• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • May 2013
    M T W T F S S
    « Apr   Jun »
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  
  • Archives

Lukisan Kenangan (Sequel Part 1)

Ain memandang dari jauh gelagat empat beranak yang seronok bermain layang-layang di tepi pantai. Tawa riang anak-anak bersama ayah mereka menghiburkan hatinya walaupun adakalanya hati Ain gundah gulana melalui kehidupan sehari-hari. Sesungguhnya tidak ada apa yang kurang dalam hidup Ain sekarang. Arif adalah seorang suami yang penyayang, bertanggungjawab dan amat memahami. Arif juga seorang ayah yang peka akan keinginan dan kemahuan anak-anaknya. Tidak pernah melebihkan mereka dalam segala tuntutan. Macam mana letih sekalipun dengan bebanan kerja, Arif pasti mendengar celoteh anak-anak dan seboleh mungkin mahu berada di rumah untuk makan malam bersama anak-anak. Sejak mendirikan rumahtangga bersama Arif, amatlah Ain sedar dan tahu bahawa Arif berusaha kuat untuk kebahagian mereka sekeluarga. Di antara urusan pejabat dan keluarga, Arif cuba sedaya upaya mengimbangi segalanya dengan baik. Jadual Arif yang ketat dan padat tidak pernah menghalang mereka punya waktu untuk bercuti dan berehat seperti sekarang ini dan hujung minggu sememangnya Arif peruntukan untuk isteri dan anak-anak.

Ain masih lagi memandang mereka berempat dengan senyuman meniti. Kelahiran Adam Haris dan Adam Hafiz setelah genap setahun mendirikan rumahtangga melengkapkan kehidupan Ain dan Arif suami isteri. Tawa dan tangis anak kembar itu memberikan semangat baru kepada Arif untuk terus berusaha memajukan perniagaannya dan Ain pula lebih selesa menjadi isteri dan ibu sepenuh masa. Namun demikian Arif tidak pernah menghalang Ain untuk terus melukis, malahan sering bertanya kenapa amat jarang melihat Ain melukis sejak kebelakangan ini. Walaupun sudah tidak lagi menjelajah benua untuk lukisan, minat mereka masih selari.

Di kelapangan yang ada Ain dan Arif bersama anak kembar mereka akan melawat tempat-tempat percutian dalam negeri. Kegemaran Arif yang suka memandu ke mana-mana tetap sama seperti dahulu, cuma apabila dengan anak-anak rentak itu berbeza sedikit. Lebih banyak “stop” yang mesti dibuat kerana tidak mahu anak-anak merasa rimas dan letih kerana berada di dalam kereta terlalu lama.

Sesekali ada juga terkilan rasa di hati Ain bahawa mereka belum dapat merancang untuk bercuti ke luar negara. Namun Ain tidak berani untuk menyatakan hasratnya kepada Arif. Ain tahu masa Arif amat terhad kerana sibuk dengan urusan kerja. Dia tidak mahu membebankan Arif dengan perkara remeh temeh. Jika diketahui oleh Arif, pasti Arif akan pantas merancang, pantang Ain mengemukakan cadangan atau hasrat pasti akan ada kertas kerja yang terbentang.

*****

Dengan tekun dan sabar Arif menyakinkan Ain untuk memiliki galeri sendiri supaya Ain dapat sama-sama berkongsi minat dengan pelukis tempatan yang lain.

“What”??? terjerit Ain membaca rancangan Arif. Terbeliak biji matanya memandang sang suami yang sedari tadi asyik tersenggeh saja. Jeritan Ain bagaikan tidak terusik di hatinya. Mana tidaknya Ain terperanjat, baru seminggu yang lalu Ain bergurau dengan Arif dan berangan tentang galeri sendiri serta konsep yang ada. Belum sempat bercerita panjang Arif sudah berkira-kira tentang bentuk kedai, lokasi dan hiasan dalaman yang difikirkan sesuai.

Arif merancang membeli satu unit rumah kedai 3 tingkat yang sekarang masih lagi dalam pembinaan. Bangunan itu menjadi pilihan kerana ia berdekatan dengan rumah mereka. Lakaran awal perancangan adalah untuk galeri lukisan Ain dan gambar (photography) Arif di tingkat bawah, tingkat dua adalah untuk snek dan kafe serta hiasan dalaman dan tingkat 3 untuk ruang anak-anak bermain sambil menunggu ibu bapa mereka berurusan dengan galeri dan juga hiasan dalaman. Di aras yang sama juga Arif bercadang membuat satu bilik sebagai ruang rehat keluarga. Ini akan memudahkan Ain berehat dan boleh membawa anak-anak sekali.

“Amboi…dah banyak sangat ke duit tu”? Ain berkata dengan nada perli. Bersama jelingan dan kerut dahi Ain memandang suami yang mula ketawa kecil. Hatinya marah tiba-tiba. Selama empat tahun berumahtangga dan dikurniakan cahayamata kembar setahun kemudian, Ain masih gagal membaca fikiran Arif dalam semua hal.

“Rumah siapa ni”? tanya Ain dengan mata membulat ke arah Arif.

“Rumah kita lah…rumah siapa lagi”? jawapan dan pertanyaan dari Arif membuatkan Ain memandang Arif lagi tanpa berkelip.

Rumah besar tersergam indah dengan laman yang dijaga rapi bersama susunan pasu bunga dan pokok palm di sudut halaman yang luas menandakan rumah ini telah ada penghuni sebelum ini. Namun begitu sangkaan Ain meleset sama sekali.

“Silakan masuk puan”, pelawa Arif lalu memimpin tangan Ain ke dalam rumah.

Mata mereka bertemu tatkala Ain memandang sekeliling. Tidak seperti di halaman yang telah ada pokok dan pasu, di dalam rumah tiada apa-apa kecuali dua buah kerusi plastik di tengah-tengah ruang tamu. Senyuman Arif mesra. Senyuman Arif manja lalu rangkulan Arif menghangatkan rasa di dalam hati Ain.

“It’s all yours..sayang”, bisik Arif perlahan. “Hiaslah semahu mu…hiaslah dengan rasa kasih dan sayang kita dan hiaslah semoga ia membawa sinar bahagia yang berterusan dan berkekalan” sambung Arif sambil mengemaskan pelukannya. Tendangan lembut anak mereka pasti dapat Arif rasakan ketika tangannya menggenggam erat jari jemari Ain yang terletak di perut yang makin membesar.

Ain bahagia…Ain gembira…Ain rasa amat beruntung mempunyai seorang suami yang mampu merancang segalanya. Rumah bungalow dua setengah tingkat Ain siapkan dengan budget yang teratur sehingga ada kalanya Arif menegur kerana Ain terlalu ketat mengawal perbelanjaan. Dari satu bilik ke satu bilik mendapat perhatian Ain dan semestinya bilik utama menjadi keutamaan. Ain mahukan suasana nyaman, indah dan tentulah romantik menghiasi kamar mereka. Bilik yang luas mengadap rimbuhan pohon-pohon rendang dan air terjun memberikan suasana aman dan tenteram. Balkoni yang mampu memuatkan sepasang kerusi dan meja kecil Ain menafaatkan sebaik-baiknya.

“Heran pulak…kenapa bilik ni berkunci”? Ain bertanya sendiri apabila gagal membuka pintu kepada bilik yang bersebelahan dengan bilik utama. “Ada connecting door”, Ain berkata sendiri. “Mesti ada sesuatu dalam bilik ni”, kata lagi Ain di hati. Ain hanya mampu meneka bahawa Arif yang mengunci bilik itu kerana sejak mula mengemas dan menghias rumah dan mencari perabot yang sesuai Ain pasti bilik itu tidak berkunci. Masih tidak hilang pertanyaan dalam dirinya kenapa adanya connecting door. Apakah aku yang tak perasan atau Arif buat ubahsuai dalam masa yang sama…tapi bila”? Pertanyaan tanpa jawapan terus berulang.

Terpaan Alya Zahra Sophea yang basah kuyup membuat Ain terperanjat. Entah di manakah tadi dia berada sehingga “hilang” anak-anak dan suami dipandangan. Senyuman Zahra seiras dengan Arif bersama lesung pipit di sebelah kanan. Sejak dari hari pertama Zahra dilahirkan senyuman itu yang paling ketara. Semakin Zahra membesar persamaan itu makin menyerlah dan Zahra sering menjadi pengubat rindunya kepada Arif setiap kali mereka berjauhan. Kedua anak kembar yang sudah mencapai usia lima tahun sudah mula memahami bahawa ayah mereka tidak sering bersama kerana kerja. Namun demikian adakalanya sukar untuk membuat anak-anak faham ketiadaan ayah mereka di rumah selalu.

“Jauhnya ibu mengelamun…sampai tak join pun kita main..kan Zahra”, rungut Arif dengan mencebik bibir. Anak kecil itu seraya mengangguk kepalanya menyetujui saja apa yang dikatakan oleh ayah lalu menyuapkan biskut yang ada di tangan kepada Arif.

Melihatkan kemesraan dan kasih sayang yang Arif curahkan kepada anak-anak Ain tidak lupa mengucapkan syukur kehadrat Allah dengan pemberian ini. Ain mengingatkan diri semoga tidak lupa tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu dalam mendidik anak-anak dan dalam kesibukannya menguruskan perniagaan yang telah Arif serahkan kepadanya. Galeri lukisan dan photography serta hiasan dalaman serta kafe adalah tanggungjawab Ain sepenuhnya. Dalam masa yang sama telah acap kali Arif sebut supaya Ain tidak terus melupakan cita-citanya hanya kerana suami dan anak-anak.

Oleh kerana itu puas Arif memujuk Ain supaya mampu memberi kepercayaan kepada pembantu rumah untuk menjaga anak-anak beberapa jam dalam sehari. Namun Ain tetap tidak mahu meninggalkan anak-anak di rumah ketika menguruskan galeri. Walau sesibuk manapun Ain semasa ketiadaan Arif, anak-anak tetap akan bersama Ain ketika bekerja. Anak-anak tetap ke galeri setiap hari selepas pulang dari sekolah. Zahra akan bersama Ain setiap hari kerana anak kecil itu hanya ke “play school” 3 kali seminggu. Jadual Ain memang padat. Jadual Ain sememangnya amat penuh.

Di dalam kesibukan menguruskan anak-anak, Ain turut bahagia kerana dapat membantu anak-anak muda yang berminat dengan lukisan mengembangkan bakat mereka. Ketika mengajar anak-anak muridnya, sesekali terselit kerinduan untuk melukis seperti dahulu. Namun demi anak-anak yang masih kecil yang memerlukan perhatian darinya Ain kuburkan saja niat itu. Pelawaan Mrs. Gregory untuk membuat pameran solo telah acapkali ditolak. Setiap kali memberi alasan kepada Mrs. Gregory berkocak jua hati Ain, andai Arif mengetahuinya nanti. Terlintas sudah pertanyaan di dalam hati apakah mungkin berlaku pertelingkahan di antara mereka. Oleh itu Ain mengajar diri untuk bersedia dengan jawapan sepanjang masa kalau-kalau Arif bertanya nanti.

“Sayanggg…cubalah bagi keyakinan sikit kepada pembantu rumah”, tekan Arif berkali-kali. “You need a break sometimes”, ujar Arif lagi.

Bagaimana jauhpun Ain cuba membuang rasa bersalah, takut serta membohongi diri, suara lembut tapi tegas Arif menjengah juga kadangkala. Dalam waktu yang terbatas, Ain mengingati kata-kata Arif. Di hari itu ia bukanlah pujukan akan tetapi satu kenyataan yang Arif keluarkan dan mahu Ain menerimanya.

Tidak seperti selalu, di kali ini Arif memang tidak memujuknya. Tanpa Ain duga “perang dingin” berlaku di antara mereka untuk beberapa hari sehingga dengan perlahan Ain bersetuju meninggalkan anak-anak kepada pembantu rumah. Perkara itu berlaku berbulan dahulu dan ia amat menyedarkan Ain bahawa jangan sesekali menyangka air yang tenang tiada buaya. Apa yang berlaku di antara mereka amat mengejutkan Ain kerana itu bukanlah Arif yang dikenalnya. Seingat Ain pujukan adalah “senjata” Arif akan tetapi ia amat berlainan di kali ini.

Setelah persetujuan diterima dan dimeterai, Arif membawa Ain keluar dari rumah seawal pagi dan pulang lewat petang. Selama 4 hari, Taman Tasik Titiwangsa, Lake Garden, Air Terjun Sg. Gabai dan Club House di kawasan rumah mereka menjadi tempat Ain melakarkan rasa ditemani Arif.

Oleh itu terhasilah dua keping lukisan yang berukuran sederhana. Dengan dua keping lukisan itulah membawa Mrs. Gregory memujuk Ain kembali untuk siri pameran solo. Lukisan yang Arif serahkan kepada Mrs. Gregory baru-baru ini amat berbeza dengan apa yang pernah Ain pamerkan dahulu, ia mirip lukisan pertama Ain yang Arif beli dan miliki dari seorang kawan. Ketika memegang semula berus di tangan, suasana kampung kembali kepada Ain dan juga semasa menjadi pelukis jalanan di Pasar Seni dan Hyde Park.

Walaupun sudah jarang melukis, bakat dan minat yang ada tidak pernah terbantut. Bantuan serta sokongan yang tidak pernah putus dari Mrs. Gregory membolehkan Ain menyalurkan lukisan anak muridnya kepada beliau. Melalui galeri milik Mrs Gregory telah ada beberapa lukisan anak muridnya yang terjual di London. Wanita yang bakal mencecah usia 56 tahun ini tidak pernah lokek dengan bantuan.

Sejak setahun yang lalu, Ain memulakan khidmat mengajar anak-anak berusia 15 tahun ke atas dalam melukis. Pelajar paling muda berusia 17 tahun dan Ain punya murid tua berusia dalam lingkungan 50’an. Arif benar-benar memenuhi janjinya sewaktu dahulu bahawa Ain tidak akan ketinggalan satu apapun setelah bergelar isteri dan Arif lebih peka dengan keadaan sekeliling tatkala Ain bergelar ibu.

“Dear Ain,

Thank you for your email and sorry for the delay in replying. I do hope you and your family are in excellent health and everything else is fine.

I’ve met Arif couple of days ago and discussed with him our eagerness to meet you for our future projects. It has been years dear Ain, we have not exhibit any of your paintings and my sincere hope and wishes we are able to meet and discuss about it.

Arif was delighted to know the gallery is really excited to hold your solo exhibition in near future. Another series perhaps?

Enjoy your motherhood and please remember this old saying….” To be happy with a man you must understand him a lot and love him a little. To be happy with a woman you must love her a lot and not try to understand her at all.”

Take good care yourself and my love and kisses to Haris Hafiz and Zahra.

With love

Mrs Gregory”

Senyuman meniti di bibir Ain ketika membaca email dari Mrs. Gregory dan bagaikan digeletek hatinya untuk ketawa apabila mengulang membaca pesanan yang diberi. Itulah pesanan dari Mrs. Gregory di hari terakhir Ain di kota London. Kata-kata yang mempunyai berbagai makna itu pernah membuat Ain keliru juga akan tetapi kini menghargai setiap huruf yang tertera. Ain meninggalkan kota London dengan perasaan yang berbaur. Kota itu menemukan kembali cinta dan kasihnya, kota itu memberikan Ain semangat dalam mengharungi waktu kelam hidupnya dan Mrs. Gregory serta Edward adalah di antara ratusan manusia di dunia ini yang Allah temukan dengannya. Berlainan bangsa, agama dan latarbelakang ikatan mereka menjadi akrab kerana kesefahaman yang dipupuk selama mereka berkenalan.

Kehadiran Mrs. Gregory dalam hidup Ain seperti menggantikan tempat ibunya yang telah lama pergi. Peluang yang Mrs. Gregory berikan dari dahulu sehingga sekarang tidak ternilai oleh Ain dan tidak mungkin akan terbalas olehnya. Hanya doa mampu Ain iringkan semoga Mrs Gregory diberikan kesihatan yang baik dan masih terus mampu memberi peluang kepada pelukis-pelukis sepertinya dahulu.

“Miss you sayang…anak-anak dah tidur? Will call shortly”, sms dari Arif yang tertera di skrin telefon Ain sekali lagi mematikan lamunannya. Sudah seminggu Arif di London dan dijadualkan pulang 3 hari lagi membuatkan Ain terasa rindu yang menebal. Entah kenapa kali ini rindunya kepada suami begitu mendalam. Bukannya Arif tidak pernah keluar negera selama ini.

Panggilan daripada Arif amat ditunggu oleh Ain. Seketika Ain menoleh kepada anak-anak yang tidur lena di atas katil. Elok benar susunan yang ada…Zahra diapit oleh Haris dan Hafiz. Tidak mampu Ain untuk menahan senyum melihat mereka dan juga nampaknya malam ini Ain akan berkongsi katil dengan mereka bertiga. Beginilah kebiasaannya apabila berjauhan dengan ayah lebih dari tiga atau empat hari. Kalau tidak silap Ain, anak-anak masih boleh tidur di bilik masing-masing di hari pertama dan kedua ketiadaan ayah mereka di rumah. Setelah itu berbagai alasan diberi untuk tidur bersama Ain. Besar kemungkinan berada di bilik utama ini mampu melepaskan rindu mereka kepada ayah tersayang.

****

Pertemuan singkat di antara Arif dan Mrs. Gregory serta Edward tadi telah membuat Arif marah kepada dirinya. Puas sudah mengawal rasa marah yang meluap-luap di hatinya, marah itu kini beralih kepada Ain pula. Nasib baik disabarkan hati untuk tidak menghubungi Ain dengan serta merta. Wajah comel isteri kesayangan terbayang terus di depan mata.

“Kenapa Ain tidak pernah sebut atau kata apa-apa selama ni”? Arif mengeluh apabila kata-kata Mrs. Gregory terngiang kembali di telinganya. Menghempas pen di tangan, bangun dari kerusi dengan marah, dengusan yang kuat membuat Arif menumbuk meja. Mengikut kata Mrs. Gregory pihak galeri telah menghubungi Ain sebanyak empat kali selepas pameran solonya yang terakhir. Arif ingat sangat pameran terakhir Ain, pameran yang benar-benar membuat Arif tersentuh. Tidak Arif sangka sama sekali pameran yang berjudul “Lukisan Kenangan” adalah kisah mereka. Ain rakamkan segalanya di atas kanvas lalu hampir setiap lukisan mematikan langkah Arif untuk melihat yang satu lagi.

Keluhan Arif lepaskan apabila sekeping lukisan wajahnya berlatarbelakangkan berbagai suasana telah ada tanda dijual. Lukisan itu adalah sebahagian dari cerita mereka…dari awal pertemuan sehinggalah mereka berpisah dan bertemu kembali namun ada sesuatu yang kurang, Ain tidak melukis potretnya di dalam itu. Arif amati dengan perlahan setiap garis, setiap warna, setiap rentak dan nada di dalam lukisan tersebut. Arif akur bahawa dirinya sudah terlewat untuk memiliki lukisan tersebut. Tanda “sold” di sudut frame itu menyakitkan matanya akan tetapi Arif masih tidak mampu bergerak dari situ.

Sambil hati Arif masih berkata-kata dengan lukisan itu, hujung mata Arif menangkap satu potret yang tergantung di barisan lukisan-lukisan sederhana besar. Tertulis di bawahnya “all drawings are on paper with pensel, charcoal and pen”. Ada enam buah lukisan kesemuanya.

“Eh ini self potrait”, kata Arif sendiri. Lalu Arif menoleh kiri dan kanan bimbang andainya ada orang mendengar dirinya bercakap sendiri. Arif terpegun melihat wajahnya menghiasi setiap lukisan yang ada.

Menapak Arif perlahan-lahan meniti setiap lukisan yang ada dan Arif berhenti di lukisan yang terakhir. Di lukisan yang terakhir terselit nota kecil “for display only”. Pertanyaan timbul di hati Arif kenapa nota itu terselit di situ dan apakah tujuan Ain untuk tidak mahu menjualnya. Walaupun tiada jawapan kepada pertanyaannya sendiri, hati Arif berbunga riang kerana lukisan itu pasti ada nostalgia tersendiri buat Ain ketika melukisnya. Pemerhatian Arif terbantut apabila ada suara menegurnya.

“Hi…kenangan itu indahkan”? tegur satu suara. Arif terlalu kenal dengan suara itu dan Arif pasti tidak silap meneka sebelum berpaling.

“Hi Juliana”, tegur Arif perlahan. Huluran tangan Arif serta pertanyaan kabar disambut mesra oleh Juliana. Para pengunjung masih ramai di dalam dewan pameran tersebut yang baru dibuka lebih kurang 2 jam yang lalu.

“You terperanjat agaknya jumpa I kat sini”, kata Juliana sebaik saja mereka membolosi beberapa pengunjung yang sedang menghayati lukisan berjudul “Memori/Memory” itu.

“Terperanjatlah jugak since this is not your kind of thing”, jawab Arif bersama senyuman.

Selepas bertanya kabar, Arif dan Juliana bersembang dan dari situ Arif dapat tahu bahawa Juliana berada di London kerana menguruskan hiasan dalaman seorang hartawan Arab yang amat meminati lukisan. Tidak disangka dan diduga mereka bertemu di sini.

“She’s talented”, komen Juliana bersama keluhan kecil lalu tunduk sedikit. “Melewati ruang dewan ini I dapat rasa tautan hati yang kuat dan bergema sejak dulu lagi”, tutur Juliana perlahan. Mata mereka bertemu seketika dan Arif tidak punya kata-kata untuk membalas telahan Juliana sekadar mengucapkan terima kasih di atas pujian Juliana terhadap Ain.

“Something is lost and now found”, sambung Juliana lagi sambil matanya juga memandang sekeping lukisan berukuran sederhana di hadapan mereka. “Betulkan”? Juliana bertanya lagi.

“Apakah Juliana sedang meneka keistimewaan disebalik lukisan tersebut”? tanya Arif pada dirinya. Sebaik mungkin Arif mahu mengelak daripada soalan-soalan Juliana mengenai hubungannya dengan Ain. Yang terbentang hari ini adalah kisah mereka dan seperti apa yang Ain kata kepadanya sebelum ini, setiap lukisan terhasil dengan meniti sejarah hidup mereka. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk Ain ketika melukis setiap satu darinya. Hanya kita yang tahu dan kita yang rasa. Kepada pengunjung dan juga pembeli ataupun pengumpul lukisan biarlah mereka mentafsir sendiri mengikut naluri masing-masing.

Oleh itu Arif melalui hujung matanya memberi perhatian kepada gerak geri Juliana dan cuba mentafsir bahasa yang ingin Juliana sampaikan dengan gerak tubuhnya supaya nanti tidak terlepas cakap atau terlalu emosi apabila berkata. Fikiran Arif terhenti apabila pelanggan Juliana datang menerjah dan berkata bahawa dia ingin memiliki lukisan tersebut setelah membeli “Memori” tadi. Arif tidak berganjak kerana ingin mendengar komen orang tentang lukisan Ain dan juga masih mahu menghayati lukisan “Di suatu masa dahulu/At One Moment of Time”. Lukisan itu mudah untuk difahami…sebuah moto kapchai berwarna merah, seorang pemuda bersandar di sisinya bertemankan neon kotaraya serta Dataran Merdeka yang kosong.

“Excuse me”, tegur Ain. Bagaikan dikejut dari tidur, Arif sedar dia jauh dibawa kenangan.

Senyuman yang Ain hulurkan dibalas Arif dengan mesra. Mulut mereka berdua tertutup rapat apabila ada suara yang membuat heboh di dalam dewan. Orang tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah rakan kongsi Arif iaitu Mike.

“Congratulations my darling”, nyaring sungguh suara Mike menegur. Di tangan Mike ada jambangan bunga “water lilies” yang besar. ‘Muahh”, ciuman tahniah Ain terima di pipi dari Mike sebelum jambangan bunga itu bertukar tangan. Mike menepuk-nepuk bahu Arif dan berjabat tangan.

“I didn’t know you are the inspiration”, kata Mike kepada Arif sambil tidak melepaskan genggam erat tangan Arif.

“She’s the artist”, kata Arif kepada Mike pula. Ain tertunduk malu sambil mengucapkan terima kasih kepada Mike dengan jambangan bunga tersebut.

Tatkala Ain baru hendak berkata sesuatu terdengar seseorang memanggil namanya. Ain memusingkan badan dan melambai kepada seseorang di hujung dewan. Arif juga menoleh sama akan tetapi tidak pasti siapakah mereka, barangkali wartawan dan pengumpul lukisan. Ain mohon diri tanpa sempat Arif mengenalkan Juliana kepadanya. Melalui gerakan bibir Ain serta isyarat tangan yang diberikan Arif menganggukkan kepala tanda mengerti bahawa akan bertemu kemudian dan memberi senyuman lebar kepada Ain sebelum kelibat gadis itu hilang dari pandangannya.

“A flower cannot blossom without sunshine and man cannot live without love…admit it dear friend”, Mike mengusik Arif dengan senyun nakalnya sambil mengerling kepada Juliana yang asyik memerhatikan mereka sejak tadi. Demi melegakan rasa hati yang gelisah dan tanpa mahu Mike terus mengusiknya Arif memperkenalkan Mike kepada Juliana. Mereka sekadar berjabat tangan tanpa sebarang reaksi mendalam dari Mike lalu mereka bertiga menyusuri kembali ruang legar dewan pameran tersebut.

“Barulah I tahu bagaimana dalamnya hubungan you dengan Ain”, ujar Juliana memecahkan kembali kesunyian antara mereka. Mike telah lama hilang dicelah-celah orang ramai.

Lukisan bertajuk “Mekar Di Lorong/The Bloom Passage” memberhentikan langkah Arif lagi. Sepantas kilat kenangan dia bersama Ain datang kembali dan sepantas itu juga Arif mematikannya. Tidak adil bagi Juliana andainya Arif tenggelam dalam angannya sendiri. Namun sangkaan Arif meleset. Juliana yang masih lagi berada disisinya meminta Arif menerangkan cerita disebalik lukisan tersebut. Helaan nafas panjang Arif lepaskan. Agak lama Arif berdiam diri dan keluhan juga telah kedengaran, akan tetapi masih tiada butir bicara dari bibir Arif.

“I yakin telah mengambil keputusan yang paling tepat”, tutur Juliana lembut lantas melemparkan pandangan kepada Arif yang masih membisu.

“Dan I juga yakin tidak tersalah langkah di kali ini”, balas Arif lalu membuat pandangan mereka bertemu. “Thank you”, sambung Arif lagi.

“So…when is the big day”? pertanyaan spontan Juliana bersama senyuman yang diberikan membuatkan Arif melepaskan tawa kecil dan mengalihkan pandangan dari wajah wanita itu.

“Cepatlah…ceritalah apa rahsia di sebalik lukisan ni”? tanya Juliana kembali lalu membuat Arif tergamam seketika. “Hmmm mesti ada cerita…” sambung Juliana memandang tepat ke mata Arif dengan pandangan mengharap.

“It’s the beginning…” jawab Arif ringkas. “Cukuplah sekadar itu…I pasti you akan faham kalau you mampu cantumkan kesemua lukisan yang ada…since you cakap tadi you dapat rasakan tautan itu”, sambung Arif penuh makna. Giliran Juliana pula terkedu dengan kata-kata itu.

“Oh ya…another clue…ini adalah Arif yang you tak pernah kenal”, Arif bersuara setelah mereka berdua diam agak lama.

“Sebab itulah I nak tahu”, balas Juliana pantas. “I tunggu nie”, sambung Juliana beriring senyuman.

Dengan perlahan dan mungkin cuba mencari kata-kata sekali lagi Arif melepaskan keluhan. Agak berat mungkin bagi Arif untuk menceritakan lalu mengambil buku cenderahati dari tangan Juliana. Setelah mukasurat yang tertera sedikit cerita tentang lukisan tersebut ditemui, Arif menghulurkan kembali buku tersebut.

“Bacalah…tak banyak yang Ain tuliskan akan tetapi I percaya you akan faham”, tutur Arif perlahan.

Sebaik mungkin Arif tidak mahu terlalu terbuka dengan Juliana tentang hubungannya dengan Ain dahulu. Pertemuan semulanya bersama Ain telah Allah tentukan dan Arif yakin serta percaya Allah jua telah mengaturkan dirinya berjumpa Juliana di pameran solo Ain di hari ini. Rahsia di sebalik pertemuannya dengan Juliana di sini tidak Arif ketahui namun apa yang Arif pasti dia berada di sini kerana Ain dan tidak mahu kehilangan Ain lagi.

*****

Mata Arif mula terasa letih setelah lama memberi tumpuan kepada kertas kerjanya tadi. Dengan keletihan yang dirasa, Arif bagaikan disambar petir lantas melihat jam di tangan. Meletakan pen dengan mendengus dan mengeluh, Arif terus saja mencapai telefon bimbitnya tanpa mempedulikan waktu di Malaysia.

“Nak marah…marahlah”, getus Arif sendiri sambil menunggu panggilan diangkat. Walau apapun Arif akan tetap menalifon Ain sehingga telefon dijawab, kerana telah berjanji. Hati Arif yang berkocak sejak tadi oleh rindu yang dipendam untuk mendengar suara manja isteri kesayangan memaksanya berbuat begini. Lagi satu yang teramat pasti Ain tidak akan menghubunginya kerana Arif telah berjanji. Itulah salah satu tabiat Ain yang sukar diubah. Janji tetap janji dan mesti ditepati.

Suara lemah isteri yang terkejut dari tidur membuatkan Arif serta merta rasa bersalah lalu tidak banyak yang dibualkan, sekadar bertanya keadaan anak-anak dan juga isteri kesayangannya. Kelemahan suara itu membawa Arif mengimbau “kekerasan” Ain sejak dari awal mengandung. Dengan yakin dan tegasnya Ain memberitahu tidak mahu anak-anak mereka dijaga oleh pembantu rumah ataupun ke pusat jagaan kanak-kanak.

Demi anak-anak, Ain sanggup ketepikan segalanya. Demi kasih sayang yang tidak berbelah bagi dan demi menghargai pengorbanan Ain selama ini kerana itulah juga Arif berusaha bersungguh-sungguh menyediakan galeri lukisan dan photography untuk Ain. Tidak sanggup rasanya membiarkan Ain membuang segala usahanya selama ini dan bakat yang ada hanya kerana keluarga. Akan tetapi makin hari makin jarang Arif melihat Ain melukis lebih-lebih lagi setahun dua kebelakangan ini. Seringkali apabila ditanya alasan tak ada idea dan mood Ain berikan. Selepas kelahiran Zahra melukis makin jauh, kalau adapun sekadar melukis dengan pen dan kertas tidak lagi di atas kanvas.

“It must be love ..this must be love I’m feeling”, siulan Mike girang lalu menepuk bahu Arif ketika mengambil tempat duduk disisinya untuk sama-sama makan tengahari. Ain tidak dapat bersama mereka kerana tugas yang menanti. Ketika membelek menu, Arif terdengar perbualan antara Mike dan Juliana yang pastinya berkenaan dirinya dan Ain.

“Hey bro…when is the big day”? Tanya Mike tiba-tiba. “Have you propose to her”? tanya Mike lagi lalu memaksa Arif menutup menu yang sedang dibelek. “You don’t need this…allow me”, katanya seraya memanggil waiter yang bertugas. Setelah selesai membuat pesanan makanan untuk mereka bertiga, Mike tidak melepaskan pandangannya kepada Arif. Bermain mata serta senyum nakalnya membuat Arif tergelak besar. Arif tahu dan dapat meneka apa yang bermain difikiran Mike sehingga tidak mempedulikan Juliana yang menjadi tetamu mereka di hari itu.

“What…you must be kidding me”? suara Mike agak tinggi bila mendengar alasan Arif. “You spent a week in Sicily with her and now you are letting her go”? kata Mike lagi dengan beria-ia, berkedut kening dan menepuk bahu Arif.

“I’m here for her…am I”, giliran Arif pula bertanya kepada Mike sehingga membuat Mike menggaru kepalanya yang tidak gatal barangkali.

Ledakan ketawa dua jejaka itu membuatkan ada mata-mata yang memandang dan pastinya membuat Juliana rasa tidak senang. Pergerakan Juliana membuat Arif dan Mike memohon maaf kepadanya dan berjanji tidak akan mengenepikan Juliana dalam perbualan mereka.

“Ain…Ain…kenapa tidak pernah Ain berterus terang dengan abang”, keluh Arif dengan nada penuh kesal. Arif meniti kembali sejarah hidup mereka di hari pertama mereka diijabkabulkan. “Atau aku kah yang mengambil kesempatan dengan tidak bersungguh-sungguh bertanya Ain tentang minatnya. Atau akukah yang sering merasakan segala apa yang aku beri kepadanya selama ini telah memberikan segala kebahagian untuk seorang isteri dan ibu”? berdentam dentum persoalan datang dalam fikiran Arif sejak bertemu Mrs. Gregory. Paling amat dikesalkan oleh Arif sekarang dan dalam sekelip mata timbul kesedaran dalam dirinya kesibukan kerja sejak akhir-akhir ini telah menjarakkan hubungannya dengan Ain dan anak-anak. Ligat otaknya bertempiaran membilang jari dalam dua tahun ini berapa kerap dia keluar negara kerana urusan perniagaan. Arif juga cuba mengingati bilakah kali terakhir mereka berbual tentang keinginan dan rasa hati masing-masing.

“Baru sangat balik dari China…dah nak pegi India pulak”? tegur Ain apabila dalam masa tidak sampai dua bulan Arif kerap keluar untuk urusan perniagaannya. Keluar negara pulak tu? Keluhan Ain ternyata berat dipendengaran Arif masa itu.

Malam makin merangkak, fikiran Arif juga makin jauh mengenangkan Ain, anak-anak dan rumahtangganya. “Apakah mungkin aku mampu memujuk Ain untuk kembali melukis”? Arif merenung siling bilik hotelnya dengan pandangan yang kosong.

****

Terkebil-kebil mata Ain memandang siling biliknya. Marah bertapak di hati kerana Arif menalifon dan mengejutkan dirinya dari tidur. “Hmm…nak telefon tak tengok jam laki aku nie”, gerutu Ain dalam hati. “Tau pulak rasa bersalah bila dah janji tapi tak ditepati”, geram masih bertapak di hatinya. Adakalanya Arif memang menduga kesabaran Ain lebih-lebih lagi jika berada diluar negara apabila perbezaan waktu yang amat ketara. Kalau masa anak-anak masih kecil dan bangun menyusu tidaklah menganggu sangat tidurnya, tetapi sekarang ni amat dirasakan kelesuan apabila tidurnya terganggu. Awal pagi mana nak layan kerenah anak-anak, nak pastikan mereka siap untuk ke sekolah, nak tengok kedai lagi, nak layan pelanggan dan pesanan yang ada…”aduhh…”Ain dah marah pada dirinya kerana bermacam perkara singgah difikiran.

“Assalammualaikom”, Ain memberi salam sebaik saja Arif mengangkat telefon.

“Wa’alaikomsalam…kenapa tak tidur lagi”? suara Arif terasa sayu dipendengaran Ain.

Rasa bersalah yang bersarang membuatkan Ain menalifon suaminya semula. Niat Ain mahu memohon maaf kerana tadi tidak memberi tumpuan kepada panggilan Arif akan tetapi perbualan mereka menjadi tawar. Akhirnya tidak ada apa yang dibualkan sekadar ucapan selamat malam. Marah yang ada sejak panggilan Arif awal tadi tidak mampu Ain buang. Entah kenapa dia terasa amat marah dengan suaminya tadi kini memarahi diri sendiri pula. Jika tadi Ain ternanti-nanti panggilan daripada Arif, kini hatinya pula menjadi panas. Walaupun sudah terlalu biasa berjauhan dengan Arif namun tidak dapat Ain nafikan rasa rindu tetap akan datang menjengah hatinya. Keadaan tegang hadir dalam rumahtangga mereka sejak kebelakangan ini apabila tiada lagi ucapan rindu yang diucapkan semasa berbicara di telefon. Arif hanya akan ucapkan kata rindu melalui sms saja.

“Di manakah hilangnya kemesraaan kami”? Ain mengeluh sendiri. Tanpa Ain sedari airmatanya bertakung apabila bola matanya menangkap tiga tubuh kecil yang lena dalam tidur mereka.

“Adakah sekarang hanya anak-anak kecil ini saja yang mengikat hubungannya dengan Arif”? tanya Ain lagi kepada dirinya.

Ain merapati anak-anak yang lena dalam peraduan. Ciuman hinggap setiap satu diubun masing-masing. Di antara mereka bertiga, Zahra yang paling rapat dengan Arif dan Zahra juga yang lebih menunjukan minat di dalam lukisan dan fotografi walaupun di usia yang masih kecil. Arif juga sudah berani memberi Zahra memegang kameranya yang berharga ribuan ringgit sehingga membuat Ain menjerit adakalanya. Oleh kerana gagal melelapkan mata, Ain menyandarkan diri di kepala katil sambil memeluk kedua belah kakinya dan hilang dalam bayangannya sendiri.

Pemergian Arif kali ini benar-benar menguji kesabaran dan kerinduannya kepada lelaki itu.

*****

“Ibu…Ibu”, suara Zahra memanggil sambil berlari-lari dengan telefon di tangan.

“Hmm…entah siapalah yang telefon ni”, getus Ain di dalam hati sambil mengambil telefon yang dihulurkan Zahra. “Thank you sweetheart”, kata Ain kepada anak comel itu sebelum meletakan gagang di telinga.

Ain ketawa, Ain tersenyum dan Ain juga mengeluh apabila berada di talian tadi sambil matanya memandang Zahra yang sibuk bermain dengan segala barang mainan yang dia ada. Dari pinggan mangkuk, soft toys beraneka bentuk dan nama hinggalah kepada blocks dan wooden puzzle. Bila Ain menegur siapa yang hendak kemas selepas ini dengan bangganya anak kecil itu menjawab “kakak lah”. Jawapan itu membuat Ain terkedu. Puas diingat sejak bilalah pulak dia mengajar anak bijak ini perkataan kakak. “Jangan mintak adik sudahlah”, tiba-tiba terkeluar ayat itu dari mulut Ain.

“Hmm…apa salahnya”? tanya Arif di talian. “Dah tak sanggup ke”? tanyanya lagi dengan ketawa nakal sebelum menyambung “I know I’ll be busy after this…” kata Arif lagi sebelum tawanya berderai.

“Yes…busy jaga anak rimau”, ujar Ain pula mengingatinya.

Tawa Arif terhenti seperti mana tidak disangka ledaknya tadi. Antara mereka diam seketika. Terlalu payah untuk Ain bayangkan kenapa Arif senyap tiba-tiba, hanya helaan nafas Arif saja kedengaran di hujung talian.

“Sayang….” sayu Ain rasakan apabila Arif memanggilnya setelah diam agak lama.

“I love you…dah nak pecah dada ni dek rindu”, sambung Arif sehingga membuat Ain tidak mampu menjawabnya.

“Kalau dah rindu sangat tu cepat-cepatlah balik ya Encik Arif…and I love you too” balas Ain dengan girang.

Kata-kata Arif sebentar tadi adalah halwa telinga buat Ain. Kata-kata itu juga mampu menyemarakan rasa kasih dan meringan rasa rindu yang ada. Di dalam waktu yang sama, tidak mampu untuk Ain menahan tawa apabila Arif memberitahunya tadi bahawa Zahra hendak lion cub sebagai hadiah dari London.

Mata Ain memerhatikan Zahra yang kini sedang menyusun segala “soft toys” yang ada. Setiap kali Arif keluar negara ada saja barang mainan yang Zahra terima. Koleksinya sekarang hingga tidak mencukupi katil anak kecil itu. Bermacam jenis soft toys yang Zahra ada termasuk seekor unta yang diberi nama “Aladdin”, zirafah yang diberi nama “Apollo” serta ada satu dua anak patung yang mempunyai nama puteri-puteri dalam kartun Disney seperti “Aurora” dan “Ariel”. Zahra pasti akan bersungut setiap kali terpaksa mengingatkan ibunya tentang nama-nama anak patung permainannya.

“Kakak lah”? terngiang kembali perkataan itu di telinga Ain. Senyuman Ain meniti ketika mengingatkan perbualannya dengan Arif tadi dan juga Zahra membahasakan dirinya kakak. Tidak mampu untuk Ain menahan senyum.

“Ibu senyum sorang-sorang”, tegur Haris tiba-tiba. “Why”? tanya Haris lagi dengan penuh minat.

“Nothing”, jawab Ain sambil menggosok-gosok kepala anak itu yang nampak begitu musykil sekali dengan perlakuan ibunya sebentar tadi.

Ain berlalu ke dapur untuk menyiapkan makan tengahari untuk mereka berempat. Hari ini Ain beruntung kerana anak-anak tak mahu makan nasi hanya minta spagetti goreng dengan tuna sahaja.

*****

“How’s London” tegur Zaleha dari belakangnya membuat Juliana terperanjat.

“Ishh kalau ya pun bagilah salam…aku ingatkan tadi kau dah keluar”, keluh Juliana sambil mengurut dadanya akibat dari terperanjat. “London as what it is”, sambung Juliana sebagai menjawab pertanyaan Zaleha.

Galeri bukanlah tempat yang menjadi perhatian Juliana dalam setiap projeknya. Walau bagaimanapun di kali ini ia amat berbeza. Pelanggan Juliana kali ini mahu mengumpul lukisan dan mahu lukisan yang tergantung di dinding aparment mewahnya di tengah-tengah kota London itu dari pelukis yang dikenali. Oleh kerana keinginan pelanggannya yang melampau memaksa Juliana melangkah dari satu galeri ke satu galeri sehinggalah ke hari ini. Di saat Juliana melangkah masuk tidak terdetik sedikitpun di hatinya akan berjumpa dengan Arif apatah lagi melewati lukisan Ain yang bertemakan “Lukisan Kenangan/Memories in Paintings”.

Melalui brochure yang diterima telah Juliana ketahui bahawa pelukisnya adalah Ain kerana nama singkatan “AS” sudah dikenali olehnya lama dahulu. Nama itu juga yang membawa Juliana merasai perasaan yang tidak menentu lalu mengambil keputusan memutuskan hubungannya dengan Arif.

Pertemuan tidak sengaja itu menjelaskan segalanya dan Juliana bertemu jawapan pasti dengan merasakan dia telah mengambil keputusan yang paling tepat. Perpisahan mereka membawa Arif menjejaki Ain kembali. Dari sinar yang terpancar di wajah Arif memang tidak syak lagi bahawa Arif bahagia kini.

Wajah Arif mengukir senyum, wajah itu ceria dan berseri semasa bercerita serba sedikit tentang setiap lukisan yang ada. Tanpa disedari ingatan kepada pertemuan siang tadi membawa Juliana melewati galeri yang mempamerkan lukisan Ain di remang senja itu. Tidak berhasrat untuk memasukinya, Juliana sekadar berdiri hanya beberapa meter dari pintu masuk dewan yang masih dibuka. Sinaran lampu dari galeri itu membuatkan hatinya sedih dan sebak. Kesibukan yang ada membuatkan mereka tidak dikenalkan namun sudah cukup untuk Juliana mengenali wajah ayu seorang gadis yang pernah bertakhta di hati Arif dan yang tidak pernah Arif buang dari sudut hatinya yang dalam. Bak kata orang dulu-dulu, bila hati sudah berbicara mulut tidak perlu berkata apa kerana cinta sebenarnya tidak perlu dilafaz hanya untuk dirasa. Benar sungguh kata-kata Zaleha dahulu bahawa hatinya penuh dengan curiga sehingga tidak dapat menerima siapa Ain dalam hidup Arif. Ain tidak pernah “mati” dan Ain tidak pernah hilang. Yang ada cuma Arif belajar hidup tanpa Ain dengan membuang segala kenangan.

Namun begitu, sejauh mana Arif berusaha menyakinkan Juliana tentang perhubungan mereka, rasa yakin di dalam diri Juliana mengatasi segalanya. Mengetahui pertemuan semula yang terjadi di antara Ain dan Arif hampir 6 bulan yang lalu melanda badai di hatinya. Juliana tidak mampu lagi merasa tenang dan keyakinan yang cuba Arif berikan pula gagal membuat Juliana berasa yakin. Di waktu itu Juliana teramat yakin bahawa di antara dua hati, rasa itu tetap ada, rasa itu terlalu indah dan dengan rasa itulah yang menyatukan kembali dua jasad yang terpisah kerana rasa itu tidak pernah mati di hati mereka, menjadikan Juliana pasrah.

Setelah lama melayan angannya, tiba-tiba Juliana merasakan kakinya kebas. Sekilas melihat jam di tangan Juliana tersedar sudah lebih setengah jam dia berdiri di situ. Tatkala Juliana mengalihkan pandangan kepada galeri di hadapannya sebahagian dari lampu telah ditutup. Beberapa orang juga kelihatan meninggalkan galeri tersebut namun kakinya masih belum mahu melangkah. Bagaikan ada suara di hatinya meminta supaya jangan meninggalkan tempat itu dahulu.

“Pelik sungguh”, bisiknya sendiri. Di dalam mencari erti “suara hati” yang datang, keluhan amat berat dilepaskan, tertunduk, menoleh kiri dan kanan serta memerhati pergerakan orang yang lalu lalang disekelilingnya akan tetapi kakinya bagaikan sudah terlekat di situ.

Lama Juliana memerhati orang yang keluar dari galeri tersebut apabila satu figura nampak jelas dipandangannya. Juliana pasti itu Arif walaupun di dalam samar senja itu. Oleh kerana figura itu Juliana mengambil langkah spontan menyembunyikan diri disebalik pokok yang berdekatan. Juliana memerhatikan figura itu seterusnya dan apabila semakin dekat ternyata figura itu adalah Arif dan bersama Arif adalah Mike, lelaki Inggeris yang diperkenalkan kepadanya siang tadi. Langkah mereka diatur seiring. Gelak dan tawa mereka senada.

Dalam diam Juliana menjadi seorang pemerhati. Hatinya melonjak-lonjak ingin tahu kemana arah langkah dihayun apabila Juliana pasti mereka mahu menuju ke galeri, namun tekaannya meleset apabila dua lelaki itu tidak menaiki tangga ke galeri tersebut. Dalam samar cahaya 2 figura itu hilang dari pandangannya. Dalam sekelip mata lampu di galeri juga padam sepenuhnya dan hanya tinggal lampu yang menyuluh kepada beberapa lukisan di dinding. Sekali lagi Juliana menoleh apabila 3 figura keluar dari galeri tersebut setelah diperiksa sepenuhnya dan suara riang anak-anak berusia dalam lingkungan 5 atau 6 tahun berlari-lari anak sehingga sampai di hadapan anak tangga dan pintu masuk galeri. Dari kejauhan Juliana yakin salah seorang dari 3 figura itu adalah Ain kerana berbaju kurung. Anak-anak kecil itu pula berlari lalu memberikan jambangan bunga kepada mereka bertiga dan membuat dua barisan seperti mahu mempersembahkan koir.

Telinga Juliana juga menangkap suara seorang kanak-kanak yang memberi arahan satu, dua tiga dan seorang kanak-kanak berlari menaiki tangga bersama dengan iringan muzik. Kesemua mereka melekatkan topeng dimuka menyerupai bunga matahari. Juliana tersenyum melihat mereka dan tertanya-tanya apakah perayaan yang disambut. Juliana pasti bukan “easter” dan juga bukan “halloween” dan Juliana terkedu apabila anak yang akhir menaiki tangga tadi memulakan nyanyian. Puas Juliana fikirkan apakah lagu tersebut sehinggalah kepada chorusnya “you are my sunshine…my only sunshine”.

Gaya persembahan mereka amat menarik sehingga ingin Juliana menghampiri akan tetapi bimbang kalau-kalau Arif dan Mike muncul di sana. Kanak-kanak yang lain mula membuat bulatan di hadapan galeri tersebut bersama dengan Ain dan dua orang yang bersamanya tadi. Mereka bertiga saja yang dewasa akan tetapi mereka tidak teragak-agak untuk sama-sama menyanyi dan menggerakan badan. Walaupun dalam kesamaran Juliana dapat melihat dan merasakan bahawa Ain terlalu gembira di saat itu. Kanak-kanak yang seorang itu masih lagi menyanyi di tengah-tengah dan diikut sama dengan yang lain semasa chorus. Kini bulatan dipecahkan lalu memegang tangan mereka bertiga untuk menuruni tangga.

“What a lovely song and choir children. Where are you from. Are you collecting funds for charity”? terdengar di telinga Juliana suara wanita Inggeris itu bertanya.

Anak-anak itu masih lagi bersiulan lagu yang sama dan datang pula empat anak-anak lelaki berlari anak bersama belon berwarna-warni di tangan seolah-olah mahu menahan pergerakan 2 orang wanita dan seorang lelaki itu. Oleh kerana telah terlalu banyak ‘surprise’ yang ada barangkali mereka bertiga sudah saling pandang memandang di antara satu sama lain dan juga memandang keliling apakah makna di sebalik semuanya ini. Juliana juga tidak ketinggalan apabila telah menjadi pemerhati senyap sejak tadi. Bayangan Arif dan Mike juga tidak kelihatan.

“Apakah ini rancangan mereka berdua”? tiba-tiba saja otak fikiran Juliana mencetuskan pertanyaan tersebut. “Aneh”, bisik hatinya kerana sebagai pemerhati bertanya begitu. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai kepangkal lengan…alang-alang jadi busybody biarlah tahu apa sebenarnya terjadi, bisik Juliana sendiri.

Makin diperhati makin pelik ‘drama’ di hadapan matanya. Walaupun begitu 3 orang dewasa kelihatan amat gembira dengan kegirangan anak-anak kecil tersebut. Suara garau seorang lelaki Inggeris membuatkan Juliana mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Sedikit demi sedikit kelibat seorang lelaki mula kelihatan lalu jelas di mata Juliana bahawa lelaki itu adalah Mike. Seperti mendeklamasikan sajak saja lagaknya tapi amat malang Juliana tidak dapat mendengar butir-butir kata yang disebut tidak seperti pertanyaan wanita itu tadi kepada anak-anak tersebut.

Riak wajah Ain serta yang lain makin keliru dan terpinga-pinga. Mike juga ditemani oleh seorang kanak-kanak lelaki bersama belon di tangan. Apabila budak lelaki tersebut bergerak dan berdiri di hadapan Ain, bagaikan ada suatu suara meminta Juliana merapatkan diri kepada kumpulan orang ramai yang berdiri berdekatan kumpulan anak-anak itu. Hatinya juga berlonjak-lonjak untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi. Nasib Juliana amat baik kerana telah ramai orang yang mengerumi kumpulan anak-anak itu lalu tanpa menanti Juliana terus saja berdiri di celah-celah mereka. Juliana menanti dalam debar dan mungkin juga yang lain-lain merasakan begitu.

“My dearest Ain,

You are my sunshine my only sunshine

I know my life will never complete without you

I look into my heart

I see you

As no one ever hold my heart the way you do….”

Anak kecil itu berhenti seketika untuk menarik nafas. Semuanya senyap dan sunyi. Semua yang mengelilingi mereka diam terpaku. Andainya jatuh sebatang jarum pasti akan terdengar detingannya. Anak kecil itu tampil benar-benar di hadapan Ain lalu meminta Ain tunduk untuk dia membisikan sesuatu. Semua orang sudah mengatakan “it’s so sweet”, “she touch so many hearts” serta terdengar soseh-soseh yang lain tatkala anak kecil itu memberikan ciuman di pipi Ain bersama dengan sebungkus cokelat. Itupun jika tidak silap mata Juliana memandang. Dalam bisikan yang masih berbunyi, anak kecil itu melangkah dua tapak ke belakang sebelum menyambung.

“Life offers many challenges

I know I can meet them

If you are willing to face them with me

You deserve the very best

Someone who will back you up without limit

Let you grow without borders

Love you without end…”

“Will you let me be the one”

Kesemua yang berkumpul di situ tercari-cari suara garau yang kedengaran namun setelah satu pusingan masih tidak ternampak bayang hanya bunyi tapak kasut yang kedengaran. Suasana senyap sunyi kembali ketika seorang lelaki keluar dari himpunan ramai. Semua mata tertumpu ke arahnya dan Juliana sudah tahu bahawa orang itu adalah Arif walaupun masih belum berapa jelas dipandangannya.

Oleh kerana Arif datang dari arah yang tidak dapat diteka membuatkan semua orang menoleh kiri, kanan depan dan belakang beberapa kali. Sebaik saja Arif tiba berhampiran Ain, anak-anak kecil itu membuat laluan kecil supaya Arif dapat berdiri berhadapan dengan Ain. Jelas sejelas-jelasnya di mata yang memandang Ain, gadis yang beruntung itu terkedu dan tidak mampu berkata apa. Mata mereka bertentang dan mungkin sudah ada air-air jernih yang bertakung barangkali.

“She said yes”, kata budak yang mendeklamasikan sajak tadi.

Tepuk sorak bergema dan Ain berada di dalam dakapan Arif selepas itu. “kiss her…kiss her”, terdengar suara orang menjerit-jerit dan serentak dengan itu percikan bunga api memenuhi ruang angkasa. Semua mata tertumpu ke atas angkasa bebas untuk melihat betapa cantiknya pula warna-warna dari bunga api tersebut. Jeritan ‘congratulations’ dan tepuk sorak bergema sejak tadi mula surut dan acara penutup sekali lagi diserikan oleh choir dengan lagu ‘you are my sunshine’. Ketika Juliana berpaling, Arif dan Ain sudah pudar dipandangan. Hanya ternampak bayang bahawa mereka jalan beriringan dengan Arif memaut bahu Ain penuh kasih.

“Tahniah Arif…semoga you berbahagia sehingga akhirnya”, bisik Juliana di dalam hati sebelum melangkahkan kaki bersama yang lain untuk bersurai.

Tidak ada apa yang perlu dikesalkan. Menjadi saksi di malam ini adalah hadiah paling bermakna di dalam hidup Juliana walaupun Arif dan Ain tidak tahu dirinya adalah salah seorang dari yang ramai menjadi saksi acara paling romantis barangkali untuk pasangan tersebut. Arif pasti sudah merancang segalanya dan itulah sebahagian dari hidup Arif yang tidak pernah Juliana ketahui. “His spontaneous”, itu yang terkeluar dari bibir Juliana ketika melangkah sepi di tengah-tengah kota London. Senyuman, airmata Ain serta kegirangan anak-anak yang bersama mereka bermain di depan mata Juliana menemani langkah seterusnya.

“Mak aiii…romantiknya”, ucap Zaleha dengan wajah berseri-seri. “Puas aku nak bayangkan cerita kau ni Ju…boleh tulis cerpen”, kata Zaleha lagi dengan tawa kecil.

Juliana membiarkan saja Zaleha dengan angannya sendiri setelah bercerita siapa yang dia terserempak di London sehinggalah menjadi saksi kepada satu majlis lamaran dan pertunangan paling meriah dan yang paling romantik pernah dilihat dalam hidupnya.

“Ini adalah Arif yang you tak pernah kenal”, entah kenapa tutur bicara Arif di hari itu datang tanpa dijemput. Keluhan Juliana lepaskan di dalam keletihan yang masih terasa dari penerbangan tadi. Dengan lemah Juliana menarik kerusi meja makan di dapurnya. Hatinya menjadi sayu dan hiba sehingga mengundang tangis dengan jujuran airmata yang sukar untuk dihentikan.

Ilham Cipta : Ally

Tulisan bersama : Sanaa dan Ally

Disclaimer: Hakcipta terpelihara. Cerita ini hanya rekaan semata-mata. Nama dan tempat juga adalah khayalan penulis dan tiada sangkut paut kepada sesiapa yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Sebarang cetak di luar blog ini adalah dilarang. Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: