• Thank you friends readers and passers-by for your continuous support to my blog. I will not be able to update often now and many articles and short story left hanging in the draft box due to the pressure of time lately but nevertheless I am trying to cope with it and will post few as time goes by.

    Pleasant day and have a good life.

    Love

    Sanaa

    Good things come to those who wait.
    Better things come to those who try.
    Best things come to those who believe.
    Desired things come to those who pray.

    "Islamic Thinking"

    A good traveler has no fixed plans, and is not intent on arriving.
    Lao Tzu

  • May 2024
    M T W T F S S
     12345
    6789101112
    13141516171819
    20212223242526
    2728293031  
  • Archives

Kota Suci

Kali pertama saya melihatnya tidak dapat hendak digambarkan perasaan yang ada. Kaki terkaku sebentar memandang keindahan yang terpampang dihadapanku. Rasa berdebar semasa melangkah masuk bertukar menjadi sayu lalu air mata mula bergenang. Ditahankan rasa sayu yang ada  dengan istifar dan ucapan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana telah mengizinkanku melihatnya dengan nyata.

Perlahan-lahan kaki dihayun menuruni tangga untuk lebih hampir dengannya. Selawat sebanyak-banyaknya, zikir sebanyak-banyaknya dan baca Al Quran sebanyak-banyaknya adalah pesanan-pesanan yang diterima sebelum berlepas. Kini keindahan itu terpampang dihadapanku. Airmata menitis perlahan tanda syukurku. Tidak ada perkataan yang dapat diungkap bagi menggambarkan kegembiraan yang ada.

Lalu dengan lafaz niat kaki melangkah untuk bersama ribuan manusia yang datang kerumah ini. Rumah yang memberi segala ketenangan, membuang segala kerisauan serta memberi ganjaran kepada setiap langkah. Airmata yang menitis berhenti dengan sendirinya tatkala bibir berzikir dan membaca doa mengelilingnya.

Selesai tujuh pusingan solat sunat didirikan dan terasa diri ini amat bertuah apabila dapat menyempurnakannya dengan mengadap Multazam. Walaupun tidak dekat tetapi itulah tempat yang selalu selama lapan hari mengunjungi. Mata akan tertumpu kearah itu setiap kali mengangkat mata, setiap kali menoleh kiri dan kanan sehinggalah kena berundur kerana ruang tersebut adalah untuk jemaah lelaki.

Dengan rezeki yang Allah beri telah dapat kaki ini menjejak beberapa bumi lain ciptaanNYA tetapi ketenangan dan kebahagiaan dikota ini tidak pernah dirasakan dimana-mana. Disaat hendak berpisah doa yang sering diulang dan diminta semoga rezeki terus diberikan lagi dan undangan datang berkali-kali untuk kesini.

Image result for ka'abah images

Kesayuan datang ketika melihat kain putih direntangkan bagi menandakan musim haji sudah tiba. Hati dikuatkan untuk tidak terus merasa sedih dan hiba kerana tidak menjadi tetamuNYA dimusim ini. Kekuatan dibina dengan doa dan terus berdoa semoga dapat menjejakkan kaki dikota suci ini dimusim akan datang dan berkali-kali lagi.

Sanaa 13/9/16

 

Malam 7 Likur

Hari ini genap 17 hari umat Islam serata dunia menunaikan ibadah puasa. Dihari ini adalah hari yang paling lambat saya menulis untuk cabaran 44 hari. Akan tetapi saya tetap ingat bahawa blog ini belum diisi kerana saya mempunyai beberapa topik yang berlegar. Setelah selamat berbuka akhirnya saya tahu apa yang hendak ditulis untuk hari ini.

Tidak lama lagi Ramadhan bakal meninggalkan kita. Sama ada kita berpeluang bertemu dengan Ramadhan akan datang tiada siapa yang tahu. Malahan untuk meniti hari-hari terakhir Ramadhan juga belum tentu. Hanya tinggal tiga hari saja lagi sebelum kita memasuki sepuluh hari terakhir Ramadhan. Hari-hari terakhir ini kita dinasihatkan untuk lebih khusyuk mengerjakan ibadah dan mengharapkan malam lailatul Qadar.

Saya cuma seorang manusia kerdil, dimana segala ilmu yang ada saya pelajari sedikit demi sedikit sepanjang hidup saya. Setiap hari yang silih berganti saya berdoa semoga Allah menjadikan saya hambaNYA yang tidak melupakan segala kurniaan dan rahmatNYA. Saya berusaha memperbaiki diri setiap hari dan sedaya upaya mencari lebih di Ramadhan yang mulia ini.

Diakhir Ramadhan semasa saya kecil dahulu masyarakat Melayu selalu menyebut Malam 7 Likur. Sewaktu itu saya tidak tahu apa maksudnya. Yang saya ingat dan terbayang dihari ini adalah hari dimana bermulanya orang memasang pelita keliling rumah, anak-anak mula bermain bunga api dan tidak kurang dengan dentuman meriam buluh.

Saya membesar dikampung bersama arwah datuk dan nenek. Rumah arwah datuk dan nenek adalah diantara rumah kampung yang besar dan luas. Jika sekarang orang bandar memanggilnya bungalow, saya kira sudah lama saya tinggal didalam sebuah bungalow walaupun sekerat batu dan sekerat papan. Laman yang luas bermakna banyaknya pelita yang dipasang. Sememangnya ia dipasang sekeliling rumah.

Halaman rumah datuk dan nenek menjadi tempat berkumpulnya anak-anak jiran bermain bunga api kerana mereka boleh menyalakan bunga api dimana saja. Ketika anak-anak sibuk bermain bunga api kaum ibu pula sibuk membuat kuih. Selalunya kaum bapa kemasjid untuk sholat terawih.

Selain dari lampu pelita yang dipasang meriam buluh adalah mainan anak muda dikampung. Beberapa hari sebelum Malam 7 Likur anak-anak muda ini akan mencari buluh yang sesuai untuk dibuat meriam. Apabila buluh mereka perolehi dibahagian bawah buluh dipotong untuk diisi dengan karbait sebagai bahan letupan. Selalunya mereka menyusun beberapa batang buluh dalam sebaris dan bertanding sesama sendiri untuk memastikan meriam siapa yang paling kuat. Cara buluh itu diletakkan adalah sama seperti meriam yang digunakan didalam peperangan zaman dahulu.

Seingat saya tidak pernah ada rungutan dari orang kampung dengan permainan anak-anak muda ini. Mereka bermain bagi menghiburkan hati dan melepas penat setelah seharian bekerja. Seingat saya juga anak-anak muda ini bermain secara berhemah dan tidak meletakkan sebarang benda bahaya bagi menguatkan bunyi meriam mereka. Meriam yang mereka buat juga tidak digunakan untuk tempuh waktu yang lama. Kalau tidak silap ingatan saya setiap hari mereka akan membuat meriam yang baru bagi mengelakkan buluh meletup dan membahayakan diri sendiri dan jiran tetangga mereka.

Saya pernah menjadi saksi kepada permainan ini. Sememangnya saya tidak tahu apa makna sebenar kenapa orang kampung menggelarkan malam 7 likur tetapi lambaian api dari sumbu pelita membawa saya kepada topik hari ini.

Waktu itu tidak akan kembali lagi. Saya juga tidak mampu untuk mengembalikan nostalgia itu untuk anak-anak buah saya walaupun keinginan yang ada terlalu tinggi. Ini adalah kerana sudah tiada orang membuat pelita buluh lagi. Jika ada sekarangpun hanyalah replika yang sudah hilang keasliannya. Pernah saya berazam untuk memasang pelita dikeliling rumah arwah abah tetapi sehingga hari ini hajat itu belum kesampaian.

Apakah ia akan terjadi ditahun ini? Hmmmm

 

Sanaa 22/6/2016

Kuih Muih

Dihari ini adalah hari kesebelas umat Islam berpuasa. Seperti lazimnya ditahun-tahun yang lalu pasti bazaar yang berkait dengan bulan yang mulia ini dan juga menjelang Syawal ada dimana-mana.

Seingat saya bazaar yang menjual berbagai jenis juadah dan lauk pauk ini dahulu dikenali sebagai Pasar Juadah. Tetapi tidak berapa lama dahulu ia bertukar dari pasar ke bazaar lalu sekarang ini dikenali sebagai Bazaar Ramadhan. Bazaar ini ada hampir dimana-mana termasuk dibahagian khas sesetengah shopping complex. Keistimewaan bazaar semasa bulan Ramadhan ada pelbagai jenis kuih muih, minuman dan lauk pauk.

Saya sering juga mengunjungi bazaar ramadhan ini untuk membeli sedikit sebanyak juadah berbuka. Juadah yang saya cari selalunya kuih muih tradisional yang jarang atau amat jarang ada dibulan-bulan lain. Kuih tradisional yang saya suka adalah lompat tikam, puteri dua sebilik, badak berendam dan puteri mandi. Ada sejenis kuih lagi iaitu kasidah. Tetapi kesemua kuih yang saya inginkan jarang dan sekarang sudah tidak kelihatan lagi. Sesekali saya ada terjumpa dengan lompat tikam dan puteri dua sebilik tetapi teramat jarang. Kuih muih tradisional lain seperti Seri Muka, Talam dan Bengkang Ubi, Kuih Lapis, Kuih Bakar Berlauk dan Onde-Onde memang selalu dijual dimana-mana bazaar.

Akan tetapi rasa dan kualiti kuih-muih yang dijual tidak mungkin dan tidak akan sama dengan apa yang arwah nenek saya buat dan juga dari dapur Pusat Latihan Kemas, Jalan Melor. Dahulu untuk membuat kuih koci, tepung pulut dikisar sendiri oleh arwah nenek selepas beras pulut direndam beberapa jam. Kuih Bakar Manis dan Bakar Berlauk pula dibakar diatas dapur arang ataupun kayu.Keenakan kuih bakar ini sememangnya berbeza apabila dibakar didalam ketuhar electrik seperti sekarang.

Walaupun begitu setidak-tidaknya generasi muda dapat mengenali jenis dan rupa bentuk kuih muih tradisional selagi ada orang mahu membuatnya. Mengekalkan cara pembuatannya seperti cara nenek moyang kita tentu saja tidak boleh oleh kerana pelbagai kesukaran terutama tempat untuk menyalakan dapur arang ataupun kayu dirumah-rumah moden zaman ini.

Kuih Kasidah

 

Kuih Puteri Dua Sebilik

 

Badak Berendam

Kepada yang ingin merasa dan mencuba beberapa kuih muih tradisional yang saya sebut diatas mungkin boleh mendapatkannya di bazaar Ramadhan berhampiran dengan anda. Disini juga saya kepilkan gambar tiga jenis kuih tradisional yang masih menjadi kegemaran saya.

Selamat mencari dan mencuba.

 

Sanaa 16/6/16

Serumpun

Sesuatu yang indah pasti akan diingati dan dikenang sampai bila-bila. Tidak kira sama ada ia berlaku dizaman anak-anak, meniti remaja sehinggalah dewasa. Kita semua pasti akan ada kenangan manis bersama kawan-kawan sekolah dan tidak kurang juga jiran tetangga.

Hari ini saya terkenang kembali zaman sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah dimana belum ada slogan “Satu Malaysia” tetapi saya adik beradik dan keluarga sememangnya hidup muhibbah.

Disebatang jalan dalam sebuah kawasan perumahan yang diberi nama Jalan Melor dimulai dengan rumah Uncle Lim, satu keluarga Baba. Anak Uncle Lim seramai enam orang. Ditakdirkan anak beliau nombor lima sebaya dengan saya dan anak bongsu keluarga Uncle Lim pula sebaya dengan adik lelaki saya. Kami kesekolah yang sama dengan khidmat van yang sama. Seorang lagi anak Uncle Lim iaitu yang nombor empat pula hanya setahun sahaja lebih tua daripada saya dan boleh juga dianggap sebaya.

Semasa itu tiada halangan langsung untuk kami berjumpa dan bermain selepas waktu sekolah. Jarak yang hanya lima minit berjalan kami dan hanya beberapa kayuhan basikal kami akan sampai dirumah masing-masing. Keluarga Uncle Lim memang tidak pandai langsung berbahasa Cina. Bahasa perantaraan mereka sekeluarga adalah Bahasa Melayu dan antara kami tidak ada rasa syak wasangka tentang makanan. Mereka sekeluarga beragama Buddha dan amat berpegang teguh kepada ajaran agama tersebut. Oleh kerana itu mereka tidak makan daging lembu dan khinzir.

Ketika musim perayaan Tahun Baru Cina dan sambutan Hari Raya Aidilfitri kami sambut sama-sama. Kami bertukar juadah semasa perayaan masing-masing. Apabila musim angin tiba kami bermain layang-layang, sama ada dilaman rumah Uncle Lim ataupun dirumah kami. Perkara yang paling lucu selalu terjadi apabila anak bongsu Uncle Lim suka merayap dengan basikal sekeliling kawasan Jalan Melor dan sekitarnya. Setiap kali anak itu tidak pulang pasti Uncle Lim datang kerumah kami dahulu dan begitu juga sebaliknya apabila adik lelaki saya tidak sampai kerumah pada masa yang ditetapkan.

Hari berganti minggu, bulan berganti tahun, perpisahan terjadi jua apabila saya sekeluarga mesti meninggalkan Jalan Melor. Pertukaran kerja Mak tidak membenarkan saya sekeluarga untuk terus menetap di kuarters Jalan Melor. Namun jarak tidak pernah memisahkan kami. Saban tahun semasa perayaan Tahun Baru Cina saya pasti mengunjungi keluarga Uncle Lim serta sahabat saya sejak dari sekolah rendah lagi. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan saya menziarah mereka, panggilan telefon pasti dibuat. Begitulah sebaliknya sehinggalah kehari ini.

Saya dan kawan masih berhubung dan kami baru saja berjumpa dua minggu yang lalu. Semasa itu sempat juga saya meluangkan masa kerumahnya dan berjumpa dengan ibu beliau. Peluk dakap dan ciuman dipipi pasti saya terima dan mata mesti bergenang. Mungkin ia tidak turun berjurai tetapi setitik dua pasti menuruni pipi. Tangannya yang telah tua pasti mengesatnya untuk saya. Adakalanya saya merasakan mereka lebih dari saudara mara saya sendiri kerana layanan kasih yang diberikan oleh seluruh keluarga mereka. Perkara yang sama juga berlaku apabila mereka datang berjumpa dengan Mak dan ahli keluarga yang lain.

Saya tidak mungkin dapat seorang kawan dan jiran sebaik Uncle Lim dan keluarga sehinggalah saya menutup mata. Jalan Melor banyak menyimpan kenangan buat saya. Erti tanggungjawab jiran tetangga, hormat menghormati dan jalinan kasih yang terbina amat tulus dan ikhlas. Keluarga Uncle Lim bukan sahaja satu keluarga di Jalan Melor yang mempunyai hubungan rapat dengan saya dan keluarga. Masih ramai jiran tetangga di Jalan Melor yang masih dan tetap menjadi sahabat baik saya sekeluarga sehingga sekarang.

Setiap kali berpeluang menjenguk dan menziarah mereka pasti cerita lama dan ketulusan kami sebagai bangsa Malaysia menjadi bualan. Bukan berniat untuk mengata, menghina atau mengutuk sesiapa tetapi apa yang pernah kami lalui amat bermakna. Ia kekal sehingga hari ini.

Jauh disudut hati saya berdoa agar generasi sekarang dapat mewarisi apa yang pernah saya dan keluarga lalui dahulu. Walaupun ia kelihatan susah dan makin sukar, saya tetap berdoa semoga rakyat Malaysia kenal erti serumpum tanpa membatasinya kerana agama, budaya dan warna kulit.

 

Sanaa 15/6/16

Tempat Jatuh Lagi DiKenang

Dilahir dan dibesarkan didalam persekitaraan yang sedikit berbeza dengan rakan-rakan sebaya membawa saya kepada coretan hari ini.

Saya dilahirkan dalam keluarga yang besar. Adik beradik seramai 7 orang, 4 perempuan dan 3 lelaki. Saya anak sulong. Mak dan arwah Abah bekerja sebagai guru. Bezanya Mak sebagai guru dengan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar atau lebih dikenali sebagai KEMAS. Arwah Abah seorang guru sekolah, mengajar Bahasa Inggeris, Sejarah dan Geografi. Selain itu arwah Abah dan rakan-rakannya punya kelab sastera dan teater Bahasa Inggeris.

Oleh kerana jawatan yang dipegang Mak kami tinggal di kuaters. Rumah tersebut berada didalam kawasan lebih kurang 6 ekar, dikelilingi oleh pokok-pokok mangga epal, dewan yang boleh memuatkan hampir 200 orang, bangunan pejabat, asrama yang memuatkan seramai 60 pelajar dalam satu sessi dan padang permainan. Didalam bangunan itu dimuatkan dengan bilik-bilik darjah, kelas masakan, kelas jahitan dan dapur memasak bersama 3 orang tukang masak serta penyelia asrama. Penyelia asrama itu merangkap guru mengaji Al Quran saya adik beradik. Setiap hari saya pasti kepejabat Mak selepas pulang dari sekolah dan menjengah aktiviti-aktiviti harian disana.

Saya adik beradik juga merasa kemudahan dihantar dan diambil oleh kenderaan KEMAS kesekolah. Kawasan yang besar dijaga oleh dua orang tukang kebun. Secara kebetulan mereka mempunyai nama yang sama iaitu Ismail. Saya adik beradik memanggil mereka Pakcik Mail. Selain menikmati hidangan makanan yang enak setiap hari bermula dari sarapan pagi hinggalah makan malam, kami juga menikmati flora dan fauna sentuhan Pakcik Mail berdua.

Dahulu saya adik beradik tidak menghadiri kelas tuisyen sepertimana anak-anak sekarang. Tuisyen kami adalah “day to day life.” Saya adik beradik tidak keluar dari kawasan yang luas itu untuk bermain dengan rakan-rakan sebaya. Rakan-rakan sebaya yang sering datang kerumah untuk bermain. Selebihnya kawan-kawan terdiri daripada anak-anak guru pelatih sahaja. Sesekali apabila menjemput kawan-kawan sekolah kerumah mereka seakan tidak percaya wujudnya kawasan seperti tempat tinggal saya adik beradik. Pagar yang memagari kawasan ini lebih kurang 7 kaki tinggi. Ia terletak di kawasan perumahan dan sudah tentu lain dari yang lain.

Disinilah saya mengenali beberapa jenis kerjatangan seperti “tatting, cross-stich, hardengar, needle point, patchwork” dan kelas asas sulaman tangan dan mesin. Bukan setakat itu saja, saya juga belajar banyak jenis masakan serta kuih muih tradisional dan biskut. Beberapa resipi biskut yang menjadi kegemaran kami sekeluarga sememangnya tidak ada dipasaran. Kalaupun sama nama tetapi rasanya tetap tidak sama. Ini semua diakui sendiri oleh ramai sahabat saya. Cuma sejak akhir-akhir ini saya sudah jarang membuat kuih sendiri kecuali untuk minum petang sahaja, iaitu kuih tradisional seperti seri muka, talam ubi dan lepat ubi.

Bermula dizaman anak-anak sehinggalah sekarang tunjukajar yang pernah diberikan oleh guru-guru pelatih di Pusat Latihan Kemas, Jalan Melor, Bukit Baru, Melaka kepada saya tidak dilupakan. Setiap waktu terluang, setiap kali terlihat benang serta kain untuk cross stich dan sulam, pasti saya akan membelinya. Bermula dari harga benang RM0.45 sen sehinggalah harga akhir saya membeli ialah RM1.80. Saya masih mempunyai koleksi benang walaupun mungkin warna tidak banyak lagi dalam simpanan, saya tetap menjahit. Bak kata pepatah ‘sehari selembar benang lama-lama menjadi kain.”

Waktu pagi seperti di bulan Ramadhan ini adalah antara waktu yang banyak saya gunakan untuk menyiapkan jahitan. Tidak perlu fikir untuk membuat sarapan pagi dan makan tengahari saya alihkan untuk kerjatangan. Ia adalah hobi yang belum saya tinggalkan sejak dari bangku sekolah. Begitu juga dengan flora dan fauna yang ditunjukajar oleh Pakcik Mail. Selain Pakcik Mail banyak tips flora dan fauna saya belajar daripada arwah Abah yang suka menanam.

Orang kata “heroes get remembered but legends never die” mungkin boleh disamakan perasaan dan kenangan saya membesar di Pusat Latihan Kemas, Bukit Baru. Ada diantara guru-guru pelatih serta kakitangan sudah lama pergi mengadap Ilahi. Jasa mereka tidak akan dapat saya balas. Dengan airtangan mereka saya menikmati aneka masakan dan makanan tanpa bahan perisa, tunjukajar mereka membuat saya menghargai seni yang hampir luput dan sentuhan kreatif Pakcik Mail halaman saya dipenuhi tumbuhan menghijau dan warna-warni sehingga sekarang.

Sanaa 12/6/16