• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • July 2013
    M T W T F S S
    « Jun   Aug »
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  
  • Archives

Harga

Simpulan ikatan terlerai sudah dengan berakhirnya drama bersiri Cinta Jangan Pergi.

Drama ini dimulakan dengan satu PERTEMUAN. Diikuti dengan JANJI sebagai pembuka kata…KEJUJURAN pula menjadi penutup bicara…dua perkara yang terlalu sukar dan makin berkurangan di dalam kehidupan masa kini dijadikan tema jalan cerita. Sususan cerita dan setiap babak telah disampaikan dengan baik melalui pemegang-pemegang watak untuk kita melihat realiti kehidupan dan mentafsir segala. Sesungguhnya tidak susah mengikuti cerita ini kerana clue sentiasa diberi awal…hanya pengamatan dan kepekaan kita saja menjadi penghalangnya.

Ketika melangkah di saat-saat akhir Cinta Jangan Pergi sekali lagi saya meneliti perjalanan serta perkembangan watak-watak utama serta sampingan di dalamnya. Sedikit demi sedikit jawapan diberi kepada setiap tanda tanya yang pernah dan masih ada. Rahsia yang tersimpan juga terungkai dan kita melihat kematangan setiap watak di dalam menangani masalah masing-masing.

Bagi saya walau dipusing ikut mana sekalipun perasaan saya tetap teruja dengan perkembangan watak Khalil dan tetap tidak mengubah perasaan saya yang sentiasa meragui Hud. Tatkala hampir sampai ke penghujung bersama speku yang makin hebat perasaan curiga terhadap Hud juga semakin meningkat. Ini mungkin disebabkan “rasa” hati dan pertemuan saya dengan Hud sejak hari pertama lagi tidak pernah “smooth” walaupun dengan segala kebaikan yang diberikan serta ditunjukan olehnya.

Bersama CINTA…JANJI…JUJUR yang menjadi tunggak perjalanan cerita ini watak Khalil dikembangkan oleh pencipta cerita dengan baik. Terujinya cinta Khalil dan Lea tanpa henti akhirnya membuat Khalil pasrah…redha dan menerima ketentuanNYA. Setelah ingatan Khalil pulih sepenuhnya dan mengingati kejadian yang menimpa serta siapa dalang di sebaliknya tidak saya duga sama sekali bahawa “confrontation” di antara Khalil dan Hud terlalu “cool” sehingga Khalil tidak membuka mulut sedikitpun kepada Lea dan juga keluarganya.

Ketenangan Khalil makin jelas ditunjukan ketika bual bicaranya bersama Ibrahim di atas tangga dan tidak bersetuju untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Hud demi menjaga hati Lea Soraya. Kebahagian Lea masih menjadi keutamaan Khalil. Mungkin ini lah kematangan Khalil setelah diuji dengan berbagai dugaan. Marah, dendam dan pembalasan tidak boleh mengubah segala apa yang telah terjadi.

Setelah segala hinaan dan kemarahan yang dilemparkan kepada Khalil perwatakan Khalil berubah.

Tidak ada sepatah kata yang Khalil keluarkan di hadapan Lea ataupun Lily tentang perkara itu. Tiada juga pujuk rayu Khalil kepada Lea. Segala tindakan Lea diterima bersih oleh Khalil…kerana dia sudah sedar dan menerima apa saja nasib yang mendatangi dirinya. Kata-kata akhir yang Khalil ucapkan kepada Lea amat menyentuh perasaan.

Keadaan berubah…manusia berubah namun hanya satu tidak akan berubah bahawa dia akan tetap menyintai Lea Soraya. Pasti ramai yang tidak bersetuju kerana di masa yang sama Khalil akan menikahi Shireen.

Cuba kita renung pula kenapa perkampungan orang asli itu menjadi tempat Khalil mencari ketenangan? Kenapa Khalil tidak melarikan diri jauh dari sini atau kembali ke London? Apakah mengadu kepada alam cara Khalil mencari kedamaian atau apakah kejujuran orang-orang di perkampungan itu yang Khalil dambakan?

Di perkampungan yang serba kekurangan itu tidak ada seorangpun yang menerima Khalil dengan bersyarat…tidak ada harapan yang diletakan dan tidak ada juga sengketa. Adakalanya itu yang kita perlukan…jauh dari segala kesesakkan duniawi. Hanya kita dengan alam.

Perkampungan itu ada nostalgia buat Khalil dan rasa itu sampai kepada Lea lama dahulu. Ingat tak lagi suara yang memanggil Lea semasa Lea mencari Khalil selepas pertunangannya dengan Hud?

*****

Rahsia yang terlalu lama disimpan membawa Hud lari dari menghadapi kenyataan. Adalah satu tindakan seorang pengecut apabila Hud memutuskan pertunangan (perbualan telefon Makcik Hasmah dan Lily) tanpa bersemuka dengan Lea dan Lily. Akan tetapi Hud mengalah dan segalanya terlerai setelah Lily mendesak kebenaran diikuti dengan Lea. Kegelisahan Lea terjawab jua akhirnya setelah menjumpai cebisan gambarnya di dalam diari Hud yang tertinggal di sofa rumahnya.

Setelah jauh cerita berjalan membuat saya bertanya “Apakah yang membezakan Hud dan Khalil”? Jika diamati dan diteliti tidak ada bezanya Hud dan Khalil. Akan tetapi kebaikan yang Hud tunjukan jelas mengaburi mata semua.

Hakikat yang ada di antara Hud dan Khalil ialah mereka adalah dua orang lelaki yang mendambakan cinta seorang wanita. Kedua mereka mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing. Yang membezakan di antara mereka adalah perwatakan sahaja.

Perwatakan Khalil yang kasar, ganas, tidak sopan dan dengan segala dendam di hati melayani Lea Soraya setelah pertemuan semula mereka kita ingat dengan jelas. Tengking herdik Khalil menjadi ingatan yang segar bugar di mata kita. Di sebaliknya pula Hud masih “cool” walaupun mengetahui kini Khalil masih hidup dan Lea pula bekerja dengannya. Kebenaran itu tidak mengubah perwatakan Hud yang sentiasa “cool”. Tidak juga ditunjukan perasaan cemburu dengan nyata lalu membuat kita terus terbuai.

Mata kita jelas dikaburi oleh segala perhatian yang Hud berikan kepada Lea dan tindakan Khalil yang kejam dengan menghina dan mengherdik Lea membuat kita marah. Memang benar Khalil kejam memang benar Khalil ego namun apabila rahsia terbongkar apakah mampu kita melihat segalanya dari sudut yang berlainan?

Pertemuan pertama Hud dan Khalil selepas kejadian berlaku di hadapan Lea Soraya. Bertemunya empat mata tidak terbayang dan terlintas di mata dan fikiran kita bahawa Hud menyimpan rahsia paling besar. Kenyataan Lea bahawa Khalil amnesia di masa itu merupakan “added advantage” kepada Hud. Di hari rahsia terbongkar barulah kita tahu selama ini Hud menyimpan satu rahsia dan hidup diselubungi pembohongan.

Bersama deraian airmata dan bersungguh-sungguh Hud menyatakan cintanya sambil berteleku di hadapan ibunya membuat ramai mengatakan betapa tulusnya cinta Hud terhadap Lea. Sesungguhnya saya tidak menyalahkan Hud kerana jatuh cinta dan mencintai Lea Soraya akan tetapi kenapa Hud tidak jujur kepada dirinya sendiri berdasarkan kepada niat asal dan awal dia mencari Lea.

Apakah tulus cinta Hud apabila dari pertemuan pertama tidak pernah berlaku JUJUR kepada Lea? Lalu sekali lagi saya bertanya bezanya Hud dan Khalil? Yang membezakan mereka hanyalah cara…Khalil dengan kekerasannya dan Hud pula dengan kelembutannya. Kita mengatakan dan menerima cinta Hud yang ikhlas terhadap Lea akan tetapi menolak Khalil walaupun setelah kebenaran diperolehi. Kenapa?

Tindakan Hud seperti api di dalam sekam, lebih kejam daripada Khalil kerana Hud mengambil kesempatan di atas kelemahan Lea dan juga cinta Lea terhadap Khalil. “Prinsip” adalah perkataan yang Ibrahim gunakan ketika mahu menyaman Hud kerana meninggalkan Khalil di tempat kejadian dan itulah yang sebenarnya tiada di dalam diri Hud.

Soalan saya seterusnya “Bagaimana Hud hidup selama ini”? “Adakah Hud sebenar-benarnya mengharapkan Khalil mati”? Segala kesempatan telah Hud ambil dan pemergiannya ke Interlaken dan tidak munculnya Khalil membuat Hud merasa selesa dan yakin bahawa Khalil kini benar-benar telah mati lalu terus berdiam diri. Tiada dialog yang mengatakan begitu akan tetapi amatilah segala baris kata yang Hud tuturkan di hadapan Lea dan juga Lily. Selama ini Hud berselindung di sebalik cinta dan perhatian yang ditunjukan.

Lalu siapakah yang lebih kejam? Kekerasan Khalil terhadap Lea nampak jelas sehingga tidak mampu kita melihat dan mendengarnya..bagaimana pula dengan Hud? Menggunakan segala peluang yang ada dan mengambil segala kesempatan di atas “kematian” Khalil adalah kekejaman yang paling dahsyat. Tidak cukup dengan itu Hud cuba “menjadi” Khalil di dalam sesetengah keadaan. Lebih memburukan keadaan setelah mengetahui bahawa Khalil masih hidup Hud tetap berdiam diri.

Harga pertama yang Hud bayar adalah semasa dijangkiti virus merbahaya yang hampir meragut nyawanya. Setelah sembuh ia tetap tidak membawa Hud berterus terang dengan Lea. Melihat sendiri kemesraan Khalil dan Lea permintaan Hud adalah untuk Lea berlaku jujur dan berterus terang. JUJUR? Di manakah kejujuran Hud selama ini? Mengimbas kembali apakah layak untuk Hud menerima dan meminta kejujuran daripada Lea apabila dia sendiri tidak pernah jujur?

Kenapa agaknya Hud sendiri yang menyaksikan kemesraan Lea dan Khalil? Olahan cerita yang paling dalam oleh perekacipta yang hanya terbongkar dipengakhiran cerita.

Marilah kita sama-sama mengimbas kembali semasa kemalangan. Jelas bak kristal kemalangan berlaku kerana kecuaian Hud sebagai pemandu. Sebagai seorang doktor Hud tiada prinsip dan intergrity. Jelas dipandangan mata Hud api sudah keluar dari kereta tersebut dan akan meletup bila-bila masa sahaja. Sudah jelas tidak mungkin ada bantuan yang dapat dicari dalam masa yang sesingkat itu.

Apakah menyelamatkan beg lebih utama dari satu nyawa? Panik? Apakah itu alasan seorang doktor? Setelah kemalangan Hud tidak menunggu ataupun membuat lapuran polis. Kisah Hud bukan hanya setakat jatuh cinta kepada Lea atau mahu merampas Lea daripada Khalil…itu soal perasaan akan tetapi rentetan cerita sebelum bertemu Lea dan yang lebih memburukan keadaan Hud tidak berterus terang sehingga dia tersepit.

Tindakan Hud memutuskan pertunangan melalui telefon juga adalah tindakan seorang lelaki yang dayus. Berbanding dengan Khalil yang beria mahu berjumpa mama Lea kerana sedar dia mesti berterus terang tentang hubungan mereka di masa itu walaupun Lea masih tunangan orang. Kasar ke…ego ke..arrogant ke…kurang ajar ke…Khalil tetap mahu berterus terang. Yang sentiasa bertangguh dan menghalang Khalil adalah Lea.

Perasaan tidak senang saya terhadap Hud sejak pertama kali melihatnya terlerai hampir di penghujung cerita. Saya tidak tahu kenapa dan mengapa Hud tidak bertapak di hati saya walaupun dengan segala kebaikan yang telah ditunjukan. Perasaan curiga saya bertambah-tambah apabila Hud berlagak “cool” setelah menumbuk Khalil di hadapan Lea. Pertemuan itu tidak juga membawa Hud berterus terang dengan keadaan sebenar. Apakah kerana itu juga Hud hingga akhirnya tidak memiliki cinta Lea?

Setelah menyimpan segala rahsia begitu lama dan tidak berlaku jujur pengakuan Hud amat mengejutkan Makcik Hasmah. Seorang ibu yang amat penyayang, yang begitu mengenali dan menyokong anaknya tidak mungkin mudah untuk mempercayai dan diterima. Pemergian Makcik Hasmah dengan mengejut meninggalkan kesan yang mendalam kepada Hud.

Berulang kali saya cuba meletakan diri saya di dalam kasut Makcik Hasmah dan juga Lily lalu bertanya apakah tindakan terbaik untuk saya ambil dalam waktu yang singkat? Babak permohonan maaf Hud kepada Makcik Hasmah yang tetap bersulam nasihat sudah jelas terbayang kekecewaan hati seorang ibu. Hanya ketabahan Makcik Hasmah dilihat dengan jelas di dalam keperitan yang ditanggung.

Saya juga menyanjungi cara Lily. Pembohongan Hud telah memberinya kesedaran untuk “melihat” hati anaknya sendiri. Pengakuan dan permohonan maaf kepada Lea menunjukan bahawa selama ini dia gagal melihat hati anaknya…cinta yang pernah bertapak di hati anak gadisnya tidak diendahkan kerana tidak pernah mahu mengenali Khalil di hati Lea Soraya.

Semasa Hud membuat pengakuan cinta dan permohonan maaf, Makcik Hasmah ada berkata Hud beruntung diberi peluang untuk membetulkan keadaan. Pada pandangan saya dan melihat dari turutan cerita, sebenarnya Hud telah diberi banyak peluang bukan setakat peluang kedua sahaja akan tetapi Hud masih terus membuang segala peluang untuk bersemuka dengan Lea dan kebenaran.

Di awal cerita pula kenapa Hud cuba menjadi Khalil atau meniru cara Khalil? Apakah seorang doktor tidak mengetahui akibat dari perbuatannya itu? Di babak-babak awal sebenarnya Hud telah membuat Lea berada di dalam “state of depression”. Permainan Hud sememangnya tidak dikenal pasti kerana Lea sendiri sentiasa merindukan Khalil dan kerana itulah juga Lea tidak dapat mencintai Hud sepenuhnya.

Alasan ataupun “psychological impact” terhadap Lea Soraya tidak diambil kira oleh Hud hanya kerana cinta sudah membayangi dirinya. Saya mengingatkan bahawa Dr. Hud akan lebih rasional di dalam hal-hal yang begini kerana dia seorang doktor dan tahukah kita bahawa perbuatan doktor Hud itu menyalahi etika perubatan? Kerana cinta yang Hud rasakan segala pertimbangan hilang dari kawalan.

Semasa sessi berterus terang bersama Lea, EL dan JD ada Hud mengatakan yang dia benar-benar takut kehilangan Lea. Saya ingin bertanya apakah dengan menyembunyikan kebenaran Hud akan memiliki Lea? Seperti yang pernah Makcik Hasmah cakapkan…”dia tidak pernah ada”. Perhatikan bait-bait kata itu dan fahami maksudnya.

Sessi seterusnya pula bersama Khalil…perkara yang sama Hud sebutkan dan apabila Khalil bertemu Lea dan memberitahu Lea bahawa Hud datang berjumpanya dan menceritakan detik pertemuan sehinggalah sekarang…jelas dan nyata penerimaan Lea terhadap Hud dibayangi Khalil dan jelas juga bahawa Lea mengambil berat tentang Hud kerana dia tidak mahu kehilangan Hud sepertimana dia pernah kehilangan Khalil dahulu. Bertambah jelas di sini perasaan Lea terhadap Hud adalah simpati bersulam sayang. Tidak lebih dari itu.

Inilah kelebihan Cinta Jangan Pergi…dialog serta babak yang ada punya cerita sendiri yang terselit (read between the lines) yang amat memerlukan kita peka sentiasa.

Walaupun hati saya sedih apabila watak Hud dimatikan kerana ia menjadikan jalan cerita terlalu “cliche” akan tetapi demi kebahagian Khalil dan Lea mungkin itulah yang terbaik. Saya mentafsirkan simboliknya Hud “memulangkan” Lea kepada Khalil sebagai seorang yang berhak sepertimana dia pulang kepada penciptaNYA. Tidak mungkin saya melabelkan Hud sebagai hero setelah apa yang dia lakukan dan ia bukan juga satu pengorbanan dipihaknya. Dari pandangan mata kasar memang itu akan dibanggakan oleh semua namun perhatikan segala bicara dan gerak geri serta di mana Hud berada di hati Lea selama ini.

Pembuka kata saya tadi adalah janji dan jujur selain dari cinta yang ingin dimiliki dan memiliki. Pendapat sudah pasti berbeza-beza dan tidak semua pendapat akan kena pada sasarannya. Sewaktu tayangan dari episod ke episod hampir semua penonton berteka dan berteki dengan jalan cerita dan setiap pemegang watak…ada yang terkena sasaran dan ada juga yang tergelincir tidak terkecuali saya juga.

Sikap dan perwatakan Lea semasa bersama Hud dan Khalil juga kurang membantu. Fikiran dan perasaan yang bercelaru dan tanpa kekuatan membuatkan Lea terumbang-ambing di antara kedua lelaki yang hadir dalam hidupnya. Ledakan bom yang Shireen lemparkan menambah buruk keadaan. Walaupun begitu tidak dapat untuk menyalahkan Lea seratus peratus kerana setiap kali bersama Khalil ada saja perkara buruk yang berlaku.

Insiden pertama adalah apabila Lily jatuh dari tangga setelah cuba menasihati Lea untuk meneruskan hidup dan melupakan Khalil. Ini diikuti pula oleh Hud terlantar sakit dan bertarung nyawa dan tidak kurang Shireen yang terus menganggu kehidupan mereka. Besar kemungkinan Lea menjadi phobia dengan keadaan ini lalu membina benteng diri untuk berkeras setiap kali berhadapan dengan Khalil selepas itu dan tidak lagi mengikut kata hatinya. Namun demikian cinta Lea tetap utuh buat Khalil cuma Lea sudah tidak berani mempertaruhkan hatinya lagi.

Kelemahan dan kekuatan Lea, Khalil dan Hud terus diuji dan teruji. Di antara babak-babak yang ada, di antara bicara kata dan di antara esak dan tangis Lea Soraya, sebenarnya tidak ada lelaki lain di dalam hidupnya kecuali Khalil Ibrahim. Tidak ada satu hari pun Lea melupakan Khalil. Bukti yang terlalu mudah dan ringkas…Lea tidak membuang gambarnya bersama Khalil walaupun sudah ditengking herdik…Lea masih memberi peluang kepada Khalil walaupun janji diberi kepada Hud…berada di hutan kerana marah dengan Khalil akan tetapi wajah Khalil jua yang muncul dan dikejar dan setelah kejujuran diperolehi daripada Hud segala kenangan bersama Hud terus dibakar. Tindakan Lea ini adalah kerana dia merasa amat tertipu dengan perbuatan Hud selama ini.

Adakah Lea membuang dan membakar gambar-gambarnya bersama Khalil di masa itu? Andainya saya tersilap pandang tolong beritahu kerana saya memang tidak nampak sekepingpun gambar Lea bersama Khalil di masa itu.

Keresahan Lea jelas terbayang semasa majlis pernikahan Khalil dan Shireen. Oleh kerana ia terlalu jelas Lea tidak dapat menutup rahsia hatinya kepada EL dan juga JD. Akan tetapi apabila EL dan JD cuba menceritakan hal sebenar Lea melenting. Jelas sudah Lea masih lagi cuba menyembunyikan rahsia hatinya yang sebenar. Mungkinkah Lea juga terlalu ego untuk mengakui kesilapannya meragui Khalil selama ini?

Detik-detik akhir Cinta Jangan Pergi juga menyentuh hati dengan kehadiran Shireen di tanah perkuburan serta Khalil di kejauhan. Semua yang hadir tertanya-tanya kenapa Khalil tidak datang dan EL juga mengungkit setelah apa yang Hud buat untuknya kenapa Khalil tidak datang menziarah. Lihatlah betapa cepatnya hukuman dijatuhkan kepada Khalil namun akhirnya kita tahu hanya Lea saja yang punya jawapan kenapa dan mengapa Khalil tiada di situ.

Cinta Jangan Pergi tidak Lea lafazkan akan tetapi kenapa Lea masih mencari Khalil ketika di hospital? Tolehan sedikit itu adalah “body languange” yang amat besar ertinya.

Tercegatnya Lea di belakang Khalil membuktikan “telepathy” atau “connection” yang kuat di antara Lea dan Khalil. Tepuk dada tanya selera untuk mencari sahihnya kenyataan saya. Saya pasti ramai yang tahu kenapa dan ada juga yang tidak tahu mengapa lalu jawapan saya mudah saja…cinta sejati tidak perlu untuk selalu bersama akan tetapi bisikan hati serta tautan hati akan bergetar menyampai rasa.

Penyatuan kasih Lea dan Khalil dipenghujung cerita juga bukan saja penyatuan dua hati yang bercinta selama ini. Ia adalah penyatuan yang bakal memberi mereka peluang menghargai segala apa yang telah mereka berdua lalui selama ini. Menilai dan menghargai harga kasih sayang di antara mereka, pengorbanan orang-orang sekeliling mereka dan yang lebih penting memulihkan hubungan dengan keluarga serta terus mengingati kebesaran Allah di dalam segalanya.

Syabas..tahniah…congratulations kepada semua yang terlibat di dalam Cinta Jangan Pergi. Walaupun kelemahan masih ada, drama ini merupakan drama yang terlalu ‘worth watching’ kerana ia membawa kita berfikir dan terus berfikir.

Seperti yang pernah saya tuliskan di laman facebook saya dahulu setiap perbuatan kita sama ada kecil ataupun besar pasti ada “cause and effect” yang akan menghukum kita bila-bila masa saja. Harga yang Hud bayar terlalu tinggi apabila kejutan pertama yang Khalil berikan tidak Hud beri perhatian. Sedikit perbezaan berlaku di sini antara Hud dan Khalil ialah Khalil berubah setelah Shireen meledakan bom di hadapannya.

Sebagai flashback cuba kita ingat setelah kehilangan Lea di hutan serta ketidaksudian Lea memberi ruang kepadanya membuat Khalil berundur…pasrah dan redha menerima ketentuanNYA walaupun hati…cinta dan kasihnya tetap milik Lea Soraya. Dengan penuh keredhaan Khalil menerima sahaja tindak tanduk Lea. Di kesempatan yang ada Khalil gunakan untuk berterus terang dengan Lea. Besar kemungkinan kata-kata Khalil itu kita anggap pembohongan semata-mata kerana dia sudah mahu mengahwini Shireen sebagai memenuhi tanggungjawabnya.

Inilah yang dikatakan “Memiliki dan mencintai adalah dua perkara yang amat berbeza”. Mencintai tidak semestinya memiliki namun tidak menghalang sekeping hati untuk terus mencintai dan memberi kasih sayang itu dari jauh.

Perbezaan ini amat ketara dan berlainan sekali dengan Hud, kejutan pertama yang diterima tidak mendatangkan apa-apa. Anehnya ketika Hud terserempak dan ternampak kemesraan Khalil dan Lea perkara pertama yang Hud minta adalah KEJUJURAN daripada Lea Soraya. Akan tetapi di manakah kejujuran Hud selama ini?

Oleh itu saya menyingkap kembali teori alam bahawa satu jari menuding kearah orang lain empat lagi menuding kearah diri sendiri.

Setiap barangan ada tanda harga…tatkala membeli belah tanda harga yang kita lihat dahulu untuk menentukan sama ada poket kita mengizinkan kita untuk memiliki barangan tersebut. Begitulah juga dengan percaturan kehidupan…salah pertimbangan harga yang perlu kita bayar adakalanya tidak terjangkau oleh akal fikiran.

”Read between the lines” terlalu banyak dan jelas di dalam perjalanan drama bersiri ini.

Penyusunan cerita dan penyampaian rasa serta latarbelakang yang ada, saya menyanjungi watak Ibrahim di dalam drama bersiri ini.

Watak itu digambarkan sebagai seorang yang berjaya, kesederhaan di dalam kehidupan walaupun figura korporat (tidak ada babak di padang golf, kereta mewah dipandu oleh pemandu, tiada mesyuarat projek juta-juta dan lain-lain lagi) tersepit di antara hati dan perasaan terhadap seorang anak yang pernah hilang dan kini kembali…kerenah seorang isteri dan bermacam lagi tidak membuat Ibrahim cepat melatah. Setiap masalah yang datang ditangani dengan baik, tenang dan praktikal termasuk soal Khalil. Hubungan yang masih baik dengan bekas isterinya Nora meletakan Ibrahim di satu tangga yang patut dibanggakan.

Sebagai penonton kita sepatutnya mengambil serba sedikit pengajaran di dalam cerita ini. Cerita ini penuh dan sarat dengan kupasan kehidupan bukan sekadar kisah cinta untuk kita menjadi taksub tanpa mencari erti di sebaliknya.

Mesej yang ada terlalu banyak dan mendalam. Salah satu daripadanya adalah hubungan sesama insan. Kita dimukabumi ini punya tanggungjawab sesama manusia tidak kiralah yang baru dikenali ataupun sudah lama dikenali.

Setelah meneliti perjalanan cerita ini sekali lagi saya merasakan dan berpendapat di kali ini kisah cinta yang ada hanyalah penyeri cerita. Kita diminta mencari erti yang lebih mendalam kepada setiap watak yang dipaparkan…baik watak utama ataupun watak sampingan.

Sekali lagi kudos kepada team Cinta Jangan Pergi. “Read between the lines” memberi kesan yang amat berlainan dipenerbitan drama ini. Besar kemungkinan ia satu percubaan membawa drama Melayu ke tahap yang lebih tinggi bagi menguji kepekaan penonton bukan sekadar buaian perasaan di dalam percintaan.

Tulisan bersama : Sana’a dan Ally 01/07/13

3 Responses

  1. Salam.Kak..Ayat yang baik..Berfikir dan tidak berfikir satu perkara yang berbeza.Terima kasih sebab mengupas watak Khalil.Serius,saya suka dengan kupasan akak pada Khalil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: