presence in your life. A true friend will never try to change you because they will love the real you, unless they notice that you aren’t acting as yourself.

A true friend will never be envious of your accomplishments, and will never try to copy your style, which is also an indication of envy. A true friend will be there for you through thick and thin, even when they know that you are wrong, they will stick with you until you are able to make things right. A true friend will push you towards greatness, and not pull you away from it. Most of all a true friend will love you unconditionally, with no strings attached. Who are your true friends?

http://www.searchquotes.com/viewimage/Definition_Of_A_True_Friend/299/

*****

SAHABAT SEJATI

“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’

ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan(dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuanNya.’

DALAM Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personality individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.

Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;

Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;

Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;

Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;

Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;

Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;

Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;

Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;

Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;

Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;

Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;

Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat

Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.

Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.

Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:

sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.

sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.

sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.

sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan.

Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-NYA.

Dipetik dari : http://mimpilalu.blogspot.com/2012/03/sahabat-sejati-menurut-perspektif-islam.html

*****

Menjaga Kerukunan Hidup Bermasyarakat

Hadith:

DARI Abi Hurairah r.a katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : Janganlah kamu saling dengki-mendengki, janganlah kamu saling tipu-menipu, janganlah kamu saling belakang-membelakangi dan janganlah kamu menjual di atas jualan setengah daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.

Orang Islam adalah saudara kepada orang Islam yang lain, tidak boleh ia menganiayai dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) serta tidak boleh mendustai dan tidak boleh menghinanya.

Taqwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke arah dadanya tiga kali) Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu bahawa ia merendahkan saudara seIslamnya.

Sekalian orang Islam atas orang Islam yang lain adalah haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Mengharungi kehidupan pada zaman serba moden ini memperlihatkan kepada kita akan struktur hidup bermasyarakat Islam hari ini menjadi semakin terlalu individualistik.

Sesungguhnya sebagai agama keamanan, Islam sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia. Antara perkara yang harus diberikan perhatian ialah seperti menjaga keselamatan nyawa daripada berlaku pembunuhan sesama sendiri, menjaga maruah di dalam masyarakat daripada segala fitnah, tuduh-menuduh dan hasad dengki, menjaga keselamatan harta benda dan sebagainya daripada kecurian, rompakan pencerobohan dan lain-lain.

Sebagai seorang Muslim kita mestilah menghormati maruah individu Muslim yang lain kerana setiap individu mempunyai hak dan tanggungjawab, seperti hak untuk dihormati oleh orang lain dan tanggungjawab untuk menghormati orang lain.

Antara sebab mengapa puak Yahudi suka melakukan kezaliman terhadap umat Islam adalah dek kerana sikap tidak ambil peduli yang berlaku antara sesama umat Islam hari ini.

Justeru musuh Islam berani bertindak sesuka hati menindas rakyat Palestin serta merampas tanah mereka sedangkan Israel pada hakikatnya dikelilingi negara Arab yang jumlah rakyatnya jauh lebih ramai daripada mereka.

Namun malangnya mereka hanya mampu melihat kezaliman rejim Zionis ini tanpa mampu untuk berbuat apa-apa.

Sebetulnya umat Islam harus hidup sepertimana yang disebut dalam pepatah Melayu cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya.

Dengan perkataan lain, jika kita inginkan segala kebaikan untuk diri kita, maka kita juga ingin umat Islam lain juga menikmati kebaikan itu.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: